Topeng Si Pemuja Hati

By NurLestari9

1.5K 30 0

TERBIT : FEBRUARI 2017 TOPENG SI PEMUJA HATI - RASS LESTARI ISBN : 978-967-5289-54-5 Harga : RM27sm / RM30ss ... More

Bab 1
Bab 2
Bab 4
Bab 5

BAB 3

260 3 0
By NurLestari9

Kenapa dengan you ni? Boleh you tolak I macam tu aje! Depan kawan you lagi." Moza memeluk tubuhnya tanda protes!

Tak boleh diterima kelakuan Thaqiff padanya tadi. Sakit tau buntutnya jatuh terhempap kat lantai tadi. Nasib baik tak ramai orang. Kalau tak, mana dia nak letak wajahnya yang cantik 'voke' ni!

"Maaf, saya tak sengaja."

"That's it? Maaf saja?" Moza tak puas hati.

Mulut kata maaf tapi fikiran entah ke mana. Mata pun asyik memerhati straw dalam gelas saja. Macamlah straw tu boleh lagi hot dari aku! Bebel Moza dalam hati. Bibir gelas dijentik penuh geram. Lantas dihentak gelas di hadapan Thaqiff.

"Helo, Thaqiff Akhtar. I ni...'

"You tu apa?" tukas Thaqiff tiba-tiba.
Terdiam Moza seketika.

"Look Moza, kalau awak nak berkawan dengan saya, please behave! Awak tu bukan mahram saya dan saya seorang lelaki manakala awak perempuan. Jangankan nak bersentuhan, nak pandang awak pun saya rasa..." Thaqiff terpaksa mematikan ayatnya di situ.

Ya, dia marah dengan tingkah Moza yang tiba-tiba mengepitnya tapi dia tidak sampai hati melukakan hati seorang perempuan.

"Lupakanlah. Jom, saya hantar awak balik," lantas Thaqiff berdiri. Not sepuluh ringgit diletakkan di atas meja. Sesudah itu, dia terus beredar walaupun Moza masih lagi duduk di situ.

"Behave? Alright, I will behave tapi you tunggu, macam mana I behave!" Moza gigit bibir bawahnya.

Tengok, dia tinggalkan aku macam tu aje. Hisss! Meja dipukul kasar dan dia terus berdiri. Beg tangannya direntap dan diatur langkah menuju ke arah Thaqiff yang kini menunggunya di dalam kereta.

"Saya hantar awak balik terus ajelah eh?"

"Ha, terus balik? Tak naklah... I nak jalan-jalan dulu." Jari-jemari Moza cuba merayap naik ke dada Thaqiff. Belum sempat jarinya menyentuh kemeja Thaqiff, lelaki itu terlebih dahulu menjeling sampaikan jari Moza terasa beku dan terletak elok di atas ribanya semula.

"Fine! Yalah, orang tak sudi nak keluar dengan kita kan?" nada rajuk sengaja dia tabur. Matanya mengerling ke arah Thaqiff yang tampak serba salah.

Yes! Ini yang aku mahu! Hatinya bersorak riang.

"Saya bukan tak sudi tapi saya banyak kerja," mendatar saja nadanya. Pandangannya pula dihalakan ke hadapan. Langsung tidak memandang Moza walaupun sekilas.

Kadangkala, Moza bosan juga. Kenapalah ada lelaki macam ni wujud kat dunia. Digoda macam mana pun, sikit pun dia tak beri reaksi yang positif.

"Okey, alasan diterima tapi lain kali awak kena keluar dengan saya. Janji?" Moza memasang jala. Bukannya dia tak kenal Thaqiff Akhtar, lelaki yang berpegang pada janji. Sebaik dia kata ya, maknanya adalah peluangnya!

"Insya-Allah!"

"Tak, you kena kata ya!" desak Moza sebaik mendengar jawapan yang tak berkenan di hatinya.

"Baiklah, saya kata tak, okey?"

"Qiff!"

"Moza!" panggil Thaqiff Akhtar semula.

"Kalau awak terus macam ni, saya rasa baik awak ikut teksi ajelah balik,

" enjin kereta Thaqiff dimatikan.

"You..."

Terdiam Moza bila Thaqiff menekan punat tali pinggang keledar. Serentak itu, Thaqiff membuka pintu di sebelahnya pula.

"Nak saya tahankan teksi?"

"You halau I?"

Thaqiff diam. Okey, sekarang Moza sedar Thaqiff betul-betul marah. Apa yang patut dia buat ni?

