AKSARA LUKA

By shafatinyusof

29 0 0

"Abang Aksa minta maaf untuk semua yang berlaku, Sara. Maafkan kami sebab biarkan Sara menderita." - Aksa Luk... More

PROLOG
BAB 01
BAB 03
BAB 04

BAB 02

6 0 0
By shafatinyusof

ALUNAN lagu yang perlahan keluar dari corong radio itu tidak menarik minat Sara untuk menikmati. Iris matanya jauh meneroka ke sisi jalan di tepi. Bangunan-bangunan tinggi yang mencakar langit itu dipandang sepi. Mereka bertiga tidak berbual seperti selalu. Fathea juga kelihatannya memahami dirinya yang tidak mahu banyak bercakap dan bersuara.

Begitu juga dengan Nasrin.

Lelaki yang datang selepas ayahnya. Abang kepada Fathea itu menjadi salah seorang manusia yang banyak membantu dan selalu ada ketika dirinya dalam keadaan susah dan senang. Mengenali keluarga Puan Noreen adalah satu rahmat buat Sara dan Puan Nafisah. Setelah tinggal mereka berdua selepas kematian Encik Saifuddin.

Dan kini, Puan Nafisah juga pergi meninggalkan dia. Untuk waktu ini, Sara hanya ada mereka sekeluarga. Air mata yang ingin menitis cuba ditahan buat sekian kalinya. Dia tidak mahu terus menangis.

“Sara,” Nasrin yang memanggil lembut itu memalingkan pandangannya ke wajah Nasrin yang sedang memandu di tepi. Wajah berkumis nipis itu memandang dia sekejap sebelum kembali dengan pemanduan di hadapan.

Kereta-kereta yang banyak di antara mereka. Di mana masing-masing dengan tujuan dan perjalanan mereka. Antara laju dan perlahan.

“Nas.”

“Saya bawa awak makan malam dahulu. Nanti kita balik rumah awak boleh?” aju Nasrin, menanyakan dia terlebih dahulu. Meminta keizinan dari dia.

Sebenarnya, sejak beberapa hari ini Sara kehilangan nafsu dan selera makannya. Dia hanya sekadar makan untuk bertenaga. Sungguh tiada selera untuk benar-benar menjamah dan menikmati makanan. Semuanya yang dimakan oleh dia seakan menjadi tawar dan tidak berperasa. Tiada nikmat.

“Saya tak lapar, Nas. Rasa macam nak balik rumah terus.” Cuba menolak. Dia tidak mahu singgah ke mana-mana sebenarnya kalau boleh.

“Sara, janganlah macam ni. Sejak beberapa hari ni, awak tak benar-benar makan dan jaga diri awak. Saya risaukan awak, Sara.” Suara Nasrin kedengaran mengambil berat dan cuba memujuk.
Nasrin betul-betul merisaukan gadis di tepinya. Dari hari pertama sehinggalah hari ini selepas kematian Puan Nafisah, gadis itu benar-benar nampak tidak berdaya dan lemah. Jasad itu sudah seperti hilang separuh nyawa.

“Saya memang tak ada selera, Nas.”

“Kalau awak makan sedikit pun tak apa, Sara. Saya cuma nak tengok awak makan dan kembali macam dulu. Kita pergi makan sekejap ya.”

Nasrin tidak berputus asa.

“Betul cakap Abang Nas tu, Sara. Kau patut jaga diri. Kami risau tengok keadaan kau macam ni. Sudah berapa hari kau tak jamah nasi.”

Begitu juga Fathea yang berada di belakang. Gadis itu turut menyokong rancangan abangnya, Nasrin. Dia mahu Sara kembali seperti dahulu. Fathea tahu melalui proses kehilangan seperti Sara itu tidak mudah, tetapi hidup harus tetap berjalan.

Jalan harus tetap ditempuhi. Sesakit, sesukar dan sepahit mana pun.

“Janganlah risau! Aku tak ada apa-apa, Thea. Saya okey, Nas. Jangan risau sangat.”

Bibir cuba tersenyum. Cuba untuk mengambil hati dan menghilangkan kerisauan dua beradik itu. Wajah Fathea di belakang dipandang sekejap sebelum kembali ke sisinya. Mahu kedua-duanya tahu bahawasanya, dia benar-benar okey.

