1466 Tahun Masihi
Ribut taufan melanda hebat malam itu. Awan hitam yang bergulung memuntahkan isi tanpa henti. Bumi Melaka bergegar tiap kali guruh berdentum. Berselang seli bersama halilintar yang berselirat memecah langit.
Dua pahlawan termasyhur kerajaan Melaka sedang bersabung nyawa bertarung di tengah hutan belantara yang basah ditenggelami hujan. Sudah berjam-jam mereka cuba membunuhi satu sama lain. Seorang sedang mempertahankan maruah Seri Paduka Sultan, seorang lagi mempertahankan maruah dirinya. Nyawa jadi pertaruhan. Hidup atau mati jadi ganjaran.
Pertarungan antara dua pahlawan diRaja itu membawa mereka ke sebuah kawasan lapang di tengah hutan. Hujan tetap mencurah lebat. Angin tetap bertiup kencang. Mereka berdua sudah mengalami kecederaan parah, dan luka di sana sini akibat tusukan senjata mereka – seorang memegang sebilah pedang tirus yang panjang dan seorang lagi menggenggam sebilah pedang yang melengkung. Pertarungan ini tidak menggunakan keris. Mana mungkin senjata sekecil itu mampu menewaskan dua panglima terhebat di seluruh bumi Melaka?
Tiba-tiba salah seorang pahlawan itu tersilap langkah. Malang datang menimpa kerana kakinya tergelincir akibat terpijak dedaun yang licin berselerak di lantai hutan. Kesilapan itu cuma separuh detik, tetapi hayunan pedang tirus yang sepatutnya dituju ke leher lawannya telah dapat ditangkis dengan senang.
Lawannya itu pula bukan jaguh sembarangan; dia mula menyerang balas dan menghujani beberapa tendangan lingkar yang hinggap tepat ke dada mangsanya. Hanya kesilapan separuh detik diperlukan untuk menamatkan sengketa ini.
Akibat serangan balas tersebut, pahlawan yang tersilap langkah tadi telah tersandar ke sebuah pohon cengal. Sambil tercungap kepenatan, pedang tirus kesayangannya terpaksa dilepaskan ke tanah. Dadanya terasa kebas kerana dua tulang rusuknya telah retak disebabkan tendangan melingkar tadi. Lututnya hampir tidak mampu untuk menampung berat badan tetapi dia tetap gagahi untuk berdiri.
Laksamana Hang Tuah mengunci lengan kanan pahlawan tersebut agar dia tidak boleh bergerak. Lehernya pula disuakan dengan mata pedang yang lebar dan melengkung itu.
Walaupun tingginya melebihi setengah jengkal dari Hang Tuah dan punyai ilmu kepahlawanan yang lebih tinggi, dia sudah lama patah semangat serta pasrah untuk menghadapi ajal. Pahlawan yang bakal mati itu mula berbicara untuk kali terakhir.
"Bunuh saja aku Tuah. Usah ditunggu lagi." Suaranya parau akibat keletihan tetapi penuh dengan nada keyakinan yang tinggi. Seperti orang yang sudah menempa maut berpuluh-puluh kali. Tiada takut. Tiada curiga.
Dia merenung raut wajah Hang Tuah dengan mata yang tidak berkelip, menunggu jawapan. Dahinya dibasahi hujan, rambutnya yang panjang telah berjurai dan melekap di separuh mukanya.
Laksamana Melaka itu cuma menatap wajah pahlawan yang pernah dikasihinya. Kasih yang tidak berapa lama dahulu melebihi segala-galanya.
"Jebat yang tiada dosa itu ayahanda bunuh. Anak murid ayahanda sendiri!" Hang Tuah berteriak kepadanya. "Derhaka ayahanda pada Paduka Tuanku juga tidak tertanggung manusia biasa."
Dia menatap keras wajah Hang Tuah – wajah orang yang bakal membunuhnya, sambil mencari suatu kepastian. Adakah kau mampu dengar? Adakah kau akan mengerti?
"Usah ditunggu lagi Tuah."
Angin kencang makin menggila.
Beberapa detik berlalu. Matanya menatap keras wajah Laksamana Melaka yang sedang kusut membuat keputusan. Hang Tuah tetap tidak lepaskan pedang yang terhunus di leher. Di atas mereka, langit sedang mengganas dengan ribut dan kilat yang sabung-menyabung.
Hang Tuah akhirnya bersuara. Sampai saatnya dia nekad.
"Engkau yang dilaknati, minta ampun pada Tuhan!"
Dengan segala sisa tenaga yang masih ada, Hang Tuah menghunuskan mata pedangnya ke tubuh orang yang baru sahaja ditewaskan. Hunusan itu bermula dari perut, dan ditusuk ke atas menuju ke hulu hati dan seterusnya ke jantung. Bagi kalangan orang biasa, ia adalah tikaman yang mendatangkan maut dalam sekelip mata.
Tetapi orang yang cuba dibunuh itu bukan manusia biasa. Di tengah-tengah azab kesakitan yang melanda, dia sempat menurunkan rahsia pengetahuan yang terakhir dari mulutnya sebelum ajal datang mengambil alih. Air muka Hang Tuah menjadi muram durja setelah mendengar rahsia tersebut. Namun nasi sudah menjadi bubur. Alang kepalang bara api digenggam, biar sampai jadi arang.
Apabila jasad itu sudah tidak bernyawa, ia ditanam di bawah pokok cengal pada malam itu juga. Hang Tuah dibantu oleh tiga lagi sahabatnya – Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu, untuk menggali kubur dan menanam mayat tersebut secepat mungkin.
Tiada talkin dibacakan; hanya sebuah sahaja batu nisan didirikan.
Maka tamatlah riwayat pahlawan paling digeruni rantau itu; dibunuh oleh Hang Tuah, anak didiknya sendiri. Kuburnya telah dibiarkan di situ untuk dilupakan dan tidak dijumpai lagi.
Dan, semenjak hari itu, bumi Melaka tidak lagi bertuah. Ia sentiasa dirundung malang. Dan tidak sampai setengah abad kemudian, Melaka jatuh ke tangan penjajah.
YOU ARE READING
Mythology (Draft Title)
Historical FictionSebuah historical fiction, mengenai pahlawan agung durjana yang sejarahnya sengaja dipadamkan suatu waktu dahulu. Satu pasukan ahli sejarah abad ke 21 cuba untuk mendalami kisahnya, apabila sebuah buku purba dijumpai semula setelah berabad hilang. K...
