Kehadapan gadis misteri Ayu Raudhah,
Jika Ayu adalah doktor perubatan, percayalah bahawa saya benar-benar berharap untuk mengenali saudari setahun lebih awal dari sekarang.
Mengikut pengiraan secara pandang belakang, saya berstatus bujang dan tidak terlibat dalam apa-apa hubungan istimewa dengan mana-mana gadis pada ketika itu. Ini akan memberikan saya masa yang cukup untuk memikat hati Ayu. Waktu itu sekurang-kurangnya akan meningkatkan peratusan untuk saya berjaya membawa Ayu keluar menonton wayang terhangat tahun 2016.
Dengan penuh dominan, saya akan membuat keputusan mutlak tanpa kompromi untuk membawa Ayu menonton dua wayang yang boleh kita kongsikan pengajarannya secara berjemaah dan pasti meningkatkan persefahaman antara kita sebagai pasangan kekasih doktor perubatan. Dua filem tersebut adalah Batman v Superman: Dawn of Justice dan Captain America: Civil War. Apa kan daya, filem pertama sudah saya tonton bersama puteri impian dan filem kedua ditonton sewaktu bertapa di dalam Hutan Kawag Danum Rainforest Lodge. Entah siapa yang membuat dajjal memuat turun movie tersebut lantas membuka ruang untuk saya mensabotaj industri perfileman Hollywood dengan menonton cerita cetak rompak.
Dalam pertarungan di antara Jeneral Zod dan Superman, Bruce Wayne memerhati dari jauh akan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa manusia yang tidak bersalah. Akal Bruce mentafsirkan Superman sebagai satu ancaman kepada ketamadunan manusia dan harus dihapuskan. Atas dasar kecintaan terhadap manusia dan kebencian terhadap jenayah, Bruce gagal bertoleransi dengan tindakan Superman. Biarpun mereka berdua mempunyai perjuangan yang sama iaitu membawa keamanan pada dunia.
Begitu jugalah peperangan dingin antara pasukan Stark dan pasukan Rogers dalam filem Captain America: Civil War. Plot yang menarik kerana ia menggabungkan beberapa pengalaman peribadi watak watak dalam filem tersebut yang akhirnya dikait berakar umbi dari Perang Dingin kesan manipulasi pertubuhan rahsia Hydra.
Dalam kedua-dua filem ini, masing masing mempunyai niat baik untuk menyelamatkan dunia. Akan tetapi, perbezaan pendapat dan pelan penyelesaian dilihat tidak menguntungkan kedua belah pihak dan saling memusnahkan antara satu sama lain. Di penghujung cerita, pengajaranya adalah jelas iaitu matlamat yang sama harus menyatukan dua pihak yang bertelagah. Kesan penyatuan itu mungkin tidak mampu untuk mengelakkan kemudharatan tetapi berjaya mencegah bencana dari berlaku.
Maka saya melihat watak fiksi awak ini bukanlah sebagai contra kepada saya dan majoriti ahli perubatan yang pro vaksinasi bahkan kita sebenarnya adalah di pihak yang sama. Kedua pihak kita adalah pro kepada kesihatan sejagat. Maka, saya rasa kita semua bersetuju bahawa masing-masing ingin populasi dunia semakin sihat. Yang membezakan adalah melalui kaedah dan teknik apa.
Walaupun awak bersembunyi di sebalik akaun palsu, tetapi ia membawa satu mesej yang cukup jelas dan tidak mampu untuk disembunyikan lagi. Maka ada baiknya kita berterus terang agar perbincangan kita akan berlangsung dalam keadaan penuh ilmiah dan mengikut disiplin ilmu yang berteraskan pencarian kebenaran.
Ayu mewakili golongan ahli perubatan yang kontra kepada kaedah vaksinasi. Dalam beberapa komen, awak bagitau kita semua yang awak ni jururawat yang bekerja di Hospital Sungai Buluh. Dalam profil facebook terbaru awak, identiti bertukar sebagai seorang doctor wanita yang bertugas di PPUM. Tapi saya faham juga bila awak cakap yang ini adalah untuk keselamatan awak dan mengelak dari dikenakan tindakan atau dianiaya.
YOU ARE READING
Surat Surat Cinta Buat Ayu Raudhah
Science FictionAyu Raudhah adalah watak fiksi dalam dunia facebook. Hadirnya menimbulkan kontroversi. Megah bersembunyi disebalik akaun palsu dan membuat pengakuan bahawa dirinya bertugas sebagai jururawat di Hospital Sungai Buluh, beliau mula membuat serangan ber...
