Berkasih Dengan Pontianak

By KacangHantu

2.3K 30 0

Apabila mendapat pelawaan daripada gadis cantik berambut panjang itu nyata bersungguh-sungguh, hati Mat Deris... More

1. Mimpi
2. Panggilan Tidak Dikenali
3. Tangisan Dari Cermin
5. Cuba bercakap
6. Siapa dia?

4. Dirasuk

273 4 0
By KacangHantu

Apa yang dialami oleh Mat Deris pada malam semalam tidak lagi diceritakan kepada Pak Cik Ahmad dan isterinya, Mak Cik Lijah. Dia juga tidak akan memberitahu Ripin atau Baharum.
Dia berpendapat, kesemua orang yang berada di rumah itu pasti tidak akan faham dengan apa yang dikatakan olehnya.

"Tak bekerja hari ini?" Tanya Mak Cik Lijah sebaik sahaja Mat Deris keluar dari biliknya. "Ripin dah lama pergi!"

"Saya tak sedap badan, mak cik," balas Mat Deris sambil terus menuju ke arah meja makan di dapur. Sampai di meja makan tangannya terus mencapai cawan lalu menuangkan kopi dan terus menghirupnya.

"Kau sakit?" Tanya Mak Cik Lijah lagi.

"Cuma pening kepala saja. Mungkin saya perlu berehat," balas Mat Deris.

"Baharum dah pergi ke seminar?" Mat Deris bertanya sambil memandang wajah Mak Cik Lijah.

"Dialah yang paling awal keluar. Keretamu dia pakai. Katanya dia dah beritahumu tentang perkara itu," balas Mak Cik Lijah.

"Memang dia dah cakap dengan saya, mak cik."

"Dia hendak ke mana?

"Hendak ke Seremban, katanya. Dia ada seminar di sana!".

"Ohhh..." Mak Cik Lijah menjuihkan bibirnya tanpa ingin tahu lebih lanjut tentang seminar yang akan disertai oleh Baharum.

"Oh ya! Saya nak tanya mak cik sikit," Mat Deris mengerutkan dahinya, "Siti Zulaiha yang menyewa di bilik saya tu dulu bersekolah di mana?"

"Mak Cik Lijah menatap tepat wajah Mat Deris. Kemudian dia bersuara: "Kenapa pula dengan dia? Adakah kamu masih bermimpi tentan dia?"

"Tidak!" Mat Deris cuba berbohong, "saya cuma ingin tahu saja,"

"Dia belajar di salah sebuah maktab swasta," balas Mak Cik Lijah.

"Adakah mak cik mengenali teman-temannya? Ataupun mak cik turut mengenali kekasihnya?" Tanya Mat Deris lagi.

"Dia adalah seorang gadis yang sangat baik tetapi tidak terlalu pandai bergaul. Aku rasa dia tidak mempunyai rakan-rakan yang rapat kecualilah keluarganya sendiri. Tentang kekasih pula, mak cik tak berapa tahu tetapi rasanya tak ada," terang Mak Cik Lijah.

"Apakah sehingga sekarang pihak polis masih gagal mengesan pembunuh gadis itu?

"Belum!"

Mat Deris terdiam tetapi fikirannya terus berputar.

"Sepatutnya kau tak perlu memikirkan sangat tentang perkara itu," ujar Mak Cik Lijah yang pencen dari jawatannya sebagai guru sekolah rendah. "Mimpi sebenarnya hanyalah mainan tidur. Mungkin kau terlalu banyak berfikir sehingga menyebabkan apa yang kamu fikirkan itu terbawa-bawa ke dalam tidur."

"Maksud mak cik?"

"Seperti peristiwa semalam. Kau mengatakan bahawa kau ternampak wajah gadis itu di dalam cermin kecil tersebut tetapi kami semua tidak dapat melihatnya!"

