Peluklah Aku Sayang

By EleeMardiana

28.2K 138 5

Tanpa disangka Amelia bertemu semula dengan Ziyad selepas tujuh tahun dia ditinggalkan tanpa berita. More

1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
12
Now Open For Pre-Order

11

1.2K 3 1
By EleeMardiana

TELEFON bimbitnya Zaiha simpan semula ke dalam beg tangan dan dia kembali memandu. Konsentrasi pada jalan raya memang tidak ada kerana fikirannya sibuk mengatur agenda seterusnya demi membina semula hidupnya yang baru sahaja dimusnahkan oleh orang yang tidak tahu menghargai erti sebuah persahabatan. Mula-mula dia harus singgah di bank dahulu untuk mendepositkan dua keping cek yang diterimanya sebelum Amelia, sahabat yang menganiayanya tadi membatalkan cek itu. Selepas itu dia perlu menghubungi Jobstreet untuk mencari kerja. Dia tidak kisah kerja apa yang bakal diberikan kepadanya asalkan dia ada kerja pada hujung bulan nanti dan ada gaji tetap yang masuk dalam akaun banknya bermula pada hujung bulan depan. Berlengah bermakna dia sendiri yang terpaksa menunggu. Zaiha tidak suka menganggur lama-lama.
Terselit juga soalan, kenapa asyik dia sahaja yang menjadi mangsa? Pemangsanya pula bukan orang lain tetapi kawan-kawannya juga, kawan-kawan yang diharapkan boleh memberikan sokongan moral kepadanya tetapi mereka menganiayanya pula.
Apakah mereka tidak rasa berdosa dengan perbuatan mereka mengisi pasir ke dalam periuk nasinya?
Apakah mereka tidak berasa bersalah melihat dia kecundang dalam hidup dan merekalah yang menjadi puncanya?
Tidakkah mereka takut pada balasan Allah?
Terasa sia-sia pengorbanan yang diberikannya kepada mereka selama ini. Dia tidak pernah mengemis pekerjaan daripada rakan-rakannya, tidak mahu dikata oleh pekerja lain bahawa dia memperoleh kerja tersebut kerana dia ada orang dalam. Namun, kawan-kawannya terus merayu agar dia menerima pekerjaan yang mereka tawarkan kepadanya. Dengan berat hati dia menerima tawaran mereka dan bila dia sudah mula selesa bekerja di syarikat mereka, tiba-tiba sahaja mereka berubah menjadi manusia pendendam terhadapnya.
Apa salah dia? Tidakkah mereka nampak jasa yang telah ditaburkannya untuk syarikat mereka? Dia bekerja keras supaya mereka bangga dengannya. Dia sanggup menghabiskan masanya di pejabat demi membalas semula kebaikan mereka terhadapnya. Apa yang mereka lakukan terhadapnya? Beri hadiah? Beri pujian? Penghormatan?
Tidak!
Mereka buang dia dari syarikat mereka dan mereka humban dia dari hidup mereka.
Kenapa?
Kenapa?!
Itu saja yang Zaiha hendak tahu.
Mata Zaiha mula berkaca-kaca menyukarkan pemanduan. Dia terpaksa berhenti di tepi jalan tetapi tidak mematikan enjin kereta. Zaiha menekup muka dengan dua tangannya. Di situ dia menangis semahu-mahunya melayani hati yang sangat berduka. Diurutnya dadanya yang tiba-tiba sahaja sakit. Terasa macam hendak pecah. Macam hendak meletup. Terkilan sangat-sangat dia dengan Amelia. Terkilan sangat. Seingatnya dia tidak pernah menyakiti hati sesiapa pun, apatah lagi hati kawan-kawannya, justeru dia tidak faham mengapa mereka seringkali menyakiti hatinya. Membuangnya. Menyusahkan hidupnya. Seorang demi seorang menghambatnya keluar dari hidup mereka.
Kenapa?
Apa salah dia?
