"Kau dah kenal dengan budak baru tu ?"
Aqid Rayyan menyangkut bajunya elok masuk ke dalam almari sambil kepala menggeleng.
"Rugilah kau tak tengok, cantik gila."
Zain senyum sambil membayangkan wanita yang baru sahaja menjadi salah seorang teman sekelasnya.
Aqid mencapai bukunya, kembali melabuhkan tubuh di atas tilam.
"Kali ni aku confirm kau pun kata dia cantik. Ni lagi cantik dari Tania kesayangan kau tu !"
Pakkk ! Bunyi buka ditutup laju oleh Aqid. Kembali duduk menghadap Zain.
"Sudah-sudahlah tu. Sekali lagi kau sebut pasal dia, memang aku campak buku ni atas muka kau."
"Relaks lah, Aqid. Bunga bukan sekuntum. Kau frust sangat kenapa ? Dia tak nak kau bukan sebab kau tak perfect. Dia je yang b*doh."
Zain tenang mereaksi, sudah faham dengan perangai sahabatnya.
"Apa je yang kau tak ada ? Semua benda kau ada. Rupa, harta, bijak pun bijak. Haa ! Cerita pasal bijak kan. Esok, kita ada debat."
"Subjek apa ?"
Sudah terbiasa dengan perdebatan di dalam kelas, Aqid sudah selalu bersedia.
"Gender sociology. Yang paling kau suka. Nak pula tajuk esok relate dengan kau. Itulah, siapa suruh tak datang tadi. Seronok aku dengar budak baru tu bagi pandangan dia."
"Apa tajuk esok ?"
"Man with emotion."
Sempat Zain sengih sinis seusai menyebut tajuk itu.
"Mesti Prof nak suruh lelaki debat dengan perempuan."
×××××××××××××××××××××
"Morning and Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Semua menjawab itu serentak setelah ketukan kasut Prof Haida menjejak dewan.
"Baik. Are you ready for today's topic ?"
Semua senyap, tiada yang menjawab. Hanya membalas pandangan Prof Haida.
"Okay. Disebabkan ada yang skip kelas pertama saya dan dua-dua tu juga lelaki, saya nak dua-dua tu ke depan."
Semua sudah memandang ke arah Aqid.
"Ada tak ?"
"Seorang je ada, prof. Seorang lagi still tak datang."
Prof Haida mengerutkan dahinya.
"Siapa eh ?"
"Adam."
"Ohhh, dia ada text I pagi tadi. Okay, siapa yang seorang tu ? Yang datang hari ni."
"Aqid, geraklah."
Bisik Zain supaya dia bergerak ke depan kelas.
"Ohh, ni yang putus cinta sem lepas tu. Sini, sini. I maafkan you skip kelas I semalam, mungkin tengah fasa move on lagi."
Semua senyap memandang reaksi Aqid. Risau perkataan itu mengguris perasaanya. Namun, tidak sangka Aqid senyum berjalan ke depan kelas.
"See ? He's gentle. So, who's gonna debate with him ? Hari ni, dewan ini menyokong bahawa lelaki tidak perlu menunjukkan perasaan. Debat dalam bahasa melayu pun I okay, I just nak opinion you all je. Siapa nak volunteer ? Perempuan ?"
"Zahra !!
Ramai menyokong supaya pelajar baru itu ke depan. Sejak-sejak mendengar kepetahannya bercakap semalam, ramai yang sudah faham dengan kemampuannya.
"Bagi Zahra, prof."
Tiba-tiba sahaja seisi kelas senyap ketika Tania bangun ke depan. Itu benar-benar mengejutkan semua. Tania, wanita yang menolak cintanya ingin berdebat tentang tajuk hangat itu ?!
"Okay, kali ni nak lelaki ke perempuan yang jadi kerajaan ?"
"Saya nak jadi kerajaan."
Tania menyebut itu tegas sambil memandang Aqid yang sedikit mengetap gerahamnya sendiri.
"Tu ex-girlfriend dia."
