DR. ALPHA MALE

By karyaseni2u

893K 26K 4.1K

PENULIS: ANJELL TAJUK: DR. ALPHA MALE HARGA : RM27 (SM)/RM30(SS) Alpha Male. Kata kunci seorang alpha male ad... More

BAB 1
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9
BAB 10
BAB 11
BAB 12
BAB 13
BAB 14
BAB 15

BAB 2

73.7K 1.9K 370
By karyaseni2u

Aku gigit bibir bawah. Sumpah sekarang aku rasa nak menggelongsor ke bawah kerusi orang depan. Oh, kerusi belah, kerusi bertangkup. Makanlah aku, telanlah aku! Sebab mulut aku ni dah derhaka dengan tuan dia. Macam mana aku boleh terlepas cakap ni? Aku babykan pensyarah aku, wei!

Dewan kuliah yang tadinya sunyi kini makin sunyi. Dapat rasakan pandangan baby besar di depan itu dan semua kepala tertumpu ke arahku. Sabiha di sebelah pun dah terlopong. Tak faham.

Cepat-cepat aku tunduk. Dada berdebar bukan main. Dia... Tak cam aku, kan? Takkanlah dia nak ingat muka aku. Hari tu aku pakai tudung bawal. Hari ni pakai selendang. Hari tu muka aku comot. Hari ni aku dah lawa. Amboi... Sempat perasan kau!

Dalam hati berdoa semoga dia tak kenal aku siapa. Lagipun sekarang ni aku duduk agak jauh dari tempat dia berdiri. Mesti dia dah tak cam aku siapa walaupun baru tiga hari berlalu. Mintak-mintaklah lepas kami bergaduh hari tu, dia langgar tiang dan hilang ingatan.

"Yes... Excuse me?" Aku dengar suara dia bertanya. Dua maksud kalau dia cakap macam tu. Pertama, dia nak aku ulang apa yang aku cakap tadi. Mati hidup semula dan mati lagi sekali pun aku takkan ulang benda tu. Kedua, dia nak aku pandang dia sekali lagi.

Aku angkat muka. Sekali lagi mata kami berlaga walaupun jarak kami jauh. Dia... Tak ingat aku, kan? Atau mungkin bukan dia depan aku ni. Pelanduk dua serupa? Kembar dia mungkin? Atau sebenarnya...

"Any problems... Saudari?"

Sah! Memang dia.

Gulp! Dia ingat aku! Nak-nak lagi bila tengok senyuman itu. Orang lain yang tengok akan cakap senyuman dia lawa. Tapi bagi aku itu senyuman sinis.

Waaa... Bodoh kau, Hazel! Yang kau pergi babykan dia tu, siapa suruh? Kalau kau tak jerit tadi, mesti dia tak ingat kau siapa. Memang dia takkan perasan kau wujud dalam kelas ni. Kau memang sengaja nak terjun gaung, masuk mulut naga.

"No. Teringat baby kat rumah. Sorry." Aku aci redah. Kedengaran suara beberapa orang ketawa. Tapi aku peduli apa.

"Okey... Kalau macam tu, rasanya tak ada masalahlah untuk kita mulakan kelas." Dia berkata lepas ketawa semua orang reda. Gaya dia bercakap menunjukkan betapa berkarismanya dia sebagai seorang pensyarah.

Semua kembali kepada normal. Aku turut rasa lega. Lega untuk sekarang. Atas bumi Malaysia ni dan dalam banyak-banyak spesies lelaki, kenapa dia juga yang jadi pensyarah aku? Otak macam tengah mencerna maklumat tu. Pensyarah aku! Mamat yang kurang ajar di depan 7-Eleven dulu adalah pensyarah aku. Tidak!!!

"Seperti yang semua dah tahu, saya akan mengajar subjek Research and Statistics ni. Nama saya, macam yang tertulis pada slide, Dr. Hilman Ukasyah. Awak semua boleh panggil Dr. Hilman."

Aku cuma mendengar. Hilman Ukasyah. Lawa nama dia. Muda-muda dah berpangkat doktor falsafah. Aku yakin semua gadis akan ingat sebaris nama itu. Ulang dan ulang lagi di dalam kepala. Aku pandang sekeliling dewan kuliah. Dan telinga aku menangkap desas-desus yang mengandungi pujian melambung untuk mamat tu. Muka yang bersinar-sinar pandang Dr. Hilman tak payah cakap la.

"Baby mana kau ni?" soal Sabiha. Dr. Hilman yang tengah membebel pasal apa yang akan diajar itu tak dipedulikan.

"Nantilah aku cerita." Aku jawab malas. Tiba-tiba merudum jatuh semangat aku nak belajar.

"Handsome kan dia? Tak sangka dia ajar subjek ni juga. Memang hot kut!"

Ya... Hot sangat sampai aircond dewan kuliah ni pun tak boleh nak sejukkan.

Aku pandang sebelah. Mata Sabiha tak berkelip pandang depan. Mulut sengih lebar. Habislah semua anak dara dalam kelas ni. Terkena sumpahan mamat magnet tu. Magnet? Ya... Sebab semua mata perempuan tertarik nak pandang dia aje.

Kecuali aku! Kalaulah peristiwa di depan 7-Eleven dulu tidak terjadi, mungkin aku pun terjebak sekali. Satu perkara yang aku sebal. Mamat yang bermulut puaka dulu berpangkatkan Doktor PhD rupa-rupanya.

"Saya rasa mostly dalam kelas ni dah di tahun akhir, kan? Subjek ni memang nampak bosan, tapi sangat membantu untuk final year project nanti. So, better pay attention in every class." Dia mula bersuara.

"Luckily, subjek ni tak ada final exam. Cuma kena submit project in group. Satu group empat hingga lima orang. 95% continuous assessment including 30% assignments, 10% project presentation, 5% mid-term test and 50% written report. Another 5%? Bonus. Lima peratus tu besar juga. Boleh jadi penentu daripada gagal kepada lulus, C kepada B. A- kepada A. Tanpa A, tak ada pointer 4 flat, tahu? Jadi, pandai-pandailah behave dalam kelas, ya?"

Errr... Kenapa aku rasa mata dia tengok aku masa dia cakap ayat terakhir dia tu?

"Oh, ya! Jangan ingat mentang-mentang subjek ni tak ada final, awak semua boleh sesuka hati nak datang, tak nak datang kelas saya ni. Kalau bab belajar, saya tak suka orang main-main. Saya sangat strict dengan kehadiran. Three strikes, I'll fail you. No compromise. Just try me." Dia berkata tegas.

Teguk liur semua yang mendengar. Dah biasa dengar dari mulut pensyarah lain. Tapi bila keluar dari mulut dia, kenapa kesannya lain? Macam seram aje!

"Berbalik kepada group project, saya nak briefing sikit. Projek subjek saya senang aje. Tajuk bebas. Nak ada relationship dengan course awak boleh, tak ada relationship pun boleh. Just summarize ten journals into five thousand words writing. Easy."

Kedengaran suara halus tak puas hati. Telan liur aku. Summarize dia sampai lima ribu patah perkataan? Tu easy dia?

"Well... I'm not going to make it easy to you. This subject has no final examination. Thus, you have to give one hundred percent commitments and work hard to earn high marks. Tapi, jangan risau. Kalau awak ikut apa yang saya cakap, saya gerenti A dalam tangan. Ada soalan?"

Dr. Hilman pandang kami semua. Dewan kuliah sunyi.

"Dalam kelas ni ada berapa course, ya?" Aku dengar Dr. Hilman bertanya lagi.

Sekali lagi dia pandang ke arah sini. Aku rasa nak dekat sepuluh kali jugalah mata kami berlaga. Atau semua ni perasaan aku?

"Lima? Hmmm... Banyak juga, ya. Macam biasalah, saya nak nombor telefon seorang representative. Tak kesahlah mana-mana course pun," katanya lagi.

Permintaan biasa daripada seorang pensyarah tiap kali masuk semester baru.

"Anyone?" soalnya lagi. Kemudian dia duduk di hujung mejanya sambil menyilangkan tangan ke dada. Mata memandang sekeliling dewan kuliah.

