SUAMI TAK DIRANCANG

By RehalNuharis

2K 40 5

I want you today, and tomorrow, and next week, and for the rest of my life #stdr #rehalnuharis #hirdynurra More

Bab 1

2K 40 5
By RehalNuharis

SEBAIK lampu isyarat bertukar kuning, Malik mula memperlahankan rentak pemanduannya. Hirdy di sisinya melepaskan keluhan. Jam yang melekap di pergelangan tangan dikerling. Sekali lagi keluhan dilepaskan seraya jari-jemarinya menari-nari di atas pahanya mengeluarkan bunyi yang kurang pasti untuk ditafsirkan. Malik hanya perhatikan sahaja gelagat rakannya itu. Sedari melangkah masuk ke dalam kereta lagi Malik sudah pandang Hirdy atas bawah. Gelisah semacam. Itu yang dia nampak.

Dengan membiarkan jari menari di atas paha, Hirdy lempar pandangan ke luar tingkap seketika. Mencari sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Dia benci berada dalam keadaan sekarang ini. Terasa seperti berada dalam kotak walaupun kotak yang mengisi tubuhnya itu mahal. Honda City!

Tiba-tiba matanya melekap seketika ke arah seorang gadis berbaju kurung bertona putih dan hijau yang sedang memimpin tangan seorang wanita yang lebih tua daripadanya melintas jalan. Angin masih melalui kerongkongnya untuk dilepaskan sebagai keluhan. Serentak itu pandangan matanya beralih kembali ke lampu isyarat di hadapannya. Masih merah. Walaupun baru beberapa minit, sudah dirasakan seperti berjam-jam.

"Kau kenapa?" soal Malik mungkin juga kerana tidak tahan melihat perilaku rakannya itu atau lebih mudah, dia rimas.

Kali ini angin yang tadinya melekat di kerengkong dihembus keluar. "Kalau macam ni, bila kita nak sampai pejabat?"

"Aik! Semangat betul kau nak masuk pejabat," usik Malik yang sesekali kakinya bermain dengan pedal brek dan minyak.

Hirdy faham akan usikan itu. Sedari semalam lagi rakan yang dikenalinya ketika di zaman universiti itu mengusiknya. Sampaikan dia kilatkan kasut pun boleh dijadikan bahan. Tapi Hirdy tidak ambil hati. Tempoh perkenalannya dengan Malik bukan sehari dua mahupun sebulan dua, sudah makan tahun.

"Ni bukan soal semangat atau tak, tapi aku memang tak suka menunggu," balas Hirdy jujur.

Bab menuggu memang Hirdy tidak suka. Dari zaman belajar lagi. Kalau terpaksa buat kerja dalam kumpulan, ada rakan sekumpulan yang lambat datang ketika hendak berbincang, dia lebih rela lakukan kajian terlebih dahulu daripada membuang masa dengan menunggu. Malik sudah masak benar dengan perangai Hirdy yang satu itu. Tapi bukan bermaksud Hirdy tidak suka membuat kerja dalam kumpulan, cuma memang dia tidak suka membuang masa atau lebih tepat menjadi punggu seperti punggu yang asyik termenung menunggu bulan jatuh ke riba itu.

Sekali lagi anak mata Hirdy disapu melihat ke bahu jalan tadi. Ke arah yang sama seperti tadi. Seperti ada tarikan untuk diperhatikan. Tiba-tiba dahinya mengerut halus. Tergamam dia seketika. Kalau tidak salah pandangan matanya tadi ada seorang gadis berbaju kurung putih hijau sedang memimpin seorang wanita separuh abad sehingga ke pembahagi jalan. Tapi apa yang dia nampak sekarang hanya wanita tua itu seorang sahaja.

Mana perempuan tu pergi? Pelik pulak aku rasa, hatinya mula bertanya.

Kerutan halus di dahi mula bertambah kasar. Hampir bercantum kedua belah keningnya yang sedikit tebal sebaik terpandang gadis berbaju kurung putih hijau itu kembali ke seberang jalan cuba memimpin seorang lelaki buta bertongkat menghampiri wanita tua yang dibiarkan di tengah jalan tadi. Setelah pasti itu gadisnya, perkara pertama yang dilihat Hirdy adalah kakinya.