"Okay, sorry! Sorry okay. You hantar jelah I balik. Boleh kan?" suara Moza lentur semula. Tak guna dia berkeras sekarang kerana akan menjarakkan hubungan mereka, walhal bukan itu yang diinginkan.

Tali pinggang keledar Moza dipasang semula. Pintu pun dia kunci. Cukup untuk hari ini dia berusaha tapi dia tak akan berhenti sampailah hati Thaqiff Akhtar dapat ditawan! Bila hati jejaka itu sudah menjadi hak mutlaknya, segala kebahagiaan pun bakal menjadi miliknya.

"KAK RAI, apa ni! Malulah orang tengok," cekak rambut yang terletak di atas kepalanya, Tariz tepis.
Raisha mengekek ketawa. Lucu dia melihat wajah maskulin adiknya itu bertukar menjadi ayu pula bila mengenakan cekak rambut Micky Mouse.

"Ala... comellah ni. Ni hadiah dari akak sebab adik akak dapat pangkat sarjan sekarang!" sorak Raisha di tengah-tengah taman. Siap bertepuk tangan lagi.

Tariz yang melihatnya pun hairan. Yalah, yang dinaikkan pangkat tu dia, tapi Raisha pula yang gembira tak terkata. Bukan sekadar sorak, siap pipi Tariz pun dia cium.

"Kak Rai!" jerit Tariz. Pipinya dikesat. Matanya menjeling tajam ke arah Raisha yang tampak seronok menyakatnya. Ni tempat awam, banyak mata yang memandang.

"Apa? Ala... akak cium adik lelaki kesayangan akak aje. Kenapa? Salah ke? Tak, kan..."

Dia yang tanya dia juga yang jawab semula. Tariz geleng kepala. Dah sawan agaknya kakak aku ni, getus hatinya lantas dia menyandarkan tubuhnya di kerusi kayu yang menghadap ke arah landskap bunga.

"Salah tu taklah, tapi malu! Riz bukannya budak kecil lagi," omelnya antara dengar tak dengar saja bila hidungnya pula ditarik Raisha.

"Sakitlah kak. Dahlah." Menyesal dia ikut ke taman hari ini. Kalau sesiapa nampak apa yang jadi tadi, jatuh maruahnya! Nak pula kalau yang nampak tu rakan sekerja ataupun rakannya yang lain. Boleh jadi bahan untuk setahun!

"Ala... lalalala... comelnya adik akak ni kalau marah," cuit Raisha lagi dan kali ini pipi Tariz pula dipukul-pukul.

"Tangan Kak Rai ni boleh diam tak, malulah orang tengok," dengus Tariz.

Perkataan malu entah berapa kali sudah disebut tapi Raisha, tak juga makan saman. Hari ini kerjanya asyik menyakat saja. Tak pun ketawa mengilai. Apalah yang lucu sangat.

"Pengantin baru memang macam ni eh? Terlebih bahagia!"

Raisha juih bibir. "Sindir akak ke tu?"

"Tak, tanya je sebab Kak Rai nampak macam baru makan ubat penenang sebotol."

"Ha! Ya ke?"

Kedushssh!

Satu pukulan mengena di belakang Tariz. Lepas tu, Raisha boleh pula gelak lagi! Tariz bingung melihatnya tapi tengok Raisha begitu, tak dapat dinafikan dia juga rasa bahagia.

"Adik..."

"Erm?"

"Nak tahu bahagia tak bahagia, adik cubalah kahwin."

Membongkok kegelian Tariz bila perutnya tiba-tiba Raisha cucuk dengan jari-jarinya. Tengok mimik muka Raisha yang tengah menyengih semacam, rasa menyesal tanya soalan tadi.

"Kalau adik nak, akak boleh kenalkan dengan kawan akak ataupun dengan pelajar akak? Nak tak?"

Hurm... penyakit dia datang lagi. Padan muka kau Tariz! Tanyalah lagi...
tempelak Tariz pada diri sendiri kemudian dia berdiri. Bersedia untuk larikan diri.

Dia bukan tak tahu bagaimana fiil kakaknya ini. Tadi tu baru mukadimah saja, nanti berderet soalan yang buat dia sakit otak hendak menjawab. Sementara ada peluang, memang patut dia lari selamatkan diri tapi kakinya lambat sesaat pula nak melangkah. Cepat saja tangan Raisha menarik baju Tariz dari belakang.

"Nak ke mana? Akak belum habis tanya lagi..."

Tariz mengeluh.

