Bila Malam Tiba...

By Yeenarissara

364K 3.1K 91

( unedited ver) Nathella Dawson itu gadis biasa, berpakaian sederhana tapi mempunyai cita-cita yang luar bias... More

2
3
4
5
6
7

1

30.2K 575 39
By Yeenarissara

‼️ Warning ‼️

Sebelum tu nak bagitahu... cite ni saya tulis pada zaman batu lagi (2017) 😭 Plot story mungkin sangat mengarut dan di luar kotak... ianya mungkin boleh dibaca untuk sekadar hiburan sahaja, kalau korang letak harapan yang tinggi untuk cite ni, saya syorkan jangan baca sebab anda mungkin akan banyak "Why macam ni?" "Cite apa ni siot?" "Tak masuk akal langsung!" "What's the ***?"

Okey terima kasih.

Kepada yang teruskan membaca...

Welcome to the club ~


Nathella Dawson melangkah masuk ke dalam rumah, suasana begitu pelik dan suram. Angin bertiup tiba-tiba, dan matanya terpejam apabila merasakan udara sejuk menyapa wajahnya, seolah-olah menyambut kehadiran penghuni baru di rumah ini.

Dia memerhati setiap sudut dengan teliti. Rumah ini menampilkan ciri-ciri klasik gaya Eropah dengan reka bentuk formal dalam seni bina dan perabotnya. Dindingnya tersusun kemas dengan bata yang membangkitkan aura megah, menekankan kemewahan gaya klasik yang jarang dilihat.

Mata Nathella mengecil, merenung satu persatu objek yang berada dalam jangkauan. Perlahan-lahan, dia menyedari suasana di rumah ini yang tenang, mampu meredakan gelora di hatinya.

"Akh..." Nathella hampir tergelincir, terpijak kain putih yang menutupi perabot.

"Aish, siapa yang letak benda ni dekat sini?" Dia berbisik sambil mengusap lututnya yang terasa sakit terkena kaki meja.

"Elok-elok!" Terdengar suara papa dari luar, mengingatkannya dengan nada tegas.

Nathella tidak menjawab. Dia menarik kain tersebut, menampakkan sebuah rak sederhana dengan telefon engkol dan gramofon usang di atasnya.

"Tengok-tengok dulu kalau nak jalan. Masih banyak serpihan kaca di lantai. Mereka tak sempat bersihkan, semalam hujan turun tiba-tiba, jadi papa suruh mereka balik dulu," kata papanya, melangkah masuk sambil memikul timbunan kotak yang hampir menutupi wajahnya. Orang yang dimaksudkan papa ialah penjaga yang diupah untuk membersihkan rumah.

"Papa... jangan angkat banyak sangat, nanti sakit pinggang," kata Nathella, melihat gelagat papanya yang meletakkan kotak-kotak itu di atas meja besar. Namun, seperti biasa, nasihatnya seolah angin lalu. Papa kembali keluar, masuk semula dengan jumlah kotak yang sama.

Begitulah papanya, kepala penuh dengan kerja, kadangkala keras kepala seakan-akan ada 'batu-batu' yang tak mahu surut di situ.

Tanpa teragak-agak, Nathella menyentuh gramofon usang yang masih ada piring hitam di atasnya. Terlintas di benaknya kisah papa tentang mendiang neneknya yang sukar tidur tanpa alunan suara gramofon.

"Masih berfungsi ke ni?" bisik Nathella sambil memutar engsel yang terletak di bahagian bawah gramofon. Anehnya, tiada bunyi yang keluar.

"Bukan begitu caranya," Tiba-tiba suara papa kedengaran di sebelah, lalu dia mengambil alih gramofon itu. "Engsel kena putar habis, sampai terasa berat, macam ni. Lepas tu, pasang yang ni." Papa mengeluarkan sebatang jarum kecil dan meletakkannya pada piring hitam.

Nathella terkebil-kebil, kehairanan apabila gramofon mula mengeluarkan bunyi. Biarpun tidak begitu merdu, alunan muzik itu tetap mengasyikkan.

"Gramofon ni dah lama sangat, jadi bunyinya dah tak selaras."