Dia ni bidadari ke manusia sebenarnya? Hai takkanlah hantu pulak yang muncul siang-siang ni kan. Tapi kalau orang tak pernah pulak aku tengok baik hati macam ni. Kalau ada orang kena langgar pun biasanya yang berpusu lari semua tu bukanya nak bantu, tapi tolong tengok aje! Tapi awek ni, dah lintas, boleh patah balik pulak? Takkanlah ayah dengan mak dia pulak? soal Hirdy sendirian sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

Dalam sibuk berfikir sendirian, Hirdy langsung tidak sedar yang Malik masih lagi menjadikannya sebagai pusat pemerhatian.

"Aku rasa kat luar negara tempat kau belajar tu ramai awek yang seksi-seksi. Tapi kenapa kau pandang awek baju kurung tu macam dia tak pakai baju? Ke kau pelik tengok orang pakai baju kurung?" soal Malik di hujungnya menyeringai.

"Ya, memang aku pelik. Ada lagi ke orang yang baik hati macam tu?" soal Hirdy kali ini ditujukan kepada Malik dan bukan kepada diri sendiri lagi. Memang diakui yang sudah empat tahun dia tidak pulang ke Malaysia semenjak menyambung pengajian di luar negara. Baru minggu lepas dia balik dan hari ini kembali bekerja walaupun Malik menasihati supaya dia berehat seketika untuk dua tiga minggu seperti yang disyorkan oleh majikan mereka. Tapi dia enggan. Dia bukan seorang yang boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa.

"Ada... Cuma kadang-kadang kita yang tak nampak sisi baik dalam diri seseorang tu," balas Malik perlahan sambil menekan pedal minyak apabila lampu sudah bertukar kepada hijau. Dia tahu Hirdy dapat mendengar kata-katanya itu, tapi sengaja Hirdy diamkan saja. Dia berharap satu hari nanti Hirdy akan faham. Akan lembut hati batu itu.

Walaupun bibir dikunci rapi, tapi tidak pada anak mata Hirdy. Seboleh mungkin dengan menggunakan cermin pandang sisi dia memandang ke belakang melihat gadis yang ditinggalkan itu. Mana tahu tiba-tiba ghaib, memang betul bidadari syurgalah.

Gadis itu kini kembali bersama wanita tua tadi. Hirdy tersenyum sendirian. Dia memang seorang yang agak susah untuk senyum, terutama waktu bekerja. Tapi bila sekali senyum, manis saja walaupun senyuman itu tidak langsung menampakkan barisan giginya.

"DAH habis buat kerja amal?" soal Atila sebaik Nurra melangkah merapatinya.

Nurra tersenyum sebelum menjawab. Dia tahu Atila sedang mengusiknya. "Kau ni... Tak ada perasaan kesian ke?"

"Aku rasa kau tak patut kerja sebagai editor. Sepatutnya kau kerja sebagai pegawai kebajikan bergerak."

"Ha... mulalah lebih-lebih nak kutuk aku tu," balas Nurra sambil menjeling halus tapi dalam hati langsung dia tidak terasa dengan kata-kata kawannya itu. Sudah selalu sangat Atila keluarkan ayat sebegitu untuknya.

Atila sekadar tersenyum sambil memandang ke arah jalan yang tidak putus-putus dilalui kenderaan. Tetapi bayangan bas tidak kelihatan juga. Memang itulah rutin harian mereka. Mungkin juga kerana salah memilih lokasi. Di kawasan Taman Desa, Klang Lama memang tiada pengangkutan lain selain bas dan teksi. Mereka terpaksa menaiki bas sehingga ke KL Sentral sebelum menaiki Putra dan turun di Masjid Jamek kemudian menapak sehingga ke Bangunan Daya Bumi.

"Lambatlah pulak bas ni," sungut Atila. "Itulah kau, nak sangat duduk sini, tengoklah sekarang dah susah. Tiap pagi kena bangun awal, keluar awal."

Nurra sekadar tersenyum mendengar bebelan itu. Dia masak sangat dengan perangai rakan serumahnya itu. Mereka berkenalan sejak belajar di UiTM Shah Alam lagi.

"Aku dah ajak pindah, kau yang tak nak..." Tambah Atila mengulangi ayat yang sudah biasa digunakannya itu.

