“Saya berjanji akan hormat hubungan awak dengan...siapa nama tadi? Dee? Ha,Dee. Janji.” sambung Melur lagi bersama tona suara yang bersahaja dan wajah yang mesra. Firdaus diam.

“Saya janji tak akan ganggu hubungan awak dengan dia. Apapun yang awak buat dengan dia, saya tak akan kacau atau ambil tahu pun. Janji.” kata Melur lagi dengan mata yang bersinar mesra untuk Firdaus. Firdaus terdiam mendengarnya. Dia tidak percaya akan reaksi Melur itu,tapi akhirnya perlahan dia mengangguk. Berfikir sendiri. Tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dia dengar dari isterinya. Tidak punya hatikah dia? Tidak ada perasaankah dia? Tidak terkejut atau sedihkah dia? Selambanya menerima semuanya dengan hati terbuka? Biar betul? Semua itu berlegar-legar di benak Firdaus. Wajahnya keruh mencari jawapan.

“Tapi!” Sekali lagi Firdaus terkejut besar apabila tiba-tiba mendengar suara Melur yang memecah sunyi. Suara yang lebih kuat dari sebelumnya. Mencerlang mata Firdaus. Dia mendongak memandang Melur yang sedang tunduk begitu hampir dengan wajahnya bersama jari telunjuk yang ditegakkan. Sempat dia melihat kesempurnaan solekan di wajah Melur. Solekan sederhana namun mampu menyerlahkan seri wajah pengantin. Kerudung sutera putih gading Melur yang berhias batuan kristal asli Swarovski pelbagai warna menambahkan keindahannya. Namun bukan itu yang Firdaus nantikan dari Melur.

“Dengan beberapa syarat. Kalau awak setuju dengan syarat-syarat saya,semua janji saya tadi saya akan patuhi dan permintaan awak saya akan penuhi. Deal?” Firdaus diam seketika sambil menatap sepasang mata Melur. ‘Ishk,cantiknya budak ni.’Dia menelan liur. Melur mengangkat-angkat keningnya tanda bertanya. Menanti jawapan Firdaus.

“Okey,apa syaratnya?” soal Firdaus bersetuju. Melur menegakkan badannya semula dengan senyuman. Dia terus berdiri di hadapan Firdaus. Mengangkat ibu jarinya.

“Syarat pertama. Kita tak boleh berbahasa awak-saya sebab kita ni suami isteri. Awak kena panggil saya dengan nama saya,Melur. Dan saya akan panggil awak abang. Sebagai tanda hormat saya pada awak. Tapi kalau depan kawan-kawan,saudara mara,lebih-lebih lagi family kita,awak kena panggil saya...” Melur berhenti di situ lalu tunduk menyua wajahnya hampir ke wajah Firdaus. Firdaus menahan nafasnya.

“Sayang.” bisik Melur sambil mendekatkan lagi wajahnya ke wajah Firdaus. Firdaus menelan liur lagi. Melur senyum dan mengangkat jari telunjuknya pula. Jari ke dua yang ditegakkan.

“Syarat yang ke-2. Kita tak boleh tidur asing-asing sebab kita ni suami isteri. Kita kena tidur bersama,di dalam bilik yang sama dan di atas katil yang sama. Itu fitrah perkahwinan. Tempat isteri dan suami adalah di sisi masing-masing.” kata Melur bersama tangannya yang menunjuk ke arah katil mereka. Firdaus diam mendengar.

“Syarat yang ke-3. Kita tak boleh solat asing-asing. Kita suami isteri adalah lebih afdal solat jemaah bersama. Kalau awak ada kat rumah,awak kena imamkan setiap solat saya.” kata Melur bersama 3 batang jari yang ditegakkan. Firdaus ralit memerhati Melur yang bercakap seperti seorang pensyarah itu.

“Syarat yang ke-4. Awak kena makan kat rumah. Sarapan pagi dan makan malam,mesti kat rumah. Saya nak suami saya makan dari air tangan saya sebab itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang isteri.” Melur bersyarat lagi bersama 4 batang jari runcingnya yang ditegakkan. Dia senyum lagi. Mata Firdaus melekat pada senyuman itu. Senyuman yang dihiasi barisan gigi yang tersusun indah. Warna gincu gabungan merah jambu dan magenta itu menyerlahkan warna gigi yang putih bersih itu.

“Syarat yang ke-5. Seminggu sekali pada salah satu hari di hujung minggu,kita kena keluar bersama. Habiskan masa bersama,yakni dating.” kata Melur lagi bersama senyuman yang mematikan pandangan mata Firdaus di situ. Melur mengangkat 6 batang jarinya.

“Syarat yang ke-6. Awak kena balik kerja awal. Sebelum Maghrib awak kena ada kat rumah untuk solat Maghrib bersama dan makan malam bersama.” Firdaus tekun mendengar sambil memerhatikan bahasa tubuh Melur yang kelihatan comel di matanya. Melur bercakap bersama wajah dan gaya yang menceritakan apa yang diucapkan.

MY 'RUDE' WIFEWhere stories live. Discover now