"Masih sedap didengar," balas Nathella, terbuai dengan melodi yang terhasil daripada piring hitam itu. Bunyi yang jelas dan tenang, seolah-olah membawa kedamaian yang sudah lama dicari-carinya.

Dia begitu asyik dalam dunianya sendiri sehingga tidak sedar papa sudah kembali ke kerja-kerja yang tertangguh.

Diiringi alunan muzik gramofon, pandangan Nathella tertumpu semula pada segenap ruang rumah itu. Di sebelah kanan ruang tamu, terdapat sebuah kerusi goyang bersebelahan perapian lama. Manakala di sebelah kiri, tingkap besar dengan jeriji besi yang kukuh dan berseni ukir, memberi keinginan kepada sesiapa saja untuk memandang keluar, tertanya-tanya apa yang tersembunyi di sebalik tingkap itu.

Nathella melangkah lebih jauh ke dalam rumah.

Setibanya di sebuah ruang terbuka, dia disambut oleh sebuah meja bulat yang dikelilingi sofa gelap, dihiasi tiga batang lilin yang belum dinyalakan di atas meja.

Keadaan dan suasana rumah ini benar-benar menyerapkan perasaan, seperti sebuah istana lama yang sudah lama ditinggalkan tetapi masih teguh berdiri, menawarkan kedamaian yang tersendiri untuk penghuni baharunya.

"Nathella!"

Lagi-lagi, suara papa mengejutkan Nathella dari lamunannya. Dia menoleh, tersenyum kecil ketika melihat papa menghampirinya dengan sebuah peti kayu besar di tangan. Papa kelihatan tercungap-cungap, mungkin kerana faktor usia yang menjadikan kudratnya tidak lagi sekuat dahulu.

Nathella tergelak kecil sambil meletakkan begnya di atas sofa, lalu berjalan menghampiri papa.

"Papa ni... dah lah... biar Ella yang ambil."

Papa tetap memegang peti kayu itu, enggan menyerahkannya. "Bukan yang ni. Ambil yang kat depan pintu tu, lebih ringan."

Nathella menjeling malas. Adakah papa fikir dia selemah itu?

"Baiklah, Encik Henry Dawson," jawabnya dengan nada menggoda, sambil meluru ke arah pintu hadapan.

Henry hanya tersengih melihat anak gadisnya yang berpura-pura kesal itu sebelum meneruskan langkahnya.

• • •

Nathella dan Henry menghabiskan masa seharian mengemas rumah. Semua ini dilakukan tanpa meninggalkan sebarang habuk yang boleh mengganggu sistem pernafasan.

"Kotak lilin tu nak letak kat mana?" soal Nathella apabila melihat Henry baru masuk ke dalam rumah.

"Papa letak sini supaya kamu senang nak ambil. Tak tinggi, kan?" ucap Henry sambil meletakkan beberapa kotak lilin di atas rak penyimpanan perhiasan kaca.

"Papa cakap macam tu macamlah Ella ni pendek sangat," balas Nathella. Soalan terakhir papa sungguh menjengkelkan.

Henry ketawa kecil. Agak terhibur apabila melihat ekspresi kesal anak gadisnya yang sebenarnya comel di matanya.

"Siapa yang cakap Ella pendek? Papa cuma nak pastikan Ella boleh ambil atau tak."

Nathella memandang papanya tanpa minat.

"Okey baiklah, papa memang papa yang paling memahami!" Senyuman paksa yang Nathella tampilkan membuatkan Henry berdekah.

Nathella berjalan menghampiri tempat papa meletakkan kotak lilin dan mengambil beberapa batang lilin. "Ella nak letak lilin banyak-banyak dalam bilik," ucapnya.

"Ella takut ke? Nak papa temankan? Atau nak papa dodoikan sekali?" Henry berkata sambil membawa lilin yang telah dibakar dan disimpan dalam pemegang lilin berjenis logam.

"Pa!" Nathella memekik perlahan.

Henry yang ketawa berdekah-dekah dan langkahnya yang ribut membuatkan lilin terpadam.

Kini giliran Nathella pula mentertawakan papanya.

Henry menarik nafas panjang, menjatuhkan punggungnya di bangku di hadapannya yang terdapat meja dengan peralatan mekanikal di atasnya.

