Virus L-2

By SuriMawarneKaidar

938 93 11

Puteri sepatutnya bangkit daripada 'tidur' sebagai simbol kemajuan teknologi yang akan memacu manusia ke taha... More

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15
Bab 16
Bab 17
Bab 18
Bab 19
Bab 20
Bab 21
Bab 22
Bab 23
Bab 24
Baby 25
Baby 26
Bab 27
Bab 28
Bab 29

Bab 9

26 2 0
By SuriMawarneKaidar

Sekejap sahaja tetamu yang baru tiba itu menyesuaikan diri dan duduk selesa di meja makan. Puji Tengku Zahiruddin, "Oh, sedap sungguh juadah yang dihidangkan. Masakan chef di rumah juga tidak dapat menandingi kelazatan masakan ini!"

Luqman Hakim menjemput lelaki itu masuk apabila dia menyatakan hasratnya untuk mencari Tengku Amir. Mereka menjemput Tengku Zahiruddin untuk menikmati makan malam bersama-sama. Syafii mengambil sebuah pinggan dan sebuah gelas yang bersih untuk tetamu itu.

"Kenalkan ini adalah anak saudara saya, Tengku Zahiruddin. Zahiruddin, mereka adalah Syafii, Luqman dan Sarah yang menjadi tuan rumah makan malam ini. Semua juadah yang dhidangkan malam ini, disediakan oleh mereka menggunakan kaedah tradisional. Tambahan pula tukang masaknya seorang yang cantik, menjadikan makanan ini jauh lebih lazat," puji Tengku Amir sambil melirik ke arah Syafii. "Dia juga masih belum berkahwin!" Tengku Amir menyiku Tengku Zahiruddin sambil mengangkat-angkat kening.

"Adakah pakcik mahu meminang dia menjadi isteri pakcik?" Soalan Tengku Zahiruddin itu menyebabkan Syafii, Luqman dan Sarah hampir-hampir tersedak.

Tengku Amir tertawa besar sambil menepuk-nepuk bahu Tengku Zahiruddin. "Bukan untuk pakcik, tetapi sebagai pasangan hidup kamulah!" Kali ini Tengku Zahiruddin pula yang tercekik ketupat nasi. Wajah Syafii bertukar merah padam mendengar kata-kata itu.

Luqman Hakim segera menghulurkan segelas air kepada Tengku Zahiruddin. Soal Luqman Hakim, "Bukankah pakcik kata, keluarga pakcik telah berpindah ke luar negara?"

Tengku Zahiruddin memalingkan kepala ke arah Tengku Amir. "Pakcik, hanya keluarga Makcik Shaliza sahaja yang berpindah ke luar negara. Keluarga kami masih berada di sini. Malahan kami masih tinggal di rumah yang sama seperti dua puluh tahun lalu. Walaupun rumah itu telah melalui banyak penambahbaikan, pakcik sepatutnya masih boleh mengecam rumah kami. Adakah sebab itu pakcik tidak datang mencari kami?" Marah Tengku Zahiruddin sambil menyudu lauk tambahan ke pinggan.

"Mungkin juga rumah itu terlalu banyak melalui perubahan, sehingga pakcik tidak dapat mengecamnya." Tengku Zahiruddin terangguk-angguk memuaskan hati sendiri. "Bahagian hadapan rumah telah diruntuhkan pada lima tahun lepas dan direkabentuk baru. Bahagian dapur telah ditambah dan dibesarkan. Atap genting juga telah ditukar. Cat dinding pula sudah tidak terbilang berganti warna. Ya, rasanya rumah itu tidak lagi serupa seperti asal. Walaubagaimanapun, alamat rumah masih tidak berubah. Jadi pakcik sepatutnya masih boleh mencari kami."

"Tambahlah lauk lagi. Bukan senang hendak menemui masakan seenak ini di tempat lain." Tengku Amir menukar topik perbincangan.

