Virus L-2

By SuriMawarneKaidar

938 93 11

Puteri sepatutnya bangkit daripada 'tidur' sebagai simbol kemajuan teknologi yang akan memacu manusia ke taha... More

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15
Bab 16
Bab 18
Bab 19
Bab 20
Bab 21
Bab 22
Bab 23
Bab 24
Baby 25
Baby 26
Bab 27
Bab 28
Bab 29

Bab 17

21 2 0
By SuriMawarneKaidar

Sarah menyandarkan tubuh ke dinding di belakang blok sekolah. Hari pertama kembali ke sekolah selepas bercuti panjang semenjak serangan Puteri pada malam hari raya lalu, cukup melelahkannya. Bandar Cermai Jaya tempat kediaman mereka itu merupakan sebuah bandar kecil berbanding kota metropolitan seperti Bandar Bintang. Berita peristiwa serangan di kediaman mereka tersebar dengan cepat dan sekelip mata ianya diketahui ramai. Akhbar-akhbar tempatan melaporkan perkembangan berita hampir setiap minit terus ke I-Ran penduduk yang melanggan.

Meskipun ibu bapa mereka merupakan antara orang yang disegani di kalangan masyarakat, perkara yang paling menyusahkan Sarah adalah abangnya sendiri; Luqman Hakim. Ini adalah kerana Luqman Hakim merupakan seorang pelajar yang menjadi idola ramai pelajar perempuan. Sama ada pelajar daripada sekolah sendiri ataupun pelajar daripada sekolah berhampiran.

Tiada pelajar di Sekolah Menengah Bandar Cermai Jaya yang tidak mengenali Luqman Hakim. Pelajar tingkatan lima itu merupakan seorang pelajar contoh. Dia merupakan pelajar cemerlang dalam akademik dan juga aktif bersukan. Kedudukannya sebagai Ketua Pelajar juga menambahkan merit yang ada disamping sifat yang sopan dan baik budi. Tambahan pula, putera sulung kepada seorang yang bergelar Dato'. Terdapat sekumpulan pelajar yang menubuhkan kelab peminat Luqman Hakim dan mengikuti setiap perkembangan pemuda itu. Berita serangan di kediaman mereka yang mengakibatkan Luqman Hakim tercedera parah sehingga terpaksa dirawat di unit rawatan rapi tentulah menjadi berita besar di kalangan peminat-peminatnya.

Meskipun tidak kelihatan di wajah, trauma daripada serangan itu masih menyelubungi. Acapkali Sarah didatangi mimpi ngeri, mengigau dan terjaga di tengah malam sehingga dia hampir menghidap insomnia. Atas saranan kaunselor, Sarah hadir ke sekolah untuk mengembalikan rutin harian dan mempercepatkan proses pemulihan. Namun Sarah tidak pernah menjangka dirinya akan diserbu oleh semua orang bertanyakan perihal Luqman Hakim. Tanpa seorang pun yang peduli keadaan fizikal dan mental Sarah.

Beberapa hari selepas serangan, selain menghabiskan masa di hospital, dia berada di bawah jagaan pihak polis. Tiada siapa yang boleh mendekati atau merapati Sarah selain daripada orang tertentu yang dibenarkan oleh pihak polis. Kini, Sarah mendapati dirinya belum bersedia untuk kembali ke alam sebenar.

Meski dinasihati guru supaya tidak memberati Sarah dengan soalan, pemuja-pemuja Luqman Hakim terus mengerumuni Sarah. Soal seorang pelajar perempuan, "Bagaimana keadaan Luke?"

Berkelip-kelip mata Sarah cuba memproses soalan yang dikemukakan. "Siapa Luke?"

"Luke... Oh tuhan, Luqman! Luqman Hakim! Adakah dia sihat? Oh Luke kesayangan saya. Bagaimanakah keadaan dikau?" pelajar itu memeluk tubuh dan mulai hilang dalam anganan.

"Siapa kesayangan kamu? Lucky itu kepunyaan saya! Terukkah kecederaannya?" Celah seorang pelajar lain pula. Pelajar yang pertama tadi ditolak ke tepi. "Khabarnya dia masih koma."

"Lucky? Blueh!" Seorang yang lain pula menjuihkan bibir. "Teruknya nama yang kamu berikan? Kamu sangka Hakim itu haiwan peliharaan kamu?" Pelajar itu buat-buat tersenyum manis. "Adakah saya boleh melawat Hakim?"

"Uuhh... Hakim? Namanya Luqman tahu! Mengapa kamu semua memberikan dia nama gelaran yang... uhhh!!!" Seorang pelajar lagi mencebikkan mulut. "Adakah dia telah tersedar dari koma?"