"Kak Rai nak tanya apa? Kalau fasal girlfriend, tahulah Riz nak cari nanti. Jangan nak jadi emak-emak boleh tak? Jodoh-jodohkan orang pula. Old fashioned lah Kak Rai."

"Old fashioned konon. Mana ada old fashioned. Ni akak buat sebab Tariz ni adik kesayangan akak." Kedua-dua pipi Tariz diciumnya sampaikan beberapa orang yang lalu-lalang di situ tersenyum kecil melihat tingkah mereka.

"Kak Rai!" dengus Tariz.

Nak lari tak boleh. Nak kawal Raisha lagilah tak boleh. Reda jelah. Topi di baju hoodies yang dipakai disarungkan ke kepalanya. Biar wajahnya tak nampak sangat. Kalau ada kaca mata hitam, kan lagi bagus.

"Jom, kita lari. Kata nak temankan akak jalan-jalan kan?"

"Hurm Kak Rai nak pergi mana sebenarnya ni? Satu lagi, suami Kak Rai mana? Kenapa Riz yang kena temankan Kak Rai pulak!"

"Abang Huj outstation hari ni. Jadi adik kesayangan akak nilah yang kena temankan akak jalan-jalan. Siapa lagi... "

"Kesayanganlah sangat," omel Tariz berserta mimik mengejek. Bila Raisha berpaling, Tariz terus pasang wajah polos.

"Tapi sebelum tu, jom kita singgah kat kedai depan sana tu. Mama dan papa pun ada kat sana tu," ajak Raisha.

"Maksud Kak Rai, Tan Sri dan Puan Sri?"

"Erm..." angguk Raisha mengeyakan dan serentak itu juga langkah Tariz terhenti.

"Laa... kenapa tercegat kat situ pula. Jomlah!"

"Tak naklah Kak Rai," geleng Tariz.

"Dah kenapa pula?" Raisha bercekak pinggang.

"Akak perasan, adik macam tak suka je dengan mama dan papa. Kenapa ni? Tak baik tau buat macam tu!"

"Bukan tak suka, cuma tak selesalah."

"Tak selesa kenapa?"

"Tak selesa. Tak selesalah!" jawab Tariz serabut. Macam mana tak serabut kalau dia sendiri pun tak tahu nak gambarkan perasaan tak selesa yang dirasakan.

"Ahhh... akak tak peduli, adik kena ikut juga! Lagipun alang-alang adik ada kat sini, apa salahnya kita join dia orang sekali," paksa Raisha. Matanya sudah membulat. Macamlah orang takut kalau dia buat macam tu. Sikit pun tak, comel adalah!
"Dah, jom kita lumba. Siapa sampai lambat dia belanja!" cabar Raisha sendiri tapi dia yang lari dulu.
"Abang sarjan cepatlah! Jangan malas sangat!" ejeknya lagi dan terus mengatur gerakan laju meninggalkan Tariz yang masih lagi berlari anak. Kalau dia nak lari, sekejap je dia boleh pintas Raisha tapi sekarang ni sikit pun dia tak rasa nak lari.

"Kak Rai tunggulah, malaslah nak larrr... Kak Rai!" jeritan Tariz bergema dan automatik kakinya laju mendapatkan tubuh Raisha yang kini terbaring di tanah. Darah di rusuk kiri mula mengalir keluar dan orang ramai mula berkerumun.

"Telefon ambulans, telefon ambulans sekarang!" jerit Tariz sementara tangan Raisha kemas di genggamannya.

"Jangan... jangan..." bentak Tariz dan automatik Fayruz yang baru ingin melabuhkan duduk di kerusi hadapan Tariz berdiri semula. Dia berpaling ke belakang, tak ada orang. Sah-sah lelaki itu bercakap dengannya.

"Maaf encik, apa encik cakap? saya tak..."

"Jangan!"

"Oh my God!"

Terangkat tubuh Fayruz bila lelaki itu menyergahnya secara tiba-tiba.

Dah kenapa orang ni? Tak kanlah aku nak kongsi meja je pun dia teriak macam orang histeria pulak? Bebel Fayruz dalam hati.

Fayruz sendiri tak pasti tapi apa yang pasti sekarang, semua mata memandang ke arahnya. Apatah lagi sekarang dia berdiri, lagilah mengundang pandangan orang ramai.
"Maaf encik," sedikit berbisik, Fayruz tunduk. Dia cuba menatap mata lelaki itu. Kenapa? Saja nak tayang wajah! Mana tahukan, kut-kut lelaki tu boleh beri ruang untuk dia duduk usai memandang wajahnya yang cantik ni.
Ala... lelaki, semuanya sama! Otak mereka pun pasti berfungsi dengan cara yang sama. Sikit sogokan senyuman dan kerdipan mata, dengan senang saja apa yang dikehendaki bakal diperoleh. Lainlah kalau dia bukan lelaki sejati, bisik hati Fayruz, nakal!