Tengku Zahiruddin mengangguk bersetuju. Seakan terlupa dengan kata-kata yang baru diucapkan tadi, dia memuji-muji, "Masakan ini memang lazat! Masakan di restoran ternama juga tidak dapat menandingi keenakkan masakan yang kalian sediakan. Kamu semua boleh membuka restoran dan saya jamin, tentu ramai pelanggan yang akan menggemari masakan kamu!" Ibu jari diangkat dan ditunjukkan ke arah Syafii, Luqman Hakim dan juga Sarah.

Pujian melangit yang dituturkan Tengku Zahiruddin membuatkan Luqman Hakim menyeringai. "Sekiranya Kak Syafii membuka restoran, saya yakin para pekerjanya tentu tidak dapat bertahan lama."

Celah Sarah pula, "Mereka tentu melarikan diri selepas sehari bekerja!"

"Eh, kenapa pula?" Soal Tengku Zahiruddin sambil menyuap saki-baki lauk di pinggannya ke mulut.

"Masakan ini menjadi lazat kerana disediakan menggunakan alat-alat tradisional seperti lesung batu dan batu giling!" Balas Luqman Hakim.

Tengku Zahiruddin mengangkat kening. "Oh, patutlah rasanya lebih enak daripada biasa. Masakan ini mempunyai suatu perasaan yang sukar hendak digambarkan. Ah, tentu dapat menarik ramai pelanggan jika diwar-warkan penggunaan alatan tradisional sepanjang penyediaan juadah. Hari ini bukan mudah untuk menemui sesuatu yang asli seperti ini. Soal pekerja, ia merupakan perkara yang mudah. Berikan gaji yang berpatutan, bonus, serta pelihara kebajikan mereka supaya mereka terus setia kepada syarikat. Harga makanan juga boleh ditawarkan lebih tinggi berbanding biasa. Bersesuaian dengan kualiti makanan."

"Wah, abang mempunyai pengetahuan yang luas tentang perniagaan!" Puji Luqman Hakim.

Cepat-cepat Tengku Zahiruddin menggeleng. "Tidak, ilmu saya masih terlalu cetek dan banyak lagi yang perlu saya pelajari. Oh ya pakcik, penat kami mencari pakcik di merata tempat. Siapa sangka, pakcik akan ke utara dan singgah ke Cermai Jaya?" Soal Tengku Zahiruddin lalu meletakkan pasangan sudu dan garfu di atas pinggan. Tanda telah selesai menjamu selera. "Apa yang pakcik cari di sini?"

"Adakah kamu yang menghantar orang untuk mengekori pakcik?" Soal Tengku Amir sedikit tegang.

"Maafkan saya, tetapi kami terpaksa berbuat demikian kerana pakcik begitu cepat menghilangkan diri! Baru sahaja kami menemui kesan pakcik di sebuah bandar, pakcik telah pun berpindah ke tempat lain. Walaubagaimanapun, terima kasih kepada kalian semua kerana menyebabkan pakcik saya akhirnya berhenti di sini," ujar Tengku Zahiruddin sambil memandang setiap seorang daripada mereka. Namun begitu, apabila mata bertemu dengan Syafii, dia segera melarikan pandangan ke tempat lain. Rona merah jambu terbit di wajah.

Air muka Tengku Zahiruddin bertukar serius. "Pakcik perlu tinggalkan tempat ini dengan segera. Saya mahu pakcik ikut saya pulang ke Bandar Bintang. Kalau boleh, malam ini juga kita kembali ke sana. Seterusnya kami akan uruskan penghijrahan pakcik ke luar negara. Pakcik tinggallah sementara di luar negara sehingga selesai semua perkara."

"Kenapa?" Soal Tengku Amir dan Luqman Hakim hampir serentak. Mereka saling berpandangan sebelum sama-sama tertawa.

Tengku Zahiruddin menghela nafas panjang. Jelasnya, "Pakcik berada dalam keadaan bahaya. Mereka akan menemui pakcik pada bila-bila masa. Bukan nyawa pakcik sahaja yang akan terancam, bahkan juga orang di sekeliling pakcik! Kehadiran pakcik di sini mungkin membahayakan mereka semua!"