Sunyi. Semua memang malas kalau bab-bab macam ni. Termasuk aku.

"Oh... I really hate people with no confidence and afraid of commitment..."

Okey... Aku rasa dah memang termaktub dalam kromosom Y dia yang mulut dia memang macam tu. Bercakap apa yang dia rasa. Tak hipokrit. Berbisa. Tapi penuh yakin.

"So, let's call a name." Dia capai kertas kehadiran yang belum diedarkan lagi.

"Hmmm... Kita cari nama yang unik dan cantik sikit."

Unik? Argh... Aku paling benci kalau orang bercakap pasal nama unik, pelik, aneh dan anak-beranaknya ni. Cantik? Okey... Nama aku memang tak tergolong. Patut ke aku rasa lega?

Dada berdebar bila aku tengok dia belek-belek kertas kehadiran tu. Makin belek ke belakang, makin jantung macam nak pecah. Tolonglah jangan panggil nama aku! Nama aku tak unik apatah lagi cantik.

Tolong jangan nama aku! Tolong jangan nama aku! Tolong jangan na...

"Tristin Hazel binti Tahir."

Shit!

"Mana Tristin Hazel binti Tahir?" Matanya meliar ke sekeliling dewan kuliah.

Kurang asam! Punyalah beratus nama dalam senarai tu, kenapa nama aku juga yang dia berkenan? Terima kasih pada dia, sekarang ni seluruh kelas ni dah kenal nama aku. Dia dah jadikan aku juara nama paling unik dan cantik di antara hampir dua ratus orang ini. Terima kasih sangat-sangat!

Lambat-lambat aku angkat tangan. Nasib malang memang kekasih aku! Dia pandang aku. Aku nampak dia pun macam tak sangka terseru nama aku. Ya, baby! Sayalah Tristin Hazel. Tak percaya ke? Kita... Memang ada jodoh, kan? Huh... Aku benci kebetulan!

"Awak yang teringat baby kat rumah tadi, kan?" soalnya. Buat-buat tak kenal pula dah si baby ni! Gamat dewan kuliah tu dengan gelak para pelajar. Huh... Entah apa yang lawak. Aku diam.

"Tristin? Hazel?" Aku tak tahulah maksud dia apa. Tapi aku dengar macam dia tanya apa yang dia patut panggil aku.

"Hazel."

"Okey, Hazel, boleh jadi class representative?" Aku tak dengar suara dia tu macam soalan. Tapi lebih kepada arahan.

"Okey." Separuh hati aku setuju. Macamlah aku ada pilihan lain.

"With that, 5% bonus mentioned earlier is already yours."

Waaa.... Seriously? Jangankan aku, semua orang pun terkejut. Kedengaran suara beberapa orang bersuara. Sesetengah luahkan kekesalan sebab tak jadi wakil kelas. Itulah... Siapa suruh tak gatal angkat tangan tadi? Tak adalah dia nak seru nama aku. Macam tak percaya, macam tu aje dia bagi aku lima peratus. Tak payah nak tunjuk rajin depan dia.

"Okey... Lepas kelas lepas ni, bagi nombor telefon awak kat saya," arahnya lagi.

Eleh... Cakap aje la kau memang nak nombor telefon aku, kan?

"Biasanya saya akan hubungi class representative kalau kelas batal atau kalau saya ada benda penting nak cakap. Jangan risau. Saya takkan mengurat awak," katanya lagi sebelum bagi senyuman versi pencair hati. Tapi, masuk aje kornea mata aku terus jadi sinis.

Aku dengar ramai yang gelak. Aku pula yang rasa malu. Macamlah aku nak dia mengurat aku. Aku ni dah ada tunang, tahu?

"Wakil-wakil course lain pandai-pandailah update dengan Hazel, ya? Okay... Shall we start our first topic?"

Lepas habis kelas, cepat-cepat aku kemas barang. Nak cepat-cepat berambus dari dewan kuliah ini. Sesak nafas tak sudah-sudah dengan kewujudan Dr. Hilman ni. Sumpah... Aku kena berdiri di tepi pokok lepas ni. Nak sedut oksigen puas-puas.

