Kawasan asrama dilanda keputusan bekalan air. Ada cakap-cakap belakang mengatakan paip tangki besar di pintu masuk SMKATAHAP telah ditutup oleh pihak pentadbiran sekolah demi untuk menjimatkan bil air. Sejauh mana kebenarannya, hanya orang-orang dalam yang tahu. Bila main dengan orang dalam, ini bermakna ada unsur-unsur politik di situ. Politik ialah sesuatu yang bukan menjadi topik bualan pilihan kecuali bila dah naik ke tingkatan 5. Oleh itu gua tak ambil 'port' sangat dengan sebarang khabar-khabar angin.
Memikirkan situasi yang tidak terdesak sangat, sekumpulan pelajar batch ke-4 mengambil kesempatan ini untuk bersuka-ria. Projek kali ini ialah bermandi-manda di luar. Kebetulan hari itu ialah hari sabtu giliran pelajar ASPURA keluar ke bandar. Gua, Emkay, Ami, Acoi, Mat Zais, Reezal Merican, Suria, ARD, Aznan Akwariyum dan ramai lagi. Main belas-belas orang.
Masa tu gua tengah 'kemamo'. Hari sabtu, gua tidak akan sesekali bersikap seperti budak tingkatan 1 yang bangun awal. Pukul 10.00 pagi, gua dikejutkan oleh Aznan Akwariyum. Mula-mula dia gerakkan gua secara menepuk bahu. Gua buat endah tak endah. Melihatkan keadaan gua yang masih membatu, dia mula mengejutkan gua menggunakan kaki. Barulah gua mahu terjaga. Itupun buka sebelah mata.
"Moh! Ghodong ngajok mandi di luor. Aok ntok mboh ngiket?", Aznan Akwariyum bagi info kat gua.
Fikiran gua 50% memikirkan cakap Aznan Akwariyum, 50% lagi masih ke mimpi kapel dengan Ruhil Amani Hussain.
"Ahhh! Mandi lah wokmer. Dia baru nak geget leher kawan ni", gua bagi tau.
"Wehhh, Air takder bodoooo!!! Moh la deghaih. Kang kabor kawan tak ngajok", Aznan Akwariyum hilang sabar seraya menarik kaki gua dari katil. Gua tergolek ke lantai. Nasib baik lantai Bilik 4. Kalau lantai Bilik 9, tak lalu juga nak tergolek-golek begitu.
Mimpi gua *kpoof!*, hilang begitu sahaja. Gua cuba fokus dengan butir-butir kata Aznan Akwariyum up ke 80%.
"Yelah! Yelah! Jap koi pakai tualo". Gua turutkan kehendak Aznan Akwariyum yang mengaku berasal dari Kampung Temin, sahabat baik gua masa tu. Bilik gua Bilik 4, Bilik Aznan Akwariyum bersebelahan dengan bilik gua iaitu Bilik 5. Gua pun menuju ke locker mencari berus gigi dan kotak sabun. Aznan Akwariyum balik ke bilik dia.
Selepas memicit ubat gigi secara menggulungkan pangkal tiubnya, gua kepit batang berus gigi dengan gigi belah tepi. Gua capai kotak sabun dan menukar kain pelikat ke kain tuala. Gua keluar dari bilik dan mencari Aznan Akwariyum di bilik sebelah. Bukan main 'smart' pula gua tengok dia berpakaian.
"Hah! Mohlah. Kabor tadi nak mandi. Ngapa ntok tukor baju lagi? Mana budok-budok lain?", tanya gua.
Aznan Akwariyum pandang gua atas bawah. "Weih! Takkan aok nak pakai gini gaye", Aznan Akwariyum bertanya kepada gua kembali. Dia tersengih kering menyeringai.
"Haaa. Ye la...Dah nak mandi. Kata tadi ada ghodong2 kat luor? Mananye?". Tegas gua.
"Bukan ghodong kat luor, kawan kabor budok-budok ngajok mandi di luor. Mandi ke Tong Kiat nuuuu...", Aznan Akwariyum memberikan penerangan.
"Laaaaa!!!! Ye kerrr??? Lain kali kabor la bete-bete boddddoooo!", gua bekap diri gua tak puas hati seraya melangkah semula ke bilik gua.
KAMU SEDANG MEMBACA
Pengembaraan Ke Alam Tong Kiat
PertualanganKisah survival sekumpulan remaja yang menghadapi masalah bekalan air di asrama mereka. Diolah dari kisah sebenar. Ditokok tambah dengan kesan khas. Berlatarbelakangkan sebuah pekan terpencil di Negeri Pahang Darul Makmur. Keraguan menjadikannya mito...
