1

206 7 0
                                    

SAYA PILIH UNTUK ABAIKAN getar telefon di sudut kepala katil dengan berpaling ke kiri. Pandangan mamai merai dinding putih serba kosong. Pemandangan yang sama saya tempuh dari kecil hingga ke besar, membuatkan segalanya kembali nyaman. Saya masih di tempat yang saya patut berada—dalam sempadan yang saya ramah. Difikirkan balik, cuti pasca SPM ini sebenarnya boleh tahan bosan.

Ada beberapa rancangan yang saya dah turuti sejak dua minggu lepas. Ia buat saya yakin bahawa saya tidak akan mereput bosan. Lima hingga enam filem sudah saya tonton—di pawagam dan laptop—juga beberapa lagu menarik yang saya jumpa di Spotify—moga tuhan rahmati mereka yang berkongsi dalam playlist awam mereka—berakhir dengan album penuh saya muat turun. Kesemua ini masih jauh untuk beri keseronokan jangka panjang.

Seperti selesema, kebosanan juga sukar untuk dipulihkan. Bagaimanapun saya mampu ubatinya, lambat-laun ia tetap datang dengan wajah yang baru. Itu buatkan saya teroka pengalaman lebih jauh. Hujung minggu lepas saya buat keputusan untuk ke festival seni indie walaupun saya tak tahu apa yang ada di sana. Saya sendiri tak pernah pergi ke event seperti itu sebelumnya. Sesi skrol di laman sosial ketemukan saya dengan jadual festival: beberapa persembahan daripada kugiran tempatan, galeri yang dibuka tiap masa bagi pameran seni, gerai-gerai yang jual barang bersemangat DIY. Tidak sampai sejam berada di sana, akal jadi buntu, kaki rungut lesu dan jiwa separuh mati. Mungkin kemeriahan festival adalah sesuatu untuk dirai secara jamak. Maka untuk hadir secara individu, seolah cari pasal dengan diri sendiri.

Jadi ini masa yang terbaik untuk saya berterima kasih kepada katil di bilik ini. Ia sahaja yang boleh terima saya tanpa sebarang rungutan meski saya tahu ia semakin lama semakin melengkung menahan beban berat tubuh saya.

Sesekali saya bayangkan masa bergerak laju dan akhirnya bawa saya pada hari pertama ke universiti. Muncul imej pintu bilik ini yang dibuka tutup dengan kehadiran ibu dan ayah. Mereka ketuk pintu, pusing tombol, jenguk ke dalam dan kata sesuatu kepada saya—dengan gaya mulut mengomel hal yang saya tak faham. Langsir di tingkap menghala ke lorong belakang rumah berulang diselak dan kembali bertutup penuh. Ia masuk akal dengan saya yang memilih untuk raikan gelap. Cuaca berubah daripada terik hingga hujan dan mendung. Selain salakan anjing jalanan pada waktu rambang, bunyi masih kekal sepi seperti mana bilik ini sentiasa sepi—tak ada bunyi rakaman dilajukan atau apa. Semua ini bergerak dan saya bangkit dengan kemeja, tali leher, seluar slack dan dokumen pendaftaran universiti.

Saya keluar dari rumah dan kunci pintu. Ibu dah ayah sedang menunggu di dalam kereta. Waktu saya langkah masuk ke kereta, saya terdengar ucapan selamat belajar daripada Juria di sebelah rumah.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 14, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

J oleh Syahmi FadzilWhere stories live. Discover now