"Aku tunggu kat luar."

Belum sempat apa-apa, aku tengok Sabiha dah jalan keluar. Otak baru mencerna maksud ayat Sabiha. Baru teringat aku kena jumpa Dr. Hilman sebab nak bagi nombor telefon aku. Cis! Sia-sia aje aku kemas beria-ia tadi.

Aku mengeluh. Seorang demi seorang beransur keluar dari dewan kuliah ni. Kemudian pandang meja pensyarah yang berada di tengah-tengah dewan kuliah itu. Dr. Hilman masih dikelilingi oleh beberapa orang pelajar perempuan yang nak bertanya soalan.

Perlahan-lahan aku berjalan turun. Aku duduk di atas sebuah kerusi di barisan paling depan. Menunggu mereka semua habis. Lima minit berlalu, tak nampak langsung tanda-tanda nak habis. Hesy... Tak boleh jadi ni. Aku merapati mereka semua.

"Ehemmm..." Aku berdehem sebab nak dia orang tahu aku wujud kat situ. Klise, kan?

Klise-klise pun, berjaya juga. Empat kepala pandang aku. Dr. Hilman mengangkat kening. Muka tiga perempuan tu aku nampak macam nak sula aku sebab aku kacau mereka. Huh... Peduli apa aku. Kau nak tanya soalan, tanyalah sampai subuh besok pun. Tapi, bagi aku cakap dengan Dr. Hilman tu seminit sebab aku nak balik rumah!

"Tadi Dr. nak nombor telefon saya, kan?" soalku.

"Oh... Ya, ya..." Aku tak tahu dia sengaja buat-buat lupa atau memang kena amnesia lepas dikelilingi tiga perempuan tu.

"Kita bincang next class, boleh?" Aku dengar Dr. Hilman berkata kepada mereka.

"Eh... Boleh... Boleh..." Senyum manis yang dibuat-buat oleh si tukang jawab yang aku tak tahu nama tu. Bila lalu depan aku, sempat dia jeling sedas.

Apa masalah minah ni? Elok-elok mata boleh jeling, ada juga aku backhand sampai juling karang!

Dan sekarang, tinggallah kami berdua.

Awkward...

Sabiha... Kenapa kau tinggal aku?!

"So... Hazel?"

Dia berdiri dari tempat duduknya dan berjalan ke arahku. Berhenti betul-betul depan aku, sebelum duduk di hujung meja sambil meletakkan kedua-dua tangan di sebelahnya. Automatik aku berundur setapak sebab jarak kami agak rapat. Semerbak bau minyak wangi yang dia pakai. Wangi. Tergugat iman aku.

"Kenapa, Hazel? Takkan takut dengan saya kut?" Suara dia cuma biasa-biasa. Tapi tak tahu kenapa aku rasa sekarang ni dia tengah seronok gelakkan aku. Betapa berbezanya aku sekarang ini dengan aku tiga hari yang lepas.

Huh... Kalaulah dia bukan pensyarah aku dan kalaulah tak wujudnya perkataan hormat...

"Dr. nak nombor telefon saya sekarang atau saya bagi next class?" soalku tanpa jawab soalan dia. Bersedia nak cabut.

Aku dengar dia ketawa. Macho. Cantik lesung pipit dia. Arghhh... Apa aku merepek petang-petang ni? Mental aku kalau lama-lama berdiri di depan dia ni.

Aku nampak dia keluarkan iPhone 6s dari poket seluarnya dan dihulurkan kepadaku. Teragak-agak aku mengambilnya. Patut ke aku selfie sekeping? Aku pegang telefon Dr. Hilman, wei! Menangis perempuan lain kalau tengok ni aku rasa.

Dia nak aku masukkan sendiri ke apa? Yalah, kut sebab tu dia bagi aku. Aku terus masukkan nombor telefon aku. Rasa macam kena sampuk Parkinson, menggigil-gigil tangan aku. Nasib baik tak jatuh telefon mahal orang itu. Kenapa dengan aku ni?

