Berkasih Dengan Pontianak

By KacangHantu

2.1K 26 0

Apabila mendapat pelawaan daripada gadis cantik berambut panjang itu nyata bersungguh-sungguh, hati Mat Deris... More

2. Panggilan Tidak Dikenali
3. Tangisan Dari Cermin
4. Dirasuk
5. Cuba bercakap
6. Siapa dia?

1. Mimpi

988 7 0
By KacangHantu

Ternyata darah yang mengalir itu tidak wujud. Mayat gadis cantik berambut panjang itu tidak ditemui oleh Mat Deris. Begitu juga dengan lelaki tegap bertubuh sasa yang dilihatnya sebentar tadi.

Rupa-rupanya Mat Deris hanya bermimpi. Hati Mat Deris merasa tenang kembali apabila dia mendapati bahawa sebentar tadi dia telah bermimpi. Mimpi buruk tentang satu tragedi pembunuhan yang amat mengerikan. Seorang lelaki berbadan tegap dan bertubuh besar telah membunuh seorang perempuan cantik di depan matanya. Kemudian darah perempuan yang dibunuhnya itu dihirup oleh lelaki berbadan tegap dan bertubuh sasa itu. Peristiwa itu amat ngeri dan menakutkan.

Mat Deris sendiri nyaris-nyaris ditangkap oleh lelaki berbadan tegap dan bertubuh sasa itu untuk tujuan yang sama iaitu untuk turut dijadikan mangsanya tetapi disebabkan tenaganya masih kuat, dia masih mampu melarikan diri dari buruan lelaki berbadan tegap dan sasa itu.

Ketika sedang diburu oleh lelaki berbadan tegap dan sasa itu, kakinya telah tersadung pada akar yang menjalar di atas tanah. Mat Deris jatuh tersungkur lalu menjunam ke dalam sebuah gaung yang dalam. Tubuhnya terasa rebuk kerana jatuh terhempas di atas sebuah batu besar. Itulah penamat mimpi yang dialami oleh Mat Deris. Dia lantas bangun kerana terperanjat dan ketakutan. Dia juga bangun kerana merasakan tubuhnya telah memar akibat terhempas di atas batu besar di dalam gaung yang amat dalam.

Mat Deris duduk di atas katilnya sambil menghela nafas yang panjang. Tubuhnya berpeluh manakala mukanya pucat lesi macam orang dikejar harimau belang yang ganas.

Dia menanggalkan baju tidurnya lalu dicampakkan ke sudut bilik. Baju tidurnya itu telah basah kuyup kerana dibasahi peluh yang keluar dari tubuhnya.

Oleh kerana peluh masih keluar dari tubuhnya, Mat Deris mengambil kembali baju tidur yang dicampakkan olehnya sebentar tadi lalu digunakan pula untuk mengesat peluh yang terus membasahi tubuhnya.

Ketika itu Mat Deris sempat mengerling ke arah jam meja yang terletak di atas meja tulis di sisi katilnya. Jam di atas meja itu menunjukkan pukul 2.15 minit dini hari. Tangan Mat Deris meyambar botol air mineral yang terletak di atas meja tulisnya. Air mineral itu dituangkan ke dalam gelas lalu gelas itu dituangkan pula ke dalam mulutnya.

Hati Mat Deris merasa lapang apabila air jernih itu telah membasahi tekaknya. Tubuhnya juga turut dirasakan semakin segar. Dia menarik nafas panjang sambil meletakkan kembali botol air mineral dan gelas yang telah kosong di atas meja tulisnya.

Kini Mat Deris mengambil pula kotak rokoknya lalu terus mengeluarkan sebatang. Hujung rokok berukuran king saiz itu dicucuhnya dengan api. Kemudian rokok itu disedutnya dalam-dalam seolah-olah menandakan satu kelegaan setelah terselamat daripada satu mimpi jahanam yang belum pernah dialaminya sebelum ini.