Mat Deris terdiam sambil mengela nafas panjang. Memang dia tidak sependapat dengan Mak Cik Lijah namun begitu Mat Deris mengakuinya dan berazam untuk tidak lagi menceritakan kepada sesiapa tentang pengalaman aneh yang dialaminya itu.

"Mungkin," ujar Mat Deris sambil bangun. Dia kemudian menuju ke arah biliknya. Dia ingin mandi dan keluar meninggalkan rumah itu.

Oleh kerana keretanya telah dipinjamkan kepada Baharum, Mat Deris terpaksalah menggunakan teksi untuk pergi ke Kuala Lumpur. Tujuannya adalah untuk pergi ke pejabatnya tetapi dia hanya sebentar
sahaja di situ. Cuma untuk mengisi borang permohonan cuti. Sejak dari semalam lagi dia sudah berniat untuk mengambil cuti. Memang kadangkala
bekerja secara berterusan amat membosankan. Mat Deris memerlukan rehat yang agak panjang supaya dia dapat menumpukan perhatiannya kepada masalah yang sedang dihadapinya itu.

Dari pejabatnya, Mat Deris terus ke Maktab Berjasa yang terletak di Damansara. Sebenarnya, kunjungan Mat Deris ke maktab itu adalah untuk
mengetahui latar belakang Siti Zulaiha. Dia ingin tahu siapakah Siti Zulaiha yang sebenarnya.

Di pejabat maktab itu, Mat Deris telah menemui seorang lelaki mendakwa namanya sebagai Yaakub. Tubuhnya agak kurus dan tinggi manakala usianya dalam lingkungan empat puluhan. Lelaki itu menyatakan kepada Mat Deris bahawa dia sangat mengenali Siti Zulaiha.

"Dia adalah seorang gadis yang sangat cantik dan baik," ujar Yaakub seolah-olah Siti Zulaiha masih wujud di hadapannya," cuma sayang sedikit dia agak pendiam dan pemalu."

"Tahukah encik tentang masalah yang dihadapi oleh Siti Zulaiha sehingga menyebabkan dia mati dibunuh?" Tanya Mat Deris.

"Kalau aku tahu, tentu aku telah memberitahu kepada pihak polis!" Yaakub bersuara agak keras dan kasar.

"Oh ya! Bolehkah saya mendapatkan data tentang dirinya melalui komputer?" Pinta Mat Deris.

"Boleh, apa salahnya." Balas Yaakub. Suaranya kini sudah kembali kendur.

Yaakub segera menyemak nama para pelajar yang pernah menuntut di maktab itu tetapi ternyata nama Siti Zulaiha sudah tidak ada lagi di situ. Nama itu sudah dipadamkan.

"Namanya telah padam!" Ujar Yaakub ketika dia kembali mendapatkan Mat Deris yang duduk menunggu di luar bilik komputer. "Sepatutnya nama itu terus kekal di dalam komputer."

"Mungkin ada staf lain yang telah memadamkannya?" Tanya Mat Deris.

"Tak mungkin kerana komputer ini hanya saya sahaja yang mengendalikannya," ujar Yaakub memberitahu Mat Deris, "tak mungkin ada orang lain yang menggunakan komputer ini sebelum
mereka mendapat kebenaran dari saya terlebih dahulu.

"Mungkin terdapat data yang tercatit pada buku pendaftaran maktab dan jika ada, aku mahu melihat gambar fotonya," terang Mat Deris.

"Saya rasa kalau dalam buku pendaftaran ianya pasti ada," balas Yaakub lantas meluru ke arah bilik rekod.

Mat Deris menganggukkan kepalanya sambil menunggu Yaakub yang hilang di dalam bilik rekod. Walaupun masa yang diambil oleh Yaakub untuk mencari buku pendaftaran yang mengandungi nama Siti Zulaiha itu agak lama tetapi Mat Deris tetap sabar menunggu.