Belum sempat Sarah menjawab, seorang yang lain muncul di hadapannya. "Di mana Luqman ditempatkan? Apabila mengetahui berita serangan itu, saya terus datang ke hospital untuk melawat. Tetapi pihak hospital enggan memberitahu apa-apa!" Gadis itu menangis teresak-esak.

"Eh, kamu pergi ke hospital? Luqman tidak mahu bertemu kamulah! Oh, sebab itu agaknya jururawat itu tidak membenarkan saya masuk?" Marah seorang yang lain.

Terlalu ramai yang bertanya dan membidas sesama sendiri sehingga Sarah tidak tahu lagi siapa yang berkata apa. Berbanding dengan Luqman Hakim, Sarah lebih suka menyendiri dan berada dalam dunianya. Sarah memilih untuk bergaul dengan 'adik-beradik perempuan' serta dunia maklumat tanpa batasan yang dijelajahinya. Sarah enggan terlepas sebarang info berkenaan teknologi terbaru dan berusaha menguasai secepat mungkin mendahului orang lain.

"Abang berada dalam keadaan stabil. Namun begitu, dia masih tidak boleh menerima pelawat," ujar Sarah perlahan tetapi cukup untuk membuatkan kumpulan peminat itu terdiam dan mengalihkan pandangan ke arahnya.

"Eh, kenapa pula?" Soal peminat-peminat Luqman Hakim serentak.

"Doktor beritahu, buat masa ini abang perlu berehat sehingga kesihatannya berada pada satu tahap yang memuaskan. Setelah itu barulah abang boleh menerima kunjungan." Wajah Sarah kelihatan lebih serius. "Jika kalian mahu abang saya segera sembuh, bersabarlah. Sampai waktunya nanti, kalian boleh melawat abang." Gadis-gadis peminat itu mengangguk mereka.

"Siapa yang melakukan serangan? Mengapa rumah kalian diserang? Kami melihat rumah itu berlubang besar pada bahagian hadapan. Sebahagian besar dinding telah musnah. Kesan kebakaran jelas kelihatan di dinding!" Soalan beralih arah pula.

"Rumah saya hanya berselang satu lorong. Tetapi bunyi letupan itu kedengaran cukup kuat sehingga bergegar dinding rumah." Kenyataan itu pula disambut oleh orang lain yang menceritakan pengalaman mendengar bunyi letupan.

"Adakah keluarga kamu terlibat dengan ahli kongsi gelap?" Tersentak Sarah apabila mendengar persoalan itu. "Ramai orang berpendapat bahawa golongan kaya dan berpangkat, di sebalik mereka adalah kumpulan mafia." Sarah mengetap gigi menahan geram.

"Selalunya hanya lintah darat yang akan membuat serangan seperti ini. Kau tahu kisah rumah penghutang disiram cat? Lintah darat ini akan melakukan apa sahaja untuk mengutip hutang." Berdesing telinga Sarah mendengar telahan yang dibuat.

"Eh, adakah mereka begitu miskin sehingga perlu meminjam daripada lintah darat?" Keadaan kecoh seketika. Masing-masing saling berbisik, namun masih dapat ditangkap oleh cuping telinga Sarah.

"Saya yakin, tentu semua ini dilakukan oleh lintah darat! Entah berapalah hutang mereka sehingga lintah darat mengebom rumah?"

"Mana mungkin lintah darat bertindak begitu? Saya pasti, serangan ini adalah perbuatan mafia."

Mereka terus membuat andaian yang tidak berbelas kasihan tanpa menyedari muka Sarah telah bertukar merah padam. "BANGG!!" Sarah menumbuk meja, lalu berdiri tegak merenung wajah-wajah yang sedang terkedu di hadapannya. Keadaan yang bising bertukar menjadi senyap-sunyi. Tanpa berkata sepatah perkataan pun, Sarah pergi meninggalkan kelompok pelajar itu.

Sesekali Sarah mengalihkan pandangan ke belakang, melihat andai ada orang yang mengekori. I-Ran dikeluarkan daripada saku uniform. "Jam 10.30 pagi. Tentu cikgu sudah masuk mengajar," keluh Sarah. Dia melabuhkan punggung, duduk di bibir saluran air yang terletak di belakang bangunan sekolah. Sehelai rumput diambil dan dikoyak-koyakkan. Setelah daun rumput itu habis lunyai dikerjakan, dia mengambil sebatang ranting kayu yang terletak berhampiran lalu melukis-lukis objek secara rawak di atas tanah. Tangan kiri Sarah memeluk lutut rapat ke dada.

Alunan muzik daripada I-Ran segera mengejutkan Sarah daripada khayalan. "Adakah Sarah ingin mencari Puteri?" Sebuah emel ringkas memasuki kotak mesej. Senyuman terukir di wajah yang muram.