Tapikan, kalau tengok dari bentuk tubuhnya yang tegap ni, tak mungkin kut dia jenis lelaki fotokopi. Tak mungkin, tak mungkin... Fayruz cuba curi pandang wajah lelaki di hadapannya itu tapi hampeh!

Jangankan nak tengok wajah, nak tengok batang hidung lelaki tu pun agak sukar bila lelaki itu tunduk ke bawah. Tambah-tambah lagi dengan topi yang tersarung di kepalanya menyukarkan pandangan Fayruz.

"Saya sebenarnya nak duduk kejap je sementara tunggu makanan yang saya tapau tapi meja semua penuh," jelas Fayruz berhati-hati. Sesekali dia cuba juga mencuri pandang wajah lelaki itu tapi tetap juga tidak terlihat.

"Kalau... awak tak suka tak apa. Saya tunggu kat sana ajelah..." Fayruz cuba memancing simpati tapi tunggu punya tunggu, lelaki tu tak gerak-gerak.

Dia tidur ke apa ni? Fayruz garu kepala.

"Tetap kat situ!"

Baru kakinya ingin digerakkan, dah kena jerkah lagi sekali. Malunya! Beg tangan sajalah jadi alat untuk menutup sebahagian wajahnya.

Dah kenapa? Dari tadi asyik sound aku aje? Fayruz mencebik geram. Malu kut dijerkah. Kalau suara perlahan tadi okey juga. Ni, bagai drama sebabak ratapan anak tiri pula.
"Riz kata jangan pergi, jangan pergi!"
Tambah melongo mata Fayruz memerhatikan tingkah lelaki tanpa nama di hadapannya itu. Ni dah lebih. Bukan setakat dia teriak tapi siap menghentak gelas ke meja lagi. Tak boleh jadi ni.

"Encik, encik!" bahu lelaki itu dicucuk dengan jari dan pada masa itu jugalah Tariz tersedar.

"Saya tahulah saya tumpang meja encik tapi encik tak boleh main marah-marah saya macam ni tahu tak! Saya pun bayar juga. Lagipun, saya bukannya nak makan kat sini. Saya nak tumpang duduk saja sementara makanan saya siap dibungkus. Itu pun nak berkira ke ha?"

Kalau lelaki itu main hentak meja, Fayruz apa lagi, kerusi pula yang dia hentak. Alang-alang dah jadi tontonan umum, biar dia buat kecoh sekali.

Sekurang-kurangnya dia berpuas hati. Lagipun hari ni memang sudah ditakdirkan agaknya untuk dia mengamuk sebabnya lepas satu hal, satu hal lain pula yang datang.

Semalam dia terpaksa bermalam di lokap disebabkan Fitri dan Furlan. Pagi tadi, boleh pula dia terserempak dengan dua orang mamat sengal. Kali ini pula, entah spesies lelaki apa pula.
"Biar saya bagi tahu awak eh, saya..."
Kejap! Fayruz kelipkan matanya beberapa kali. Manakala jari telunjuknya menggosok pelipis mata sebaik saja lelaki itu mendongak dan menampakkan wajahnya.

Tak kanlah...

Fayruz terduduk di atas kerusi. Lemah tempurung lututnya melihat lelaki itu.

"Awak! Awak buat apa kat sini!" serentak itu meja dipukul. Tak salah lagi, inilah salah seorang lelaki sengal yang dia jumpa di hadapan balai polis tadi. Dia buat apa kat sini?

"Awak sengaja ekori saya eh? Cakap betul-betul!" Jari telunjuk Fayruz melayang -layang di hadapan Tariz.

"Cepat cakap! Awak buat apa kat sini? Awak ekori saya kan? Jangan nak tipu," tekan Fayruz sampaikan Tariz tersandar ke belakang dibuatnya bila jari runcing milik Fayruz semakin dekat dengan wajahnya. Silap langkah, boleh cedera hidungnya dek kuku Fayruz yang tampak tajam itu.

"Sabar cik, saya sebenarnya..."

"Sebenarnya apa!" terangkat-angkat dagu Fayruz bagai mencabar Tariz bertumbuk saja lagaknya.

"Awak jangan kata awak ekori saya sebab awak..."