Kereta milik Nasrin berhenti di salah satu lampu isyarat. Nasrin kembali memandang wajah dia lama. Masih dengan riak penuh perhatian.

“Sudah tentu saya risau, Sara! Dah jangan nak menolak lagi. Saya dah janji dengan umi, saya akan bawa awak makan terlebih dahulu sebelum balik rumah. Saya dah tempah restoran kesukaan awak,” beritahu Nasrin sebelum sempat Sara menolak.

“Yeah! Macam tu barulah Abang Nasrin yang budiman!” Fathea di belakang bersuara girang. Mengusik!

“Selalu macam tu.”

“Untuk Sara. Saya akan lakukan apa sahaja.”

“Nas.”

“Jangan cakap apa-apa untuk beri alasan, Sara. Saya lakukannya hanya untuk awak.”

Nasrin kembali menghadiahkan senyumannya sebelum meneruskan kembali pemanduan yang terhenti seketika tadi. Lampu isyarat di hadapan sudah bertukar hijau. Menyambung perjalanan mereka ke destinasi.

“Hurm. Hurm.” Deheman Fathea mengembalikan mereka berdua pada waktu sekarang. Tersedar yang mereka tidak hanya berdua di dalam kereta tersebut. Ada Fathea yang menemani di belakang sejak tadi.

Hening seketika sebelum suara Sara kembali kedengaran.

“Terima kasih Nas. Untuk semuanya,” ucap Sara perlahan sebelum kembali memandang ke hadapan. Pipinya kemerahan. Hangat dengan gurauan dari Fathea sebentar tadi.

“Sama-sama, Sara.”

Perlahan juga Nasrin membalas sebelum mereka kembali diam dengan diri masing-masing. Kembali mengarahkan pandangan ke hadapan.
Lalu, ingatan Sara kembali kepada kenangan bersama arwah Encik Saifuddin dan Puan Nafisah serta saat-saat mereka bahagia bertiga sewaktu ketika dahulu. Penuh gelak tawa dan bahagia. Suara ayah dan ibunya kembali memenuhi ruang jiwa. Kerinduan ini tak akan semudahnya hilang, tetapi Sara sedang belajar untuk melepaskan kepergian mereka berdua dengan ikhlas.

Dia sedar semua yang bernafas pasti akan merasakan mati dan kehilangan. Dunia ini hanyalah sementara. Yang kekal itu Akhirat sana. Hanya Allah yang abadi dan sejati.

Dan-dan fikiran mula menyusuri kepada kejadian waktu itu. Suara, amarah dan hinaan dari figura itu begitu melukan hati dan jiwanya. Tidak mudah untuk dilupakan.

Dan pasti tentunya arwah Encik Saifuddin dan Puan Nafisah yang paling terkesan.

Mengingatkan bagaimana mereka dilayan dan dihina dahulu, membuatkan hati Sara sakit, marah dan benci. Dia takkan lupa apa yang telah wanita itu buat! Takkan sesekali lupa bagaimana hinanya keluarga dia dilayan!

Sakitnya masih terasa. Belum benar-benar sembuh. Parutnya masih melekat di jiwa Sara.


SELEPAS pulang dari makan malam bersama Nasrin dan Fathea sebentar tadi, segera tubuh dibawa ke bilik air. Membasahkan tubuh dan mensucikan dirinya untuk menghadap Tuhan yang satu. Solat maghrib sudah selesai dia laksanakan sendirian. Menunaikan kewajiban kepada Tuhan yang Esa.

Rumah teres setingkat yang dahulunya didiami bersama Puan Nafisah kini sepi dan kosong. Lama dirinya merenung tikar sejadah yang terbentang di hadapan. Setelah hampir tiga malam, Fathea menemani dia tidur dan bersama di ruang rumah ini, kini gadis itu sudah kembali ke rumah Puan Noreen.

Tinggalkan dia sendirian.

Hari pertama Puan Nafisah pergi, dia menangis dan meraung seperti orang gila, namun hari ini tiada lagi air mata yang mahu tumpah dari kolam matanya. Dia tak tahu jika dia hanya berpura kuat atau air matanya sudah kering. Walaupun pada batinnya, dia masih menangis dan merindui.