Dengan tidak berbaju dan hanya mengenakan seluar pendek berwarna putih, Mat Deris kembali duduk di atas tempat tidurnya. Dengan menggunakan dua biji bantal. Mat Deris mengalas belakangnya yang disandarkan ke dinding. Dia kembali mengingati mimpi yang baru sebentar tadi dialaminya. Dia cuba mengingatinya dari awal hingga keakhir. Dia bertanya di dalam hatinya tentang maksud mimpinya itu? Siapakah lelaki berbadan tegap dan bertubuh sasa yang muncul di dalam mimpinya itu? Dan siapa pula perempuan cantik berambut panjang yang telah dibunuh oleh lelaki itu dan apakah punca yang menyebabkan perempuan cantik itu dibunuh?

Wajah lelaki berbadan tegap dan perempuan cantik berambut panjang itu masih kekal di dalam ingatannya. Begitu jugalah dengan bentuk badan mereka. Memang Mat Deris cam benar, tetapi ke
dua-dua mereka tidak dikenali oleh Mat Denis Wajah kedua-duanya tidak pernah ditemui oleh Mat Deris sebelum itu.

Ahhh. Apalah yang harus difikirkan kerana ianya hanyalah sebuah mimpi. Untuk apa dia harus memeningkan kepalanya kalau hanya sekadar untuk memikirkan sebuah mimpi yang sudah sememangnya menjadi mainan tidur. Mimpi hanyalah merupakan sebuah kisah hampa yang tidak berguna. Mimpi yang baik mungkin boleh dianggap sebagai bunga tidur tetapi jika mimpi itu menakutkan tentulah ianya hanyalah sebagai gangguan ketika tidur. Sebenarnya mimpi tidak perlu diambil berat oleh sesiapa kerana jika difikirkan pasti ianya akan lebih memeningkan kepala.

Sebatang rokok telah hampir habis terbakar. Dan untuk membuang puntung rokok tersebut, MatnDeris terpaksa bangun. Pada ketika itulah dengan secara tidak sengaja matanya telah terpandang ke arah cermin yang tergantung di dinding bilik. Melalui cermin itu Mat Deris mendapati seolah-olah cermin tersebut sedang memantulkan cahaya yang amat menghairankan Mat Deris. Dia berdiri bagaikan terpaku di lantai sementara fikirannya menjadi semakin bingung.

Ketika tangannya cuba mengambil cermin yang tergantung di dinding bilik tidurnya itu, Mat Deris amat terkejut apabila tiba-tiba sahaja wajah perempuan yang datang di dalam mimpinya sebentar tadi
kini sudah berada di dalam cermin itu. Wajah itu kelihatan amat cantik bagaikan sebuah lukisan pada hal sesungguhnya tidak. Wajah itu hanya kelihatan samar-samar, Gadis cantik berambut panjang itu kelihatan sedang menangis sementara pipinya yang gebu kelihatan deraian air mata.

Kerana tidak yakin dengan apa yang dilihatnya, Mat Deris cuba menoleh ke arah lain dan wajah itu hilang dari pandangannya. Kemudian apabila
matanya dihalakan kembali ke arah cermin sebesar kotak rokok itu, wajah gadis cantik berambut panjang itu muncul kembali walauapun masih kelihatan agak samar-samar.

Mat Deris masih tidak dapat menerima hakikat. Dia tidak berpuas hati dengan apa yang sedang dilihatnya. Kalau tadi lampu di bilik tidurnya itu hanya diterangi oleh cahaya lampu samar lima wat kini dia menyalakan pula lampu yang lebih terang. Apabila bilik itu terang benderang, Mata Deris memerhati ke arah cermin yang masih tergantung di dinding bilik tetapi wajah gadis cantik berambut panjang itu telah pun hilang.

Mat Deris semakin hairan bercampur takut. Untuk memastikan apa yang dilihatnya sebentar tadi, Mat Deris mematikan semula lampu di bilik tidurnya lalu bilik itu hanya diterangi oleh lampu tidur yang samar. Aneh! Amat aneh dan menghairankan apabila wajah gadis cantik itu muncul kembali di dalam cermin yang tergantung di dinding bilik itu,
Kerana masih tidak yakin dengan apa yang dilihatnya, Mat Deris menggosok-gosok matanya dengan belakang tapak tangan tetapi wajah gadis cantik itu tetap wujud di cermin itu. Ketika tangan Mat Deris meraba-raba permukaan cermin itu, tangannya tidak merasakan apa-apa sedangkan gadis cantik itu masih tetap berada di cermin yang tergantung di dinding bilik tidurnya itu. Kini Mat Deris yakin bahawa cermin di bilik tidurnya itu mempunyai keanehannya yang tersendiri.

