POTRET keluarga yang ditangkap semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri setahun yang lalu direnung dengan juraian air mata. Dalam gambar itu, keluarganya sangat gembira dan bahagia. Tatkala hati disapa rasa rindu, Hani Fiqah hanya mampu menatap wajah yang dipotretkan dengan perasaan yang pilu. Tahun ini, sambutan perayaan tidak ada kemeriahan sebab keluarganya sedang berdukacita!
Genap sudah tujuh hari Haris kembali ke rahmatullah. Sebagai insan yang sangat rapat, Hani Fiqah hanya mampu mendoakan kesejahteraan dan ketenangan roh arwah di alam baqa. Sungguh, jauh di lubuk hatinya masih tidak mampu melepaskan insan yang amat disayangi itu. Terlalu perit apabila ditinggalkan buat selama-lamanya. Setiap kali usai berdoa, Hani Fiqah akan duduk menyepi sambil mengenang arwah. Bagaimana dapat dilupakan insan budiman itu sedangkan masih ada persoalan yang belum terungkai sebelum pemergiannya.
"Hani..."
"Ya abah...Hani ada kat sini. Abah nak apa-apakah? Abah nak minum air?"
Haris menggeleng lemah. "Abah...abah nak cakap sesuatu pada Hani." Serak nada yang lahir dari mulut lelaki yang sedang tenat itu.
"Apa dia, abah?" Ditatap wajah pucat Haris tanpa berkedip.
"Hani jaga mama dan adik-adik, ya? Abah tak dapat lagi menjaga keluarga kita, Hani..."
Hani Fiqah terpempan. "Abah!" 7
"Abah harap Hani dapat bawa mama balik ke KL, jumpa atuk dan nenek. Sampaikan salam abah... sampaikan pada dia orang, abah minta maaf sangat-sangat, ya Hani?" ungkap Haris dengan agak payah.
"Sampaikan pada mama, abah minta maaf..." Tersekat-sekat suara Haris.
"Abah! Kenapa abah cakap macam ni?" Hani Fiqah mulai gelisah. Dadanya berdebar-debar. Diusap-usap lembut dada kurus Haris.
"Abah memang bersalah pada mama Hani." Tiba-tiba Haris tersedu.
"Abah!"
Air mata Haris mengalir lebat. Hani Fiqah menggeletar. Nafas abah yang sangat disayangi itu mulai tersekat-sekat, kepayahan. Air mata Hani Fiqah gugur, turut terasa sakit melihat penderitaan abahnya.
"Berehatlah abah...nanti sesak pula nafas abah."
"Abah nak cakap sikit lagi, Hani. Abah takut abah tak sempat nak beritahu Hani!"
"Abah!" Hani Fiqah menggeletar. "Abah janganlah cakap macam ni. Rehatlah, ya?" pujuknya lagi.
Lemah gelengan kepala Haris. "Hani tolong sampaikan pada mama, maafkan kesalahan keluarga abah!" katanya dengan suara timbul tenggelam.
"Abah, Hani tak faham!" Sungguh, Hani Fiqah tidak betah mendengar kata-kata sedih abahnya. Hatinya rasa tersayat!
Haris menarik nafas melalui mulut. Bola matanya naik ke atas seketika. Bahagian dadanya naik sedikit setiap kali dia menarik nafas yang panjang dengan payah. Tubuhnya berpeluh dingin. Segera ditarik alat Nasal Cannula namun kepala abahnya menggeleng. Menolak alat bantu pernafasan itu. Hani Fiqah jadi cuak.
"Bapa...mak, ampunilah saya. Leya...maafkan abang. Leya..." Suara Haris kian tenggelam, hampir tidak kedengaran. Matanya yang basah terpejam rapat.
"Abah mahu mama di sini? Hani panggilkan mama, ya?"
Kata-kata yang terungkap dari mulut abahnya sangat menggentarkan hati Hani Fiqah.
Namun, Haris menggamit lengannya. Hani Fiqah terpaksa mengurung niat memanggil Aleya. Bibir Haris bergerak-gerak mahu berkata-kata tapi kudratnya seperti sudah habis.
"Abah mengucap...ikut Hani ya, abah... Laa ilaaha illallaah..." Hani Fiqah berharap selepas mengucap, emosi abahnya akan kembali tenang.
Haris terlelap sejurus mengucap dua khalimah syahadat. Namun, hati Hani Fiqah dilanda risau. Perasaannya benar-benar tidak tenang.
"Abah..." panggilnya perlahan. Digerakkan lengan dan disentuh dada Haris. "Abah!" panggilnya lagi.
Tubuh kurus Haris terkulai layu. Hani Fiqah tergamam, denyutan jantungnya seakan terhenti. Pautan tangan Haris perlahan-lahan terlerai. Mata lelaki itu sudah tertutup rapat. Dadanya yang berombak seketika tadi tiba-tiba tenang, senyap. Hani Fiqah menggeletar hebat tatkala memeriksa nadi abahnya sudah tidak berdenyut lagi!
"Abah...Abah!!!"
Hani Fiqah dikejutkan rintihan pilunya sendiri. "Ya ALLAH, daripada-MU kami datang, kepada-MU juga kami kembali. Abah sudah kembali ke rahmatullah! Tenang dan damailah abah di sana," bisiknya perlahan lalu mengusap air matanya yang lebat.
"Abah... rahsia apakah yang abah pendam selama ini? Kenapa abah tak beritahu pada Hani 9
lebih awal lagi?" bisik Hani Fiqah lagi. sungguh sayu hatinya.
"Hani!"
Hani Fiqah tergamam. Pantas menyedari kealpaannya menyembunyikan kelemahan perasaan. "Astaghfirullahalazim!" bisiknya lalu segera mengusap wajah.
"Hani tak sihat ke?" tanya Aleya dengan nada cemas.
"Taklah mama...Hani tak apa-apa," jawab Hani Fiqah lantas menggamit lengan mamanya.
Aleya mengusap lembut lengan anak gadisnya sambil menatap tepat ke mata. Entah bagaimana hidupnya jika tanpa Hani Fiqah di sisi! Segala tanggungjawab sebagai ketua keluarga terpikul di bahu anak gadisnya itu sejak Haris disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru. Dua tahun dalam rawatan, sebulan terakhir Haris terlantar tenat dan meninggal dunia seminggu yang lepas. Hani Fiqahlah yang mengatur dan mengurus segala keperluan mereka sekeluarga walhal usia Hani Fiqah baru genap 23 tahun.
"Jadi tak Hani ke pekan esok?" tanya Aleya. Itu tujuannya masuk ke kamar tidur anak gadisnya itu sebentar tadi.
"Jadi, mama. Mama nak ikut Hani?"
Aleya menggeleng perlahan. "Kalau Nurul tak sibuk, ajak saja dia datang. Mama nak potong rambut, dah panjang sangat rambut mama ni, Hani. Rasa rimas sangat!"
Hani Fiqah menatap wajah redup Aleya. "Okey mama."
p$U;P
YOU ARE READING
ANUGERAH TERINDAH - SAYANG KINABALU
RomanceANUGERAH TERINDAH - SAYANG KINABALU HANI FIQAH menjadi tunggak keluarganya, menjaga ibu kurang upaya dan membesarkan adik-adiknya yang masih kecil setelah kehilangan ayah tempat bersandar dan bergantung hidup. Dalam satu insiden, terjadi pertemuan d...
