Selagi Ada Cinta

By AK_Raffhan

14.9K 1.6K 288

Kisah cinta klise Tihani dan Khai Blurb Tihani tidak pernah menyangka mencintai Khai akan membuatkan perjalan... More

Selagi Ada Cinta
0 1
0 2
0 3
0 4
0 5
0 6
0 7
0 9
1 0
1 1
1 2
1 3
1 4
1 5
1 6
1 7
1 8
1 9
2 0
2 1
2 2
2 3
2 4
2 5
2 6
2 7
2 8

0 8

264 31 0
By AK_Raffhan

“NAMPAK tak? Comel, kan?” Adrina tersenyum terharu. Jarinya bergerak ke kiri dan kanan. Melepaskan telefon pintar miliknya setelah Tihani mengambil alih sepenuhnya telefon itu.

Tihani mengangguk dengan titis air mata yang mengalir di pipi. Dia leka memerhatikan gambar Arrian yang ditunjukkan Adrina dalam galeri telefon pintar milik wanita itu.

“Khai cakap dia letak nama anak kau, Arrian. Dia suruh tanya, kau okey tak dengan nama tu? Dia nak buat surat beranak. Ke kau nak tukar? Ada cadangan nama lain tak. Hurm, kalau aku nama tu okey dah. Tapi, kau mak kan? Kenalah tanya pendapat kau dulu.” Adrina mengoceh panjang lebar.

Tihani terdiam, leka dengan pandangan pada layar telefon.

Arrian Yussof. Dia asyik mengulang nama itu dalam hatinya. Tidak susah disebut, sedap didengar.

Dia tidak keberatan dengan nama Arrian Yussof. Wajah Adrina yang cantik tersenyum, dipandang.

“Aku suka...”

“Alhamdulillah kau suka. Nanti aku bagitau Khai. Ke kau nak beritahu sendiri.”

Laju Tihani menggeleng. Dia tidak mahu berjumpa Khai.

Adrina menghela nafas panjang. Sekurang-kurangnya Tihani tidak menolak nama pemberian Khai.

Sebut pasal Khai, bekas suami Tihani itu entah ke mana menghilang setelah Tihani sedarkan diri. Tanpa jejak yang diketahui. Tihani juga langsung tidak bertanyakan Khai, hanya sibuk memikirkan bayinya.

Bibir Tihani bergerak-gerak sembari menyentuh layar. Tak puas rasanya sekadar melihat dan memegang gambar. Dia mahu menyentuh bayinya.

“Rin...” Tangan Adrina disentuh.

“Ya?”

“Bila aku boleh tengok Arrian?”

Senyum manis Adrina berubah sendu. Dia mengambil telefon di tangan Tihani lalu diletakkan di atas almari pendek di sebelah kepala katil Tihani.

“Kau kan tak sihat lagi. Baru aje sedar. Tunggu bila kau dah okey sikit, aku bawa kau tengok Arrian,” pujuk Adrina cuba untuk terus tersenyum.

“Aku dah sihat. Sekarang pun boleh pergi tengok.”

“Tunggulah dulu. Dengar cakap aku. Doktor pun cakap buat sementara ni kau tak boleh banyak bergerak.”

“Tapi aku dah sihat!” Tihani keras kepala.

Dia tahu Arrian dalam NICU. Dia juga tahu kenyataan tentang wad itu. Dia hanya ingin melihat anak yang dia lahirkan. Sudahlah mereka terpisah disebabkan keadaan anak itu, sekadar melihat pun tak boleh ke?

Aduh... Adrina lupa wanita di hadapannya ibu segala degil. Sukar termakan pujukan.

“Hani, dengar cakap aku. Kau kena rehat...”

“Kenapa kau asyik suruh aku rehat? Aku dah cakap aku sihat, kan? Aku nak tengok anak aku. Kau macam tak bagi aku tengok anak je. Kenapa dengan anak aku? Ada something yang kau dan semua orang tak bagitau aku ke? Kalau setakat dia dekat NICU sebab tak cukup bulan, benda tu normal, kan?” Tihani menyerang Adrina dengan pelbagai soalan.

Tangan Adrina dipegang. Dia terus mendesak Adrina supaya menceritakan segala-galanya. Pasti ada yang tak kena. Dia yakin sangat ada sesuatu yang mereka sorokkan dari pengetahuannya.

Ketika Adrina tunjukkan gambar Arrian dia sudah dapat mengagak sesuatu. Arrian terlihat sangat kecil dalam gambar itu.

Apakah kerana Arrian lahir tak cukup bulan, maka pelbagai masalah timbul disebabkan itu? Dia mencongak hari, juga tarikh dia dijangka bersalin.

“Kenapa dengan Arrian? Apa yang kau sembunyikan daripada aku?”

Tihani mula panik. Sungguh dia ketakutan. Bagaimana jika terjadi sesuatu kepada bayinya disebabkan kecuaian dirinya menjaga diri? Dia cukup tahu diri. Meskipun dia sudah berusaha sekuat mungkin, dia sedar ada banyak kekurangan yang gagal diatasi sepanjang proses kehamilannya, lebih-lebih lagi hal yang melibatkan mentalnya.