"Ella, anak papa yang baik dan manis. Tolong papa hidupkan lilin lagi, papa dah tak larat kalau nak patah balik sana." Henry memasang raut palsu keputusasaan, membuatkan Nathella ketawa kecil.

"Baiklah papaku yang kacak dan paling memahami!" seru Nathella dengan ceria, mengambil kembali pemegang lilin itu dan membakarnya.

Pencahayaan di rumah ini sangat terhad, hanya bergantung pada satu lilin untuk setiap ruang.

Nathella terkejut apabila mendapati banyak kotak tempat lilin di belakang rumah, namun perkara itu tidak lagi menjadi tanda tanya selepas mendapat tahu rumah itu masih belum dilengkapi bekalan elektrik.

Pelik bukan? Pada era moden dan berteknologi tinggi ini, masih terdapat rumah yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan tidak mempunyai rangkaian internet yang stabil.

"Jaga... jaga.. air panas." Nathella meletakkan tempat lilin di sebelah radio yang ditemui papanya di gudang belakang.

Henry tersenyum, "Terima kasih puteri papa."

"Sama-sama.." Dia memeluk papanya dari sisi.

"Papa masih handsome di mata Ella?" soal Henry.

Henry mendapat ciuman di pipinya.

"Always," balas Nathella.

"Amboi, manisnya mulut!" Henry tersenyum sambil mengusap kepala Nathella. "Ella lapar? Papa ada masak telur dadar tadi," ucapnya lagi.

"Nantilah kejap. Biar Ella rehat dulu," balas Nathella yang masih berasa letih sambil melepaskan pelukan dan duduk di sofa untuk berehat.

"Ella kena ikut papa. Tengok, papa masih bertenaga dan kuat walaupun dah buat banyak kerja hari ni." Henry berkata sambil menarik pemegang lilin lebih dekat dan kemudian mula fokus pada peralatan dan sesuatu yang sejak tadi diusahakannya.

"Pa, jangan dekat sangat dengan lilin tu, nanti mata papa sakit." Nathella mengingatkannya, tidak menghiraukan kata-kata Henry yang baru sahaja mengusiknya.

"Mungkin dah rosak tu. Lagipun radio tu dah lama, atok letak dekat stor mungkin sebab tak boleh pakai lagi," ujar Nathella yang mula bosan melihat kesungguhan papanya yang cuba membaiki radio lama yang ditemuinya di gudang belakang.

"Ya, Nathella. Papa tengah check sama ada ini masih boleh dibaiki atau tak."

Nathella memilih untuk berdiam diri. Jika papa sudah memanggilnya begitu, bermakna dia tidak mahu disanggah.

Nathella memandang papa dalam diam, walaupun cahayanya terhad, dia dapat melihat garis lelah pada wajah papa. Mungkin kerja papa sebagai arkitek di sebuah syarikat terkemuka di negara ini membuatkan dia jadi banyak berfikir dan lelah. Malah kata papa, pekerjaan papa adalah salah satu faktor kenapa mereka berpindah ke rumah peninggalan mendiang atok dan nenek yang dilitupi hutan belantara ini.

"Kenapa pandang papa macam tu?"

Nathella sedar dan segera menggelengkan kepalanya, memilih untuk bangun dari tempat duduknya, lalu berjalan ke meja makan yang tidak jauh dari pintu dapur, lalu kembali semula ke sofa bersama pinggan dan segelas air di tangan.

"Kenapa tak makan dekat meja? Selesa ke makan macam tu?"

Nathella menggeleng sambil meletakkan gelasnya di atas meja tempat papa sedang sibuk membaiki radio. "Ella nak makan dekat sini, nak tengok papa buat kerja," katanya, sambil tangkas mengacau makanan di pinggan dan menyuapkan suapan pertama ke dalam mulut.

Sebaik saja menoleh ke arah papa, dia sedar papa masih memandangnya dengan senyuman kecil di wajah. Nathella tersengih dan mengangkat kening. "Kenapa, pa? Nak Ella suapkan juga?" tanyanya, mengusik dengan wajah polos yang membuat papa ketawa kecil.