Akan tetapi satu persoalan baru timbul di kepalanya. Siapakah yang telah menggantungkan cermin itu dibilik tidurnya? Sebelum ini, cermin itu tidak ada di bilik tidurnya. Apa pula maksud dari peristiwa ganjil yang berlaku ke atas dirinya itu?

Rasanya, ketika itu juga Mat Deris ingin tahu siapakah orang yang bertanggungjawab meletakkan cermin itu di bilik tidurnya. Waktu itu ingin saja dia mengejutkan semua orang yang berada di rumah yang disewanya itu untuk mendapatkan penjelasan tentang perkara ganjil yang dialaminya itu. Tetapi apabila mengingatkan waktu itu masih lagi dinihari, adalah tidak bijak jika dia mengganggu para penyewa dan tuan punya rumah yang disewanya itu. Mat Deris tidak sampai hati untuk mengganggu tidur mereka. Untuk itu dia terpaksa menundakan hajatnya itu hingga ke pagi esoknya.

Cermin aneh itu diambil oleh Mat Deris lalu disimpannya di dalam buku hariannya. Dengan fikiran yang penuh diselubungi oleh perasaan penuh kehairanan, dengan hati yang berdebar-debar Mat Deris kembali melangkah ke arah katilnya. Bulu romanya dirasakan berdiri tegak.

Dengan memasang lampu cerah, seluruh bilik. tidur itu kembali terang benderang. Mat Deris terus merebahkan tubuhnya di atas katil sambil kepalanya cuba mengingatkan bilakah cermin itu digantungkan pada dinding di bilik tidurnya itu.

"Tidak mungkin cermin itu boleh berada di dinding itu jika tiada sesiapa yang menggantungkannya," bisik hati kecil Mat Deris.

Mat Deris kembali mengingati akan keadaan dibilik tidurnya itu. Semalam, dia pasti cermin tersebut tidak ada di dinding biliknya. Kini dia begitu yakin bahawa cermin itu pasti mulai berada di dalam biliknya pada malam itu ketika dia sedang
tidur dengan nyenyak.

Masalahnya sekarang ialah; siapakah yang telah menggantungkan cermin itu dibilik tidurnya? Siapakah gadis cantik yang berada di dalam cermin tersebut dan apakah tujuan cermin itu diletakkan di dalam bilik tidurnya?

Segala persoalan itu hanya dapat diselesaikan oleh Mat Deris apabila cuaca telah cerah nanti. Dia telah membulatkan tekad di hatinya untuk mencari punca segala kekusutan yang berlaku di bilik tidurnya itu.

Pagi itu, ketika Mat Deris terbangun dari tidurnya dia terus mencari cermin berwarna merah darah yang telah menyebabkan fikirannya menjadi kacau dan kusut. Dia pasti benar bahawa cermin itu tentu masih ada di dalam buku hariannya kerana di situlah dia menyimpan cermin tersebut sebelum dia melelapkan matanya.

Mat Deris terperanjat besar apabila dia membuka laci mejanya dan mengeluarkan dairinya. Cermin berwarna merah darah yang disimpan di dalam dairinya itu telah hilang entah ke mana.

Setiap helai dairinya diselak oleh Mat Deris tetapi ternyata cermin tersebut tiada di dalam dairi yang disimpan di dalam laci mejanya itu. Mat Deris memandang ke arah tingkap untuk melihat kalau-kalau cermin itu masih tersangkut di dinding berhampiran dengan tingkap biliknya itu tetapi cermin itu memang tiada di situ.

Tanpa berfikir panjang, Mat Deris segera meluru keluar dari biliknya lalu menuju ke arah dapur. Di dapur ketika itu pasti Mak Cik Lijah telah menyiapkan sarapan untuk para penghuni rumah tempat penginapan tiga orang anak muda itu.

Dugaan Mat Deris memang tepat. Di dapur, bukan saja kelihatan Mak Cik Lijah yang sedang sibuk menyiapkan sarapan untuk anak muda yang menyewa bilik di rumah itu tetapi Pak Cik Ahmad, suami Mak Cik Lijah juga turut sama membantu
isterinya. Belum pun sempat Mat Deris melabuhkan punggungnya di atas kerusi, Ripin pula muncul. Sudah tentu Ripin juga ingin menikmati sarapan pagi.