Kira-kira lima belas minit kemudian, Mat Deris terdengar suara jeritan dari bilik rekod. Mat Deris segera berdiri kerana terkejut dengan suara yang didengarnya itu. Suara itu adalah suara yang telah dikenalinya. Suara Yaakub!

Serentak dengan itu, Mat Deris terdengar jeritan meminta tolong yang datang dari ruang yang sama. Rupanya, selain dari Yaakub, ada orang lain yang berada di dalam bilik rekod itu.

Mat Deris bersama beberapa orang kakitangan maktab itu segera menerpa ke arah bilik rekod. Sebaik sahaja sampai di bilik tersebut, mereka mendapati Yaakub telah tersungkur di atas lantai. Di tangannya masih terdapat buku pendaftaran pelajar yang ditulis pada sebuah buku besar berkulit tebal. Melalui mulut Yaakub jelas kelihatan darah merah pekat kehitam-hitaman meleleh keluar.

Kakitangan maktab yang menyerbu bilik rekod itu segera menghantar Yaakub ke Hospital Universiti bagi mendapatkan rawatan kecemasan sementara Puan Yati, pegawai rekod di maktab itu dikerumuni oleh para pelajar dan kakitangan maktab bagi mendapatkan penjelasan. Beberapa orang wartawan juga kelihatan dalam kelompok tersebut.

"Apa puncanya?" Tanya salah seorang dari mereka yang mengerumuni Puan Yati.

"Punca sebenar masih belum diketahui. Dia cuma masuk ke dalam bilik itu untuk merujuk sesuatu perkara lalu kemudiannya dia terjatuh," jelas Puan
Yati.

Sebelum Yaakub dibawa ke hospital, Mat Deris sempat mengambil buku pendaftaran pelajar yang terletak di atas lantai di sisi Yaakub. Tanpa perlu melihat nama-nama lain, Mat Deris terus mencari nama Siti Zulaiha. Nama itu tercatit pada bilangan 3904. Itulah nombor pendaftarannya. Sepatutnya di nombor pendaftaran itulah nama Siti Zulaiha tercatit pada komputer.

Di salah satu ruang pula terdapat sekeping gambar hitam putih berukuran pasport. Kini sudah pasti bahawa gambar itulah yang sering muncul dalam cermin kecil di bilik Mat Deris itu. Gadis itulah juga yang selalu menjelma di dalam
mimpinya.

Di halaman itu terdapat tulisan yang mengandungi tarikh lahir, alamat di Kampung Merbau Sempak dan alamat orang tuanya di kampung. Mat Deris mencatitkan butir-butir tentang Siti Zulaiha itu dengan cepat lalu kemudiannya dia meletakkan semula buku pendaftaran itu di atas sebuah meja besar dan panjang di dalam bilik rekod maktab itu.

Apabila suasana di hospital sudah agak reda, Mat Deris pergi mendapatkan Yaakub yang masih terbaring di atas katil. Dia ingin mendapatkan penjelasan daripada Yaakub sendiri mengenai punca
yang menyebabkan dia jatuh tersungkur ketika sedang menyemak buku pendaftaran yang mengandungi butir-butir peribadi tentang Siti Zulaiha.

"Bagaimana keadaannya sekarang?" Tanya Mat Deris pada salah seorang jururawat yang berada di tepi katil Yaakub.

"Dia masih belum sedar!" Balas jururawat yang bertugas.

"Bolehkah saya menemuinya?"

"Boleh, tapi jangan terlalu lama. Dia memerlukan rehat!"

Belum pun sempat Mat Deris menghampiri katil Yaakub, dia ternampak tiga orang doktor muda bersama seorang jururawat mengelilingi katil Yaakub, salah seorang doktor muda yang tadinya
membicarakan sesuatu dengan Yaakub berpatah balik menghampiri Yaakub. Kesempatan ini digunakan oleh Mat Deris untuk bertanyakan tentang keadaan Yaakub.

"Apa penyakit yang menyerangnya, doktor?" Tanya Mat Deris ingin tahu.

