GAMBAR-gambar keadaan jalan raya semasa itu dirakam lalu dimuat naik dalam status Facebooknya. Semua adik-beradiknya Amelia tag, memberitahu mereka bahawa dia dan Khai sedang dalam perjalanan menuju ke kampung untuk melihat bapa mereka. Berduyun-duyun komen yang masuk, ada yang mengucapkan syafakallah buat bapanya dan ada juga yang bertanya keadaan terkini orang tua itu. Ketika Amelia menjawab komen-komen tersebut, bunyi Ting! kedengaran dan PM daripada Ziyad masuk ke kotak Inboxnya.

[Z] Assalam, Amel. Balik kampung ke?

Amelia terpaku memandang mesej daripada Ziyad itu. Sudah terlalu biasa hidup tanpa Ziyad, dia langsung terlupa pada lelaki itu. Patutkah dia membalas mesej Ziyad itu di hadapan Khai, soal hatinya sambil mencari Khai melalui ekor matanya, sayangnya dia tidak nampak suaminya itu dan dia tidak berani mengangkat muka untuk menoleh lantaran bimbang Khai akan mengesyaki sesuatu. Ah, jawab sahajalah. Bukannya dia menduakan Khai. Ziyad sekarang sudah menjadi abangnya. Bukan lagi kekasihnya.

[A] A ah. Tengok ayah. Abang kat mana?

Ziyad tersenyum bila melihat balasan daripada Amelia. Agak risau juga dia selepas menghantar mesej itu tadi. Hakikatnya dia terlalu rindu. Sejak dari pagi tadi dia menunggu Amelia mengemaskinikan status Facebooknya namun hampa. Mungkin Amelia sibuk, Ziyad memujuk hatinya. Jadi, sebaik sahaja status terbaru Amelia melintas di News Feednya, terus Ziyad menghantar mesej tanpa berfikir terlebih dahulu tentang akibatnya.

[Z] Ada kat pejabat. Kenapa dengan ayah?

[A] Strok. Dah keluar hospital dah. Saja je nak pergi tengok.

[Z] Drive sendiri ke?

[A] Tak. Dengan Khai.

[Z] Okey, okey... semoga selamat sampai, Amel.

Selepas itu Ziyad tidak menghantar mesej lagi. Dia meletakkan semula telefon bimbitnya ke atas meja dan kembali fokus pada kerjanya. Sebentar lagi dia perlu memberikan taklimat kepada pasukan khas supaya operasi malam itu berjalan dengan lancar dan berjaya menghancurkan kumpulan haram itu hingga ke akar umbi.
Itu hanya alasan sebenarnya. Ziyad cuba memberitahu diri bahawa Amelia sudah tidak penting lagi pada hati dan fikirannya, pada roh dan jasadnya. Hakikatnya hanya Amelia sahaja yang ada dalam kepalanya, dalam darah yang mengalir di seluruh tubuh badannya dan dalam degupan jantungnya. Kala itu dia berasa seperti ingin memusnahkan sesuatu untuk melepaskan rasa cemburu yang membara dalam kalbu. Cemburu bila memikirkan Amelia duduk bersebelahan dengan Khai di dalam kereta yang bertutup rapat. Sekali-sekala Khai memegang tangan Amelia sewaktu isterinya itu berbual manja.
Pen di tangan Ziyad lempar ke dinding. Kuat. Mujur tidak mengenai orang keduanya yang masuk sebaik sahaja pen itu memanah daun pintu.
“Boss, ready?” tanyanya seraya mengutip pen mata bola yang berbolak-balik di atas lantai.
Ziyad mengangguk sebelum melangkah keluar dari pejabatnya menuju ke bilik taklimat.

