"Anak ni datang bercuti ke?"

"Eh, tak, Pak Alim. Nama saya Zulkarnain. Panggil saya Zul je. Saya ada kerja sikit. Err... saya dah tak ingat rumah Nadia. Hmm... maksud saya, Puteri. Puteri Nadia. Kalau boleh tu, saya tak nak berlama. Entah bila dia nak ke sini. Jadi elok saya ke rumah dia je. Err... Pak Alim tahu ke di mana rumahnya?"

Dahi Pak Alim berkerut memikirkan sesuatu. Zulkarnain menelan liur. Jangan ditanya macammana aku datang ke sini!

"Macam tu pulak, ya! Pak Alim pun tak faham. Puteri mintak dibersih dan siapkan rumah. Sangka Pak Alim dia yang nak ke sini. Rupanya ada tamu. Kenapa Puteri tak suruh encik Zul ke rumah dia terus? Bukan dekat rumahnya tu..."

"Begini Pak Alim. Ada salah faham sebenarnya. Dia mungkin ingat saya nak bercuti. Sebenarnya saya ada kerja, tak banyak masa. Itulah yang nak cepat jumpa dia tu. Lepas tu saya nak baliklah." Aduh! Pening kepala dibuatnya!

"Tak apalah, Pak Alim. Saya ke pejabat dia je, esok. Cuma nak mintak Pak Alim tolong panggilkan teksi, boleh ke?"

"Eh, boleh sangat. Tapi tak nak rehat dulu ke? Kalau nak mandi-mandi, kat belakang tu ada air terjun." Zulkarnain tersengih. Memang kena mandi! Tapi tak perlulah sampai ke air terjun. Lagipun urusan dengan Nadia belum selesai. Dia perlu dijejaki sebelum dia menghilang sekali lagi.

"Tak pe, Pak Alim. Nanti saya datang lagi, bolehlah ke air terjun. Saya nak mandi, solat dulu. Tadi letih sangat, tertidur...." Tersengih lagi.

"Kalau macam tu, Pak Alim mintak teksi datang pukul enam nantilah ya."

"Haa... eloklah tu, Pak Alim. Tapi makanlah dulu. Sedap pisang goreng panas ni." Zulkarnain beriya-iya menjemput Pak Alim kerana sudah terasa amat lapar. Sementara itu, otaknya ligat berputar mencari jalan agar Pak Alim memberikan alamat rumah Nadia. Dia tak mahu berbincang di pejabat. Payah nanti. Hatinya bermunajat. Mohon Allah permudahkan. Dia tak mahu menipu dan membuat helah dengan lelaki tua itu lagi. Seperti kata Natrah, kenapa tak minta pertolongan Tuhan saja daripada letih nak memikirkan jalan keluar bila ada masalah? Sedangkan meminta-minta kepada Tuhan itu, Tuhan suka sebab kita mengaku hamba, lemah tiada daya upaya. Selepas itu barulah berikhtiar sambil terus bergantung dengan Tuhan. Tawakal dan redha atas apa juga yang datang selepas itu.

"Entah apa khabar Puteri. Pak Alim dah seronok dengar dia telefon tanya pasal rumah ni tengahari tadi. Sangka Pak Alim, dia yang nak datang," tiba-tiba Pak Alim mengeluh. Tangan Zulkarnain terhenti menyuap pisang goreng yang masih berasap panas.

"Lama dia tak ke sini. Lepas Tengku meninggal, dia sebatang kara. Dulu Puteri selalu bawak Datin berehat-rehat di sini. Dia sayang sungguh dengan arwah papa dengan mamanya. Pak Alim tak taulah macammana dia sekarang, hidup sorang diri. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..." Pak Alim terhenti di situ. Selera Zulkarnain juga mati di situ.

Pak Alim menghabiskan air teh yang masih ada dalam cawan. Selepas itu, dia meminta diri. Mahu tak mahu, Zulkarnain menghantar Pak Alim ke pintu dengan hati yang berat. Kalaulah dia boleh tahu lebih lanjut lagi tentang Nadia...

Zulkarnain sudah siap mandi dan bersolat ketika sebuah teksi merah putih bergerak masuk ke perkarangan rumah itu. Dia melangkah keluar rumah sambil memandang sekeliling mencari kelibat Pak Alim. Hatinya terasa hampa tetapi dipujuk hati supaya bersabar. Terus meminta kepada Tuhan agar dipermudahkan urusan mencari zuriatnya.

Sebaik sahaja dia membuka pintu teksi tersebut, deruan motosikal kedengaran dari jauh. Hatinya melonjak syukur. Ada harapan!

"Haa... dah sampai pun! Sempat encik Zul selesai solat tadi?"

"Ya, Pak Alim. Alhamdulillah." Akalnya masih menerawang mencari kata-kata yang sesuai untuk mendapatkan alamat Nadia sekali lagi. Pak Alim mematikan enjin motosikalnya lalu datang bersalam dengan Zulkarnain.

MAKNA PADA RASAOù les histoires vivent. Découvrez maintenant