"Nampaknya ada urat di dalam tubuhnya yang tidak berfungsi. Berpunca dari situlah yang telah menyebabkan dia hilang daya mengimbangi badannya lalu dia terjatuh," terang doktor muda itu.

"Ohhh..." Mat Deris menjuihkan bibirnya.

"Tapi katanya, dia telah mengalami satu perkara aneh ketika dia sedang menyemak buku pendaftaran pelajaran di dalam bilik rekod itu," ujar doktor itu selanjutnya.

"Betul doktor!" Sampuk Yaakub yang masih terlentang di atas katil. "Buku pendaftaran pelajar itu dirasakan begitu berat dan buku itulah yang telah menimpaku!"

"Berat macam mana?" Mat Deris pula mencelah.

"Buku itu terlalu berat sehingga menyebabkan saya tak mampu untuk mengangkatnya," jelas Yaakub sambil memandang tepat ke muka Mat
Deris.

"Mana mungkin sebuah buku pendaftaran pelajar menjadi begitu berat sehingga tidak mampu untuk diangkat oleh orang dewasa!" Doktor muda itu kehairanan.

"Itulah yang menyebabkan saya merasa amat hairan," balas Yaakub.

"Disebabkan ada urat yang tidak berfungsi di dalam tubuh pak cik, ianya boleh menyebabkan seluruh sendi menjadi lemah sehingga barang yang hanya beratnya satu kilo akan terasa begitu berat."

Yaakub terdiam mendengar penjelasan dari doktor muda itu. Dia kelihatan seolah-olah enggan berdebat dengan doktor itu. Dari raut wajahnya jelas menampakkan rasa tidak setujunya dengan apa yang telah diperkatakan oleh doktor pelatih itu.

Mat Deris tak mahu mencampuri urusan antara Yaakub dan dokor muda itu. Apabila dia merasakan urusannya telah selesai dia segera meminta izin untuk pulang ke rumah yang disewanya di Kampung Merbau Sempak.

Sebaik sahaja sampai di rumah, Mat Deris mendapati rumah itu ternganga sedangkan di dalamnya tidak ada sesiapa. Mak Cik Lijah yang amat jarang meninggalkan rumah juga tiada. Tidak pernah dia membiarkan rumahnya itu berkeadaan sedemikian. Selalunya jika dia keluar untuk membeli barang di kedai yang berhampiran, dia pasti akan
mengunci rumah terlebih dahulu.

Kerana menduga bahawa Mak Cik Ljah hanya akan keluar sekejap mungkin untuk membeli gula atau garam dari kedai Lebai Seman, Mat Deris langsung melupakan fasal rumah sewanya yang dibiarkan ternganga dan terbuka itu. Dia segera masuk ke dalam biliknya lalu menukar pakaian dengan mengenakan seluar pendek dan kemeja-t sahaja. Selesai menukar pakaian, Mat Deris terus ke
dapur untuk makan tengah hari. Perutnya sudah berbunyi minta diisi.

Suasana begitu sunyi dan sepi ketika Mat Deris menjamah makanannya tetapi suasana begitu pasti tidak akan mempengaruhi fikirannya. Rumah itu
memang selalu berkeadaan begitu. Memang selalu sunyi. Memang selalu sepi kerana penghuninya sibuk dengan tugas masing-masing.

Biasanya, Mat Deris dan Ripin hanya akan berada di rumah selepas pukui lima petang. Begitu juga dengan Pak Cik Ahmad yang bertugas sebagai seorang pegawai dalam sebuah syarikat kawalan keselamatan.

Orang yang paling banyak menghabiskan masanya di rumah hanyalah Mak Cik Lijah manakala Baharum pula banyak menghabiskan masa lapangnya di perpustakaan.

Sedang asyik menjamah hidangan pada tengah hari itu tiba-tiba Mat Deris dikejutkan oleh satu bunyi yang sangat aneh dan amat mengejutkannya. Bunyi itu datang dari arah ruang tamu.