“Amel...”
“Hmm...” Amelia mengalihkan pandangannya dari layar telefon bimbit ke muka Khai.
“Abang nak minta maaf.”
“Kenapa?”
“Sebab abang abaikan tanggungjawab abang masa Amel perlukan abang hari tu.” Khai mengambil tangan Amelia lalu diciumnya kekura tangan isterinya itu.
"Hari tu tu bila? Cer cakap bagi spesifik sikit," kata Amelia sambil tersenyum nakal, padahal dia tahu bila yang Khai maksudkan.
"Eh, bunyi macam banyak kali je abang abaikan tanggungjawab abang." Khai turut tersenyum.
"Tak adalah. Saya nak tahu tanggungjawab mana satu yang abang abaikan?" Amelia bukan main-main lagi. Dia mahu Khai sebut kesilapannya itu dengan jelas, bukan setakat meminta maaf daripadanya sahaja.
Suasana sepi buat seketika. Kedua-duanya merenung jauh ke hadapan, seorang menanti jawapan dengan hati yang berdebar dan seorang lagi sedang menyesali keterlanjuran diri memohon kemaafan. Sangkanya, tindakannya itu akan membahagiakan hati Amelia, tidak disangka Amelia akan menyukarkan usahanya.
“Abang... kenapa abang tak tanya terus kat saya?” tanya Amelia bila Khai terus membisu. Dia merenung muka suaminya itu sambil mengenang kembali saat-saat duka yang terpaksa dilaluinya seorang diri minggu lalu. Memang Khai tidak berhati perut langsung kerana bertanya kepada Zaiha tentang isteri sendiri sedangkan dia tercongok di hadapan mata Khai. Mereka makan bersama, menonton televisyen bersama, pergi kerja bersama, solat bersama... alih-alih Khai boleh bertanyakan hal dia pada Zaiha! Apa maksudnya? Apa niat Khai? Dan apa yang Amelia, sebagai isteri patut fikir bila melihat kemesraan antara Khai dengan Zaiha?
“Itulah kesilapan besar abang,” jawab Khai.
“Tak, abang. Saya tak puas hati dengan jawapan abang tu. Saya nak tahu jugak, kenapa abang tanya pada Zaiha? Kenapa tak tanya saya terus?”
Khai terdiam, semakin dalam penyesalannya kerana membangkitkan isu itu. Dia sudah meminta maaf, terima sahajalah. Yang Amelia banyak sangat bertanya ini kenapa? Sampai mengakui dia tidak berpuas hati pula dengan tindakan Khai bertanya kepada Zaiha. Amelia sedar tak dia sendiri yang membina dinding setinggi langit setebal konkrit di sekelilingnya selepas dia balik dari kampung minggu lalu? Amelia asyik menyendiri dan sugul enggan berbual dengannya. Usahkan bertanya, Khai hendak menegur pun serba-salah dibuatnya.
“Lupakan hal tu. Sekarang kan semuanya dah okey?”
“Mana ada okey, bang. Abang tak nampak ke Zaiha tadi? Tak nampak macam mana muka dia semasa abang pegang tangan saya tadi?” Amelia meluahkan isi hatinya, alang-alang Khai bertanya.
Zaiha mungkin menyangka Amelia tidak melihatnya tetapi Amelia nampak segala-galanya kerana mata Zaiha hanya tertancap pada Khai sahaja semasa Amelia berbicara dengan emaknya, memudahkan Amelia memerhati tingkah laku Zaiha.
"Lahhh... buat apa ungkit fasal tu lagi? Kan dia dah bagi tahu yang dia tak simpan perasaan pada abang." Khai menggeleng kesal.
"Orang lelaki! Naif tak bertempat," rengus Amelia.
"Sudah-sudahlah. Benda dah lepas, kan? Tak payah diungkit-ungkit lagi," kata Khai lagi.
Amelia menoleh ke luar tingkap, sangat tidak puas hati dengan Khai semasa itu.
"Amel..." Khai cuba memujuk.
"Susah sangat ke nak jawab soalan saya tu?" balas Amelia seraya merenung Khai.
Suaminya itu terus diam. Malah mereka tidak berbual lagi sehingga tiba di rumah orang tua Amelia.

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now