Apa lagi apabila mengingatkan yang dia sudah tiada siapa-siapa lagi kini. Sendiri dan sepi.

Sesaat.

Dua saat.

Memori dan kotak ingatan dia membawa dirinya pulang kepada kenangan hampir lima belas tahun lepas. Di saat semuanya berubah. Ketika waktu mereka dihina dan dihalau dari rumah itu. Sara masih mengingati dengan jelas ketika ayah dan emaknya merayu-rayu dan meminta ampun dari wanita itu.

Ketika pertama kali Encik Saifuddin membawa dia dan Puan Nafisah pulang bertemu wanita yang merupakan ibu kepada ayahnya. Dia yang ketika itu berumur sepuluh tahun. Masih mentah untuk mengerti dengan semua yang telah berlaku di antara mereka.

Wajah wanita itu, penuh kemarahan.

“Aku takkan sesekali terima kau kalau kau tak lepaskan isteri dan anak kau, Din! Aku tak restu perkahwinan kau dengan dia! Hampir sebelas tahun kau tipu aku, Saifuddin!” Lengkingan kuat itu menerpa di telinganya.

“Mak…”

“Aku hantar kau untuk belajar ke luar negara, untuk jadi orang bijak pandai dan ini yang kau balas kepada aku dan ayah kau!”

Sungguh, Sara tidak mengerti apa-apa ketika itu. Dia hanya melihat ayahnya yang sedang melutut dan meminta maaf dari wanita itu dengan titis air mata yang tumpah di wajah. Begitu juga dengan Puan Nafisah.

Mereka berdua merayu-rayu.

“Din minta maaf, mak. Din minta maaf sebab belakangkan mak. Din tahu Din salah! Din tak patut rahsiakan perkahwinan kami berdua, tapi Din harap mak terimalah keputusan Din.”

Encik Saifuddin berulang kali memohon ampun dan merayu kepada wanita tersebut. Namun, Sara dapat melihat api kemarahan di mata wanita itu yang tidak akan reda semudahnya.

Panggg.

Tamparan keras menyentuh wajah Encik Saifuddin waktu itu. Terteleng wajah itu seketika.

“Selepas kau tipu aku hidup-hidup. Hampir berbelas tahun! Kau ingat aku mudah-mudah nak maafkan kau? Kau dah malukan aku dengan ayah kau, Saifuddin!”

“Mak, Din tahu Din tak patut…”

“Mana aku nak sorok muka aku ni? Mana aku nak simpan muka aku bila bertemu dengan orang kampung? Mereka akan mengata tentang keluarga kita, Saifuddin!”

“Mak… Din minta maaf!” Encik Saifuddin masih tidak berputus asa memohon maaf dan merayu.

Begitu juga dengan Puan Nafisah. “Saya minta maaf, mak! Saya minta maaf sebab jadi punca kepada masalah abang dengan mak. Saya salah.”

Dia yang sedang berdiri di antara keduanya waktu itu memandang adegan air mata itu dengan perasaan yang turut terluka. Setiap kata-kata itu menikam tepat ke dasar jiwa.
Patutlah selama ini apabila dia bertanyakan tentang datuk dan nenek di sebelah ayahnya, Encik Saifuddin dan Puan Nafisah selalu menukar topik. Jadi inilah sebabnya.

Mereka berdua tidak pernah memberitahu Che Aminah dan Haji Kassim tentang perkahwinan mereka selama ini.

“Kau! Jangan panggil aku mak! Aku bukan mak kau! Kau rampas anak lelaki aku dan sekarang, kau balik dan tunjuk muka tidak bersalah kau depan aku!” keras teriakan Che Aminah bertalun.

“Mak.”

Tangan Puan Nafisah yang sedang meraih tangan Che Aminah telah ditolak kasar. Tubuh wanita itu hampir jatuh. Dia laju mendekati Puan Nafisah dan menarik tangan itu sambil memandang wanita tua tersebut dengan cerlungan tajam yang menghunus.

“Kenapa nenek buat emak dengan ayah Lisha macam ni?”

“Kau!”

“Lisha,” panggil Puan Nafisah, menggeleng. Tidak mahu dia masuk campur dalam urusan orang tua.
Dia berundur dan mulut dikatup laju. Tak lagi bersuara. Kerlingan tajam wanita itu benar-benar membuatkan dia kecut perut. Encik Saifuddin segera memeluk tubuh dia.