"Arrrccchhheerrr..."

Bunyi itu seakan-akan suara anjing. Satu bunyi yang jijik bagaikan bunyi orang berkahak.

Kerana curiga, Mat Deris cepat-cepat menghabiskan makanannya. Dia segera menuju ke ruang tamu tetapi apabila sampai disitu, bunyi itu sudah tidak kedengaran lagi. Ketika dia memerhati ke segenap sudut dan ruang di situ dia tidak ternampak apa-apa. Satu lagi perkara aneh muncul dalam kehidupannya. Oleh kerana waktu itu cuaca masih terang
benderang, tidak sedikitpun rasa takut menyelubungi diri Mat Deris.

Oleh kerana tidak menemui apa-apa di ruang tamu, akhirnya Mat Deris kembali ke dapur untuk menghabiskan nasi yang masih bersisa di dalam pinggannya. Tetapi apabila Mat Deris memulakan
langkahnya tiba-tiba pintu almari besar di ruang tamu itu terbuka dengan sendiri. Ini diikuti pula dengan terjatuhnya barang-barang perhiasan yang diperbuat dari tembikar. Bunyi barang-barang
perhiasan yang diperbuat dari tembikar dan merupakan barang kesayangan Mak Cik Lijah itu bagaikan guruh dan halilintar yang bergema kuat.

Tetapi yang lebih menghairankan Mat Deris ialah kemunculan Mak Lijah dari almari besar yang mengandungi barang-barnag perhiasan yang diperbuat daripada tembikar itu. Keadaan Mak Cik Lijah amat berbeza daripada biasa. Dia ketawa mengilai sambil memperlihatkan giginya yang putih. Sikapnya waktu itu betul-betul macam orang gila ataupun orang yang sedang dirasuk iblis. Di tangan
kanannya tergengam dengan kemas sebilah pisau yang sebelum ini digunakan oleh Mak Cik Lijah untuk menyiang sayur dan ikan.

Mat Deris betul-betul bingung.

"Mak cik! Mak cik! Apa yang telah terjadi pada mak cik?" Tanya Mat Deris inginkan kepastian.

"Hihihihihi..." Mak Cik Lijah terus mengilai sambil melangkah ke arah Mat Deris.

Mat Deris semakin gementar. Oleh kerana Mak Cik Lijah semakin menghampirinya terpaksalah dia berundur setapak demi setapak mengikut langkah yang diatur oleh Mak Cik Lijah. Oleh kerana mengesyaki bahawa perempuan itu ingin membenamkan pisau yang terhunus di tangannya ke tubuh Mat Deris, maka Mat Deris terpaksalah lebih berhati-hati.

"Jangan mak cik, jangan!" Pekik Mat Deris apabila dia melihat Mak Cik Lijah menghalakan hujung pisau itu ke arahnya, "kenapa maka cik berkelakuan begini?"
.
"Hihihihi..." Mak Cik Lijah terus ketawa. Terus mengilai.

Entah bagaimana, tiba-tiba sahaja Mak Cik Lijah melompat ke arah Mat Deris lalu menusukkan pisau yang terhunus di tangannya ke arah Mat Deris. Tikaman itu memang tepat ke arah dada Mat Deris tetapi Mat, Deris yang pernah berguru dengan Pendekar Mael berjaya mengelakkannya. Apabila melihat keadaan Mak Cik Lijah yang seolah-olah telah dirasuk oleh syaitan itu, akhirnya Mat Deris terpaksa berundur ke arah dapur.

Satu perkara yang sangat menghairankan Mat Deris ialah pergerakan tubuh Mak Cik Lijah. Perempuan berusia hampir enam puluh tahun itu kelihatan begitu tangkas dan gerak lakunya bagaikan seorang pendekar.

