BAB 1

27 2 0
                                        

Tahun 2019

Kampung Caklani

KILAT memancar-mancar di muka langit. Sekejap hilang, sekejap timbul mengusik kegelapan malam. Angin pula menderu-deru datang membawa bau hujan yang kenyang meratah rerumputan di tempat lain. Daun-daun kering di sekitar gelanggang mula berterbangan.

Melihat keadaan itu, Pateh segera memberhentikan latihan silat. Disuruh semua anak muridnya segera pulang ke rumah sebelum hujan menyentuh tubuh badan.

"Tumpang, bang?" Salah seorang anak muridnya berlari mengejar Pateh yang sedang menghidupkan enjin motorsikal.

Pateh pandang ke arah gelanggang, anak murid yang lain sudah bergegas balik dengan kenderaan masing-masing. Dia pandang pula budak lelaki tadi yang dia tahu rumahnya di mana. Seorang anak yatim piatu.

"Naik," katanya.

Budak lelaki itu pun tanpa berlengah terus memanjat tempat duduk belakang motorsikal Pateh. Tanpa berlengah Pateh memecut laju meninggalkan kawasan gelanggang.

"Terima kasih, bang!" ucap budak lelaki tadi setelah sampai di hadapan rumahnya. Ketika itu hujan sudah mula turun renyai-renyai. Muka dan bajunya sudah basah.

Pateh cuma tersenyum sebelum meneruskan perjalanan ke rumah yang terletak kira-kira satu kilometer lagi jauhnya. Sedang leka memecut, dia terdengar bunyi ngauman yang kuat dan menggegarkan. Bunyi itu terlalu jelas sehingga tubuhnya terasa ditolak oleh angin.

"Eh! Eh!"

Motorsikalnya hilang kawalan dan tersasar hingga ke tanah merah. Dia beristighfar sebentar seraya mengurut dada. Dia memandang sekeliling. Apa yang dia lihat hanyalah kegelapan malam.

Bunyi apa tadi tu? Hendak dikatakan bunyi harimau; bukan. Bunyinya aneh. Pateh dihurung seribu pertanyaan.

Aum... grr...

Ngauman itu kedengaran buat kali kedua.

"Uih!" Pateh kelam kabut menghidupkan semula enjin motorsikal. Tubuhnya menggigil dipeluk hujan dan angin malam yang semakin kuat.

MALAM semakin larut. Kawasan kampung di tepi sungai itu sudah mula beransur sepi. Motorsikal dan kereta pun hanya sesekali melintas di hadapan rumah, selebihnya hanya malam yang dihanyutkan sunyi. Namun Pateh masih terkebil-kebil merenung apa sahaja yang ada di hadapan mata.

Fikirannya ribut. Berbelit-belit. Kusut masai.

"Apa yang difikirkan tu? Jauh tak terjangkau. Dalam tak terselam."

Hajar mengusik renungan Pateh. Hatinya yakin, Pateh bukannya sedang menonton televisyen. Jasad sahaja di situ namun fikiran sudah melayang entah ke mana.

"Mak belum tidur lagi?"

Pateh tersentak apabila terdengar suara ibunya. Difikirkan resahnya tidak dilihat sesiapa. Dia bangkit duduk. Kucing kesayangannya yang bertompok putih kuning, diangkat dan diletak di atas riba.

Hajar menggeleng. Memang dia sudah mahu tidur namun entah kenapa malam itu dirasakan panas berbahang. Puas dikipas-kipas pun tidak hilang. Tidak disangka pula Pateh begitu juga.

"Pateh tu kenapa belum tidur? Esok kan kerja?"

"Saya ada perkara nak cakap pada mak."

Pateh muntahkan juga gelora di hati. Sudah tidak sanggup ditanggung masalah yang satu itu. Mungkin juga ibunya punya jalan penyelesaian sebagai orang yang lebih tua. Lebih dahulu makan garam. Lebih dahulu melihat alam yang terbentang.

Spontan anak mata Hajar berkalih. Pandangan matanya tumpah ke seraut wajah Pateh yang kusut. Sebagai ibu, hatinya sudah mula risau namun tiada masalah yang tidak ada jalan penyelesaian. Pengalaman hidup mengajarnya begitu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 19, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

NAGALUSIAWhere stories live. Discover now