"Pucuk dicita ulam mendatang," balas Sarah ringkas. Gadis itu mengalihkan pandangan ke arah sekeliling. Sistem keselamatan yang dipasang di sekolah, dimasuki dengan mudah. Berbanding sistem kediaman yang diberi nama Artificial Intelligent Domestic Aid (AIDA), sistem yang dipasang di sekolah diberi nama Centralized Artificial Intelligent (CAI). Struktur keselamatan CAI jauh lebih rumit daripada sistem AIDA yang dibina untuk kegunaan domestik. Sistem CAI berlapis-lapis dan tidak mudah dicerobohi. Namun begitu, strukturnya yang rumit itu menjadi tarikan para penggodam seperti tertariknya semut pada gula. Kejayaan meloloskan diri melepasi lapisan keselamatan sistem CAI memberikan kepuasan yang tidak terhingga kepada setiap penggodam. Meskipun dilarang keras oleh bapanya, Sarah berusaha berkali-kali untuk meloloskan diri. Sistem CAI di sekolah merupakan sistem yang paling sesuai untuk menjadi bahan ujikaji.

Sarah telah membiasakan diri dengan persekitaran sistem CAI dan dengan mudah dia dapat mencapai ke sistem pengawasan persekitaran sekolah. Dia menukarkan masa pada radar pengawasan di belakang sekolah kepada masa setengah jam sebelumnya. Sistem ditetapkan akan kembali ke asal, setelah sepuluh minit berlalu. Setelah yakin CAI tidak dapat mengesannya, Sarah segera berlari keluar daripada kawasan sekolah. Sepuluh minit kemudian, CAI kembali mengawas seperti biasa.

Sebuah kereta berhenti di hadapan Sarah yang telah berada beberapa ratus meter daripada kawasan pengawasan CAI. "Hendak ke mana gadis kecil?" Tengku Amir Ahmad menegur dari sebalik tingkap. Seorang lelaki berbangsa India berada di belakang stereng kereta dengan wajah yang serius tanpa sebarang emosi.

Sarah tersenyum lebar. Uniform yang dikenakannya kelihatan basah akibat peluh. "Saya hendak menjadi pemburu."

"Adakah kamu perlukan bantuan?"

Sarah mengangguk dan tersenyum sinis. "Ya." Serentak dengan itu, pintu kereta dibuka dan Sarah melangkah masuk dengan senang hati.

++++

Jambangan bunga yang dibawa oleh para pelawat itu diletakkan Syafii ke dalam pasu berisi air bagi menjamin kesegarannya. "Man, Sarah beritahu bahawa kau masih tidak sedarkan diri dan tidak boleh menerima tetamu. Kami bertekad untuk mencuba nasib dan alhamdulillah, kami dapat menemui kau, Man," ujar seorang rakan daripada pasukan bola sepak yang disertai oleh Luqman Hakim.

Luqman Hakim yang sedang duduk bersandar di kepala katil hanya mengangkat kening. Bahunya masih berbalut dan wajah kelihatan pucat. "Oh, barangkali Sarah tidak mahu kau diganggu oleh peminat-peminat fanatik. Awal pagi ini, Sarah kembali semula ke sekolah. Kemudian, semua peminat kau berkumpul di kelasnya. Mereka menyerang dengan soalan yang bertubi-tubi. Keadaan menjadi sangat bising dan tidak terkawal. Akhirnya, Sarah mengamuk dan keluar daripada kelas. Meninggalkan semua orang terpinga-pinga," celah seorang yang lain.

"Ahli kelab peminat  Luqman sangat menakutkan!" Tegas seorang pelajar yang mengenakan sebuah topi berwarna hijau putih berlogo sekolah. "Sifat mereka yang lemah-lembut boleh bertukar menjadi ganas secara tiba-tiba." Mereka tertawa dan mengakui kebenaran kata-kata itu.

"Bagaimana dengan adik saya?" Soal Luqman Hakim. Terpancar rasa kebimbangan pada wajah. Sarah sepatutnya datang ke hospital sebaik sahaja kelas tamat, namun bayang gadis itu tidak kelihatan sehingga rakan-rakan Luqman Hakim muncul di wad.

Jawab seorang lagi, "Selepas mengamuk, dia keluar daripada kelas dan tidak kembali lagi sehingga tamat waktu persekolahan."

"Kalian tahu di mana Sarah berada?" soal Syafii bernada bimbang

Rakan-rakan Luqman Hakim daripada pasukan bola sepak itu mengangkat bahu, tanda tidak tahu. Wajah Luqman Hakim dan Syafii kelihatan hampa melihat reaksi mereka.