Memang sudah agak lama Mat Deris tinggal bersama Mak Cik Lijah dan sejak dia mengenali perempuan itu dia tahu benar akan kekuatan yang dimiliki oleh perempuan itu. Kerana itu Mat Deris dapat mempastikan bahawa Mak Cik Lijah tidak akan mampu bertindak sedemikian jika tidak ada kuasa lain yang turut membantunya.

Mak Cik Lijah yang sebelum ini dikenali Mat Deris sebagai seorang perempuan tua yang mempunyai sifat lemah lembut kini benar-benar telah dirasuk oleh makhluk halus. Mat Deris tahu bahawa ketika itu pasti Mak Cik Lijah sedang bertindak di luar pengetahuannya. Dia tidak sedar apa yang sedang dilakukan olehnya.

Bila menyedari tentang perkara itu, Mat Deris sudah tidak ingin lagi untuk melayani Mak Cik Lijah. Dia tidak mahu lagi bertanya pada perempuan yang sebaya dengan emaknya itu. Apa yang sedang difikirkan oleh Mat Deris ketika itu adalah untuk memulihkan Mak Cik Lijah kepada keadaan asalnya. Belum pun sempat Mat Deris menemukan cara yang baik untuk memulihkan Mak Cik Lijah, perempuan tua itu tiba-tiba menerkam ke arah, Mat
Deris sambil menikam Mat Deris. Nasib Mat Deris masih baik kerana tikaman secara kilat oleh Mak Cik Lijah itu dapat dielakkan sekali lagi olehnya.

Disebabkan kepantasan serangan yang dilakukan oleh Mak Cik Lijah itu menjadikan Mat Deris semakin cemas. Fikirannya sudah mulai buntu, Akhirnya tikaman dari Mak Cik Lijah berjaya melukakan lengannya. Darah segar membuak keluar darinlengan kiri Mat Deris yang digunakannya sebagai penahan tatkala Mak Cik Lijah menjunamkan pisau ditangannya secara bertubi-tubi.

Dengan tergopoh-gapah Mat Deris bergerak ke arah kiri tetapi kedudukannya disitu semakin tersepit. Dia terkurung di situ sementara Mak Cik Lijah sudah semakin ganas dan bersungguh-sungguh benar untuk membunuhnya.

Dalam keadaan tersepit begitu, Mat Deris sudah tidak mempunyai sebarang pilihan selain daripada melawan. Ketika Mak Cik Lijah menikam ke arahnya cepat-cepat Mat Deris melompat sambil melepaskan satu tendangan yang tepat mengenai
bahagian dada perempuan tua itu. Mak Cik Lijah terhovong-hayang lalu undur beberapa langkah ke belakang. Kesempatan itu digunakan oleh Mat Deris untuk lari ke luar rumah. Dari halaman rumah Mat Deris menjerit sekuat hati meminta pertolongan daripada penduduk kampung.

Jeritan Mat Deris itu didengari oleh penduduk kampung lalu ramailah penduduk kampung terutama jiran-jiran yang tinggal berhampiran datang untuk memberikan bantuan. Kepada penduduk kampung, Mat Deris menjelaskan apa yang telah berlaku di rumah yang disewanya itu dan apa yang sedang dilakukan oleh Mak Cik Lijah.

Beberapa orang anak muda sepakat mengepung rumah Pak cik Ahmad dan Mak Cik Lijah. Mereka bersetuju untuk menangkap Mak Cik Lijah tanpa mencederakan perempuan tua itu.

Apabila melihat begitu ramai anak muda mengepung rumahnya, Mak Cik Lijah yang menjenguk melalui pintu dapur mengilai sekuat hati seolah-olah mencabar penduduk kampung untuk menangkapnya. Pisau itu sesekali dihalakan ke arah anak-anak muda yang sedang mengepung rumahnya.

Ketika penduduk kampung serentak hendak menangkap Mak Cik Lijah yang sedang dirasuk syaitan itu tiba-tiba muncul seorang lelaki tua lalu dia bersuara dengan tenang dan lembut:  "Jangan lukai perempuan tua itu. Pergilah kamu semua jauh dari sini kerana kamu semua tidak akan dapat menangkapnya!"