Ada seseorang berbisik pada Zahra. Mata hitam Zahra mengerling memandang gerangan yang sudah tersengih di sampingnya.
"Poyo nak mampus. Dia buat Aqid tu macam tak ada harga diri."
Zahra hanya senyap, telinga menerima itu dan semakin tertarik mendengar perdebatan mereka.
"Jadi, kita mula dengan Tania lah. Debat ni I tak nak tetapkan masa. Bergaduhlah korang."
Prof Haida tertawa kecil sebelum melepaskan masa kelas pada mereka.
"Tuan Yang Dipertua. Emosi ditakrifkan sebagai reaksi psikologi dari dalam diri manusia. Merangkumi marah, gembira, sedih, kecewa dan juga CINTA."
Zahra mengangkat kening mendengar tekanan suara Tania saat menyebut tentang cinta. Aqid pula hanya memandang tepat matanya, tidak beraksi.
"Namun tidak semua perlu dizahirkan secara terang-terangan, apatah lagi oleh lelaki. Ia melambangkan kelemahan dan kekurangan jika tidak mengawalnya dengan baik."
Zahra yang sentiasa dengan pen dan buku notanya sudah mula menulis.
"Lelaki secara fitrahnya lebih cenderung mengawal dan menyimpan emosi. Jadi, adakah perlu semua itu dilempiaskan ? Jawapannya, tidak. Kerana kebiasaan lelaki tidak dapat menerima apa-apa penolakan kerana ego."
Zahra tersengih, menggeleng kepala sambil menulis.
"Apasal kau gelak ? Kesian weyhh dekat Aqid. Tania ni sumpah tak ada hati."
Seseorang di sampingnya mengais lengannya.
"Tuan Yang Dipertua. Dari sudut biologinya, seorang lelaki mempunyai hormon testosterone yang lebih untuk memfokuskan mereka lebih ke arah tindakan berbanding reaksi. Kami, pihak kerajaan di dalam dewan yang mulia ini menyokong hujah lelaki tidak perlu menunjukkan perasaan."
Zahra mengangkat kening.
"That's all ?"
Zahra sengih sinis sambil kembali menulis dengan ketawa kecil tidak didengari yang lain.
"Oii, Zahra. Kau tulis apa ni ?"
Sekali lagi kawannya mengurnya, kali ini menggoncang sedikit lengannya.
"Jap. Jap. Bagi aku dengar Si Aqid ni pula bercakap."
"Tuan Yang Dipertua. Sebelum itu, saya mengenalkan diri saya, Aqid Rayyan selaku pembangkang di dalam dewan yang mulia ini. Menurut kepada hujah kerajaan, emosi merujuk kepada reaksi psikologi dalam diri MANUSIA."
Kali ini Zahra senyum lebar. Makin suka dengan perkembangan perdebatan itu.
"Dan manusia didefinisikan sebagai makhluk yang mempunyai akal dan emosi. Berbeza dengan binatang yang bertindak melulu. Jadi, mendengar hujah pertama dari definisi sudah tidak relevan untuk menyokong hujah kerajaan. Jadi, jelas hujah kerajaan tertolak dengan hujah sendiri."
Tiba-tiba sahaja berdentam-dentum meja diketuk-ketuk di bahagian barisan mahasiswa lelaki.
"Tuan Yang Dipertua. Selaku pembangkang pada hari ini. Saya ingin membawakan hujah utama saya. Di mana menurut kajian American Psychological Association (APA) menyatakan bahawa menahan emosi secara berterusan boleh membawa kepada tekanan kemurungan dan masalah kawalan diri. "
"Bantahan."
Sepatah Tania mengucapkan itu dengan kening yang sudah bertaut.
"Relakslaaa."
Ketawa kecil lagi Si Zahra melihat reaksi Tania yang seakan-akan marah. Namun turut teruja saat Aqid memberi ruang.
"Jikalau betul apa yang dinyatakan oleh pihak pembangkang. Mengapa peratusan pesakit mental di dunia adalah berat ke arah jantina wanita ?"
