Part I

41 1 0
                                        

Usai sarapan pagi, Sharnaaz ke bilik untuk meneruskan kerja-kerja pejabatnya yang harus disiapkan dengan kadar segera. Dia tidak mahu papanya mengamuk lagi seperti minggu lepas setelah dia gagal menyiapkan proposal syarikat pada masa yang telah ditetapkan. Dia berazam untuk membuat papanya bangga dengan hasil kerjanya kali ini.

Setelah selesai membantu orang gajinya, Kak Timah membersihkan pinggan mangkuk, Cristina terus melangkah ke ruang tamu untuk menjalankan tugasannya pada setiap hujung minggu iaitu mengemas rumah. Sememangnya Cristina seorang yang ringan tulang. Walaupun mempunyai orang gaji, dia tetap mahu membuat kerja-kerja rumah kerana baginya itu tugas seorang isteri yang harus disempurnakan. Cristina mengutip bantal-bantal kecil yang bertaburan di atas lantai lalu meletakkannya semula di atas sofa. Tangannya ligat menyapu habuk-habuk yang terdapat di rak televisyen dengan menggunakan 'bulu ayam' sambil mendendangkan lagu jazz penyanyi kegemarannya, Julie London. Sekadar menghiburkan hati dan mengasah bakat yang terendam, desisnya dalam hati. Sesekali dia berlengggok ke kiri dan ke kanan seakan menari mengikut rentak nyanyiannya. Entah kenapa hatinya rasa gembira pagi itu.

Suasana di bilik tidur utama rumah banglo itu sunyi dan sepi. Sharnaaz tekun menghadap laptop di atas meja studinya sambil jarinya pantas menekan papan kekunci laptop tersebut.Berkerut-kerut dahinya memerah otak mencari idea untuk mencantikkan lagi proposalnya. Selepas beberapa minit berlalu, tekaknya berasa kering dan haus. Dia membuka pintu bilik, berhajat menuju ke dapur. Apabila melintasi ruang tamu, dia menghentikan langkah. Dirinya seakan kaku melihat isterinya yang sedang asyik mengemas sofa dan ruang tamu rumah mereka sambil menyanyi kecil. Terlihat olehnya keceriaan dan kegembiraan pada wajah Cristina yang dinikahinya beberapa bulan yang lalu. Tanpa disedari, bibirnya menguntum senyuman. Comelnya dia! Bisik Sharnaaz di dalam hati. Sedang dirinya ralit memerhatikan Cristina, tiba-tiba terlintas idea yang agak nakal di fikirannya untuk mengejutkan isterinya itu. Dengan penuh berhati-hati, dia terjengket-jengket melangkah ke ruang tamu. Baru sahaja menapak beberapa langkah, kedengaran bunyi yang agak ganjil dari atas syiling rumah. Sharnaaz mendongak ke atas dan tanpa sempat berbuat apa-apa, Cristina sudah menerpa ke arahnya sambil menjerit, "Abang!" .Mereka berdua jatuh berguling-guling di atas lantai dan serentak dengan itu terdengar bunyi hentakan yang amat kuat.

Prang!!! Sharnaaz menoleh ke sebelah kanannya. Lampu hiasan dan berukir cantik dari Itali yang berharga ribuan ringgit itu sudah jatuh menyembah lantai. Kaca lampu tersebut bertaburan di sana sini. Sharnaaz mengurut dadanya. Fuh! Nasib baik tak kena kat aku tadi! Dia menarik nafas lega. Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke bawah dan bingkas bangun apabila menyedari yang tubuh sasanya sedang menindih badan isterinya. Lantas dia menampar lembut pipi Cristina seraya memanggil namanya apabila dilihat isterinya itu masih belum membuka mata. Namun usahanya ternyata gagal. Cristina sudah pengsan rupanya!

  Tanpa berlengah, Sharnaaz menjerit memanggil orang gajinya untuk mengemaskan segala kaca yang bertaburan di atas lantai ruang tamu. Terkocoh-kocoh Kak Timah datang dengan membimbit penyapu dan mop di tangan. Dengan segala kudrat yang ada, Sharnaaz mencempung tubuh Cristina dan membawanya ke bilik mereka. Hilang sudah dahaganya. Dia meletakkan Cristina di atas katil sambil otaknya ligat berfikir bagaimana cara untuk memulihkan isterinya itu. Hmm buat CPR? Eh CPR tu untuk orang lemas je la, bukan pengsan! Gumamnya di dalam hati. Ha! Aku dah dapat! Orang kata kalau nak kejutkan orang pengsan kena kipaskan dia! Sepantas kilat Sharnaaz membuka laci meja solek di tepi katil dan menarik salah satu majalah yang berada dalam laci tersebut. Dia mengibaskan majalah itu di atas muka dan badan isterinya. Tidak semena-mena sekeping kertas jatuh melayang dari dalam majalah tersebut dan mengenai kakinya. 

 Eh! Kertas apa pulak ni? Soal Sharnaaz di dalam hati. Dia membongkok lalu mengutip kertas tersebut. Oh lukisan rupanya! Eh tapi lelaki dalam lukisan ni macam muka aku la! Bisik Sharnaaz. Walaupun dalam bentuk kartun, dia masih mampu mengecam bahawa kartun lelaki dalam lukisan itu persis dirinya. Sharnaaz meneliti lukisan itu dan matanya tertancap pada tulisan di bahagian bawah lukisan tersebut yang berbunyi "Awak, saya sayang awak.....sangat!". Pada bahagian kanan bawah lukisan itu pula tertera perkataan "Crissie".Jantung Sharnaaz seakan terhenti. Crissie? Ini nama pena untuk Cris ke? Kenapa aku tak pernah tahu yang dia minat dan pandai melukis? Oh Tuhan! Sharnaaz mengeluh perlahan. Dia meletakkan semula lukisan itu di dalam majalah lalu menyimpannya kembali di dalam laci. Direnungnya seraut wajah polos milik isterinya. Sesungguhnya Cristina seorang gadis yang sangat cantik. Dia memiliki sepasang mata galak yang menawan, hidungnya mancung terletak dan bibir mungilnya itu sangat manis apabila mengukir senyuman. Kulitnya pula halus dan putih kemerahan. Rambutnya yang separas bahu itu hitam berkilat.




CERPEN (SHARNAAZ & CRISTINA)Stories to obsess over. Discover now