"Eh, banyak bunyi pulak dia. Aku dah suruh kau pergi kerja dengan Zamri kau yang tak nak, kan?" balas Nurra, gadis kecil molek yang ada iras seperti pelakon Sharifah Amani itu. Bukannya dia tidak mahu pindah, tapi dia sudah selesa tinggal di situ. Jauh sedikit dari kesibukan. Cukuplah dia bekerja di tengah-tengah bandaraya. Takkan nak tinggal pun di sana.

"Habis tu kau macam mana? Nak duduk dalam bakul?" soal Atila mengenangkan tunangnya, Zamri hanya memiliki motosikal.

Nurra ketawa kecil dengan jawapan selamba rakannya itu. Dari jauh sudah kelihatan bas bergerak menuju ke arah mereka. Masing-masing terdiam, terus bergerak ke hadapan bersama mereka-mereka yang lebih setia menanti bas daripada mereka berdua.

SEBAIK kaki memijak lantai lobi Bangunan Daya Bumi, Nurra dan Atila sama-sama melepaskan lelah. Kalau tadi mereka terpaksa bersaing dengan manusia yang bergegas ke tempat kerja, kini terpaksa bersaing lagi dengan manusia yang ingin ke tingkat masing-masing.

Lobi bangunan sudah dipenuhi dengan beberapa orang pekerja dari bermacam syarikat. Masing-masing yang berpakaian kemas itu berdiri di hadapan lif. Nurra melepaskan keluhan berat. Dia benci berdepan dengan situasi sebegini. Kalau pejabatnya terletak di tingkat lima ke bawah, sudah lama dia menaiki anak tangga sahaja. Tapi masalahnya untuk ke pejabatnya perlu tambah nombor satu di hadapan lima itu. 15! Mahu sampai atas kadnya sudah merah.

Dikerling jam di tangannya. Masih ada 15 minit. Seperti biasa dia membiarkan mereka yang tidak sabar itu naik terlebih dahulu. Dia akan naik setelah sedikit susut. Lagipun dia tidak selesa apabila terpaksa berhimpit-himpit seperti sardin di dalam tin. Tambahan kalau dikelilingi lelaki, lagi rimas dia dibuatnya. Takut juga kalau ada yang mengambil kesempatan. Dia pernah mengalami peristiwa itu dan dia ingat lagi peristiwa itu berlaku ketika dia sedang belajar dan ianya berlaku di sebuah pasar raya.

Kalau ditanya macam mana rupa lelaki gatal itu, tanpa perlu berfikir dia sudah boleh bayangkan. Kalau lepas ini dia jumpa dengan lelaki gatal itu, mungkin dia akan pijak kaki lelaki itu. Dulu dia takut mungkin juga kerana belum cukup matang, tapi sekarang, jangan harap.

Sebaik sudah sedikit susut orang yang menunggu di luar lif, barulah Nurra melangkah masuk. Atila yang sudah masak dengan perangai kawannya itu membontoti dari belakang sahaja tanpa banyak soal.

HIRDY yang baru melangkah ke hadapan lif bersama Malik tergamam seketika. Bulat biji matanya melihat pintu lif tertutup. Kecewa kerana terlepas lif itu satu, tapi satu lagi apa yang dia nampak di dalam lif itu. Seorang gadis berbaju kurung putih hijau yang sama baju dan warnanya dengan gadis di tepi jalan tadi.

"Kau dah kenapa macam nampak hantu ni?" soal Malik sambil menekan punat di dinding arahan untuk lif turun sambil memandang wajah Hirdy yang sedikit pucat. "Kau taku nak masuk pejabat ke?"

Hirdy sekadar menggelengkan kepada sebagai jawapan sedangkan dia tidak dengar sangat soalan rakannya itu. Otaknya masih ligat berputar memikirkan apa yang dilihatnya kerana dengan tiba-tiba dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dia lihat. Benar-benar atau khayalan. Digaru belakang kepala yang tidak gatal itu perlahan.

Melihat gelengan Hirdy, Malik turut menggeleng kepalanya. Kali ini dia pula yang melepaskan keluhan.

Selang beberapa minit pintu lif pun terbuka. Kedua lelaki yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam itu melangkah masuk ke dalam lif bersama beberapa orang yang lain untuk ke tingkat yang menempatkan pejabat masing-masing.