"Errr... Saya nak save nama apa ni?"

Menyesal aku rasa lepas tanya soalan itu. Sepatutnya tak payah tanya. Bagi aje la telefon tu balik kat dia. Lepas tu terus blah. Lantaklah dia nak letak nama apa pun.

Bibirnya tersungging sinis.

"Sedari cikebong cikebong?"

Sekali lagi, menyesal aku tanya dia! Aku tarik nafas dalam-dalam. Dia sengaja nak kenakan aku! Agaknya dia masih berdendam pasal tiga hari lepas. Selagi dia tak ungkit, aku akan terus buat tak tahu.

Aku diam sebelum bagi balik telefon dia. Nampak dia tekan-tekan skrin telefon tu. Tak tahulah dia letak nama apa. Entah-entah betul dia letak nama aku sedari cikebong cikebong. Okey... Sekarang aku rasa menyesal sebab dah perkenalkan perkataan itu dulu!

"Awak bagi nombor awak, bukan nombor mak awak, kan?"

Hah? Aku ternganga. Dia ingat aku ni apa? Apa kejadahnya aku nak bagi nombor telefon mak aku kat dia? Boleh dia fikir sampai macam tu? Sebab ingat aku nak lari daripada dia ke apa? Tapi... Bila difikirkan balik, bernas juga idea dia. Kenapalah aku tak bagi nombor telefon mak aku kat dia?

"Nombor telefon sayalah." Aku tetap jawab.

"Good." Dia senyum.

"Awak boleh pergi."

"Okey... Terima kasih, Dr." Huh... Sopannya aku! Terus aku angkat kaki. Cari Sabiha yang tengah menunggu aku di luar dewan kuliah.

"Weh... Lama gila! Apa kau buat dengan Dr. hot tu?" Sabiha sengih mengusik. Rasa nak tampar aje biar bergolek mulut dia masuk longkang. Baru aku nak jawab, aku dengar isyarat mesej masuk di telefonku. Terus aku capai dan buka.

Kita masih punya hutang.

Gulp! Aku telan liur. Mesej tak bernama. Tapi kenapa aku rasa aku tahu itu nombor siapa?

"Kau dengar tak ni?" Sabiha naik angin.

"Jom... Kita balik." Aku cepat-cepat heret tangan Sabiha. Sebelum tukang hantar mesej tu keluar dari dewan kuliah.

"Dr. Hilman Ukasyah bin Dato Uzair, umur baru 27 tahun. Baru aje grad Doctor of Philosophy degree in Applied Mathematics dari MIT. Waaa... Muda-muda lagi dah dapat PhD. Aku rasa dia genius la." Bukan main semangat aku dengar Sabiha bercerita.

Aku cuma buka cuping telinga lebar-lebar. Sikit pun tak teruja dengar semua itu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kalaulah apa yang dia cakap tu ibarat kertas, memang aku gumpal-gumpal masuk tong sampah.

"Waaa... Hebat betul latar belakang Dr. Hilman. Nama dahlah sedap. Muka handsome, muda, anak Dato pula tu. Genius lagi. Pakej kut. Dan yang penting, dia belum kahwin lagi. Tiada rekod tentang playboy. Untung siapa yang dapat dia. Single and available," sambung Sabiha lagi.

Geleng kepala aku yang dengar. Mana kawan aku dapat semua maklumat ni? Cekap dan berinformasi. Kalau bab mengorek rahsia, memang aku tabik dengan Sabiha ni.

"Single, ya. Available, aku rasa tak kut," balasku. Saja nak patahkan angan-angan Sabiha dan semua budak perempuan lain. Sebab aku masih ingat lagi si darling Dr. Hilman. Kalau dah berdarling berbaby tu, takkanlah tak ada apa-apa kut?

"Mana kau tahu?" Sabiha pelik.

"Kau ingat tak minggu lepas, yang aku gaduh dengan sorang mamat ni depan 7-Eleven?" soalku. Dia angguk.

"Kalau kau nak tahu, mamat tu adalah orang yang sama dengan Dr. Hilman kau tu."

"Seriously?!" Sabiha hampir menjerit. Berpaling jugalah budak-budak lain yang duduk dua tiga meja di sebelah kami.

"Yalah. Takkanlah aku nak tipu pula."

"Kenapa baru sekarang kau cerita?" Sabiha tak puas hati.

"Sebab baru ada mood. Otak aku ni tengah terima hakikat lagi tahu? Payah otak aku nak setuju yang mamat kurang ajar tu adalah lecturer aku."

"Weh, heaven gila! Kenapa bukan aku aje yang langgar dia dulu? Kalau tak, mesti sekarang ni dah mula bibit-bibit cinta aku dengan dia," kata Sabiha lagi. Seronok cipta hikayat cinta sendiri.

Aku gelak. Tak payah nak bibit-bibit cinta sangat la. Cukup kena jerkah di depan 7-Eleven tu, bukan terbibit tapi terberak aku rasa.

"Dan masa tu, aku jumpa dia dengan kekasih dia." Saja nak musnahkan lagi bibit-bibit cinta yang belum berbibit itu.

"Cis... Hancur harapan aku!"

Aku gelak lagi.

"Cantik tak girlfriend dia?" Sabiha ingin tahu. Aku cuba ingat balik wajah darling. Tak berapa nak ingatlah. Kalau dia ada depan aku, aku rasa aku boleh cam. Tapi yang aku pasti, dia memang cantik.

"Kau tengok Dr. Hilman la. Mestilah dia pilih yang sepadan dengan dia," jawabku malas. Kalau dah enggang, takkan nak pilih burung hantu kut?

"Oh, aku patah hati!" Sabiha buat muka sedih. Aku cuma ketawa. Bukan kau sorang aje, Biha. Aku rasa semua perempuan lain yang tahu pun akan rasa macam tu.

"Kenapalah dia dah ada girlfriend? Tapi kan, baru girlfriend. Bila-bila masa boleh putus, kan?" Sabiha sengih jahat.

Aku cuma dengar. Belum apa-apa dah doa dia orang putus. Haha.

"Orang genius matematik macam Dr. Hilman tu mesti cari orang yang sepadan dengan dia, kan? Girlfriend dia tu entah-entah genius juga."

Aku tadah telinga lagi.

"Nama girlfriend dia apa?" soal Sabiha lagi.

Aku angkat bahu lagi. Manalah aku tahu. Tapi Sabiha tak nampak.

"Hazel... Kau dengar tak ni?"

"Apa?" Aku naik angin. Rimas bercakap pasal Dr. Hilman ni.

"Aku tanya ni, nama girlfriend dia apa?"

"Algebralina."

"Algebralina?" Nampak muka Sabiha terkejut.

"Dah kata dia suka math. Algebralina la kut nama makwe dia."

Pap! Tapak tangan Sabiha dah singgah kat bahu aku. Aku gelak.

"Main-main kau, ya?"

"Dah kau tanya aku, siapa suruh? Manalah aku tahu." Aku marah dia. Tanya lagi pasal Dr. Hilman. Memanglah dia tu jiran aku!

"Tapi kan, aku rasa aku macam pernah nampak la muka dia. Kat mana, ya?" Aku nampak Sabiha macam cuba mengingat sesuatu. 

Continue Reading

You'll Also Like

89.1K 396 11
"Apa yang berlaku 27 tahun dulu I tak boleh cerita pada you. Kerana daddy dengan abah yang berhak untuk membuka cerita tu kalau mereka mahu macam tu...
737K 2.5K 24
Walaupun badai datang melanda namun cinta antara Arman dan Elly tetap utuh.. Hayati kisah hidup mereka.. 18+
134K 4.5K 52
Disebabkan trauma dengan perkahwinan ibu bapanya, Hayfa Irdina langsung tak berniat untuk berkahwin. Bercinta pun tidak. Baginya, apabila bercinta pa...
MRS S.U.D By Ija's

General Fiction

189K 4.1K 40
Syed Umar Darwisy. Luarannya seakan lelaki biasa, tetapi adakah dalamannya kita tahu? Seorang lelaki yang menyimpan pelbagai rahsia. Sebut sahaja nam...