Semua penduduk kampung terdiam kaku mendengar kata-kata yang diucaj akan oleh lelaki tua yang sudah bongkok itu. Lelaki itu adalah penduduk kampung Merbau Sempak juga. Di kampung itu dia dikenali sebagai Aki Pilus. Tidak ada sesiapa yang berani membantah arahan dari Aki Pilus itu. Beberapa orang anak muda yang telah pun bergerak untuk menangkap Mak Cik Lijah terpaksa undur semula ke belakang.

Mat Deris sendiri turut undur ke belakang sambil memegang tangan kirinya yang telah dibasahi oleh darah. Mat Deris nampak Aki Pilus melangkahndengan tenang menuju ke arah Mak Cik Lijah. Jarak antara mereka lebih kurang tiga meter sahaja. Sikap Aki Pilus begitu tenang. Pada mulanya kelihatan Mak Cik Lijah hendak menyerang Aki Pilus tetapi Aki Pilus tetap tenang menunggu serangan yang akan dilakukan oleh Mak Cik Lijah tetapi secara tiba-tiba sahaja Mak Cik Lijah mematikan niatnya untuk menyerang Aki Pilus. Dia hanya merenung wajah lelaki tua yang sudah bongkok itu. Kedua mereka saling renung merenung antara satu sama lain. Agak lama juga mereka beradu kekuatan mata sehinggalah suasana menjadi kembali tegang. Rupanya ketika itu Aki Pilus dan Mak Cik Lijah sedang berlawan secara batin.

Ketika pertarungan menggunakan ilmu batin itu dilakukan oleh Aki Pilus dan Mak Cik Lijah tiba-tiba Aki Pilus mengangkat kedua-dua belah tangannya ke hadapan sambil berteriak:

"Huuuppp!"

Mak Cik Lijah tiba-tiba menjerit kesakitan. Pisau pemotong sayur yang tergenggam kemas di tangannya sejak dari tadi tiba-tiba terlepas dari tangannya lalu terjatuh ke tanah. Seluruh tubuhnya kelihatan menggeletar. Wajahnya pucat. Mak Cik Lijah kelihatan semakin lemah lalu akhirnya jatuh tersungkur di atas lantai.

Semua penduduk kampung yang melihat kejadian itu menjadi bungkam dan tercengang penuh kehairanan. Mat Deris juga turut tercengang. Walaupun Mat Deris mengetahui bahawa sejak dari awal
lagi Aki Pilus memang mampu untuk menundukkan Mak Cik Lijah yang telah dirasuk syaitan itu.

Aki Pilus melangkah ke arah Mak Cik Lijah yang sedang tertiarap di atas lantai. Pisau pemotong sayur yang terlepas dari genggaman Mak Cik Lijah itu diambilnya lalu diletakkan di atas meja makan.

"Ambilkan aku segelas air sejuk!" Perentah Aki Pilus sambil memandang ke muka Mat Deris.

Tetapi apabila Aki Pilus terpandang ke arah tangan kiri Mat Deris yang telah luka lalu Aki Pilus menyuruh penduduk kampung yang lain pergi mengambilkan air sejuk untuknya. Air sejuk yang diminta oleh Aki Pilus diberikan oleh penduduk kampung sesaat kemudian.

Dengan mengguna air sejuk itu, Aki Pilus membasahkan muka Mak Cik Lijah yang kelihatan masih menggeletar tetapi selepas itu perempuan itu terus pengsan dan tidak sedarkan diri. Aki Pilus segera berdiri sambil menatap wajah Mat Deris.

"Sudah tak ada apa-apa. Biarkanlah dia berehat dahulu," ujar Aki Pilus sambil meminta bantuan daripada penduduk kampung untuk mengangkat Mak Cik Lijah ke biliknya. Arahan dari Aki Pilus itu
segera dilakukan oleh penduduk kampung.