Berkerut dahi Tengku Amir. "Siapakah 'mereka' yang kamu maksudkan? Apa yang ingin mereka lakukan kepada saya? Sebelum ini ada juga pihak lain yang menyatakan hal yang sama kepada saya. Saya disuruh bersembunyi. Persoalannya adalah, bersembunyi daripada siapa?"

Tengku Zahiruddin mengambil tisu dan mengelap mulut. "Alhamdulillah, terima kasih atas hidangan yang sangat lazat ini." Pinggan yang telah pun kosong dihulurkan kepada Syafii.

"Siapakah mereka?" Tengku Amir mengulangi soalan.

"Cukuplah untuk pakcik tahu, bahawa sasaran mereka adalah orang-orang yang terlibat dalam kes Puteri dua puluh tahun lalu. Terdapat beberapa orang telah dibunuh oleh mereka, termasuk Pengarah Pusat Sekuriti Negara; Dato' Sofea. Dato' Sofea merupakan orang yang bertanggungjawab mengetuai Skuad Siber dalam kes Puteri dua puluh tahun lalu." Tengku Zahiruddin memulakan cerita.

"Sebentar, siapa Skuad Siber? Siapa Dato' Sofea?" Celah Tengku Amir. "Nama kedua-dua itu kedengaran sungguh janggal di telinga pakcik."

"Skuad Siber merupakan sebuah skuad di bawah kementerian pada masa itu yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rangkaian negara. Mereka dipertanggungjawabkan untuk memerangi penggodam. Mereka jugalah yang berjaya mengesan penglibatan pakcik dalam kes itu." Jawapan Tengku Zahiruddin itu membuatkan Tengku Amir ketawa besar. "Mengapa pakcik ketawa?" Soal Tengku Zahiruddin kehairanan.

"Siapa itu Skuad Siber? Mereka tidak berkaitan langsung dengan pakcik. Ketika itu, bukan mereka yang mengesan pakcik. Entah siapa mereka dan senang-senang mereka mendapat nama di atas usaha orang lain. Ah... dunia... dunia!!" Tengku Amir menepuk-nepuk kepala. Tawanya masih berbaki.

Tengku Zahiruddin mengeluarkan I-Ran dan membuka beberapa fail sisipan. "Saya telah memeriksa rekod dua puluh tahun lalu dan mendapati bahawa nama mereka dicatatkan sebagai orang yang bertanggungjawab mengesan pakcik. Lihat di sini, jika pakcik tidak percaya." Tengku Zahiruddin menghulurkan I-Ran kepada Tengku Amir. "Ini adalah senarai rasmi orang yang terlibat."

Sebaik sahaja melihat senarai nama serta profil yang ditunjukkan oleh anak saudaranya itu, Tengku Amir menggeleng. "Bukan mereka."

"Apa kaitan pakcik dengan kes Puteri dua puluh tahun lalu?" Soal Luqman Hakim yang kelihatan terpinga-pinga. Setelah dua puluh tahun berlalu, kes Puteri telah dimasukkan dalam silibus persekolahan, terutamanya untuk subjek keselamatan ICT. Para pelajar diajar berkenaan kisah terburuk yang dilakukan oleh para penggodam serta kesannya terhadap masyarakat.

Belum sempat Tengku Amir menjawab, Sarah pantas menyampuk, "Pakcik Amir merupakan penggodam yang bertanggungjawab di sebalik serangan android bernama Puteri dua puluh tahun lalu. Sebelum serangan itu, Pakcik Amir juga merupakan orang yang bertanggungjawab membuat serangan terhadap kebanyakkan sistem kerajaan. Seperti yang kita ketahui, tindakan itu juga menjadi pemangkin kepada serangan daripada lebih ramai penggodam kepada sistem seluruh negara. Kejadian tersebut menyebabkan operasi di kebanyakkan pejabat kerajaan, bank dan pusat perniagaan hampir lumpuh. Hampir sahaja negara jatuh ke situasi darurat."

