Bab 2

8.1K 101 2
                                    

"APA yang Teja cakap ni? Nak bergurau dengan mak su, ya?" Berkerunyut dahi Datin Farhah. Kurang faham. Wajah Teja dipandang lama. Sudah beberapa hari wajah cantik itu kehilangan senyum. Bukannya dia tak perasan. Cuma malas nak bertanya. Risau Teja terlebih touching pula nanti. Cukup-cukuplah keluhan tak sudah Teja itu merimaskannya.

"Teja tak berguraulah, mak su. Teja serius dengan apa yang Teja cakap."

"Teja jangan nak buat gila! Mak su tak setuju! Dua ratus peratus mak su tak setuju! Bising pak su nanti. Apa yang mak su nak jawab dengan pak su? Kan Teja dah janji nak bantu pak su! Apa kes tiba-tiba nak lancarkan misi balas budi pula ni? Dah macam nak pergi Syria aje gaya misinya!" bantah Datin Farhah. Tangan naik bersilang di dada. Satu-satunya wajah anak gadis tunggal arwah kakaknya Farhana, direnung tak puas hati.

Apa agaknya yang Teja mimpi malam tadi? Apa kes yang pagi-pagi dah merepek yang bukan-bukan? Mustahil mamai lagi. Dah pukul 10 pagi. Matahari dah tinggi atas langit tu. Putrajaya dah panas terik!

Teja telan liur. Risau nak pandang wajah serius Mak Su Farhah. Volume suara mak su pun macam dah lain sikit. High pitch! Mak Su Farhah ni memanglah ibu saudara yang sangat lembut dan sporting. Boleh dibawa ke tengah, ke tepi dan ke atas. Tapi, bila dah datang angin tak puas hatinya tu, automatik boleh bertukar jadi mak tiri Cinderella. Sila tadah telinga!

"Teja jangan nak cari penyakit!" Datin Farhah dah keluarkan amaran gelombang kecil.

Teja telan liur. "Tapi mak su... Itu semua salah Teja. Teja kenalah bertanggungjawab. Teja tak boleh nak buat tak tahu macam tu aje. Teja aje bahagia. Tapi dia yang sengsara. Kasihan dengan dia, mak su. Dah dua bulan. Sampai bila nak biarkan? Demi Allah Teja tak tahu pula yang selama ini dia sakit sampai macam tu sekali."

Datin Farhah geleng kepala perlahan-lahan.

"Habis tu? Teja nak suruh dia langgar Teja baliklah? Teja nak terkedang atas katil, koma dan tak boleh buat apa-apa! Lepas tu baru Teja rasa lega? Rasa puas hati? Rasa aman dunia? Rasa terbalas semua budi? Macam tu?"

Huish! Macam peluru bidasan Mak Su Farhah. Kening yang tak gatal digaru. Banyaknya soalan. Nak jawab yang mana dulu?

"Errr... Bukan macam itulah, mak su."

"Habis tu... Macam mana?" Bulat mata Datin Farhah.

Teja terdiam agak lama. Aduhai! Tangan naik pula menggaru kepala yang tak gatal. Serba tak kena jadinya. Otak lincah mencari idea nak menjawab. Susah kalau berlawan cakap dengan ex-student law ni. Jangan mimpilah nak menang. Terlebih fakta kang dikatakan dia 'terlebih ajar' pula.

"Teja... Dengar sini. Pandang muka mak su ni. Berapa kali mak su nak cakap? Ini semua adalah accident. Bukan kita yang rancang. Bukan niat Teja nak buat cucu teruna sebelah rumah tu dilanggar kereta. Dia yang nak tolong Teja, kan? Nak selamatkan Teja. Itu bahagian dialah. Bukannya Teja yang beria-ia suruh!"

"Kenapa pula Teja nak bertanggungjawab bagai? Lagi pun, Teja nak bertanggungjawab untuk apa? Dia dengan Teja bukannya siapa-siapa. Nak kata berjiran. Baru lately ni aje Teja sedar itu jiran Teja. Hah! Itu pun lepas kes accident tu. Ini semua takdir! Teja faham, kan? T.A.K.D.I.R. Allah dah tentukan macam tu." Berjela hujah Datin Farhah. Sangat jelas dan terang-benderang. Kalah lampu stadium. Kalau anak saudaranya ni tak faham juga, tak tahulah.

Terkebil-kebil mata Teja. Wah! Mak Su Farhah siap eja perkataan takdir tu. Tak tahan betul! Nasib baik mak su tak explain definisi sebenar seperti dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tu. Kali itu mahu Teja terus pengsan.

"Teja tahu, mak su. Itu semua adalah takdir. Tapi... Teja yang jadi punca accident tu berlaku. Kalaulah Teja berhati-hati masa nak lintas jalan tu, pasti semua ini tak akan terjadi. Teja yang lalai. Teja yang... yang..." Teja dah mula sebak. Mata sudah panas. Dia rasa tak mampu nak habiskan ayat. Sedih! Air jernih laju mengalir di pipi. Kalau masuk bab ini dia memang sensitif. Laju aje air mata meleleh. Sejak dua menjak ni, hatinya sangat lembut mengalahkan tisu.

Misi Terlajak CintaUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum