MULUT chik sudah berkicau pagi-pagi.
"Kenapa tak kejut semalam?" soalnya kepada bunda.
"Malas nak kejut ngah. Utamakan orang sakit dulu."
"Hurmmm...nasib baik Wan ada," ucapnya sambil memasukkan garam kasar hangat yang siap disangai ke dalam punjut kain kasa. Punjut itu ditekapkan berulang kali di dada belah kanan Maryam membawa ke belakang.
Hangat dan selesa. Maryam duduk bersimpuh sambil berkemban. Kain batik dilonggarkan. Pegang bahagian depan dan bahagian belakang terdedah. Dituam berulang kali oleh chik. Bunda memerhati.
"Su buat selalu cam ni. Garam tu boleh guna semula. Jangan dibuang. Sangai atas kuali hingga panas. Boleh buat pagi dan malam. Demah kat dada belah kanan, jangan belah kiri. Kiri tu jantung. Terkena garam panas ni lagi kuat darah dipam ke jantung. Sakit jantung pulak nanti. Lepas tu tuam sampai ke belakang. Nak tuam seluruh tubuh pun tak apa."
Semakin nyaman rasa badan Maryam. Sedap dituam begini. Tubuhnya semakin membongkok menahan tuaman yang ditekap kuat ke atas belakangnya.
"Cam na rasa tubuh adik chik?" soal bunda.
"Sedaplah tu sampai tak berbunyi," pintas chik. Tergelak.
"Mana belajar ni?"
"Babahnya. Cina singse ajar."
"Bolehlah buat selalu."
"Moleklah buat selalu. Lelah dia cepat baik. Dok makan ubat sepital pun tak jalan sangat."
"Tahi lalat dia semakin besar." Bunda tunjuk tahi lalat di atas bahu Maryam, tumbuh cantik di bahagian yang biasa disuntik BCG.
Maryam menunduk melihat. Tak adalah besar sangat. Saiz 1 mata pen. Tak mahulah besar-besar. Hodoh. Apasal lalat berak kat sini? Kulit aku ni tandas lalat ke? Mencemar sungguh!
"Tahi lalat hidup memang makin besar," sambut chik.
"Dah. Jom siap! Nak pergi airport ni." Chik bangkit menuju ke pintu.
"Siapa hantar?" soal Maryam. Bangun mengikat kain batik di dada.
"Hero."
Deraman lagi!
"BEG cik akan kami kesan segera. Sama ada tertukar dengan tuan punya beg ini, tertinggal atau tersesat ke airport lain. Apa-apa hal kami akan telefon. Minta maaf atas kesulitan." Penerangan ringkas daripada pegawai yang bertugas di kaunter "Lost and Found".
Maryam berjalan keluar bersama Irvan.
"Kita singgah Parkson. Beli pakaian dan barang keperluan Maryam," pinta bunda.
Maryam menjenguk ke dalam dompetnya. Ada beberapa ratus bak beri.
"Shopping baju raya terus la..." cadang chik.
Kalau cukup duit. Kalau tak cukup, pakai je la apa yang ada. Lagipun baju rayanya, bunda sedang jahit. Tak adalah sampai dia tidak berbaju raya nanti.
"Kita sedar kita dah tua bila berjalan dengan anak, kita ingat orang pandang kita... rupanya orang tengok orang sebelah. Tak ada siapa pandang kita lagi.... Sedihnya...!" seloroh chik.
Irvan dan bunda tertawa. Sekali-sekali kalau datang angin lawak chik, keras perut menahan tawa.
Maryam kurang faham apa yang disedihkan oleh chik, tetapi tersenyum juga. Sekadar tidak mahu dikata, blur.
Irvan pula sangat fahamnya bila beberapa kali Maryam dilirik oleh beberapa pasang mata. Melur yang dipingit rapi ini diintai ramai.
Sampai di Parkson, mereka terus ke bahagian pakaian wanita.
"Ramainya manusia! Ini yang ngah malas nak shopping saat akhir..." sungut chik.
"Beli je la mana yang berkenan, chik ni tak boleh berdiri lama-lama. Dia darah rendah. Dibuatnya pitam kat sini, siapa nak angkat?" perintah bunda.
"Ya la tu, kan! Lainlah kalau adik chik yang pengsan, berderu nak tolong angkat. Kalau ngah yang pengsan, Si Wan ni pun buat tak kenal maknya sendiri," kata bunda disambut gurauan chik.
"Apalah chik cakap cam tu? Wanlah orang pertama yang akan sambut dan tahan tubuh chik sebelum jatuh lagi." Irvan membela diri sambil tertawa.