Kedua-dua kening Tariz berkerut. Tak kan dia dah tahu? Siapa? Fitri? Tak mungkin.

"Awak nak usyar saya kan?"

"A...apa?" terbeliak mata Tariz.

"Eleh... buat-buat tak tahu pula dia..." Fayruz memeluk tubuhnya. Taktik murahan macam ni budak hingusan pun tahu.

"Cheh! Tak kreatif langsung!"

Okey, Tariz tergamam seketika. Otaknya yang tadi sempat terkejut itu bagai diberi suntikan ubat kuda bila tuduhan di luar kotak dihalakan ke arahnya. Sekarang ni pun dia tak tahu nak beri reaksi yang bagaimana. Dia pandang ke arah Furlan yang turut melongo melihat Fayruz. Straw yang berada dalam mulutnya pun jatuh begitu saja ke lantai.
"Heloo... apa pandang-pandang?" soalnya lagi bajet garang.

Tadi bukan main nak gertak lagi tapi sekarang bisu pulak? Hurm... malulah tu sebab kantoi! Desis hati Fayruz.

Pesanan lauk yang tadi dipesan kini berada di atas meja. Setelah menghulurkan duit kepada pelayan, dia mencapai bungkusan lauk seraya berdiri. Rasanya lebih baik dia cepat-cepat angkat kaki daripada hadap wajah lelaki tak gentleman ni.
Perutnya pun sudah berbunyi sedari tadi lagi. Lapar!

"Kejap," tahan Tariz. Siap berdiri dan menghalang laluan Fayruz lagi.

"Saya Tariz, awak..."

"Saya?"

Tariz angguk. Sementara tangan masih dihulurkan ke arah Fayruz.

"Jangan salah faham. Saya tak ada niat buruk pun. Saya cuma nak berkenalan dengan awak, itu je. Lagipun, masuk kali ni, dah dua kali kita bertembung." Tariz pamer senyuman ramah. Akhirnya, peluang ini datang juga setelah bertahun lamanya dia sekadar memerhati dari jauh.

"Habis tu?" soal Fayruz sarkastik. Tangan Tariz dipandang dengan pandangan kosong. Kemudian wajahnya naik memandang Tariz semula.

"Habis tu, tak kan kita tak boleh jadi kawan?" Tariz mencuba nasib. Mana tahu, hari ini adalah harinya. Di mana dia bukan sekadar menjadi bayang-bayang pada wanita itu.

"Kawan?" Fayruz senyum. Plastik di tangan kanannya beralih ke tangan kiri. Kemudian, tangannya bergerak seakan ingin menyambut huluran tangan Tariz namun, bila jari hampir bersentuhan, Fayruz mengulum senyuman sinis. Lantas menjarakkan semula jarinya dari jari Tariz.

"Sorry tapi saya tak berminat untuk berkawan. Besides, I don't need a friend, got it!" Fayruz berpaling dan terus melangkah ke arah Furlan yang menunggu di hadapan pintu restoran itu.

"Jom."

Furlan senyum sebaik suara Fayruz yang bagai angin lalu itu mendarat masuk ke lubang telinganya. Tak berani dia banyak soal melainkan membuntuti Fayruz dari belakang selepas satu isyarat mata diarahkan ke arah Tariz yang masih berdiri di sana.

"Dia lebih cantik kalau pandang dari dekat," puji Tariz dengan senyuman mekar.

Continue Reading

You'll Also Like

543K 34.5K 70
"Sshhhhh....." he hushed and pinned us against the wall leaving no space between us. I held onto his biceps with my hand in reflex. He shook his head...
990K 30.7K 61
Dans un monde où le chaos et la violence étaient maitre, ne laissant place à ne serrait ce qu'un soupçon d'humanité. Plume était l'exception. Elle...
295K 589 23
Enjoy the smuts...and if you get horny😏...help yourself💀💦
231K 14K 64
𝐓𝐨 𝐞𝐯𝐞𝐫𝐲𝐨𝐧𝐞 𝐰𝐡𝐨 𝐭𝐡𝐢𝐧𝐤𝐬 𝐭𝐡𝐞𝐲 𝐚𝐧𝐝 𝐭𝐡𝐞𝐢𝐫 𝐜𝐫𝐮𝐬𝐡 𝐚𝐫𝐞 𝐧𝐨𝐭 𝐦𝐞𝐚𝐧 𝐭𝐨 𝐛𝐞 𝐭𝐨𝐠𝐞𝐭𝐡𝐞𝐫. ...