Apa salah dia... Zaiha teresak-esak semakin kuat.
Telefon bimbitnya berbunyi. Segera alat telekomunikasi itu dikeluarkan dari beg tangannya untuk melihat siapa yang menelefon. Khai!
Esakannya langsung berhenti.
“Helo...” kata Zaiha berselang sedu-sedan yang sengaja dibiarkan bersisa demi memancing belas kasihan Khai.
“Zaiha, are you okay?” Khai mula risau apabila mendengar suara Zaiha. Jelas di pendengarannya gadis itu sedang menangis.
“Khai, you dah ada isteri. You jaga je isteri you tu baik-baik. Jangan bagi dia curiga lagi. As for me...” Zaiha ketawa buat-buat, “you tak payah risau. Apa nak jadi pun jadilah.”
“Apa maksud you?” tanya Khai, semakin cemas.
“I memang takde siapa kat dunia ni, so kalau I mati pun bukannya ada orang kisah.” Zaiha mula menyuntik rasa bersalah dalam hati Khai sambil membayangkan perasaan emak dan ayahnya jika mereka mendengar kata-katanya tadi.
“Jangan buat benda bodoh, Zaiha!”
Sekali lagi Zaiha ketawa. “Ada apa you call I ni?”
“Zaiha, you dengar cakap I. Jangan buat kerja bodoh, please. Jangan rugikan diri sendiri.”
“Kenapa you kisah, Khai?” tanya Zaiha, berharap sangat-sangat dia untuk mendengar ‘sebab I cintakan you’ sebagai jawapan daripada Khai.
“Dulu you tolong I, sekarang biar I tolong you pulak.”
“Tolong apa lagi, Khai? Kan you dah campak I ke jalan tadi!” Suara Zaiha mula keras dikuasai emosi, berang dengan jawapan Khai. Lain yang dia mahukan, lain pula yang Khai cakap. Khai nak tolong dia macam mana? Dengan Amelia pun Khai takut. Macam mana Khai hendak menolong dia?
“Zaiha...”
“Tak payahlah you nak ambik berat fasal I, Khai. Tak payah! Cuma satu je I nak mintak you buatkan untuk I.”
“Apa dia?”
“Kalau polis cari you esok, maknanya I dah takde kat dunia ni. So I nak minta tolong you kebumikan I. Itu je permintaan terakhir I. I takkan cash cek yang you bagi tadi so you boleh guna duit tu untuk urusan pengebumian I,” kata Zaiha, menyusun kata-katanya dengan penuh emosi diiringi esakan meruntun jiwa yang mampu membuatkan setiap pakar sakit jiwa di dunia ini dilanda panik, apatah lagi Khai.
“Ehhh... Zaiha... kenapa cakap macam tu... berdosa you bunuh diri, Zaiha...” nasihat Khai. Sudah tidak senang duduk dia di dalam pejabatnya.
“Hidup pun tak guna, Khai. Semua orang benci kat I. Semua buang I. Lebih baik I mati je dari hidup macam ni. Sudahlah kerja pun takde. Apa pun takde.” Zaiha terus memainkan perasaan Khai.
“I ada kerja untuk you!” lontar Khai sepantas mungkin sebelum Zaiha melakukan sesuatu yang bakal merugikan gadis tu. “I call ni sebab I ada kerja untuk you.”
Zaiha terdiam. Berfikir. Khai bergaduh dengan Amel agaknya tadi. Selepas dia meninggalkan pejabat itu tadi, Khai dan Amel bergaduh, lalu Khai tarik balik keputusan yang Amel buat. Sekarang Khai menelefonnya untuk menyuruhnya kembali ke pejabat dan meneruskan kerjanya di sana. Masalahnya, Amelia dan Kak Tinah pun ada di sana. Zaiha rasa dia perlu meletakkan syarat jika Khai mahu dia kembali ke syarikat itu. Zaiha mahu Khai memecat Amel dan Kak Tinah terlebih dahulu. Selepas itu barulah Zaiha kembali ke syarikat Khai.
“Zaiha! Helo?” panggil Khai bila Zaiha terlalu lama mendiamkan diri.
“Ya, Khai. Ada ni. I ada sini,” jawab Zaiha. “Amel okey ke I kerja balik kat sana?” tanyanya untuk mengorek cerita.
“Oh, you salah sangka. I ada kerja untuk you tapi bukan kat company kami. Kawan I nak pakai kerani. So, I suggest dia ambik you. Kalau you free, dalam pukul 5.30 nanti dia nak jumpa you.”
“Oh...” Zaiha kecewa, terutamanya apabila Khai menyebut syarikatnya itu sebagai company kami. Bukan company I tetapi company kami, company Khai dan Amelia. Zaiha terasa seperti hendak memarahi Khai kerana lelaki itu masih lagi menurut telunjuk isterinya tetapi dia sabarkan hati. Dia suruh hatinya berterima kasih kerana Khai sanggup mencarikan kerja untuknya, bermakna Khai memang menyimpan perasaan terhadapnya. Memang mencintainya.
Zaiha tersenyum. Hatinya berbunga. 
Tetapi... tidak mustahil Amelia yang menyuruh Khai mencarikan kerja untuk dia, bisik hati Zaiha yang berdebar laju lantaran harapan yang baru hendak tumbuh kembali hancur berderai menjadi debu. Amelia mungkin berasa bersalah kerana memecatnya tadi, kata hati Zaiha lagi. Atau... Amelia ingin memastikan dia tidak ada masa untuk mengganggu Khai lagi. Bila dia sibuk dengan kerjanya, sudah tentulah dia tidak ada masa hendak memikirkan tentang Khai. Tetapi... bila masa dia mengganggu Khai? Bentak hati Zaiha. Khai yang datang kepadanya dahulu. Khai yang mengajaknya keluar makan berdua semasa Amelia berada di kampung dahulu. Salah diakah Khai berubah hati? Bukan! Salah Amelia sendiri kerana lebih mengutamakan ayahnya daripada suaminya sendiri!
“Siapa yang suruh you carikan kerja untuk I ni?” tanya Zaiha.
“Takde siapa. Kebetulan kawan I call kata dia perlukan pekerja, tu yang I call you,” tipu Khai, padahal sejak pagi tadi dia menelefon merata meminta kawan-kawannya mengambil Zaiha bekerja dengan mereka. Mujur salah seorang daripada mereka sanggup menerima Zaiha demi membalas jasa baik Khai membantu membina syarikatnya dahulu.
“Oh... ingatkan Amel.”
“Tak. Kawan I ni Amel tak kenal.”
“Ohhh...” Otak Zaiha semakin berputar ligat. “So, pukul 5.30 nanti kat mana?” tanya Zaiha dan Khai memberikannya lokasi.
“I ada sekali nanti,” kata Khai.
“Amel?”
“I datang sorang. Amel ada meeting kat Bangsar.”
“Okey. See you later, Khai.” Zaiha bersuara manja. Kesedihannya sudah hilang. Khai memang sayang padanya. Apa perlunya dia bersedih lagi?
“Jangan fikir yang bukan-bukan lagi lepas ni!” pesan Khai dengan tegas.
“Okey.” Zaiha tersenyum lebar, puas hati kerana Khai begitu risaukan keselamatannya. Bila masa dia hendak bunuh diri? Dia cakap sahaja tadi. Acah aje. Dia pun tahu apa jadi pada roh orang yang membunuh diri. Terawang-awang antara langit dengan bumi. Tak sanggup dia menyeksa diri sendiri. 
“Kalau you sampai dulu, tunggu kami. Kawan I terpaksa ambik I dulu sebab Amel bawak kereta ke Bangsar,” kata Khai lagi.
“Okey.” Zaiha menjawab salam Khai sebelum panggilan itu Khai putuskan. Semakin berseri senyuman Zaiha. Dia mula membuat rancangan untuk dia dan Khai malam itu. Selesai berbincang dengan kawan Khai nanti, Zaiha akan meminta Khai menunggu sebentar, mahu berbicara dari hati ke hati dengan Khai. Ingin mendapatkan kepastian tentang perasaan Khai terhadapnya. Khai hanya perlu berkata I love you kepadanya. Tiga perkataan keramat itu sudah memadai bagi Zaiha dan dia tidak akan mengganggu kehidupan Khai dengan Amelia. Dia hanya akan membahagiakan Khai sahaja sehingga Khai bersedia meninggalkan Amelia untuk mengahwininya pula. Zaiha yakin suatu hari nanti Khai akan meninggalkan Amelia.
Zaiha membersihkan sisa-sisa air mata pada wajahnya, menyerikan semula wajah kusamnya sebelum memandu menuju ke bank. Lega hatinya kerana dia tidak perlu menganggur. Semuanya kerana Khai. Kerana cinta Khai.
“I love you too Khai,” bisik Zaiha.

TEPAT jam 5.00 petang, Zaiha terpacul di pusat beli belah yang dijanjikan dengan penampilan yang membuatkan kepala setiap lelaki dan perempuan di situ menoleh ke arahnya. Tidak! Dia tidak memakai pakaian yang terdedah, malah dia mengenakan pakaian yang cukup sopan – blaus berlengan panjang berwarna coklat jingga, palazzo berwarna coklat tua dan berkasut tumit tinggi berwarna beige. Rupa, bentuk badan yang cantik dan cara dia membawa diri membuatkan dia nampak anggun, berbeza dengan kebanyakan orang perempuan yang berada di situ. Tujuannya hanya dua: pertama, dia hendak memikat hati Khai. Kerja itu dia sudah dapat. Kalau Khai yang carikan, mesti sudah gerenti dapat. Khai sahaja yang masih ingin bermain tarik tali dengannya. Dan yang kedua, dia hendak membuat Khai berasa menyesal kerana melepaskannya. Dia yakin, Khai akan menyesal!
Sengaja dia datang awal supaya dia dapat menenangkan diri sementara menunggu Khai dan rakannya sampai. Dia mahu memberikan impresi yang terbaik demi menjaga nama baik Khai yang telah bersusah payah mendapatkan kerja itu untuknya. Dia mahu Khai bangga dengannya agar kasih Khai terhadapnya semakin memekar.
Zaiha mencari restoran yang Khai sebut tadi. Jumpa. Dia sengaja meminta meja untuk dua orang supaya Khai terpaksa duduk hampir dengannya di sisi sebelah kanan meja itu dan kawan Khai pula duduk berhadapan dengannya. Setelah mengucapkan terima kasih kepada pelayan restoran itu, dia duduk bersandar sambil bermain game dalam telefon bimbitnya untuk memenuhkan masa. Perlahan-lahan debaran dadanya menghilang.
Khai dan rakannya tiba kira-kira lima minit lagi ke pukul 6.00 petang. Mereka berdiri di pintu restoran itu, menjenguk ke dalam mencari Zaiha. Hampir sahaja mereka menyangka Zaiha tidak datang kerana tidak perasankan gadis itu yang duduk di meja yang agak tersorok dari pandangan sesiapa sahaja yang berdiri di pintu restoran itu. Zaiha terpaksa berdiri untuk memberitahu mereka bahawa dia sudah berada di situ.
“Hai.” Lambai Zaiha. Senyuman manisnya dihadiahkan kepada kedua-dua orang lelaki itu. Hatinya puas bila dalam sekilas pandang, dia melihat mata Khai memandangnya dari atas ke bawah dengan penuh rasa kagum. Sememangnya dia tidak pernah mengenakan penampilan seperti itu semasa bekerja untuk Khai.
Zaiha tidak mempedulikan Khai. Fokusnya hanya pada kawan Khai sahaja untuk membangkitkan rasa cemburu dalam hati Khai bila dirinya tidak Zaiha pedulikan. Permainan itulah yang sentiasa dimainkannya bila dia hendak memikat hati mana-mana lelaki. Usah pedulikan mereka, maka mereka akan mengejarnya sehingga dia jatuh ke pangkuan mereka ~ kononnya. Sebenarnya, mereka yang jatuh ke pangkuannya cuma mereka tidak menyedari hakikat itu. Maklumlah lelaki... ego mereka tersangatlah tinggi. Zaiha membiarkan sahaja mereka tenggelam dalam ego mereka. Yang penting, dia berjaya menundukkan mereka.
Perbincangan berjalan dengan lancar. Kawan Khai benar-benar terpegun dengan pengetahuan yang ada pada Zaiha. Tidak perlulah dia meminta staf yang sedia ada meluangkan masa mereka untuk mengajar Zaiha tentang program komputer yang mereka gunakan. Cuma satu soalan sahaja yang bermain di fikirannya; apa yang menyebabkan Khai memecat pekerja yang sebagus ini?
Bagai dapat membaca soalan itu, Zaiha meminta diri untuk ke tandas. Peluang itu digunakan oleh kawan Khai untuk melontarkan soalan.
“Bro... cakap betul-betul dengan aku. What’s wrong with her?” Risau berselirat pada wajah kawan Khai. Dia tidak mahu membuat kesilapan yang akan merugikan syarikatnya.
“Takde apa, bro. Takde apa,” jawab Khai. Takkanlah dia hendak mengheret Amelia dalam perbincangan itu pula? Jatuhlah maruah Amelia nanti jika kawannya itu menggelar Amelia sebagai wanita moden yang masih dibelenggu oleh masalah kuno.
“Kalau begitu aku tak jadi ambik dialah, bro.” Kawan Khai mengumpan. Dia memang sudah nekad untuk membawa Zaiha masuk ke syarikatnya. Orang berpengalaman begitu, rugi tidak diambil bekerja. Cuma dia sangat-sangat ingin tahu sebab sebenar Khai memecat Zaiha. Tidak mungkin bersangkutan dengan prestasi kerja Zaiha kerana pada pengamatannya, Zaiha memiliki ciri-ciri pekerja contoh. Jika tidak, takkan Khai sanggup mempertaruhkan persahabatannya demi mencarikan kerja untuk Zaiha. Itu yang membuatkan dia semakin ingin tahu.
Khai menghela nafas yang agak panjang. “Orang rumah aku...”
“Ahhh...” Kawan Khai memotong bicaranya. “Say no more, bro.” Kawan Khai ketawa. “Sebab tu lah aku tak bagi bini aku kerja dengan aku. Biarlah dia kerja kat tempat lain. Aku tak kisah, asalkan bukan dengan aku. Tak boleh, bro... benda tu sejengkal je tapi dia orang dah fikir sedepa.”
Khai sekadar mengangguk dan tersenyum. Terasa hendak bercerita tetapi dia kuncikan mulutnya, tidak mahu tergolong dalam suami yang menjatuhkan maruah isteri sendiri.
“Tapi... betul ke kau takde affair dengan dia?” Dia inginkan kepastian.
“Takde, bro.”
“So, kau carikan dia kerja ni...”
“Aku kesian kat dia je.”
Kawan Khai terangguk-angguk, percaya pada cakap Khai. Semasa mereka berbincang tadi, dia sempat memerhatikan Khai dan Zaiha. Kedua-duanya sangat pro dan tidak langsung menunjukkan tanda bahawa mereka terlibat dalam hubungan terlarang. Tidak ada!
Tidak disedarinya bahawa Zaiha sedang berlakon di hadapannya. 
“Minta maaf kerana buat tuan berdua terpaksa menunggu saya,” ujar Zaiha sebaik sahaja dia kembali ke meja. Sebentar tadi dia berlegar-legar di Watson yang terletak di sebelah restoran itu, bukannya ke bilik air sebagaimana yang dikatakannya. Saja dia bagi masa kepada Khai dan kawannya untuk berbincang tentangnya.
“Tak apa. Duduk,” arah kawan Khai dan Zaiha patuh. “Bila awak boleh mula?” soalnya.
“Esok pun boleh,” jawab Zaiha sambil tersenyum. Yeayyy... aku dapat kerja! Terima kasih, Khai. Sekejap lagi aku bagi kau hadiahnya ya.
“Bagus. Ini kad saya. Esok pagi jam 9.00 awak datang ke pejabat.”
“Baik, tuan.” Zaiha mengambil kad nama yang dihulurkan.
“All right!” Kawan Khai memeriksa waktu pada jam tangannya. “Jom, Khai. Kita kena gerak sekarang.”
“Oh... ermmm... saya ingat nak berbincang dengan Encik Khai sekejap,” kata Zaiha.
“Kau tak kisah, Khai?” tanya kawan Khai. Dia benar-benar hendak cepat.
“Okey. Takpe. Kau pergilah. Aku panggil Amel ambik aku kejap lagi,” kata Khai. Zaiha terus memaniskan mukanya walaupun hatinya tersayat mendengar jawapan Khai itu. Tak apalah... Khai kena tunjuk baik di hadapan kawannya. Nanti apa pula kata kawannya jika Khai kata dia akan meminta Zaiha menghantarnya balik ke rumah.
Kawan Khai bersalaman dengan Khai sebelum berlalu. Khai mengangkat tangannya, memanggil pelayan restoran untuk mengambil pesanan mereka. Tiada siapa pun yang memesan minuman sebentar tadi dek terlalu hanyut dalam perbincangan. Selepas memesan dua gelas jus epal, Khai bangun sebelum sempat Zaiha menghalangnya lalu duduk di mana kawannya duduk tadi. Sekali lagi Zaiha berasa hati tetapi dia tetap tersenyum. Biarlah. Khai masih malu.
“Apa yang you nak bincangkan dengan I?” tanya Khai.
“Amboiii... serius benar you petang ni.”
“Dah nak masuk maghrib ni, Zaiha. Bukan petang lagi.”
“Oh, betul jugak. Bila duduk kat dalam building, tak perasan hari dah malam.” Zaiha tersenyum tetapi dia menyambung bicara bila melihat Khai masih serius. “I nak ucapkan terima kasih sebab sudi tolong I dapatkan kerja ni.”
“Ah... jangan risau fasal tu. Cuma I nak you buat kerja baik-baik. Jangan bagi kawan I menyesal ambik you bekerja.”
“Okey. You nak call siapa tu?” tanya Zaiha bila melihat Khai menekan skrin telefon bimbitnya.
“Amel. Nak mintak dia ambik I kat sini.”
“Alah, biarlah I hantar you balik.”
Khai ketawa kecil. “You tahu kan sebab sebenar you dipecat pagi tadi?”
“Mestilah... tapi tu kan dalam kepala Amel je. Kita just kawan, bukannya ada affair. Tapi I rasa kat Malaysia ni perempuan bujang macam I memang tak boleh just kawan je dengan suami orang. Bergegar satu dunia dibuatnya.”
“Tau pun you. Mana air ni?” Khai melambai ke arah pelayan tadi. “Helo, bos! Jus epal tu dah siap belum?”
Pelayan itu mengangguk sebelum masuk ke dapur untuk memeriksa pesanan Khai.
“Khai...” Zaiha menyentuh tangan Khai.
“Zaiha, tolong jangan buat macam ni. I suami orang.” Khai merenung Zaiha dengan tajam, kurang senang dengan tindakan Zaiha itu.
“Bukan...” Suara Zaiha berbisik. “Tu... pusing belakang tengok siapa yang baru masuk tu.”
Khai pusingkan badannya ke belakang, langsung terpempan dia apabila melihat Amelia melangkah masuk ke restoran itu bersama seorang lelaki tampan. Mereka kelihatan sangat mesra tetapi Khai tidak kenal lelaki itu, sedangkan dia mengenali semua teman-teman Amelia, baik lelaki mahupun perempuan. Khai terus merenung ke arah lelaki yang bersama Amelia itu, begitu juga dengan Zaiha yang tiba-tiba sahaja berasa cemburu bila melihat lelaki itu begitu fokus pada Amelia. Macam mana lelaki setampan itu boleh terpikat pada Amelia, sudi berkawan dengan Amelia sedangkan Amelia isteri orang? Zaiha yakin lelaki itu tahu status Amelia tetapi nampaknya lelaki itu tidak kisah langsung, malah matanya hanya tertumpu pada Amelia sahaja seolah-olah hanya Amelia seorang sahaja wanita yang wujud di atas muka bumi ini.
“Khai,” bisik Zaiha seraya menyendengkan tubuhnya ke depan. “Are you okay?”
Khai terus diam kerana dia merasakan soalan itu terlalu bodoh untuk dijawab. Sudah tentulah dia tidak okey! Lelaki mana yang okey bila melihat isteri sendiri begitu mesra dengan lelaki yang tidak dikenalinya.
“You kenal ke siapa lelaki tu?” tanya Zaiha lagi.
Khai sekadar menggeleng. Kemudian dia bangun bila dia terdengar Amelia membahasakan lelaki itu sebagai abang.
“Nanti dulu!” Tahan Zaiha. Dia juga dengar Amelia memanggil lelaki itu abang. “Please... duduk!” arah Zaiha.
Macam orang bodoh Khai menurut.
“You tak boleh serang dia orang, Khai. Mungkin lelaki tu klien syarikat you,” nasihat Zaiha dengan serius, sedangkan hatinya bersorak gembira.
“Klien apa dia panggil abang?!” rengus Khai.
“Mungkin saudara-mara dia. You kenal ke semua saudara-mara dia? Tak, kan? So, kita tengok ajelah dulu. Tak payah kecoh-kecoh,” nasihat Zaiha, kononnya dialah sahabat yang paling prihatin tetapi sebenarnya dia hanya mahu membeli masa Khai sahaja. Selagi Amelia dan lelaki misteri itu berada di situ, selagi itulah Khai akan duduk bersamanya. Walaupun tumpuan Khai terganggu, yang penting Khai menghabiskan masa dengannya.
Zaiha meneguk minuman yang baru sampai sambil tersenyum dalam diam. Terima kasih, Amel. Terima kasih kerana menghadiahkan aku masa untuk bermanja dengan suami kau. Memang kau tak layak jadi isteri dia. Pantang lepa sikit, kau terus menggatal dengan jantan lain. Selepas malam ni, jangan haraplah kau boleh teruskan hidup kau seperti biasa. Aku akan pastikan Khai ajar kau secukup-cukupnya kerana berlaku curang padanya. Baru kau tahu tinggi rendahnya langit yang kau junjung. Baru kau tahu!

Continue Reading

You'll Also Like

409K 14.5K 80
1𝓼𝓽 𝓼𝓽𝓸𝓻𝔂 𝓫𝔂 𝓯𝓵𝓸𝓵𝓮𝓼𝔂𝓪 𝐀𝐋𝐄𝐄𝐒𝐀 𝐙𝐔𝐋𝐀𝐈𝐊𝐇𝐀 Mempunyai masa silam yang teruk. Dia seumpama iblis bertopengkan malaikat. Namu...
3.5M 306K 98
"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati lepas beberapa tahun yang lalu membuatk...
941K 30.4K 62
Pertemuan yang tidak disengajakan antara Damian dan Kaisara telah merubah hidup mereka berdua. "Do i look like a murderer to you?" Soal Damian. "To...
192K 4.2K 20
Hanis merupakan anak yatim yang kematian ibu. Selepas kematian ibunya , Hanis dibesarkan oleh Bapanya En Hafidz. Hanis merupakan pelajar SMK Cempaka...