Maryam pula lebih kepada membelek pakaian yang tergantung tanpa perasaan. Bingung bila banyak fesyen di hadapan mata dan manusia yang hingar bingar.
"Ambik la mana yang berkenan. Boleh cepat kita keluar dari sini. Lemas!" gesa bunda.
"Tak tahu nak pilih." Pengakuan tulus daripada Maryam. Memang dia tidak tahu hendak pilih sebab segalanya selalu ditentukan oleh bak atau bunda.
"Mari chik tengok." Baju kurung pesak ditayang di hadapan muka Maryam. Kuning, hijau pucuk pisang, merah dan oren? Maryam pening. Irvan sakit mata. Warna yang sangat silau.
"Yang ini?" Irvan mengangkat sepasang kurung warna crystal antique pink.
Maryam pun main angguk sahaja. Apa-apa sajalah warna asal baju kurung, tutup aurat dan sopan.
"Tengok saiznya, Wan!" usul chik.
Irvan membelek tengkuk baju. "Minta saiz M. Dalam plastik. Tak mahu yang dah dibuka," pintanya kepada jurujual.
Satu bungkusan dihulurkan. Irvan menonong ke kaunter bayaran.
"Eh Wan, tak bagi adik chik try dulu ke?" tegur bunda tergesa-gesa mengekor. Mereka yang lain juga kelam-kabut melangkah.
"Dah saiz dia."
"Try dulu. Kalau tak padan, boleh tukar. Kalau dah balik rumah, susah nak datang lagi."
"Wan mempunyai daya ingatan yang sangat kuat walau sekali tengok, chik. Kalau tak padan jugak, Wan datang semula dengan Maryam."
Sekali tengok? Malam itu? Maryam hampir terais.Datang semula? Dengan aku? Dalam mimpilah Deraman!
Kering tekak kerana puasa, orang berpusu, banyak tempat lagi hendak pergi, hendak balik masak...bunda dan chik mengalah.
Singgah di Jaafar Rawas. Pilih-pilih dan bayar.
"Tolong hantar ke kereta," pinta Irvan kepada pekedai selepas duit bertukar tangan.
Para pekerja mengangkut plastik beg besar sejadah, telekung dan kain pelekat ke boot kereta. Kereta berderum keluar dari bandar Kota Bharu terus menuju ke Pantai Sabak. Irvan singgah sekejap menitipkan beg plastik besar tadi di masjid. Malam nanti selepas solat terawih, akan diberi sumbangan derma kepada jemaah.
Sebaik tiba di rumah, Maryam seperti lipas kudung, melipat sejadah dan telekung yang telah diambil dari masjid semalam. Dibasuh dan dijemur. Malam nanti akan dihantar ke masjid semula. Rutin yang selalu dilakukan oleh chik setiap bulan.
Kemudian acara yang sangat ditunggu-tunggu oleh Maryam dan lima saudara. Setahun sekali. Malaysian Love Letter! Kalau rumah lain sibuk dengan mengacau dodol, wajik atau baulu, chik lebih istimewa. Sama ada digulung atau dilipat, kuih kapit atau kuih sepit berinti chik sangat mengecurkan air liur. Bunda pun tak terlawan. Kurus puasa! Air tangan istimewa chik yang bukan sembarangan. Berintikan coklat dan mentega kacang. Projek chik seminggu sebelum raya. Kalau buat awal-awal, alamatnya tidak sempat berayalah. Masuk perut dulu. Inipun gerenti sudah masuk separuh dulu dalam perut.
"Tengok betul-betul cara chik buat. Catit segala resipi. Jangan tertinggal walau satu. Itu warisan keluarga kita tapi chik yang dapat," pesan bunda kepada Maryam.
"Serupa je siapa yang buat pun. Asal kena caranya, kuih kapitlah dia," balas chik merendah diri.
"Serupo gapo namo ghima. Hok ngah buat sedap sengoti. Orang lain tak boleh lawan."
Memang betul pun. Walau ada yang meminta resipi dan melihat cara-cara chik, kuih kapit chik tetap terlebih sedap. Tak manis, rangup dan lemak. Nipis dan kemas. Dilipat dengan penuh kasih sayang.
"Air tangan tu yang mahal. Adik chik nak balik Mahang, mintak air tangan chik sebotol. Nak buat kuih kapit, tuang sikit ke dalam adunan. Ambik berkat." Babah melawak.
Seperti biasa, Maryam hanya tersenyum. Suasana kerja yang sering dicemari dengan adegan gurauan dan usik-mengusik. Kecoh dan riuh. Chik sangat-sangat bahagia. Kali ini meriah sungguh raya kerana semua berkumpul.