Melihat senyum kecil Aqid seakan memberi semangat pada teman sekelas untuk mendengar itu lebih fokus.
"Yang berhormat, untuk soalan itu juga sudah dijelaskan oleh pihak kerajan. Di mana JIKA lelaki meluahkan perasaan akan dianggap lemah. Jadi, bergunakah peratusan pesakit mental itu sendiri jika yang lebih ramai mendapatkan bantuan adalah wanita ? Sedangkan lelaki terperuk, cuba mengawalnya sendiri."
Kali ini Zahra dikejutkan dengan ketukan meja hampir satu kelas. Makin teruja Zahra menulis sambil tersengih-sengih.
"Yang berhormat, peratusan ini jelas menunjukkan lelaki mempunyai kapasiti hormon yang mencukupi untuk mengawal ekspresi dari meluah."
"Yang berhormat kerajaannnn..
Suara mendayu itu benar-benar menarik perhatian semua termasuk Prof Haida yang dari awal teruja.
"Jangan terlalu emosi walaupun jelas yang berhormat adalah seorang wanita. Di sini, saya ketengahkan di mana menahan emosi secara berlebihan boleh menyebabkan masalah mental. Jika nak diketengahkan tentang peratusan, boleh saya bentangkan di dalam dewan ini peratusan bunuh diri mengikut jantina. Dimana lelaki lebih cenderung membunuh diri daripada wanita. Jadi, dimana baiknya untuk menahan emosi ?"
Sekali lagi kelas dimeriahkan dengan ketukan meja.
"Okayyy, wait waittt.. Anyone yang nak join dia orang ? Saya bagi peluang, pembangkang sorang, kerajaan sorang."
Teman rapat Tania mengangkat tangan dan keluar ke depan mendekatinya.
"Najwa ?"
"Yes, prof. Saya di pihak pembangkang."
Najwa mengangguk dengan penuh hormat di hadapan kelas.
"Lagi sorang ? Kerajaan ?"
Semua senyap. Tiada yang mahu ke depan. Sudah faham dengan taring perdebatan Najwa yang tidak mahu kalah.
"Zahra. Kau pergi lah. Tania tu selalu rasa diri dia betul sebab duduk dengan Si Najwa tu. Aku rasa kau je boleh lawan dia."
"Alaaa.. Relakslah.. Mamat poyo tu boleh handle lah. Dia menang. Dia menang."
"Ishh, kau ni. Kau tak tahu Najwa tu macam mana."
Zahra mengerutkan dahinya dengan paksaan itu.
"Alaaa, sabar je dulu. Tengok dulu."
"So, anyone ? Kalau tak ada, Aqid kena teruskan sorang."
Sekali lagi semua senyap dan perdebatan itu diteruskan.
"Yang berhormat, dunia menunjukkan hak lebih kepada lelaki. Di mana lelaki ditunjukkan sebagai seorang pemimpin, pemacu masa depan dan juga tulang belakang keluarga. Jadi, kami menafikan keperluan lelaki terlampau menunjukkan perasaan dan emosi untuk menjaga stabiliti tanggungjawab."
Wajah Aqid serta merta berubah, tahu yang dia tidak akan menang berlawan lisan dengan wanita ini.
"Soalan saya pada pihak pembangkang, adakah wajar seorang yang sensitif diangkat menjadi pemimpin ? Bukankan wanita tidak dikedepankan kerana terlalu sensitif ?"
Aqid mula goyah dengan kepercayaan dirinya. Hendak menjawab namun tiada perkataan yang mampu dikeluarkan dari lisan.
"Jadi, pihak pembangkang sendiri tiada jawapan untuk soalan itu. Jadi, relevan lah seorang lelaki diangkat kerana stabiliti emosi yang berjaya dikawal tanpa perlu dilepaskan."
"Yang berhormat...
Suara Aqid sudah cukup jelas tidak seyakin tadi. Entah kenapa sudah mula merasa ingin menyerah.
