Prolog
SANGAT tidak puas hati dia dengan keputusan yang ditunjukkan oleh termometer itu. Sejak dari semalam asyik sama sahaja. Dia merasakan badannya panas tetapi mengapa termometer itu sentiasa menunjukkan suhu badannya normal? Rosakkah?
Hurm... baru beli kelmarin sudah rosak!
Menoleh ke arah Hakim yang duduk di sebelahnya seraya menonton televisyen. Ditarik tangan suaminya itu lalu ditekapkan telapak tangan Hakim ke dahinya. Biar Hakim sahaja yang memberikan kata putus.
"Rasa tak?" Mata bundarnya terkebil-kebil merenung Hakim. Mengharapkan kepala Hakim mengangguk.
"Rasa apa? Biasa je."
"Abang tak rasa panas ke?"
Hakim menggeleng. Dia terus kecewa. Dibawa tangan Hakim ke lehernya pula. Mungkin di situ haba tubuhnya lebih terasa.
"Sini?"
"Biasa jelah, Zilah," kata Hakim sebelum terlintas di fikiran hasrat sebenar Zilah menyuruhnya menyentuh dahi dan leher yang mulus itu.
Senyuman bersimpul pada bibir Hakim. Zilah mengajaknya bersanggama, fikirnya. Pandai juga Zilah merangsangnya.
Tersalah baca, jari-jari Hakim mula mengelus pangkal leher isterinya meleret ke dada. Dirapatkan bibirnya ke pipi Zilah.
"Heiiisyyy, abang ni... saya tengah tak sihat, abang nak pulak!" Zilah menepis tangan Hakim lantas beralih ke sofa yang lebih jauh.
Hakim tersenyum lagi. Jual mahal pula isterinya itu. Malulah tu! Sudah bernikah hendak malu apa?
Dia kembali menonton televisyen. Tidaklah kecewa sangat sebab sebentar lagi dia tahu dia pasti akan dapat juga habuannya.
"Saya rasa saya mengandunglah, bang," ujar Zilah. Mata lurus memandang Hakim.
Dia memerlukan sokongan Hakim sekarang. Dia mahu Hakim sependapat dengannya. Berkongsi segala rasa yang dia rasa. Tetapi Hakim mengetawakannya.
"Mainan perasaan awak je tu."
Baru lagi mereka bernikah, takkanlah sudah mengandung! Tetapi jika betul isterinya hamil, memang terbuktilah dia lelaki hebat.
Senyuman meleret Hakim tayangkan.
Zilah pekakkan sahaja telinganya. Hakim bukan doktor. Dia seorang lelaki yang suka ambil mudah. Sejak bernikah, cakap Zilah tidak pernah dipandang serius. Digelak-gelakkannya sahaja. Tidak seperti semasa mereka bercinta dahulu, sekecil-kecil zarah pun Hakim ambil kisah.
Baru beberapa bulan bernikah, Hakim sudah berubah. Kemesraannya bak orang yang sudah bosan dengan rumah tangga yang dibina. Hambar. Yang tidak pernah hambar, nafsu syahwatnya. Setiap malam Hakim tidak jemu menuntut haknya.
Esok sahaja Zilah pergi ke klinik panel untuk berjumpa dengan doktor yang benar-benar bertauliah. Zilah yakin dia mengandung sebab simptom yang dia alami, pernah dialami oleh Wany sebelum sahabat baiknya itu disahkan berbadan dua. Kini tiba gilirannya pula.
Terus teruja hatinya bila teringatkan Wany. Sudah terbayang-bayang dirinya sibuk memilih barangan bayi bersama Wany.
"Kalau betul saya mengandung macam mana?"
"Tingginya imaginasi isteri abang ni." Hakim ketawa lagi. Bagai ditusuk belati hati Zilah dibuatnya. "Kalau nak mengandung sangat, let's fuck. Kita buat anak."
"Saya tak sihatlah, bang!" Hakim dijelingnya. Benci sangat dia dengan perkataan fuck yang Hakim gunakan. Dia rasa kotor.
"Tu tanggungjawab. Kalau suami nak, isteri sihat tak sihat kena bagi jugak!" Hakim laraskan hukum pegangannya.