Lima bersaudara sibuk menghidupkan api dengan tempurung. Kuih kapit ini kena pandai jaga api. Kalau tidak, rentung. Projek ini sangat mencabar ketika proses mahu menuang bancuhan tepung ke atas acuan besi kapit. Sapu cepat-cepat coklat atau mentega kacang. Semuanya mesti pantas digulung atau dilipat kerana kuih kapit cepat mengeras. Sama ada bentuk surat cinta atau kipas. Ketika inilah tenaga lima bersaudara dan sekuntum melur sangat diperlukan. Maryam, bunda dan chik membakar. Lima hero menyapu inti, melipat dan memasukkannya ke dalam balang tin persegi kedap udara. Berpuluh-puluh balang tin dengan beribu kuih sepit. Kegemaran ramai tetamu semasa hari raya. Mulut sedap mengunyah, tidak sedar habis sebalang.
Selesai solat terawih empat rakaat, babah buka sedikit tazkirah menceritakan tentang sejarah kelahiran Rasulullah Sallallahualaihiwasallam. Anak yatim piatu yang disantuni oleh datuk baginda Sallallahualaihiwasallam iaitu Abdul Mutalib dan bapa saudara baginda Sallallahualaihiwasallam, Abu Talib. Seterusnya bagaimana baginda Sallallahualaihiwasallam membesar dan bernikah. Di usia 40 tahun, baginda Sallallahualaihiwasallam diangkat sebagai Rasul Allah. Walaupun akhirnya bergelar ketua kerajaan Madinah dan Mekah, tetapi baginda tidak pernah mengumpulkan harta kekayaan untuk diri. Hidup seperti rakyat biasa dan pernah berlapar sehingga mengikat batu di perut.
Manik-manik kecil berjuraian di pipi. Maryam menahan esak sedaya upaya. Suasana sepi dengan suara babah yang semakin lama semakin sebak. Bergetar dengan alunan suara yang semakin dalam. Terharu dengan pengorbanan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam yang sangat menyayangi umatnya. Umat yang tidak pernah melihat dan menemui baginda, tetapi menerima seruan baginda tanpa ragu. Yang sangat merindu untuk menemui baginda dan baginda juga rindu untuk menemui mereka. Tanpa disuruh, mereka serentak mengucapkan selawat ke atas junjungan mulia tanpa henti. Lidah berzikir dengan penuh kerinduan. Merindukan susuk tubuh mulia itu. Walau tidak pernah berdepan dengan Baginda SAW, tetapi mendengar nama dan kisahnya sudah cukup menjatuhkan perasaan kasih dan sayang kepada baginda Sallallahualaihiwasallam.
Keadaan mula reda bila seorang demi seorang beredar ke bilik air. Mula berwuduk semula selepas babak syahdu tadi. Melegakan tekak dan hidung yang tersumbat dengan air mata.
Baki terawih dihabiskan. Selesai doa, setiap ahli mengambil peluang salam berjemaah. Maryam mendapat pelukan dan kucupan yang paling istimewa di atas ubun-ubunnya daripada chik.
Irvan mengangkat kepala melihat adegan penuh bermakna itu. Maryam yang sangat disayangi dan dilindungi.
"Chik doakan semoga adik chik akan sesuci Siti Maryam, bunda Nabi Isa alaihissalam. Perawan suci yang tak pernah dilihat dan disentuh oleh mana-mana lelaki kecuali mereka yang mahram untuknya tetapi diberi kemuliaan hamil benih suci. Semoga anakanda akan membesar dalam keadaan yang penuh suci terpelihara, terjaga maruah dan kehormatan seorang dara sehingga mencapai martabat tertinggi sebagai seorang wanita dan mendapat keturunan yang soleh dan beriman. Harapan chik akan lahir seorang ulama, seorang hafiz atau seorang hafizah dari kalangan anak cucu chik."
Pandangan mata chik beralih ke seluruh wajah yang sedang memandang mereka berdua. Enam bersaudara mengangguk patuh dan mengaminkan doa kasih ibu mereka.
"Anak-anak yang babah kasihi, babah amanahkan adik chik kepada kamu semua. Jaga dan lindungi dia sehingga dia menjejakkan kaki ke alam rumah tangga. Pilihlah lelaki yang baik dan beriman untuk menjadi pasangan hidupnya. Jangan abaikan dia walau dia sudah beranak cucu. Ingat, hubungan darah jangan putus. Dialah satu-satunya adik perempuan kamu yang wajib kamu perhatikan."
"Baik, babah."