"Rentetan daripada peristiwa itu, sistem pentadbiran dan pengurusan seluruh negara telah dinaik taraf secara intensif. Sekuriti rangkaian dipertingkat serta diperkukuh. Pakcik Amir atau nama kod yang tercatat dalam sejarah iaitu Merah telah dijatuhi hukuman penjara selama dua puluh tahun. hukuman itu baru sahaja tamat beberapa minggu yang lepas." Keterangan yang dibaca Sarah daripada I-Ran, membuatkan Luqman Hakim serta Syafii ternganga.

"Nampaknya kamu telah mengetahui siapa saya. Sebab itu kamu tidak menyukai saya." Tengku Amir ketawa kecil.

"Pakcik tidak kelihatan seperti seorang yang jahat!" Bantah Syafii.

"Jika kakak melihat foto dua puluh tahun lalu, tentu kakak akan lebih tidak mempercayai bahawa pakcik ini merupakan dalang di sebalik peristiwa Puteri. Imejnya jauh daripada watak Merah yang pernah dilakonkan di filem. Jadi, apa tujuan pakcik datang ke sini mencari ayah kami?" Soal Sarah.

Tengku Amir masih tersenyum memandang setiap wajah yang berada di ruang makan itu. "Jika bukan Skuad Siber yang mengesan pakcik, bolehkah kalian teka siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab mengesan Merah?"

"Ayah kami?" Duga Luqman Hakim.

Senyuman nakal terukir di bibir Tengku Amir.

Jawapan ringkas itu cukup untuk membuatkan Syafii dan dua beradik itu melopong. "Sungguh?" Soal Luqman Hakim seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. "Ayah tidak pernah bercerita hal itu kepada kami."

Bentak Sarah, "Apa yang pakcik mahu daripada ayah kami? Adakah pakcik ingin membalas dendam kepada ayah kami?" Senduk lauk yang masih berlumur dengan minyak dijadikan sebagai senjata.

"Adakah kamu ingin menghalau pakcik?" Ejek Tengku Amir seperti sengaja menduga Sarah.

"Cukup!" Tengku Zahiruddin meninggikan suara. "Apa yang paling penting pada waktu ini adalah untuk membawa pakcik pergi dari sini dengan segera! Terima kasih atas layanan kamu sekeluarga. Kami ingin meminta diri, pulang ke Bandar Bintang."

"Tidak! Saya tidak benarkan pakcik berdua pergi dari sini! Pakcik perlu memberitahu apakah tujuan pakcik ke sini!" Sarah masih berkeras. Terkedu Tengku Zahiruddin, apabila mendengar gelaran 'pakcik' diberikan kepadanya. Wajah Tengku Zahiruddin seakan ingin menjerit, 'Saya masih muda!'.

"Oh tolonglah jangan bergaduh!" Syafii cuba menenangkan mereka, tetapi tiada siapa yang mempedulikannya.

Suara Syafii yang lembut dan perlahan itu ditenggelamkan oleh suara Sarah yang lebih tinggi. Tuduh Sarah sambil menundingkan jari ke arah Tengku Zahiruddin, "Adakah abang juga berpakat dengan pakcik Amir?"

Penggunaan istilah 'abang' itu membuatkan Tengku Zahiruddin tidak dapat menahan diri daripada menguntum senyum. "Dua puluh tahun lalu, saya hanyalah seorang pelajar sekolah rendah. Tidak mungkin saya terlibat dalam peristiwa tersebut. Apapun, Pakcik Amir perlu pergi dari sini dengan segera. Jika tidak nyawa kamu semua akan turut terancam!" Tengku Zahiruddin menarik tangan Tengku Amir, tetapi lelaki itu menolak.

"Kamu belum memberi penjelasan. Siapakah sebenarnya yang memburu saya?" Tengku Amir meloloskan tangan dari pegangan Tengku Zahiruddin.