HARI ini genap seminggu Hirdy kembali bertugas di syarikat guaman itu setelah mengambil cuti untuk menyambung pengajian ke peringkat master. Dia ada mengajak Malik untuk menyambung sama kerana pointer mereka lebih kurang sama saja. Kedua-duanya tamat dengan Anugerah Naib Canselor. Tapi Hirdy faham tanggungjawab Malik sebagai abang sulung kalau nak dibandingkan dengannya sebagai anak tunggal.

Seminggu di sini seminggu juga emosinya diganggung. Bukan kerana dia tidak faham dengan kerjanya atau tekanan kerja, tapi kerana gadis tepi jalan berbaju kurung putih hijau tempoh hari.

Hari ini dia terpaksa memandu keretanya sendirian ke pejabat memandangkan Malik perlu ke mahkamah pagi ini. Sampai di lampu isyarat pertama kali dia melihat gadis itu, dipanjangkan leher mencari kelibat gadis itu. Seminggu ini dirasakan gadis itu mengekorinya ke mana sahaja. Ada ketikanya dia nampak kelibat gadis itu di kafe, kadangkala, di lobi, tepi jalan dan beberapa tempat lagi. Jadi hari ini dia sudah bertekad untuk bersemuka juga dengan gadis itu. Itu yang pagi tadi dengan bersungguh dia mengintai sampai keluarkan kepala dari tingkap semata-mata untuk mencari gadis itu. Tapi tidak nampak pula bayangnya.

Dengan memakai baju rasmi kerjayanya, Hirdy melangkah menuju ke arah lif sedikit kelam kabut. Dalam pelukannya terdapat beberapa buah fail juga terselit kot berwarna hitam di lengannya. Sebentar tadi dia tersangkut dalam kesesakkan lalu lintas. Pagi-pagi lagi dah ada kemalangan. Memang malang tak berbau, sungutnya dalam hati.

Sebaik sampai di hadapan pintu lif, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Sambil sebelah tangannya menggagau mencari telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam poket seluar, sebelah lagi tangannya erat memeluk fail-fail yang berada di dalam pelukan agar tidak jatuh. Ketika itu juga pintu lif terbuka dan semua pekerja berebut-rebut masuk ke dalam lif.

Hirdy tergamam seketika. Dia seperti kenal dengan gadis berbaju kurung yang berdiri di hadapan lif lebih kurang sepuluh langkah dengan kedudukannya kini. Dia cuba mengamati dengan lebih jelas sehinggakan telefon yang rancak berteriakkan itu tidak dihiraukannya.

Dalam sedang memikir, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tergesa-gesa dari belakang melanggar bahunya. Oleh kerana sebelah tangannya masih di dalam poket seluar dan fail putih berpalstik itu sedikit licin, akhirnya Hirdy gagal mengimbangi. Fail jatuh ke lantai dan berselerak kertas keluar yang keluar dari dalam fail itu. Dia hanya mampu pandang dan melepaskan keluhan kemudian pejam mata serapat yang boleh menahan sabar.

Tanpa sebarang rasa bersalah, lelaki yang melanggarnya tadi terus melangkah pergi. Hirdy hanya memerhati. Apa kena dengan aku hari ni? Semua yang aku buat serba tak kena saja!

NURRA dan Atila yang berdiri di hadapan lif terdiam. Mereka sama-sama melihat lelaki yang dengan selambanya melangkah masuk ke dalam lif setelah melanggar seorang lelaki tanpa rasa bersalah dan tanpa rasa bersalah juga memotong barisan sedangkan ketika itu Nurra dan Atila berada betul-betul di depan lif.

Nurra mungkin boleh sabar lagi, tapi tidak Atila. Terus panas satu badan dia dibuatnya.

"Harap besar aje, tapi akai tak dak," marah Atila yang memang terkenal dengan cakap lepasnya itu.

Melihatkan Nurra sudah melangkah mendekati lelaki yang berkemeja putih itu, Atila pasti rakannya itu mahu memulakan pekerjaan pembantu kebajikan bergerak memandangkan dari pagi tadi lagi dia tidak lakukan perkara itu. Atila hanya membontoti dari belakang. Tapi mulutnya masih tidak mahu tutup.

"Tak pernah aku tengok manusia macam ni. Dahlah tak nak mintak maaf, lepas tu selamba biawak aje masuk lif," sungut Atila yang masih tidak berpuas hati.