“Din betul-betul minta maaf dengan mak. Maafkan Din sebab kecewakan mak.”

“Ya! Aku kecewa dengan kau, Saifuddin!”

“Maafkan Din sebab berbohong tentang semuanya, mak. Cuma Din harap mak maafkan Din dan terima isteri dan anak Din. Mereka tak salah, mak!”

Encik Saifuddin masih cuba mempertahankan mereka berdua, tetapi waktu itu kemarahan Che Aminah mengatasi segalanya. Wanita itu takkan semudahnya menerima mereka sekeluarga.

“Aku tak akan terima kau dan keluarga kau, Saifuddin! Aku haramkan tapak kaki kau, isteri dan anak kau di rumah aku! Aku takkan terima wanita miskin dan tak tahu asal usul ni sebagai menantu aku!” Tajam dan kasar.

“Mak!”

“Berambus dan pergi kau dari sini, Saifuddin! Kau takkan terima sesen pun harta ayah kau atau harta aku! Ini jalan yang kau pilih dan aku tak nak tengok muka kau lagi! Berambus! Kalau ayah kau tahu yang kau dah conteng arang pada keluarga kita ni! Ayah kau pun akan halau kau macam mana aku halau kau sekarang ni, Saifuddin!”

Lengkingan suara itu keras menerjah di deria pendengaran mereka bertiga waktu itu. Mereka terus dihalau sebelum sempat berpijak di lantai rumah besar itu. Dihalau seperti pengemis oleh wanita yang bernama Che Aminah.

Dia yang bergelar seorang ibu. Che Aminah yang merupakan ibu kepada Encik Saifuddin!
Setiap kata-kata yang keluar dari mulut Che Aminah seperti belati tajam yang menikam dada Sara. Wajah emak dan ayahnya sudah tiada serinya. Penuh kesedihan dan kekecewaan. Penuh air mata dan penyesalan yang tergaris besar.
Salahkah ayahnya jika cinta dan kasihnya berlabuh buat emaknya? Hinakah emak dia jika dilahirkan miskin, tidak berpendidikan tinggi dan tidak kaya seperti keluarga Che Aminah?

Air matanya cuba ditahan.

Encik Saifuddin kemas menggenggam jemari dia dan Puan Nafisah. Mereka bertiga sekali lagi menjatuhkan diri menghadap Che Aminah. Merendahkan diri meminta kemaafan, namun berkali-kali mereka menjatuhkan diri pun, Che Aminah malah semakin keras tidak mahu memandang Encik Saifuddin dan Puan Nafisah.

“Din tahu mak bencikan Din. Din minta maaf sekali lagi. Jika itu yang mak mahu. Din akan pergi dari rumah ini dan hidup mak juga ayah, tetapi jangan jadikan Din anak derhaka, mak.”

Dengan titis air jernih yang meluruh.

Che Aminah tidak memandang sedikit pun wajah mereka.

“Din tahu syurga Din di bawah telapak kaki mak. Din betul-betul harap mak dan  maafkan Din. Dunia dan Akhirat.” Ayat terakhir dari Encik Saifuddin sebelum tubuh mereka dibangunkan dan kaki mereka bertiga melangkah meninggalkan perkarangan rumah besar Che Aminah.

Berjalan tak menoleh lagi ke wajah itu.
Pergi. Pergi dari keluarga itu.

Sebelum sebuah kereta benar-benar berhenti di hadapan mereka. Ada seorang lelaki yang lebih tua dari ayahnya, seorang wanita dengan gaya orang berada dan seorang remaja lelaki yang mungkin tua beberapa tahun darinya dan kanak-kanak perempuan yang masih kecil.

“Din…” Lelaki itu memanggil nama ayahnya. Sebelum memandang dia dan Puan Nafisah. Mata itu bergenang.

“Him. Tolong jaga mak. Aku minta maaf.”

“Din, mak kenapa ni?”

“Kamu semua naik! Kita dah tak ada apa-apa hubungan dengan anak tak kenang budi tu! Aku haramkan Saifuddin ke sini lagi.” Arahan dan suara Che Aminah kembali terngiang. Menghiris luka di dada.