"Pakcik, kita boleh berbual panjang selepas ini, tetapi kita perlu pergi dengan segera." Tengku Zahiruddin mengeluarkan I-Ran dan mendail nombor seseorang. Seketika kemudian, kedengaran Tengku Zahiruddin berkata, "Saya telah menemui Tengku Amir dan bersedia untuk pulang ke Bandar Bintang. Harap kamu dapat uruskan semua birokrasi dan membolehkan Tengku Amir meninggalkan negara dengan secepat mungkin."

Selesai berbicara di I-Ran, Tengku Zahiruddin berpaling semula ke arah Tengku Amir. "Sekiranya pakcik enggan menurut secara sukarela, saya akan menggunakan apa sahaja cara untuk membawa pakcik pergi." Cermin mata yang tertenggek di hidung diperbetulkan dengan jari. "Walaupun saya terpaksa mengikat pakcik, memasukkan ke dalam guni dan diletakkan di belakang kenderaan. Harap-harapnya tidak sampai membunuh pakcik."

Tengku Amir menggeleng. "Bagaimana kamu boleh bercakap untuk melakukan jenayah dengan tersenyum lebar? Seolah-olah sedang merancang hendak pergi memancing sahaja."

Perbualan mereka terhenti apabila Fly memainkan muzik secara tiba-tiba. "Fly, siapa yang datang?" Soal Luqman. "Ramai pula tetamu kita malam ini," Ujarnya berseloroh.

"Tetamu bukan manusia. Identiti tidak dapat dikenal pasti." Jawapan Fly itu cukup untuk membuatkan semua orang mengerutkan dahi. Luqman Hakim segera mengeluarkan I-Ran.

"Eh, bukankah ini adalah imej seorang manusia? Mengapa pula Fly mengatakan tetamu kita bukan manusia?" Soal Luqman Hakim. Melalui I-Ran miliknya, Luqman Hakim dapat melihat dengan jelas imej seseorang yang sedang berdiri di hadapan pagar rumah.

Tengku Zahiruddin segera menjenguk dan mata terbeliak luas. Wajahnya memucat seakan disedut keluar setiap titik darah yang ada. "Puteri!"

"Puteri? Kamu sebut Puteri?" Tengku Amir segera mengambil I-Ran di tangan Luqman Hakim. Skrin kecil itu menunjukkan sebuah wajah yang sangat dikenalinya, "Puteri!"

"Cepat arahkan AIDA aktifkan dinding perlindungan pada kadar maksimum!" Tengku Zahiruddin memberi arahan kepada Luqman. Bibirnya tidak putus beristighfar. Meskipun tidak memahami apa yang berlaku, Luqman Hakim segera mengikut arahan. Kubah elektrik terpasang dan pelindung tingkap serta pintu diturunkan.

"Kita perlu tinggalkan tempat ini secepat mungkin!" Gesa Tengku Amir. "Dinding perlindungan itu tidak dapat membantu!" Serentak dengan itu, siren kecemasan Fly berbunyi dengan nyaring. Kubah perlindungan tidak dapat menahan penceroboh daripada terus melangkah masuk ke halaman rumah. Renjatan elektrik ringan yang mampu membuat seorang manusia pengsan, tidak mampu menghalang Puteri daripada terus menghampiri rumah tersebut.

"Amaran! Amaran! Amaran!" Suara nyaring Fly membuatkan mereka kecut perut.

"Kita keluar daripada pintu belakang! Di mana pintu belakang?" Tengku Amir membuat keputusan. Mereka segera berlari ke arah pintu dapur dengan Luqman Hakim berjalan mendahului, menunjukkan jalan.

"BOMM!!!" Rumah itu bergegar dengan letupan di bahagian hadapan rumah. Lampu di bahagian dapur berkelip-kelip kerana gangguan elektrik. Semua orang terkaku apabila mendengar letupan itu. Mereka telah membuat keputusan yang bijak untuk beredar daripada ruang makan yang terletak berhampiran dengan ruang tamu. Syafii cuba membuka pintu dapur, tetapi gagal.