"Kestabilan emosi yang ditunjukkan dari luaran langsung tidak melambangkan kejayaan dalam mengawal emosi dalaman seseorang. Yang berhormat boleh bangun ke kelas dengan berbagai jenis emosi, namun tindakan bangun ke kelas itu tidak melambangkan kestabilan emosi dalam diri yang berhormat."
"Aduhhh..
Zahra seakan mengeluh mendengar hujah itu.
"Yang berhormat pembangkang. Jangan lari topik. Kita bukan bincang isu ada atau tidak ada emosi. Kita sedang membincangkan isu luahan emosi. Bayangkan, seorang pemimpin melempiaskan amarahnya pada rakyat dengan menaikkan kadar cukai. Itu adalah pelempiasan emosi yang tidak sepatutnya ada dalam diri pemimpin. Jelas yang berhormat ?"
Yakin Najwa menghabiskan kata dengan soal itu. Berkobar-kobar jantung Zahra hendak bangun menjawab seusai mendengar irama sombong itu.
Aqid pula terdiam. Seakan tiada hujah lain nak dibidas.
"Aqid ?"
Prof Haida menyapa. Aqid membalas pandangan namun dengan wajah tidak yakinnya. Perasaannya pada Tania benar-benar membuatkannya hendak mengalah.
"Dah habis ?"
Saat Aqid terfikir hendak mengangguk, ada lambaian tangan dari Zahra yang menarik perhatian semua.
"Prof, saya nak mewakili pembangkang untuk teruskan hujah."
Kini ramai yang menepuk meja lagi. Suasana kelas benar-benar seakan dewan parlimen yang hangat membincangkan isu kesengsaraan rakyat.
"Boleh. Aqid. Kalau tak kenal, ni Zahra. Student baru kelas ni."
Zahra teruja ke depan walaupun Tania dan Najwa sudah memandangnya dengan jelingan tajam. Aqid pula memandang setiap langkah Zahra saat menuju ke sampingnya.
"Baik, boleh teruskan."
"Bismillah...
Wajah ceria Zahra hendak ke depan tadi berubah lebih tegas memandang Tania dan Najwa. Aqid yang sudah agak gentar hanya tertunduk di situ.
"Tuan Yang Dipertua, saya Zahratul Wafa' mewakili pembangkang di dalam dewan yang penuh ketegangan ini. Izin meneruskan hujah bagi pihak pembangkang."
Dia sedikit tunduk menghadap Prof Haida seakan meminta izin. Tindakan itu membawa Prof Haida kepada anggukan.
"Baik. Yang Berhormat Perdana Menteri, beberapa minit tadi yang berhormat ketengahkan definisi emosi namun berat sebelah seakan menganggap wanita adalah manusia dan lelaki bukan."
Najwa sudah memandangnya penuh amarah sedangkan Zahra memandangnya dengan kening terangkat dan bibir mengukir senyuman.
"Bantahan."
Najwa meminta ruang namun angkatan lima jari Zahra tidak membenarkan.
"Sabar yang berhormat. Saya belum menolak hujah yang berhormat lagi. Saya hanya mengetengahkan fakta yang disampaikan oleh Yang Berhormat Perdana Menteri."
Rakan sebelah kerusi kosong Zahra sudah sengih keriangan. Percaya dengan kemampuan Zahra.
"Kedua, lelaki tidak boleh meluahkan perasaan kerana lelaki EGO untuk menerima penolakan."
Zahra mendekat ke arah mereka. Mencemaskan semua saat Zahra seakan ingin melibas penumbuknya di wajah Tania namun di arahkan ke lain agar tidak kena.
Semakin menakutkan saat Zahra mula tersenyum. Kini suasana kelas mula hening namun Prof Haida hanya sengih melihat tindakan itu.
"Andai kata libasan tangan saya tadi terkena wajah yang berhormat. Tentu Yang berhormat mengharapkan permohonan maaf dari saya namun jika saya menolak dan memilih untuk tidak meminta maaf, adakah saya melanggar ego yang berhormat ?"
Kini Najwa dan Tania sudah mengetap geraham. Seakan-akan dipermainkan oleh wanita kecil bertudung labuh itu.