“Tapi mak…”

“Kau jangan nak ajar aku, Ibrahim!”

“Him. Cukuplah. Aku minta izin pergi dulu. Mak masih marahkan aku,” rayu Encik Saifuddin perlahan. “Kirim salam juga dengan ayah.”

Ayah mereka, Haji Kassim tidak ada di rumah tersebut. Dia tahu tentang keberadaan Haji Kassim yang sedang mengerjakan umrah di Mekah sekarang ini.

“Din, janganlah macam ni. Pujuk mak dulu, Din!”

“Mak bencikan aku, Him.”

Encik Saifuddin sempat memeluk lelaki itu sebelum beralih kepada remaja lelaki yang berada bersama empat manusia tersebut. Sempat pandangan Sara dan remaja lelaki itu bersatu. Sambil memerhatikan Encik Saifuddin memeluk dan membisikkan sesuatu kepada remaja tersebut.

“Aksa.”

“Ayah Su…”

“Aksa jaga Wan Che baik-baik. Ayah Su minta maaf. Ayah Su pergi dulu. Maafkan Ayah Su sebab lukakan hati Wan Che.”

Dan itu kata terakhir dari Encik Saifuddin yang dia ingat sehingga sekarang. Setelah hampir lima belas tahun berlalu. Kenangan yang menjadi parut di jiwanya.

Sebegitu bencinya Che Aminah kepada emak dan ayah dia? Sehingga waktu Encik Saifuddin meninggal pun, mereka sekeluarga tidak muncul. Begitu juga dengan kematian Puan Nafisah, mereka tak pernah mencari dia dan keluarganya!

Selepas sekian waktu, mengingatkan semua kata-kata yang menggores hati dan tajam itu dari Che Aminah semakin menumbuhkan benci dia pada keluarga itu! Dia rasa berdendam. Apa lagi dengan keluarga Aksa. Mereka hidup bahagia di rumah itu dan menikmati semua kesenangannya. Sedangkan keluarga dia? Dihina dan dihalau!

Memikirkan semua itu, Sara jadi sakit hati. Dia benci!

Terlalu benci.

Sesaat.

Istighfar diucapkan beberapa kali. Masih waras dengan dirinya yang sedang berada di dalam kain telekung. Sara tak mahu membiarkan kemarahan mendominasi fikirannya.

“Astaghfirullah al-azim!” Berkali dia menyebut nama Allah. Sebelum jasad dan hati kembali berdiri untuk mengerjakan solat isyak yang sudah masuk waktu. Melupakan semua yang mengganggu di akal dan fikirannya ketika ini.

Selamat membaca semua!

Continue Reading

You'll Also Like

2M 111K 96
Daksh singh chauhan - the crowned prince and future king of Jodhpur is a multi billionaire and the CEO of Ratore group. He is highly honored and resp...
3.6M 288K 96
RANKED #1 CUTE #1 COMEDY-ROMANCE #2 YOUNG ADULT #2 BOLLYWOOD #2 LOVE AT FIRST SIGHT #3 PASSION #7 COMEDY-DRAMA #9 LOVE P.S - Do let me know if you...
177K 13.8K 35
Her marriage was fixed which was an arranged marriage but she moved to London to pursue her career and dreams and after that, she would marry. But in...
252K 14.9K 16
"α€˜α€±α€Έα€α€Όα€Άα€€α€œα€¬α€•α€Όα€±α€¬α€α€šα€Ί α€„α€œα€»α€Ύα€„α€Ία€œα€Ύα€―α€•α€Ία€žα€½α€¬α€Έα€œα€­α€―α€·α€α€²α€·.... α€™α€Ÿα€―α€α€Ία€›α€•α€«α€˜α€°α€Έα€—α€»α€¬...... ကျွန်တော် α€”α€Ύα€œα€―α€Άα€Έα€žα€¬α€Έα€€ α€žα€°α€·α€”α€¬α€™α€Šα€Ία€œα€±α€Έα€€α€Όα€½α€±α€€α€»α€α€¬α€•α€«.... α€€α€»α€½α€”α€Ία€α€±α€¬α€Ία€›α€„α€Ία€α€―α€”α€Ία€žα€Άα€α€½α€±α€€...