Sungguh enak santapan Sang Raja pada hari ini. Lalu bertanyalah Sang Raja kepada Si Tukang Masak, "sungguh enak hidangan pada hari ini, boleh beta tahu, apa yang digaulkan dalam masakan ini?" "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik hanya masak seperti biasa sahaja," balas Si Tukang Masak dengan suara yang gentar.
Masakan Si Tukang Masak mahu ceritakan kepada Sang Raja bahawasanya makanan tersebut telah bercampur darah akibat terhiris jarinya sendiri. Mungkin dia bakal dipancung kerana menyajikan Sang Raja dengan makanan yang telah tercemar.
"Beta tahu itu dusta. Ayuh, bicarakanlah apa yang ada dalam santapan ini!" Sang Raja mula menaikkan suaranya. "Jikalau Tuanku mahu tahu, Tuanku harus berjanji supaya tidak memancung patik," balas Si Tukang Masak. Terasa bagai nyawanya di hujung tanduk. Tinggal masa untuk jatuh dan berderai sahaja.
"Mana mungkin beta memancungmu, ini adalah santapan terbaik pernah beta jamah. Mungkin beta bakal tabalkan kau sebagai Tukang Masak Diraja," kata Sang Raja. Baginda ingin benar tahu apa kandungan yang ada dalam hidangan yang sedap tiada tara itu.
Maka berceritalah Si Tukang Masak bahawa makanan tersebut telah bercampur dengan darah kerana jarinya luka terhiris sendiri. Sang Raja begitu terkejut. Setelah lama berfikir, Sang Raja membuat keputusan agar Si Tukang Masak itu menggaulkan masakannya dengan darahnya. Lama kelamaan, Si Tukang Masak itu mati sendiri dek kekurangan darah.
Sang Raja sudah tidak tenang. Darah merupakan tagihannya. Dia mula menculik rakyat jelatanya satu persatu demi memuaskan nafsunya. Siungnya mula menampakkan diri. Maka semakin rakuslah Sang Raja menyantap darah rakyatnya sehingga satu ketika, rakyatnya semua mati di siungnya.
Sang Raja semakin resah. Baginda kehausan darah manusia. Nampaknya tiada pilihan lain. Siungnya ditalakan pada pergelangan tangannya. Dihisap, disedut darahnya sendiri sehingga puas. Akhirnya, Sang Raja tersebut mati dengan mulut yang berlumuran darah.