PERGILAH AIR MATA 1

Start from the beginning
                                    

"Datuk...,"Sabrina bersuara gugup. Serba salah. Dalam enggan, dia menghulurkan tangan. Tidak mahu dianggap biadap sebenarnya. Dan, tidak pula dia sangka, Datuk Hamidi sudi menyambut huluran jemarinya. Tangan Datuk Hamidi dikucup perlahan. Sama ada lelaki itu suka atau tidak, dia kini sudah menjadi menantunya. Dia pula, sama ada dia suka atau tidak , dia perlu menghormati Datuk Hamidi sebagai mertuanya.

"Duduklah,"

Sabrina mematung. Cuma matanya menatap wajah Datuk Hamidi. Terkejut dengan layanan baik Datuk Hamidi.

Melihat wajah yang jelas kelihatan serba salah di hadapannya itu, Datuk Hamidi mengukir senyum. Sabrina turut tersenyum. Membalas senyuman bapa mertuanya dengan sekuntum senyuman yang cukup hambar. Hatinya sedikit lega. Sekurang-kurangnya, masih ada insan yang sudi melayannya seperti manusia. Perlahan lelaki itu melabuhkan punggung ke sofa.

"Duduk, Sabrina," bicara Datuk Hamidi kedengaran seperti arahan di telinganya. Sabrina mengangguk perlahan. Dia melabuhkan punggung di hadapan lelaki separuh abad itu, setelah lelaki itu tersandar selesa di sofa.

"Terima kasih, Datuk,"

Datuk Hamidi tersenyum nipis. Wajah Sabrina ditatap agak lama. Jelas kelihatan mata Sabrina yang bengkak. Pasti terlalu banyak menangis. Wajah itu nampak cukup sugul. Langsung tiada seri pengantin. Mana datang serinya, kalau semuanya berlaku cuma di dalam sekelip mata? Dia mengeluh perlahan. Arang yang terconteng di muka, rasanya masih berbekas. Malu sungguh dia dengan tingkah anak sendiri. Siapa yang harus dia persalahkan? Badrul atau Sabrina? Sudahnya, dia mengambil keputusan, abaikan siapa yang salah dan siapa yang betul. Jalan paling selamat baginya, satukan pasangan itu sebelum lebih banyak cerita-cerita tidak enak diproses dek telinganya nanti. Pasti sakit telinganya mendengar alunan irama sumbang tentang berita Badrul nanti.

"Sabrina sudah menikah dengan Badrul. Bermakna, sekarang ni, Sabrina sudah menjadi menantu saya. Panggil saya abah,"walau payah untuk dia akui semua itu, kenyataan yang ada di hadapan mata, tidak boleh dia pertikaikan. Badrul sudah selamat melafazkan akadnya dan ini bermakna gadis ini sudah menjadi menantunya. Dan, orang yang bertanggungjawab memberi arahan itu, adalah dirinya sendiri.

Sabrina mendongak. Bagai tidak percaya mendengar kata-kata yang baru keluar dari bibir Datuk Hamidi. Bermimpikah dia? Ternyata masih ada insan yang sudi menerimanya di sini.

"Datuk tak marahkan saya?,"

"Marah abah tak akan dapat ubah apa yang dah berlaku. Kan?,"Datuk Hamidi memberi jawapan yang cukup tegas. Sabrina tunduk lagi. Dalam sekali maksud kata-kata yang meniti di bibir Datuk Hamidi. Namun, dia gagal menebak erti sebenarnya.

"Badrul mana?,"

Sabrina menggeleng. Manalah dia tahu. Masuk sahaja ke rumah ini, Badrul terus menghilang. Meninggalkannnya terpacak sendirian di tengah-tengah ruang tamu. Perlahan-lahan mindanya kembali berfungsi. Baru dia sedar, tindakannya yang tidak membantah saat Datuk Hamidi mengarahkan agar dia dan Badrul dikahwinkan, adalah satu kesilapan. Tetapi, dia memang tidak mampu berbuat apa-apa saat itu. Dia benar-benar keseorangan. Dia benar-benar takut. Dan, dia benar-benar binggung dengan apa yang berlaku. Ditambah pula dengan rasa terkejut yang amat sangat serta rasa malu yang tidak bertepi, dia benar-benar menjadi manusia bisu. Dia tidak mampu bersuara walaupun untuk membela dirinya sendiri. Dia betul-betul menjadi manusia yang amat lemah. Saat itu dia cuma terbayangkan wajah Ikmal dan Maria. Namun, sampai ke akhirnya Maria dan Ikmal tidak muncul di hadapannya. Tidak tahu apa puncanya. Mungkin Ikmal dan Maria marah padanya. Marah kerana sekelip mata dia menjadi seorang perempuan yang tiada maruah.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 05, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

PERGILAH AIR MATAWhere stories live. Discover now