Henry menarik nafas panjang, matanya lembut memandang Nathella. "Papa tahu... Ella tak setuju dengan keputusan papa yang tiba-tiba ni, tapi papa tak ada pilihan. Papa kena ikut arahan bos."

Wajah Nathella muram. Sejak mama pergi enam bulan lalu, papa berubah, sering pulang lewat malam, kadang tidak pulang langsung. Bila di rumah pun, papa lebih suka menyendiri dalam bilik kerja. Nathella rasa kehilangan, rasa jauh daripada papa yang pernah menjadi kebanggaannya.

"Ella kena faham, papa buat semua ni untuk Ella. Papa tahu Ella rasa tak selesa di tempat baru ni, tapi papa yakin lama-lama Ella akan terbiasa juga," Henry memujuk dengan senyuman nipis.

Nathella tak mahu menghampakan papanya, jadi dia mengangguk perlahan, menahan kata-kata yang bergelut di hati.

Betul juga, mungkin dia cuma perlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Lagi satu, papa dah daftarkan Ella di universiti baru, tak jauh dari sini."

"Betul ke, Pa?" Nathella menatap papanya dengan mata bersinar.

Henry tersenyum dan mengangguk, mengundang senyuman lebar di wajah Nathella. Henry ketawa kecil melihat keceriaan anaknya.

"Tak sabar nak masuk kolej ke tu," usik Henry. Nathella tertawa, rasa teruja kerana sudah dua bulan dia terperuk di rumah, menurut kehendak papa untuk berhenti seketika dan berpindah ke tempat baru.

"Papa..." Nathella merengek.

Henry mengusap kepala Nathella dengan kasih. "Dah besar anak papa ni."

Nathella mengerutkan dahi. "Ella dah sembilan belas, Pa! Bukan budak kecik lagi!" protesnya sambil menahan tersenyum.

Henry ketawa besar, dan Nathella akhirnya turut tersenyum malu. Suasana ceria antara mereka mengembalikan sedikit kemesraan lama.

"Dah, habiskan makan dulu. Lepas ni kita tengok apa lagi yang nak dikemas," ujar Henry.

Nathella mengangguk, lalu menyuap kembali makanannya sambil sesekali melirik ke arah papanya dengan senyuman.

• • •

Nathella menyandarkan dagu pada tangan, matanya terpaku pada bulan yang tergantung tinggi. Penuh, terang, tapi sepi tanpa bintang. Cahaya lembut bulan meresap ke dalam biliknya, melukiskan bayang-bayang halus di dinding. Di luar, hutan membentang luas dan pekat, seolah-olah menyembunyikan misteri di sebalik dedaun dan ranting yang diam, bergerak hanya saat angin menyusup perlahan.

Nathella menarik nafas panjang, dingin udara malam mengisi paru-parunya.

Biliknya yang sunyi, menghadap hutan di belakang rumah, terasa seolah-olah terasing dari dunia luar. Hanya kedengaran irama malam yang bergaung dalam kesunyian. Bunyi cengkerik menggesek sayap, suara katak memecah kesepian, dan gemerisik dedaunan yang seakan berbisik sesuatu yang tidak bisa difahami.

Ada sesuatu yang berat dalam keheningan ini, membalut bilik dan malam dengan perasaan sayu dan sedikit mencengkam.

Nathella menundukkan pandangannya ke tanah, namun sesuatu di hujung matanya membuatnya tersentak.

Di bawah cahaya bulan yang samar, dia melihat bayang seseorang. Berdiri tegak, memandang ke arahnya. Jantungnya berdegup kencang, matanya berkedip sekali, dan dalam sekelip mata, bayangan itu lenyap begitu sahaja, seolah-olah ditelan oleh angin malam.

Rasa ingin tahu menusuk dalam dirinya, tetapi juga terpalit oleh ketakutan halus yang sukar dijelaskan.

Dia memerhati sekeliling dengan waspada, mata melingkari setiap penjuru. Namun, hanya kegelapan yang menyambutnya, membutakan pandangannya.

Sunyi. Sepi.

Hutan di belakang rumah tenggelam dalam kegelapan pekat, membuatnya terasa kecil dan terasing, seolah-olah dia berada di dunia lain yang hanya dihuni bayang-bayang.