“Rin, jawab soalan aku! Jangan diam macam ni. Rin!”

“Hani, istighfar. Jangan macam ni. Arrian... Arrian okey. Cuma tak cukup berat aje. Kena letak bawah pemantauan doktor sebab doktor nak pastikan tahap perkembangan Arrian positif. Kau jangan risau, ya.” Pujuk Adrina cuba menenangkan Tihani.

“Kalau setakat berat tak cukup, kenapa kau tak bagi aku tengok Arrian?”

“Sebab kau lemah lagi. Aku tak nak apa-apa jadi pada kau.” Yang benarnya dia tidak mahu Tihani melihat Arrian yang berselirat dengan wayar.

“Betul ke? Kau tak tipu aku?” Tanya Tihani meminta kepastian. Hatinya berat mahu percayakan kata-kata Adrina. Nalurinya berat mengatakan masih ada sesuatu yang janggal.

Adrina angguk. “Betul...”

“Anak aku minum apa?” Tihani pegang dadanya. “Kenapa susu aku tak nak keluar?”

Sejak dia sedar baru dia perasan susu dadanya belum keluar. Normalkah situasi ini? Bukankah seharusnya kelenjar susunya sudah menghasilkan susu?

“Hani, relaks. Bukan semua perempuan lepas melahirkan terus keluar susu dada. Ada yang ambil masa beberapa hari. Kau mungkin salah seorang.”

“Tapi...”

“Pasal Arrian kau jangan risau. Hospital bagi susu formula terbaik untuk anak kau.”

Ah, dia mahu memberikan susunya kepada Arrian, bukan susu lembu. Apa guna dia jadi ibu jika hal sekecil ini pun tak mampu dia lakukan.

Dia tak dapat rasakan nikmat melahirkan Arrian. Arrian lahir dalam keadaan dia tak sedarkan diri. Sekarang dia dihadapkan dengan masalah susu tidak mahu keluar. Selepas ini apa lagi kenyataan yang perlu dia hadap?

Bahu Tihani diusap lembut, “Kau rehat ya. Aku nak pergi surau sekejap. Kau kena jaga diri kau. Jangan fikir bukan-bukan. Ingat, Arrian perlukan kau.”

Tihani mengukir senyum hambar. Dia mengangguk sekali.

Adrina tinggalkan Tihani sebaik saja Puan Laila sampai bersama Mak Biah dan Pak Osman. Seorang pembantu rumah, seorang lagi drebar kepada Puan Laila.

Dia tidak ke surau sebaliknya tempat tujuannya adalah ke tingkat enam yang menempatkan NICU. Di situ dia berjumpa dengan Khai yang terduduk lemah di kerusi menunggu.

Khai tunduk menekur lantai. Dari jauh bekas suami Tihani itu terlihat begitu lesu dan tidak bersemangat.

“Khai...”

Mendengar panggilan Adrina, Khai angkat mukanya. Benar telahannya. Dia dapat melihat kobaran cahaya di mata Khai yang malap. Lelaki itu umpama tubuh berjasad yang tak berjiwa. Meruntun perasaan sesiapa saja yang melihat termasuk Adrina.

“Hani okey?” Soalan pertama yang keluar dari bibir Khai.

Dia tinggalkan bilik Tihani sejurus Tihani sedar daripada lenanya yang panjang. Lega yang teramat sangat. Terus dia ke surau menunaikan solat sunat dua rakaat. Tanda syukur pada Yang Esa.

Dia gembira Tihani sedarkan diri. Namun, kegembiraannya tidak sepenuhnya sempurna. Bayi mereka sedang bertarung antara hidup dan mati. Disebabkan Arrian lahir dalam keadaan pramatang, banyak anggota tubuhnya yang belum terbentuk dan berfungsi sempurna. Untuk itu Arrian memerlukan bantuan sementara anggota tubuhnya menjalani proses matang.

Tak mudah sebenarnya duduk menunggu begini. Terpaksa pasrah sepenuhnya kepada pakar. Dia hanya boleh menunggu dan terus berdoa agar Arrian mampu bertahan.

“Hani okey, tapi masih lemah. Kau tak balik rumah langsung ke?” Tanya Adrina seraya ambil tempat selang sebuah kerusi di sebelah Khai.

Walaupun tahu Khai tua banyak tahun daripada dirinya, dia lebih senang bahasakan diri kau-aku dengan Khai. Dengan Tihani pun sama.

Khai hanya mengangguk. Berat mulut nak bersuara. Otak yang serabut mempengaruhi tahap kecergasan dirinya. Semangat merudum, fikiran tak jernih, sementara mata asyik berkaca-kaca.

Dia memandang lekat pintu menuju ke bilik NICU, tempat di mana bayi-bayi pramatang atau istilah mudahnya bayi tak cukup bulan ditempatkan. Terdapat juga bayi yang mempunyai masalah lain di situ, namun bayi pramatang lebih mendominasi.