"Biasalah manusia... macam-macam jenis ada dalam dunia ni," balas Hirdy cuba meredakan Atila tanpa memandang gadis itu kerena mereka saling membelakangi. Tapi dia perasan yang ada seseorang sedang membantunya.

Sebaik Hirdy habis mengutip kertas dan failnya, dia bangun, berdiri. Tubuhnya dipusingkan untuk menghadap gadis di belakangnya itu, dia sedikit tergamam. Rupanya yang menolongnya dan bercakap dengannya adalah orang yang berbeza.

Unjukkan hasil kutipan fail dan kertas Nurra kepada Hirdy tidak diambilnya.

"Sekejap..." ujar Hirdy sambil menunjukkan tapak tangannya membuatkan Nurra pelik. Nada itu bukan arahan tetapi seperti ada yang tidak kena.

"Awak ikut saya ke?" tambah Hirdy.

Nurra sudah bertambah pelik. Tapi dia cuba juga untuk mengamati wajah lelaki yang sedikit tinggi di hadapannya itu. Sumpah dia tidak kenal!

Melihatkan Nurra langsung tidak memberi sebarang respon, Hirdy menambah lagi. "Awak ni gadis tepi jalan tu kan?"

Kali ini Nurra tidak lagi tercengang tetapi terus marah. Dihempapnya fail yang ada di tangannya ke atas fail dalam pangkuan Hirdy. Kemudian dia terus memusing tubuh dan menapak menghala ke arah lif.

Giliran Atila tercengang. Ada dua sebab kenapa dia tercengang. Pertama kerana dia pelik dengan soalan lelaki itu kepada Nurra seperti mereka saling mengenali atau pernah terjumpa sebelum ini. Kedua, lelaki itu berjaya buat Nurra marah.

Kurang ajar, ada ke patut cakap aku gadis tepi jalan. Apa ingat aku ni gadis lorong, kupu-kupu malam ke? sungut Nurra dalam hati sementara menunggu pintu lif terbuka. Turun naik dadanya menahan marah.

Hirdy perhatikan Nurra yang tidak jauh darinya berdiri di hadapan lif sambil memeluk tubuh. Nampak sangat yang gadis itu marahkannya. Rasa bersalah ada dalam diri terhadap kata-kata yang dilontarkannya tadi, tapi dia tidak pandai untuk memujuk. Sudahlah orang itu berbuat baik dengan menolongnya, tapi dibalas dengan sakit hati pula. Tapi memang betul pun itu soalan yang mahu dia tanyakan. Kenapa seminggu ini kelibat gadis itu sering muncul di hadapannya.

Kalau dia tak ikut aku cakap sajalah tak, tak payahlah nak tunjuk muka blur. Bila aku cakap gadis tepi jalan marah pulak. Dah memang pertama kali aku nampak kau tepi jalan pun.

Melihatkan pintu lif yang terbuka sedikit demi sedikit, Hirdy cuba beranikan diri dengan melangkah sebesar yang boleh ke arah lif. Dia harus bersemuka dan memohon maaf dan mengucapkan terima kasih. Tapi belum sempat dia masuk mengikuti dua gadis itu, pintu lif sudah pun tertutup. Bibirnya dikemam dan pipinya dikembungkan sedikit sebelum reaksi itu bertukar kepada senyuman kerana dengan tiba-tiba pintu lif terbuka kembali.

"Masuklah..." ujar Nurra langsung tidak memandang wajah Hirdy sambil menekan punat di dalam lif.

Atila tersenyum kecil. Dia kenal sangat dengan rakannya. Rasa simpati itu lebih tinggi dari rasa marah.


Continue Reading

You'll Also Like

2.8M 147K 84
• romance • ; 1ST SERIES OF MISTER SYED DARIEL HAKIEM × MEDINA AZYARA sebuah karya yang sudah tamat tapi masih perlu diubah jalan cerita. namun belum...
2.5M 229K 82
"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati lepas beberapa tahun yang lalu membuatk...
3M 309K 89
[KARYA PERTAMA] Huwaaa... Cantikkan cover tu? Cover yg lawa gila tu by @azleyanaaa [In Editing] Shafira Addina. Seorang perempuan biasa yang hanya m...
1.1M 58.4K 72
Kisah seorang gadis berumur 28 tahun yang ingin berkahwin. "Korang aku nak kahwin! Tapi takde calon lagi. Macam mana ni?" -Adara Sumayyah "Wow! Amazi...