SANGGUPKAH BERSABAR SAYANG?

By karyaseni2u

44.9K 1K 25

Tajuk: SANGGUPKAH BERSABAR SAYANG? Penulis: Rehan Makhtar Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-038-0 ... More

BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 9
BAB 10
BAB 11
BAB 12
BAB 13
BAB 14
BAB 15

BAB 8

2.4K 56 0
By karyaseni2u

LETIH. Qais duduk di birai katil sambil mengirai rambut yang masih basah. Sampai rumah tadi dah lewat petang. Janji temu yang sepatutnya pagi bertukar ke lewat petang. Mak Teh dah merungut takut dia letih tapi dia, apa lagi yang mampu dilakukan selain daripada sabar dan terus sabar.

"Qais dah mandi?"

Kepala Qais tertoleh ke pintu. Suara Mak Teh. Dia angguk. Senyum. Tak nak Mak Teh risau.

"Mak Teh nak balik kejap ni. Qais boleh duduk sorang, kan?" Mak Teh terpaksa balik sekejap. Rumahnya sudah seminggu tak dijenguk.

Qais angguk.

"Mak Teh tak ubah susun atur perabot, kan?" Soalan mengusik. Itulah soalan setiap kali Mak Teh bimbang nak tinggalkan dia sendiri.

"Qais ni... Suka usik Mak Teh..." Langkah kaki rapat pada Qais. Tuala dicapai dan dilap kepala anak dara seorang tu.

Qais tak tahu tapi Mak Teh tak pernah tak risau. Rumah ini bukanlah kecil. Besar. Bahagian atas saja, hanya Qais yang tinggal. Bila Mak Teh minta dia tinggal di tingkat bawah, Qais menolak. Dia tak nak jauh dengan bilik arwah orang tuanya. Sesekali kalau rindu, dia boleh merayap masuk ke sana.

"Jangan risaulah, Mak Teh... Baliklah kejap. Qais ada dalam bilik aje pun. Tapi Mak Teh datang cepat sikit, eh..." Qais ukir senyum manja.

"Nak suruh Mak Teh dodoikan." Diusik lagi Mak Teh.

"Dia kalau mengusik orang..." Lebar senyuman wajah tua itu. Dia memang sentiasa berdoa moga nyawa dia panjang. Bimbang Qaiser Wardah ini keseorangan.

Matanya terpandang akan gambar di meja sisi katil Qais. Gambar masa Qais umur 16 tahun. Sehari setelah dia tatap gambar bersama dengan orang tuanya, mereka kemalangan. Itulah kali terakhir mata Qais memandang gambar tersebut. Tapi gambar itu tak pernah beralih. Melihatkan pada wajah ceria tiga beranak itu, bening mata Mak Teh basah.

"Mak Teh..."

Suara Qais mematikan lamunan. Cepat-cepat Mak Teh lap juring mata yang basah. Dia senyum kemudiannya. Tuala dibelit kemas pada kepala Qais.

"Mak Teh balik kejap, ya? Nanti Mak Teh kunci pintu siap-siap. Qais duk dalam bilik ajelah sementara ni, ya?" Pipi gebu Qais disapa sebelum dia berlalu.

Setelah mendengar daun pintu ditutup rapat, Qais rebahkan badan ke tilam. Letih menanti. Rawatan yang diterima tak berapa lama pun. Hai... Nasib dia.

Bila hampir terlelap, telefonnya berbunyi. Tangan meraba ke seluruh katil. Bila terpegang telefon yang bergetar itu, Qais larikan jari pada skrin. Setelah itu dilekapkan pada telinga.

"Ya, siapa?" Lembut dia menyoal.

Pemanggil diam. Berdebar. Masa nak telefon tadi bukan main yakin. Sekarang ni rasa macam tak ada guna pula dia buat panggilan.

"Siapa, ya?" tanya Qais lagi sekali.

"Maaflah, saya tak tahu siapa telefon ni... Saya ni bu..."

"Qais..." Kuca ketap bibir. Dia cantas kata-kata Qais bila tahu apa yang Qais cuba katakan. Qais nak kata diri tu buta.

"Aku ni... Kuca..."