"Melihat dari reaksi, saya sudah melanggar batas ego yang berhormat."
Zahra satu langkah ke belakang.
"Jadi, di sini jelas. Kedua-dua jantina mempunyai ego dan kedua-dua jantina mempunyai emosi. Jadi, menolak hak meluahkan emosi adalah tindakan yang kurang bernas dari pihak kerajaan."
Zahra senyum memandang mereka. Sedikitpun tidak gentar. Aqid pula sudah terpegun dengan tindakan itu.
"Saya nak berikan ruang pada pihak pembangkang untuk membantah namun saya ingin sertakan dengan satu soalan."
Najwa seakan sudah bersedia sedangkan Tania sudah sama reaksinya dengan ketidakyakinan Aqid.
"Soalannya, adakah menolak hak meluahkan perasaan tidak dikira kejam oleh pihak kerajaan ? Jika tidak, mengapa hak yang sama tidak disekat pada wanita ?"
"Baik, terima kasih yang berhormat. Sebelum saya ke hujah seterusnya, saya ingin menjawab soalan terlebih dahulu."
Najwa masih lantang mengawal keyakinannya.
"Hak menolak itu tidak dikira kejam atas dasar kepimpinan seorang lelaki."
"Bagaimana pula jika majikannya wanita dan pekerjanya lelaki ? Adakah masalah organisasi perlu dibebankan pada lelaki sahaja kerana dasar kepimpinan dalam diri lelaki ?"
Najwa belum sempat menyambut hujah, soalan Zahra sudah mematikan.
"Baik, ruang bantahan tamat. Saya kembali ke bantahan saya pada hujah seterusnya tentang hormon testosterone dalam diri seorang lelaki."
Zahra membuka buku penulisannya dan kembali membaca hujah-hujah tadi.
"Baik, jika pihak kerajaan mengetengahkan isu hormon, nampaknya pihak kerajaan juga jelas dengan hormon oksitosin dan hormon kortisol dalam diri seorang lelaki yang mana, hormon yang berkaitan dengan kasih sayang dan tekanan."
"Betul, yang berhormat. Kita tidak membincangkan isu emosi !"
Najwa tiba-tiba tinggi suara. Secara tidak sengaja mengganggu kelelakian Aqid di situ. Zahra kini sengih lebih tajam dengan suara itu.
"Kita membincangkan isu luahan emosi !"
"Sabar yang berhormat. Jangan cepat marah. Risau marah tidak bersebab, sakit tak berubat. Hujung-hujung laksana api makan diri. Saya langsung tidak lari dari tajuk, saya nak mengetengahkan, jika emosi ini dilempiaskan dengan baik, ketegasan dalam memimpin akan kelihatan."
Makin bahang hati Najwa dengan peribahasa yang menikamnya.
"Contohnya, ketegasan Perdana Menteri Malaysia untuk meletakkan penolakan kehadiran Israelis di negara kita, itu juga pelempiasan emosi yang baik. Jadi, jangan terlalu memandang sudut negatif, risau jadi burung dalam sangkar. Nampak langit tak nampak jalan."
Makin rancak meja kelas bergema kerana ketukan-ketukan rancak penonton di meja masing-masing.
"Jadi Tuan Yang Dipertua, hujah penutup pihak pembangkang pada hari ini ada tiga. Yang pertama, manusia ada emosi yang layak dijelaskan untuk mengurangkan kadar stres dan lelaki juga dikategorikan sebagai manusia."
Zahra sudah malas nak meneruskan itu. Alang-alang tiada syarat perdebatan, dia terus berniat menutup itu.
"Kedua, hormon testosterone lelaki adalah sekadar kadar yang tidak sepatutnya menolak hormon oksitosin dan hormon kortisol dari melakukan tugasnya."
"Ketiga...
Suara Aqid membuatkan Zahra senyap.
"Tidak meluahkan perasaan adalah tingkah orang penakut yang sentiasa meremang bulu roma dengan bayang sendiri. Lemas, kurang ceria."