"Kau masih belum mandi, Mat Deris?" Tanya Ripin, "Apakah kau tak bekerja hari ini?"

"Aku sebenarnya telah menempuh satu peristiwa aneh," ujar Mat Deris membalas pertanyaan Ripin. Kata-katanya itu bukan sahaja ditujukan kepada Ripin tetapi juga kepada Pak Cik Ahmad dan isterinya Mak Cik Lijah.

"Peristiwa aneh bagaimana?" Ripin ingin tahu. Dia duduk menghadapi meja makan tetapi perhatiannya ditumpukan kepada Mat Deris.

Pak Cik Ahmad dan Mak Cik Lijah juga turut memusatkan perhatian mereka kepada Mat Deris.

"Semalam aku bermimpi," Mat Deris memulakan ceritanya dengan gaya dan memek muka yang bersungguh-sungguh. Keseluruhan mimpi yang dialaminya itu diceritakan kepada Ripin. Mak Cik Lijah dan Pak Cik Ahmad yang turut sama mendengarnya. Mat Deris juga turut menceritakan tentang cermin yang berada di dalam biliknya. Cermin yang boleh menayangkan wajah seorang gadis cantik berambut panjang.

"Habis, di mana cermin ajaib itu?" Ripin cepat-cepat bertanya. Dia seolah-olah sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat cermin ajaib seperti yang diceritakan oleh Mat Deris itu.

"Dah tak ada! Cermin itu dah hilang entah ke mana," balas Mat Deris, "dah puas aku mencarinya pagi ini tetapi cermin itu sudah hilang dari tempat aku menyimpannya."

"Ahh, aku rasa cerita tentang cermin itu pun mungkin sebahagian daripada mimpimu," ujar Ripin sambil menjuihkan bibirnya. Tangannya segera menyambar senduk nasi goreng yang baru diletakkan oleh Mak Cik Lijah di atas meja dihadapannya.

"Maksudmu tentang cermin yang aku ceritakan itu?" Tanya Mat Deris inginkan kepastian.

"Ya!"

"Bukan mimpi!" Mat Deris berkata penuh yakin. "Aku pasti benar bahawa ketika aku menemui cermin itu aku sudah tidak bermimpi lagi. Aku sudah terbangun dari tidurku lalu aku merokok dan meneguk air mineral. Cermin itu memang lama
berada ditanganku sebelum ianya aku simpan di dalam dairi lalu disimpan di dalam laci meja tulisku."

Ripin seolah-olah acuh tak acuh sahaja mendengar penjelasan yang diberikan oleh Mat Deris tetapi Pak Cik Ahmad dan Mak Cik Lijah agak berlainan pula. Air muka mereka kelihatan tenang dan mereka seolah-olah amat tertarik dengan cerita yang disampaikan oleh Mat Deris itu. Ini menyebabkan Mat Deris memalingkan badannya ke arah Pak Cik Ahmad dan Mak Cik Lijah.

"Perkara ini memang aneh dan baru inilah saya mengalami peristiwa begini sepanjang hayat saya," kata Mat Deris memandang ke muka Pak Cik Ahmad.

"Bagaimana rupa dan bentuk tubuh orang yang muncul di dalam mimpimu itu?" Pak Cik Ahmad mengemukakan pertanyaan.

"Yang lelaki, si pembunuh itu bertubuh besar dan tinggi. Sikapnya ganas dan kasar. Rambutnya agak panjang dan yang paling jelas aku nampak ialah tentang matanya yang di sebelah kiri yang kelihatan seperti juling..."

"Bagaimana pula tentang perempuan cantik itu?" Pak Cik Ahmad bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian.

"Perempuan yang telah dibunuh oleh lelaki besar bertubuh tegap dan sasa itu adalah terlalu cantik. Usianya masih belum melebihi tiga puluh tahun. Rambutnya panjang mengurai dan sikapnya amat menyedihkan. Melalui bayangan dari cermin yang
tiba-tiba berada di dalam bilik saya itu, dia. kelihatan seolah-olah sedang menanagis," terang Mat Deris sambil mengerutkan dahinya menandakan kehairanan.

"Adakah perempuan itu mempunyai tahi lalat di dagu kirinya?" Tanya Pak Cik Ahmad sambil merapatkan kerusinya ke arah Mat Deris.

"Ya, ya!" Sahut Mat Deris kerana memang dia masih ingat tentang tahi lalat di dagu sebelah kiri perempuan itu. "Ada! Memang tahi lalat itu ada di sebelah sini!" Mat Deris menunjukkan dagunya yang di sebelah kiri. Pak Cik Ahmad dan Mak Cik Lijah saling pandang memandang antara satu sama lain. Wajah mereka kelihatan bertukar dan kelihatan begitu
serius dan Mat Deris sudah dapat menangkap bahawa kisah yang diceritakan olehnya itu mungkin
telah berlaku dirumah itu ataupun di kawasan yang berhampiran.

"Adakah pak cik dan mak cik mengenali mereka?" Tanya Mat Deris ingin tahu.

"Kami tidak mengenali lelaki itu tetapi perempuan itu memang kami kenal benar. Dari cerita yang kamu katakan itu, perempuan itu mungkin bersamaan dengan perempuan yang kami kenali," jawab Pak Cik Ahmad sambil memandang tepat ke muka Mat Deris.

Mendengar penerangan yang dikatakan oleh Pak Cik Ahmad dan sikapnya yang bersungguh-sungguh Ripin yang sebelum ini sudah tidak menghiraukan cerita yang diperkatakan oleh Mat Deris itu kini kembali tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Mat Deris. Sambil meneruskan sarapannya, perhatiannya ditumpukan ke arah Pak Cik Ahmad dan Mat Deris.

"Siapa dia gadis cantik itu, pak cik?" Tanya Mat Deris seolah-olah tidak sabar.

"Siti! Tetapi nama penuhnya ialah Siti Zulaiha, sahut Pak Cik Ahmad.

"Siti? Siapakah sebenarnya Siti itu, pak cik?" Mat Deris ingin tahu.

"Dulu, ada tiga orang penyewa bilik di rumah ini. Kesemua mereka adalah perempuan. Mereka masih menuntut dan Siti adalah salah seorang dari mereka bertiga." Pak Cik Ahmad memberitahu. "Habis, bagaimana pula kaitannya perempuan yang bernama Siti Zulaiha itu dengan kisah yang saya alami itu?" desak Mat Deris tidak sabar.

"Siti tiba-tiba menghilangkan diri selama lima hari sehinggalah pihak polis datang memberitahu kami bahawa mayat Siti telah ditemui di dalam semak yang terletak di belakang rumah ini," terang Pak
Cik Ahmad. Suaranya agak perlahan mungkin untuk menahan perasaaan sebak di dadanya apabila mengingatkan peristiwa buruk yang telah menimpa Siti Zulaiha.

"Siapakah pembunuhnya?" Tanya Mat Deris ingin tahu.

"Hingga ke hari ini, pihak polis masih belum dapat mengesan pembunuhnya," jelas Pak Cik Ahmad dengan rasa ayang agak kesal.

"Bila kejadian itu berlaku?"

"Kira-kira tiga setengah tahun yang lalu!"

"Tiga setengah tahun yang lalu? Kejadian itu masih baru lagi," balas Mat Deris. "Memang kejadian itu masih baru dan sebab itulah mereka yang menyewa bilik di rumah ini sering sahaja tidak tahan tinggal di sini," balas Pak Cik Ahmad, "mereka sering ketakutan dan hampir dua tahun tidak ada orang yang ingin menyewa bilik di rumah ini sehinggalah kamu bertiga datang untuk menyewanya."

"Bilik yang manakah didiami oleh Siti Zulaiha itu?" Tanya Mat Deris inginkan kepastian dari Pak Cik Ahmad.

"Di bilik tempat kamu tinggal itulah!" Pak Cik Ahmad cepat-cepat menjawab. Mat Deris tersentak apabila mendengar apa yang diucapkan oleh Pak Cik Ahmad. Walaupun peluh dingin mula membasahi pipinya tetapi disebabkan oleh perasaan ingin tahunya lebih kuat menguasai dirinya dia masih dapat menyembunyikan perasaan takut dan terperanjatnya itu.

"Dia orang mana?".

"Orang Jerantut."

"Barang-barangnya masih ada lagi?"

"Dah tak ada. Dulu keluarganya datang dari kampung lalu mengambil semua barang-barang kepunyaannya," terang Pak Cik Ahmad.

"Aku ternampak semalam dia memakai baju berwarna merah jambu. Di bahagian dadanya terdapat renda berwarna biru. Mungkin pak cik atau mak cik pernah melihat dia memakai baju tersebut agaknya," Mat Deris menceritakan tentang pakaian yang dipakai oleh gadis cantik berambut panjang yang dilihatnya melalui cermin yang tergantung di bilik tidurnya.

Pak Cik Ahmad berpaling ke arah isterinya, Mak Cik Lijah. Tentu orang perempuan akan lebih arif tentang pakaian dan fesyen kaum sejenis dengannya. Mak Lijah kelihatan berfikir mengingatkan sesuatu tetapi akhirnya dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kalau tentang pakaian itu, mak cik dah lupa," ujar Mak Cik Lijah.

"Adakah mak cik ada menyimpan gambarnya?" Ripin yang tadi hanya mendiamkan diri kini mencelah.

Tak ada!" Balas Mak Cik Lijah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Pernahkah rohnya datang mengganggu penghuni di rumah ini sebelum ini?" Mat Deris kembali menyoal.

"Tidak! Perkara seumpama itu tidak pernah berlaku. Kamu semua telah tinggal di rumah ini dah hampir setahun dan hanya baru sekarang kejadian aneh ini berlaku," Pak Cik Ahmad menjawab.

Mat Deris sependapat dengan apa yang dikatakan oleh Pak Cik Ahmad. Dia dan Ripin telah hampir setahun tinggal di rumah itu. Mereka berdua serentak datang menyewa bilik di rumah kepunyaan Pak Cik Ahmad dan isterinya Mak Cik Lijah itu. Sejak menetap di rumah itu memang tidak pernah mereka mengalami peristiwa aneh begitu. Sementara Baharum pula yang baru tiga bulan menyewa bilik di rumah itu tidak pernah mengeluh atau merasa takut. Dia juga tidak pernah bermimpi buruk atau
bertemu dengan kejadian-kejadian aneh seperti yang dialami oleh Mat Deris itu.

"Bagaimana sifat Siti Zulaiha itu, pak cik?" Mat Deris kembali bertanya kepada Pak Cik Ahmad.

"Dia seorang perempuan yang sangat baik. Penyabar dan lemah lembut," terang Pak Cik Ahmad.

"Kalau begitu, apalah yang hendak dihairankan, Ripin bersuara sambil bangun dari kerusinya, "Kalau ketika di dunia dia mempunyai sifat dan akhlak yang baik lagi mulia, pasti di alam baka dia pun akan bersifat sedemikian. Dia tidak akan mengganggumu!"

Ripin ketawa terbahak-bahak sambil memandang ke arah Mat Deris. Kemudian dia bersuara lagi, "sekarang lebih baik kau pergi mandi, nanti terlewat pula masuk ke pejabat!"

Apa yang dikatakan oleh Ripin itu memang ada kebenarannya. Walaupun masih banyak lagi soalan yang perlu ditanyakan kepada Pak Cik Ahmad dan Mak Cik Lijah tentang mimpi yang dia alami semalam tetapi disebabkan tugas di pejabat adalah lebih utama, jadi terpaksalah Mat Deris menundakannya. Pada waktu begitu, pukul tujuh empat puluh lima minit pagi dia sepatutnya sudah keluarndari rumah kerana dia mesti sampai di pejabatnya sebelum pukul lapan pagi.

Continue Reading

You'll Also Like

24.1K 884 33
In the year 1951, one small particular village in Singapore was infamous for unusual sightings of the supernatural. But when mysterious deaths and un...
17.2K 422 13
The infamous killers get transferred to a dangerous asylum where only people that are very dangerous for humanity was locked up there, and unfortunat...
36.4K 333 13
Credit to @fluffynan_ book cover by @fluffynan_ "Kau buat apa dengan jantan tu hah!" -Izzat "Saya tak buat apa apa bang, saya ambil barang untuk bern...
67.7K 347 21
Hanya rekaan semata2 ya. Tiada kaitan yang hidup atau pun yang meninggal dunia