Khai pasti akan meringis setiap kali masuk ke bilik itu. Melihat bayi-bayi yang masih kecil menderita, banyak wayar berselirat. Dia membayangkan derita yang terpaksa ditanggung bayi yang masih tidak mengerti apa-apa itu. Hanya tahu menyuarakan kesakitan melalui tangisan.

“Ada perkembangan positif ke?”

Adrina turut melihat ke arah yang sama. Bilik itu hanya boleh dimasuki ibu dan bapa bayi. Dia hanya dapat melihat Arrian melalui gambar saja. Rumit sungguh dugaan yang TUHAN berikan pada Tihani dan Khai. Serasa dirinya pasti tidak akan kuat jika terpaksa menempuhi dugaan yang sama.

Lama Khai ambil masa untuk menjawab soalannya. Dia seakan tahu jawapannya, namun dia masih berharap Khai akan memberitahu yang sebaliknya.

Kepala digeleng. “Doktor cakap tadi keadaan Arrian masih kritikal. Dia ada masalah pernafasan. Paru-paru dia belum matang. Sekarang terpaksa bergantung pada mesin ventilator sepenuhnya.”

Khai meraup mukanya. Berat ujian yang menimpa hidupnya sejak akhir-akhir ini. Tidak tahu mahu diambil kekuatan dari mana lagi. Serasa seluruh kekuatan telah habis digunakan.

Tihani yang enggan menerima dirinya semula entah kerana apa. Sedangkan dia terlalu yakin Tihani masih ada rasa terhadapnya. Boleh jadi rasa itu sudah berkurang, tetapi dia dapat rasakan hati mereka masih boleh bertaut menjadi satu.

“Apa aku nak buat, Rin? Aku buntu gila. Hani belum tahu lagi. Macam mana kalau apa-apa jadi pada Arrian?”

Berat soalan itu, sukar untuk diberikan jawapan. Gambar yang Adrina tunjukkan pada Tihani adalah gambar selepas kelahiran Arrian. Belum ada wayar yang berselirat membantu bayi kecil itu untuk terus bertahan hidup.

Kalaulah Tihani lihat bayinya sekarang... Adrina yang bukan ibu Arrian juga sudah berasa luruh seluruh jantung, inikan pula Tihani yang melahirkan Arrian.

Dia tak sampai hati mahu menyatakan hal yang sebenar kepada Tihani. Apatah lagi menurut doktor kelahiran Arrian adalah kerana beban jiwa yang ditanggung Tihani begitu berat.

Tihani sedang mengalami tekanan berat. Namun cuba disembunyikan dengan terus bersikap tegar di hadapan orang lain.

“Kau kena banyak berdoa, Khai. Kita dah tak ada cara lain. Pasal Hani tu nanti aku dengan ibu akan selalu pujuk dia. Kau janganlah patah semangat. Aku yakin Arrian akan selamat.”

Tiada nasihat lain yang mampu Adrina ucapkan selain meminta Khai banyakkan berdoa dan terus bersabar.

Dia tahu dia hanya sekadar mata yang memandang, bukan bahu yang memikul beban. Walau bagaimanapun sakit yang ditanggung mereka serba sedikit dia turut terkena tempias.

Beberapa bulan ini dialah teman Tihani. Dialah saksi pada segala penderitaan Tihani dan Khai.

Sayang sungguh, masih cinta tetapi tak mampu bersatu. Dia hanya mampu simpati dan memberikan nasihat jika diminta. Selebihnya kembali pada Khai dan Tihani. Jika salah seorang sudah berpatah arang berkerat rotan, apalah daya orang luar sepertinya untuk bertindak lebih.

Paling-paling dia hanya akan jadi penasihat tak bertauliah.

Continue Reading

You'll Also Like

58.3K 2.6K 57
𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝑷𝒆𝒓𝒕𝒂𝒎𝒂 𝒀𝒂𝒏𝒈 𝑴𝒆𝒎𝒑𝒖𝒏𝒚𝒂𝒊 𝑩𝒂𝒏𝒚𝒂𝒌 𝑲𝒆𝒔𝒂𝒍𝒂𝒉𝒂𝒏~ 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐠𝐮𝐧𝐚𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐬𝐚 𝐢𝐧𝐠𝐠𝐞𝐫𝐢𝐬 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛...
6M 239K 49
[ 1st BOOK = ARS ] ___________________ Dia berbahaya. Dia penuh dengan misteri. Dia penuh dengan muslihat. Dia... Danny Asyraf Lee. Mafia yang digeru...
186K 6.4K 44
[Book 1] Adam Zahrain x Riya Dahlia She needed someone to show her how to live and he needed someone to show him how to love.
880K 32.9K 69
Pernah dengar istilah dendam memakan diri? Istilah benci bertukar sayang? Istilah itu semua berada dalam cerita mereka. Tentang pasangan yang dahulun...