"Kamu tidak akan dapat melepaskan diri!" Suara yang dikeluarkan Fly itu menyebabkan mereka tersentak. Luqman Hakim cuba mencapai sistem Fly melalui I-Ran tetapi usahanya tidak berhasil. Bunyi tapak kaki Puteri melangkah melalui kesan runtuhan dinding hadapan rumah itu menaikkan bulu roma mereka. Luqman Hakim mencapai lesung batu yang terletak berhampiran lalu menghentak pintu berkali-kali.

"Pintu dan seluruh rumah ini dikawal oleh Fly. Satu-satunya cara untuk kita keluar adalah dengan memecahkan pintu! Tolong bantu saya!" Jerit Luqman Hakim. Tengku Amir mencapai batu giling dan cuba memecahkan pintu.

"Di mana kamu mendapat batu... uhh... yang sangat berat ini?" Tengku Amir menghayun batu giling itu ke pintu. "Rumah kamu tidak mempunyai tukul besikah?"

Jerit Luqman Hakim, "Pakcik jangan cakap banyak! Kita perlu pecahkan pintu ini untuk menyelamatkan diri!"

"Dia telah tiba," Ujar Tengku Zahiruddin yang berdiri kaku di belakang mereka. Mereka mengalihkan pandangan ke arah pintu masuk ke dapur. Sebuah lembaga menyerupai seorang perempuan berdiri tegak memandang mereka tanpa sebarang emosi. Rambutnya panjang mengurai dan dia mengenakan sehelai kot panjang berwarna coklat. Terdapat kesan darah yang telah kering pada kot panjang yang dikenakan lembaga itu.

"Ajal kamu telah tiba Tengku Amir Ahmad." Suara Fly kedengaran membuat narasi.

Tengku Zahiruddin tampil berhadapan dengan Puteri. "Cukup Mel, jangan membunuh orang lagi!" Tengku Zahiruddin jelas mengetahui siapakah orang yang berada di sebalik android itu. Meskipun wajahnya kelihatan gentar, Tengku Zahiruddin tetap berdiri menghalang android itu daripada terus melangkah. "Pakcik Amir telah menerima hukuman yang setimpal atas perbuatan yang lampau!"

"Hukuman yang setimpal? Dua puluh tahun penjara itu hukuman yang setimpal? Ayahanda kami telah mati dan dia tidak akan hidup kembali! Hidup kami musnah! Maruah kami tercalar! Bertahun-tahun kami hidup dalam hinaan dan cercaan orang! Semua orang memandang rendah kepada kami dan semua adalah disebabkan lelaki keparat itu!" Mel menjawab penuh emosi melalui suara Fly. "Lelaki itu, tidak layak untuk hidup!"

Marah Tengku Zahiruddin, "Cukup Mel! Walau berapa orang pun yang kamu bunuh, ayahanda kamu tetap tidak akan kembali!"

"Ya, aku faham dan maklum berkenaan hal itu." Fly bersuara rendah.

"Hati-hati!" Jerit Tengku Amir. Tengku Zahiruddin menoleh dan mereka melihat Puteri menghayun tangannya menembusi tubuh pemuda itu. Tengku Zahiruddin terhuyung-hayang beberapa langkah ke belakang, sebelum rebah ke lantai. Darah merah memancut keluar membasahi tempat jatuh Tengku Zahiruddin. Batu giling di tangan Tengku Amir terlepas ke lantai. Luqman Hakim terhenti daripada menghayun lesung batu ke pintu. Syafii dan Sarah menjerit. Tengku Amir segera berlari mendapatkan Tengku Zahiruddin yang terbaring, "Zahiruddin!!!!"

Continue Reading

You'll Also Like

4.6M 107K 58
Kerana satu insiden yang tidak di ingini telah menjadikan mereka sepasang suami isteri. Bukan atas kemahuan diri, bukan atas kerelaan hati. Safa Saf...
262 22 5
Terbitan K-Lit - Karangkraf @ PBAKL 2024 Di Universiti VerseMedia, para pelajar bersorak teruja menyambut inovasi terbaru universiti tersebut - sebua...