Nathella menarik nafas dalam-dalam, meyakinkan diri mungkin semua itu hanyalah bayangan yang tercipta oleh keletihan. Namun tiba-tiba, lolongan serigala memecah keheningan. Terasa dekat, seolah-olah hanya beberapa langkah dari tempatnya berdiri.

Nathella terdiam, bulu tengkuknya meremang, tubuhnya kaku.

Dalam kesunyian itu, perasaan aneh menyelubungi hatinya, rasa seperti ada mata yang memerhatikannya dari jauh, menanti sesuatu.

Tidak mahu mengikut kata hati yang semakin risau, Nathella memutuskan untuk masuk ke bilik dan tidur. Namun, sebaik saja dia berganjak, sekali lagi suara lolongan itu bergema, lebih kuat, seperti berbisik namanya dari balik bayang.

Dia tersentak, segera mempercepat langkah masuk ke bilik, menutup pintu balkoni dengan pantas dan menurunkan tirai.

Suasana dalam bilik tidak banyak berbeza.

Gelap.

Hanya diterangi beberapa lilin yang menyala suram, memantulkan bayang-bayang panjang di dinding.

Nathella duduk di tepi katil, nafasnya berombak, dahi berkerut menahan resah. Perasaan tidak enak mula menyelinap dalam fikirannya. Belum genap sehari dia di tempat ini, tetapi bayang misteri dan suara itu membuatnya berasa seolah-olah dia sedang diperhatikan.

Dia menelan air liur, matanya melingkari setiap sudut bilik, cuba mencari sesuatu yang tidak kena. Namun semuanya kelihatan biasa. Hanya dirinya dalam kegelapan malam yang semakin mencengkam.

Nathella memejamkan mata, melafazkan doa perlahan, berharap setiap hela nafas mampu membawa pergi sisa ketakutannya. Dia menarik nafas panjang, cuba meleraikan keresahan yang bersarang dalam dada.

Setelah merasa lebih tenang, Nathella mencapai segelas air di meja sisi, meneguknya hingga habis, membiarkan kesejukan air itu meredakan kegelisahannya.

Dia berbaring, membalut diri dengan selimut tebal, mencari kehangatan di tengah kedinginan yang menyelubungi bilik. Dalam bisikan halus, Nathella mengucapkan, "Selamat malam," seolah-olah mengirimkan doa kepada malam itu.

Berharap segalanya akan aman, dan esok hadir membawa ketenangan yang baru.


Hi ! Nutella is back!

Long time no see!

Saya dah dapat balik akaun lama saya 😭

Continue Reading

You'll Also Like

844K 32.6K 30
Cinta Dua Dunia. Tak tercapai dek akal bagaimana cinta antara 2 jiwa ini bersatu namun istilah mustahil itu tidak pernah wujud jika takdir antara ked...
68.6K 3.1K 34
โ€ข๐’ฎโ„ฏ๐“‡๐’พโ„ฏ๐“ˆ ๐’ช๐“ƒโ„ฏโ€ข แต–สณแต‰แต แต˜แต‰หก แถœแต‰โฟแตˆแตƒโฟแตƒ แตƒสณโฑหขหขแตƒ แตโฑหกโฑแต โฟแตƒแต˜แถ แตƒหกหก โฑสณแถ แตƒแต‰หกหก & แถœแต‰แต’'หข สฐโฑหข แต–สณโฑโฟแถœแต‰หขหข [Under N.I series] Mแดœสœแด€แดแดแด€แด… แด€แด…แด€แด ษชแดแด€ษด ร— ษดแดœส€แดœสŸ ษดแด€แด›แด€sสแด€ แด€ส€แด€สŸสษด (ne...
123K 5K 42
Tengku Erin Nabila sewaktu di alam persekolahan dia seorang nerd sering dibuli tetapi tiada seorang pun yg tau kecuali orang yang terdekat bahawa dia...
28.1K 1K 24
โ€ข ๐“ฌ๐“ธ๐“ถ๐“น๐“ต๐“ฎ๐“ฝ๐“ฎ๐“ญ โ€ข Kedatangan budak baru, anak pengurus ladang tinggalan kolonial, telah membangkitkan 'sesuatu' yang lama terpendam di daerah se...
Wattpad App - Unlock exclusive features