Ketika keadaan kelam kabut sebentar tadi, ada penduduk kampung yang telah menalifon Pak Cik Ahmad yang sedang bertugas dipejabatnya di Petaling Jaya. Pak Cik Ahmad terburu-buru pulang
ke rumah.

"Apa yang telah berlaku?" Tanya Pak Cik Ahmad, sebaik sahaja dia menghampiri Mat Deris. Matanya sempat memandang ke arah luka di tangan kiri Mat Deris.

"Mak cik telah dirasuk oleh makhluk halus lalu dia menyerangku dengan pisau pemotong sayur."

"Mana mak cikmu?" Tanya Pak Cik Ahmad lagi.

"Ada di dalam biliknya!"

Mendengar penjelasaan dari Mat Deris itu, Pak Cik Ahmad segera menuju ke biliknya dengan ditemani oleh Aki Pilus dan Mat Deris. Pak Cik Ahmad memandang ke arah isterinya yang sedang terbaring lemah di atas katil.

"Sekarang semuanya telah selamat," ujar Aki Pilus apabila Pak Cik Ahmad memandang lelaki bongkok itu yang berada di sisinya. "Apabila dia sedar nanti. keadaannya akan pulih seperti sedia kala."

"Rumah ini sudah menjadi semakin aneh!" Rungut Pak Cik Ahmad.

"Memang ada yang mencuba-cuba untuk mengganggu rumah ini tetapi percayalah bahawa usaha itu tidak akan berjaya," balas Aki Pilus sambil tersenyum.

"Siapa orang yang dimaksudkan oleh aki?" Pak Cik Ahmad masih belum berpuas hati.

"Entahlah. Aku sendiri tidak tahu," balas Aki Pilus sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, "dengan menggunakan ilmu agama pasti niat jahat itu akan dapat ditewaskan."

"Adakah aki tahu roh siapa yang datang lalu merasuk ke dalam tubuh Mak Cik Lijah sebentar tadi?" Tanya Mat Deris inginkan kepastian.

"Aku bukanlah seorang bomoh atau pawang jadi aku tak tahu tentang perkara itu," jelas Aki Pilus beterus terang.

"Tentu aki boleh menghalaunya dari sini?" Tanya Mat Deris lagi.

"Iman yang kuat pasti boleh mengalahkan apa sahaja termasuklah kuasa ghaib sekalipun." Jelas Aki Pilus.

Mat Deris faham dengan penjelasan yang diberikan oleh Aki Pilus itu namun begitu Mat Deris merasa agak kecewa kerana roh yang sering mengganggu rumah itu masih belum dapat diusir.

"Jadi tentu roh itu akan terus mengganggu penghuni rumah ini?" Tanya Mat Deris lagi.

"Jika iman kita kuat dan teguh serta kita sentiasa bersembahyang dan mengingati Allah, Insya Allah makhluk halus itu akan tewas dan dia akan meninggalkan tempat ini dengan sendiri," balas Aki Pilus yang dikenali di kampung itu sebagai seorang yang begitu kuat beribadat kepada Allah.

Mat Deris menoleh ke arah Pak Cik Ahmad, Pak Cik Ahmad kelihatan tunduk macam sedang memikirkan sesuatu. Oleh kerana Mat Deris teringat akan luka di tangan kirinya maka dia segera meminta
izin untuk pergi mengubati lukanya itu. Dia perlu mendapatkan rawatan di klinik.

Continue Reading

You'll Also Like

33.2K 343 26
here's some pics I stole from Four when he wasn't looking, quickly look at them before he com-
6.5K 751 14
This is the story of a unwanted guest who sudden appearance in kareena life .how they gonna deal with It.
1.1M 36.9K 156
Urban legends and myths from around the world will be published here.
30.6K 757 36
A collection of my original platonic yandere one shots and short stories. This book will not be related to any sort of challenge and will be updated...