Mata bak bergetar menahan rasa terharu dan syukur. Maryam tidak seorang diri di dunia ini. Dia ada lima orang tentera gagah berani yang akan menjaganya seumur hidup. Bunda dan chik saling menggenggam jari. Keriangan tidak terhingga dengan kata-kata babah. Hanya Maryam yang antara jelas dengan tidak. Walau tidak memahami sepenuhnya apa yang tersurat dan tersirat, kata-kata babah sudah cukup menggembirakannya. Dia ada lima orang abang. Walau selama ini mereka berenam sentiasa ditanam "beradik berabang", tetapi malam ini sangat istimewa. Seolah-olah satu perisytiharan pada malam yang mulia ini.
Hidangan istimewa selepas terawih. Gabungan air tangan bunda dan chik sentiasa memukau. Bubur lambuk Terengganu yang dimasukkan berbagai-bagai dedaun. Dari daun kaduk, pucuk midin, hirisan rebung, kerisik, santan dan isi ikan bakar yang ditumbuk.
"Nak gerak pukul berapa ke rumah bakal menantu kita?" tanya bunda.
"Elok 10:00 pagi," balas chik.
"Gubahan hantaran macam mana?"
"Belah perempuan dah siap semua. Senang budak sekarang ni. Pandai-pandai dia pakat sesama sendiri. Abang long bagi duit, bakal tunangnya beli barang. Apa yang dia suka, warna apa dia nak, dia sendiri pilih."
"Mudahnya budak sekarang, kan ngah?"
"Ya la... benda mudah, kita permudahkanlah. Bukannya wajib. Tak ada dalam rukun nikah pun. Kita jangan cerewet. Asal yang utama tu tak dibelakangkan. Agama dan restu mak bapak."
"Haaa... Wan bila pulak?" Pertanyaan bunda macam hendak sergah Irvan. Hampir tersedak Irvan.
"Apa ni bunda? Masuk ni dah dua kali tanya. Ngah tu belum lagi." Irvan mengelap bawah bibir yang meleleh sedikit bubur.
"Aku tunggu turn je. Tahun depan. Kau tu bila?" Abang ngah langsung tidak memberi kerjasama.
Yang lain tergelak. Maryam selamba tidak bereaksi. Lebih enak menikmati bubur lambuk daripada turut campur dalam perbualan orang dewasa.
"Nantilah dulu. Tak biasa tidur berdua."
Jawapan Irvan menyebabkan Maryam hampir tercekik. Tidak ada nak sensor langsung! Ini gangguan seksual namanya. Bercakap hal dalam kelambu depan budak mentah sepertinya. Yang lain ketawa bagai hendak pecah ruang tamu itu.
"Abang One belum akil baligh," usik abang teh pula.
Hangat sekejap hati Irvan.
"Apa yang belum akil baligh?"
"Orang yang dah akil baligh berambut pendek, tak pakai rantai dan subang. Itu budak-budak kecik pakai sebab takut kena sampuk," jawab abang teh.
"Aku pakai ni sebab takut kena sampuk la."
"Sampuk mana pulak?" tanya abang su, hairan.
"Dengan yang rambut blonde dan bermata biru. Baca ayat kursi pun, dia tak lari. Bila aku selekeh cam ni, tak ada yang nak menggoda sangat."
"Koya!" perli abang long dan yang lain serentak. Hingar bingar dengan ketawa.
"Bunda tu bukannya apa...takut Irvan terbawa balik si mata biru," usik babah pula.
"Buat apa? Muka je lawa, tapi tak mandi pagi dan berak lap pakai tisu."
"Oiii pengotor!" Jawapan Irvan menyebabkan bahunya ditumbuk kiri kanan oleh abang teh dan abang ngah. Abang long dan abang su tukang api. Orang tua mereka? Hanya ketawa lucu.
Tidak tertelan Maryam. Memang pengotor! Mangkuk diangkat segera ke dapur. Beginilah nasib kalau berada dalam kelompok "jejaka-jejaka Pantai Sabak". Dibuli, terbuli dan kena buli. Nasib bunda dan chik selalu jadi kubu kuat dia. Lelaki memang kasar dan ganas. Dari kecil sampai ke tua, kalau bergurau tu macam nak runtuh rumah. Kalau bergumpal macam nak runtuh langit.
"Marah abang ke?"
Maryam terus mencuci pinggan mangkuk tanpa menghiraukan teguran itu. Irvan mengambil kesempatan menunjuk rajin. Mengelap pinggan mangkuk yang sudah siap dicuci Maryam. Satu persatu. Disusun cantik-cantik di sebelahnya sambil menatap wajah jeruk limau purut.
"Marah kes tadi atau kes lapan tahun dulu?"
