AKU dan mama mula bersiap untuk bertolak ke Perak. Sebelum itu, mama sempat mengira stok produknya. Katanya semalam dia terima tempahan. Kalau sempat, lusa dia nak hantarkan.
Sementara menunggu mama selesaikan kerjanya, aku betulkan selendang depan cermin di ruang tamu. Jerawat tumbuh lagilah. Nak periodlah ni. Hati kecilku merungut. Kalau sudah tumbuh jerawat ni, mulalah jari terasa gatal nak picit.
"Dah siap," jerit mama.
Aku lihat daripada cermin. Mama masih bercekak pinggang sambil mengira dengan jari telunjuk. Kata sudah siap. Tapi tengah mengira lagi. Mama, mama...
Setelah puas hati dengan tudung yang aku gayakan, aku senyum. Hmm, manis juga senyuman aku ni. Tetapi, kenapa lelaki susah nak dekati aku? Sebab penampilan aku yang tak moden ke? Atau lelaki sekarang lebih suka perempuan yang mendedahkan aurat berbanding yang menutup aurat?
Aku bukanlah terdesak mencari pasangan. Ayah selalu cakap, kalau berkawan kena ada batasannya. Jaga pergaulan dan adab berkawan. Jangan bersentuhan dengan bukan muhrim. Semua itu mesti kena jaga supaya tak terjebak dengan maksiat. Mungkin sebab itu aku juga sukar menerima lelaki. Dan sebab itu juga lelaki tak berani mendekati aku.
Ah, pedulikan semua tu. Jodoh sudah ditentukan oleh Allah SWT. Kita cuma perlu berusaha dan berdoa. Yang menjadi masalah, aku tak berusaha mencari. Belum ada yang menepati cita rasa aku.
"Dhiya, dah siap ke? Lama betul berdiri depan cermin. Anak mama ni dah cantik. Tak payah nak bersolek sangat."
Teguran mama buat aku tersipu. Ke situ pula mama. Bila masa aku bersolek? Aku cuma senyum dan segera dapatkan mama. "Banyak ke tempahan?"
"Banyak. Nampaknya mama kena ambil kat kedai lagi."
"Mama, sedap ke produk ni? Perisa apa? Menjadi ke?" Aku menembak mama dengan soalan. Tak pernah aku usul tentang produk mama. Lagipun aku bukan jenis yang mengambil makanan tambahan atau minuman kecantikan.
"Ni perisa lemon. Sedap dan banyak vitamin C. Untuk kecantikan kulit, Dhiya kenalah amalkan."
"Berapa lama kena amal baru boleh cantik kulit?" Aku soal mama lagi. Lagipun mama tengah buat promosi dekat aku.
"Bergantung. Pemakanan lain pun kena jaga. Bukan harapkan ni aje. Dhiya nak cuba?"
Pantas aku geleng. "Tadi mama cakap Dhiya dah cantik." Aku bergurau.
Mama gelak. Dicubitnya lengan aku dengan lembut. "Alah... mama saja aje cakap macam tu. Tapi kalau Dhiya nak amalkan, ambil aje."
Aku merenung kotak-kotak di depan kami. Nak cuba ke tak?
"Nantilah Dhiya cuba. Sekarang, kita bertolak balik. Sebelum jalan sesak." Aku pesan kepada mama. Kalau berlengah, takut nanti jalan sesak.
Mama mula tergesa-gesa mencari tas tangan dan kunci kereta. Aku tersenyum lihat gelagat mama. Beg galas aku capai. Beg pakaian aku bimbit. Kami keluar dari rumah. Mama terus ke garaj. Aku ambil tugas mengunci pintu. Pintu pagar pula cuma guna alat kawalan jauh yang dipegang oleh mama. Selalunya mama simpan dalam keretanya saja. Beg pakaian aku letak di tempat duduk belakang.
"Mama tak bawa baju?" soalku bila tak nampak beg pakaian mama.
"Eh, mama lupa. Ada kat dalam." Mama menepuk dahi.
Kalau sudah kalut, memang lupa. Mama nak keluar dari kereka tapi dihalang olehku. Memandangkan aku masih pegang kunci rumah, aku pergi ambilkan beg pakaian mama. Selepas ambil beg dan kunci pintu, aku ke garaj semula dan masuk dalam kereta. Beg pakaian mama aku letak di tempat duduk belakang.
YOU ARE READING
JODOHKU SUPERSTAR
Romance"Tapi saya bukan peminat awak. Actually saya datang bagi pihak kawan saya. Dia kena out-station. Sebab taknak bazirkan tiket tu, dia suruh saya datang," - Dhiya Pengakuan dari Dhiya telah mencemarkan nama baik superstar bernama Amar Affandy. Penyan...