Rasanya renggang rahang kejap dengan nama tu daripada pemanggil. Macam tak percaya dan memang sukar nak percaya.

"Errr... Mana dapat nombor telefon?"

"Aku curi." Kuca ketawa sikit. Memang dia curi pun. Tak minta izin dah dikira mencuri.

"Curi?" Aneh dah kepala nak fikir ni.

"Kat mana?"

"Daripada kaulah. Ingat tak pagi tadi, telefon kau jatuh? Aku sempat call nombor aku dengan telefon kau," akui Kuca.

Barulah Qais faham. Dia angguk sendiri.

"Kenapa tak minta aje? Kalau minta pun saya bagi..." Senyum. Susah payah aje nak buat macam tu.

"Erm... Sorrylah. Aku ganggu kau ke?"

Qais geleng. Dia tarik gebar hingga ke paras dada. Remote air cond diraba. Punat yang dilekap dengan sticker licin itu ditekan. Merendahkan suhu agar tidur lebih lena untuk rehat yang cukup.

"Saya baru baring. Awak tak adalah mengganggu. Tapi kenapa awak call? Cammy okey ke?" Risau pada Carmila. Rindu pun ada. Dah lama tak bersembang dengan orang lain selain daripada Mak Teh dan Pak Din.

Kuca senyum sinis. Dia risaukan orang yang tak sepatutnya sedangkan orang lain lebih risaukan dia.

"Dia okey aje pun. Selamat sampai rumah tadi aku hantar. Ni, aku telefon nak cakap selamat hari raya. Kau kata kau raya sunat Syawal hari ni, kan? Tadi aku lupa..."

Qais tekup mulut. Luculah Kuca ni. Lain aje rasanya dengan Kuca yang marah dia hari tu. Berbeza. Entah macam manalah rupa dan air wajah Kuca ni. Teringin pula nak tengok.

"Thanks..." Senyuman dah meleret. Tak mampu nak sembunyikan lagi dah. Letih otot muka nak tahan.

"Terima kasih sudi call saya, Kuca..."

Kuca senyum dan angguk. Kaki disilang. Mata memandang siling. Setelah itu dia betulkan sikit letak baring membuatkan katil bujang usang itu sedikit berbunyi. Malam yang sepi.

"Awak kat mana ni?" soal Qais bila Kuca tak bersuara apa.

"Dekat bengkel kawan. Aku tinggal sini buat sementara. Kenapa?"

"Risau..." Meleret Qais jawab. Memang dia risau. Dengar bunyi keriuk-keriuk tu. Tidur atas besi ke apa?

"Saya dengar awak macam tak selesa aje. Sorry. Bukanlah niat saya nak menyibuk ke apa. Tapi saya dah latih diri pakai deria pendengaran. Itu yang jadi macam telinga lintah tu. Awak okey ke ni?"

Petah sungguh menyoal. Kuca senyum. Pertama kali perempuan tanya dia okey ke tidak. Biasanya yang datang mengendeng, hanya tanya dia free ke tidak, boleh keluar ke tidak. Bosannya. Last sekali, senang hidup sendiri.

"Aku okey aje. Dah biasa. Dah bertahun hidup macam ni." Kuca dah tak tahu nak cakap apa tapi dia tak nak putuskan talian lagi.

"Errr... Kau duk dengan siapa ni? Mak Teh kau ke?" Tanyalah Kuca apa-apa pun. Janji soalan logik. Heh...

"Duk sorang. Mak Teh balik rumah dia kejap." Qais senyum sendiri.

Terus Kuca bingkas bangkit. Makin bingitlah bunyi katil besi tua milik Rodi ni. Terkejut gila dengan jawapan Qais. Dahlah tak nampak, duduk sendiri. Ingat balik alamat Qais, itu bukan tempat calang-calang. USJ Taipan tu tempat orang kaya. Sama ajelah dengan kawasan kejiranan Kampung Tunku dekat Petaling Jaya sana. Rumah keluarga dia. Rumah aje besar tapi tak ada kasih sayang.

"Eh, kau okey ke ni?" soal Kuca bernada risau.

Qais senyum. Hilang segala kerisauan. Ada kawan segera macam ni, rasa pandangan dia sedikit berwarna-warni biarpun teknikalnya gelap.

"Kenapa? Kalau saya cakap tak okey, awak nak datang ke?" soal Qais sarkastik.

"Kalau kau nak, aku datang." Laju aje Kuca jawab. Qais ketawa. Dia geleng beberapa saat.

"Saya tak kenal awak sangatlah, Kuca. Bukan nak curiga tapi saya dah dididik untuk berhati-hati. Lagipun tak elok. Niat baik tapi awak dengan saya, bukan sesiapa..." Qais mencebek pada diri sendiri.

Kuca angguk. Nafas tenang dihela. Dia tenang sebelum ni. Tak pernah tak tenang tapi baru seketika kenal gadis buta itu, hati dia rasa kalut. Rasa bersalah mungkin.

"Betullah tu... By the way, aku cakap aje. Kalau kata kau ada kecemasan, call ajelah aku. Nanti aku bawa Cammy sekali. Tak adanya aku datang sorang. Jahat-jahat aku ni, setakat mulut ajelah. Hati aku baik..." Dah, dia masuk bakul tarik tali sendiri nampaknya.

Qais ketawa. Dia senyum. Dia pun yakin Kuca tak sejahat mana. Walaupun tak nampak, hati dia terang nak menilai orang. Tapi Kuca lupa sesuatu dah kut.

"Saya tak boleh call. Awak kan tahu saya ni buta..." Sebaris ayat Qais buat Kuca rasa bersalah lagi. Asyik salah cakap aje pun padahal tak niat.

"Erm... Once again, I'm sorry. Kalau macam tu, kena jumpa lagilah. Nanti aku set ringtone aku dekat handphone kau, lepas tu aku set nombor aku dekat mana-mana key telefon kau tu. Senang. Fast dailer. Aku tidur dulu. Nanti aku call lagi. Kau Qais, take care. Ciao..." Talian mati.

Qais raba skrin telefon. Kegelapan dia sedikit bercahaya. Sedaya upaya dia cuba bayangkan rupa Cammy dan Kuca. Entah macam mana?

Kuca pula tak betah nak duduk. Ingatan lalu mengejar. Sebab itulah dia telefon Qais tadi. Berharap sedikit semangat daripada gadis buta tu. Dah jadi macam tonik pada dia bila mimpi ngeri itu mengejar.

Dia bingkas bangun. Lampu dibuka. Terang. Sticks dicapai. Diputar melalui celah jemari. Dia ambil tempat dan kaki mula bergerak. Pedals ditekan, cymbal dihentak lantas bunyi bingit menemani malam dia buat sekali lagi.

Continue Reading

You'll Also Like

403K 20.1K 67
"Yang disangka racun rupanya hanya la sekadar penawar" "Selamat datang, adik tiriku." - Tuanku Daeen Mateen Nakal, bebal, miang. Itu yang dapat Bunga...
94.7K 4.1K 30
πŸ₯€π’΅π“Žπ’Άπ“ƒ ℛ𝒢𝒻𝒢ℯ𝓁 x π’œπ“π“Žπ’Ά π’¬π’Άπ’Ύπ“ˆπ’Άπ“‡π’ΆπŸ₯€ _ℛℯ𝓁𝒢 π’¦π“Š π’Ÿβ„―π“‡π’Ύπ“‰π’Ά π’Ÿβ„―π“‚π’Ύ ℳℯ𝓁𝒾𝒽𝒢𝓉 β„³π“Š β„¬π’Άπ’½π’Άβ„Šπ’Ύπ’Ά_ Disatukan tanpa kerelaan hati.Itu...
807K 83.3K 67
⚠️Beware⚠️ : Hiatus (Jika tidak mempunyai kesabaran yang tinggi, tidak digalakkan untuk singgah dan baca. Tunggu status buku ni dah complete baru bac...
244K 16.2K 41
[ ON- GOING] Dia... Leftenan Zar Uzair, pemegang amanah yang teragung, pada fikiranya ini jalan yang dipilih, tanggungjawab yang dipikul asbab mengap...