Kes lapan tahun dulu? Kejap, Maryam hendak ingat semula. Hmmm...
Pusat bercakap? Ya itu satu. Tweet! Ada satu lagi! Dan lagi! Dan lagi!
Satu:
Dia dan mereka yang lain sedang menonton filem Hindustan. Shah Rukh Khan hero. Komen Irvan; "sedapnya tengok muka dia. Macam cendawan. Patutlah Wan suka makan cendawan."
Apa kena-mengena cendawan dengan muka SRK?
Dua:
Filem Hindustan lagi. Saif Ali Khan hero. Komen Irvan; "muka dia macam tauge la. chik, kejap lagi boleh tak tolong goreng kuetiau taruk tauge banyak-banyak. Lapar pulak."
Maryam sudah mula seram dengan Irvan.
Tiga:
Sudah beberapa kali Irvan makan tetapi masih lapar. Tidak ada apa di dapur. Bunda dan chik masih sibuk menyiapkan bahan-bahan tumisan. Maryam diberi bawang untuk dikupas. Irvan melihat jari montok sendiri.
"Sedap nampak jari Wan ni, chik. Macam sosej. Kalau goreng sedap ni."
"Ya Allah budak bertuah ni! Macam tak makan 10 tahun. Semua benda dinampaknya makanan."
Maryam semakin seram.
Empat:
Dia sedang main-main menangguk ikan di belakang rumah mereka. Tak, rumah Irvan. Ada kolam ikan yang dibela babah. Sedang syok bermain itu, Irvan menegurnya dari jendela.
"Dapat ikan kaloinya?"
Malas nak ambil pot! Maryam terus menangguk.
"Kalau dapat kaloinya, jangan lupa masak gulai. Tulang jangan buang. Tanam. Nanti dia akan tumbuh pokok besar. Boleh ikat buaian sambil nyanyi, buai laju-laju. Aku nak kahwin anak raja. Anak Rajakapoor."
Maryam mencampakkan tangguk dan terus masuk ke dalam rumah. Sebaik melewati pintu dapur, tanpa disedarinya, Irvan sudah menunggu. Pinggangnya dirangkul pantas dan Irvan terus mencempungnya. Pipinya dicium pantas oleh Irvan dan tubuhnya dilambung-lambung. Maryam menjerit sekuat hati dan menutup mukanya dengan kedua-dua belah tangan. Tangisannya semakin nyaring bila Irvan cakap; "abang nak kahwin dengan Maryam bila Maryam besar nanti. Pipi Maryam gebu macam kuih pau."
Tak mahu kahwin dengan Abang One... nanti aku ditelannya!
Teriak tangis Maryam berjaya dihentikan oleh chik yang tangannya seperti paruh ibu ayam yang mengamuk kerana anaknya diusik. Jenuh Irvan menepis dan melompat dari sepitan jari ibunya. Mana yang sempat dan mana yang dapat, chik mematuk tubuh Irvan.
Tetapi Irvan paling berdosa dengannya bila Maryam dapat tahu dari riuh gelak tawa chik dan yang lain mengimbas kenangan suatu ketika dulu, Irvan pernah selotepkannya ke dinding ketika dia berusia sembilan bulan!
Irvan dan saudaranya diminta mengasuh Maryam sekejap ketika bunda dan chik sangat sibuk menyiapkan juadah. Oleh kerana ketika itu Maryam sudah pandai merangkak dan tidak tahu duduk diam, Irvan memberi idea kepada saudaranya yang lain agar menyelotep Maryam ke dinding. Mereka boleh bermain "Saidina" dengan aman damai. Tidak perlu kacau bilau mengejar dan menangkap Maryam yang lincah. Idea Deraman dipersetujui dan ramai-ramai bekerjasama melekatkan Maryam ke dinding. Mereka bermain "Saidina" dengan senang hati. Maryam pun tersangat senyap ketika itu. Keluar chik sekejap dari dapur, satu jeritan ketua turus pemerintah dapur bergaung!
Maryam melekap di dinding seperti seekor anak nyamuk yang terlekat ke sarang labah-labah!
Lima bersaudara terjun ke tanah tanpa tangga diligan chik!
Memang Maryam sangat marah dengan Irvan. Marahnya itu tidak pernah berkurang sampai sekarang. Kuat juga dia berdendam rupanya. Padahal itu semua usikan ringan daripada seorang anak lelaki yang sedang menakal.
"Rajinnya, Wan. Lepas ni tolong basuh semua periuk belanga kat dapur belakang tu pulak," tegur bunda dari belakang.
Irvan terseringai.
Maryam mengerling puas. Ambik!