"Bukankah adik perempuan kau seorang yang mahir dengan teknologi rangkaian dan pengkomputeran?" Soal seorang lagi rakan. Luqman Hakim hanya berdiam tidak menjawab. "Selepas tamat waktu persekolahan, saya terdengar juruteknik merungut. Ujarnya ada orang memasuki CAI dan mengubah waktu pada sistem pengawasan. Meskipun tempohnya tidak lama, tetapi hakikat CAI diceroboh itu cukup membimbangkan. Pada pendapat kamu, adakah Sarah terlibat dalam hal ini?"

Luqman Hakim dan Syafii saling berpandangan dengan mata yang terbuka luas. "Saya kurang pasti berkenaan hal itu, tetapi kemungkinan Sarah yang melakukannya adalah tinggi," balas Luqman Hakim. "Orang yang menyerang keluarga kami masih belum dapat ditahan dan masih bebas di luar sana. Saya bimbang perkara yang buruk berlaku kepada Sarah. Bolehkah kalian membantu saya untuk mencari adik saya?" Pinta Luqman Hakim.

Permintaan Luqman Hakim segera dipersetujui. "Usahlah kau bimbang. Kami akan cuba mencari Sarah secepat mungkin. Walaupun kami tidak mahir dengan teknologi rangkaian, jangan pandang rendah pada jaringan maklumat kami semua. Kami akan menghubungi semua orang untuk membantu mencari Sarah!"

Balas Luqman Hakim, "Terima kasih semua. Apabila sembuh kelak, saya akan membelanja kalian!"

"Andai ada sebarang berita, kami akan khabarkan kepada kau," ujar mereka sebelum meminta diri. Setiap seorang mengeluarkan I-Ran dan mulai menghantar emel kepada seluruh jaringan perhubungan mereka. Foto Sarah segera disebarluaskan untuk mempermudahkan pencarian.

Syafii hanya duduk membatu di satu sudut wad tersebut. Wajahnya berkerut-kerut, seakan sedang berfikir akan sesuatu perkara. "Kakak tahu di mana Sarah?" Soal Luqman Hakim memecah kesunyian.

Syafii bingkas bangun. "Kakak ada hal sebentar. Luqman berehatlah secukupnya."

"Kakak hendak ke mana?" Soal Luqman Hakim.

Syafii yang sedang menghampiri pintu mengalihkan pandangan ke arah Luqman Hakim. "Kakak hendak mencari Tengku Zahiruddin."

"Mengapa?"

"Barangkali lelaki itu mengetahui di mana pakciknya berada."

"Maksud kakak?"

"Siapa di antara kita yang mengetahui keupayaan Sarah? Siapa lagi yang menyaksikan bagaimana Sarah menceroboh masuk ke Fly dan mengaktifkan Virus L -2 lalu menghentikan android yang serang kita?" Soal Syafii.

"Siapa? Ketika itu hanya ada saya, kakak, Tengku Zahiruddin dan..." Luqman Hakim membeliakkan mata, "...maksud kakak, Sarah mengikut Pakcik Amir?" Luqman Hakim hampir terjerit bertanya soalan itu.

"Mungkin."

I-Ran milik Luqman Hakim yang dibawakan oleh Syafii berbunyi secara tiba-tiba. "Ada seseorang melihat Sarah menaiki kereta yang dinaiki oleh dua orang lelaki. Wajah salah seorang lelaki itu pernah disiarkan oleh berita. Saya akan menghantar foto wajahnya ke mel kau," ujar rakan yang mengenakan topi hijau putih ketika datang melawat sebelum itu. Selang beberapa ketika, Luqman Hakim menerima sebuah mel yang dihantar oleh rakannya. Wajah Luqman Hakim bertukar menjadi cemas. Fail sisipan yang dihantar bersama emel tersebut dibuka.

"Siapa?" soal Syafii.

Luqman Hakim menyuakan I-Ran miliknya kepada Syafii. Skrin I-Ran itu memaparkan satu wajah yang cukup dikenali oleh mereka. "Pakcik Amir?!" 

Continue Reading

You'll Also Like

3050 By Balqis

Science Fiction

1K 95 8
Seorang gadis bernama Kylie dipercayai telah beku sekurang-kurangnya beratus tahun dahulu. Apabila saintis menjumpainya mereka mengambil dia untuk me...
17.5K 3.2K 54
[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalanka...
Destiny's will By wana

Science Fiction

1.1K 115 19
Seperti anjing dan kucing bila bertemu tetapi bila salah seorang tiada hati pasti merindu . Sudah bersama selama 17 tahun , apa nasib Nawal Jelita...
9.9K 1.7K 51
Para pelajar 5F mempunyai satu misi sulit di Sekolah Menengah Sultan Muadzam Shah. Sasaran mereka adalah Cikgu Wan, makhluk berupa harimau dan berger...