Dalam sibuk berfikir sendirian, Hirdy langsung tidak sedar yang Malik masih lagi menjadikannya sebagai pusat pemerhatian.

"Aku rasa kat luar negara tempat kau belajar tu ramai awek yang seksi-seksi. Tapi kenapa kau pandang awek baju kurung tu macam dia tak pakai baju? Ke kau pelik tengok orang pakai baju kurung?" soal Malik di hujungnya menyeringai.

"Ya, memang aku pelik. Ada lagi ke orang yang baik hati macam tu?" soal Hirdy kali ini ditujukan kepada Malik dan bukan kepada diri sendiri lagi. Memang diakui yang sudah empat tahun dia tidak pulang ke Malaysia semenjak menyambung pengajian di luar negara. Baru minggu lepas dia balik dan hari ini kembali bekerja walaupun Malik menasihati supaya dia berehat seketika untuk dua tiga minggu seperti yang disyorkan oleh majikan mereka. Tapi dia enggan. Dia bukan seorang yang boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa.

"Ada... Cuma kadang-kadang kita yang tak nampak sisi baik dalam diri seseorang tu," balas Malik perlahan sambil menekan pedal minyak apabila lampu sudah bertukar kepada hijau. Dia tahu Hirdy dapat mendengar kata-katanya itu, tapi sengaja Hirdy diamkan saja. Dia berharap satu hari nanti Hirdy akan faham. Akan lembut hati batu itu.

Walaupun bibir dikunci rapi, tapi tidak pada anak mata Hirdy. Seboleh mungkin dengan menggunakan cermin pandang sisi dia memandang ke belakang melihat gadis yang ditinggalkan itu. Mana tahu tiba-tiba ghaib, memang betul bidadari syurgalah.

Gadis itu kini kembali bersama wanita tua tadi. Hirdy tersenyum sendirian. Dia memang seorang yang agak susah untuk senyum, terutama waktu bekerja. Tapi bila sekali senyum, manis saja walaupun senyuman itu tidak langsung menampakkan barisan giginya.

"DAH habis buat kerja amal?" soal Atila sebaik Nurra melangkah merapatinya.

Nurra tersenyum sebelum menjawab. Dia tahu Atila sedang mengusiknya. "Kau ni... Tak ada perasaan kesian ke?"

"Aku rasa kau tak patut kerja sebagai editor. Sepatutnya kau kerja sebagai pegawai kebajikan bergerak."

"Ha... mulalah lebih-lebih nak kutuk aku tu," balas Nurra sambil menjeling halus tapi dalam hati langsung dia tidak terasa dengan kata-kata kawannya itu. Sudah selalu sangat Atila keluarkan ayat sebegitu untuknya.

Atila sekadar tersenyum sambil memandang ke arah jalan yang tidak putus-putus dilalui kenderaan. Tetapi bayangan bas tidak kelihatan juga. Memang itulah rutin harian mereka. Mungkin juga kerana salah memilih lokasi. Di kawasan Taman Desa, Klang Lama memang tiada pengangkutan lain selain bas dan teksi. Mereka terpaksa menaiki bas sehingga ke KL Sentral sebelum menaiki Putra dan turun di Masjid Jamek kemudian menapak sehingga ke Bangunan Daya Bumi.

"Lambatlah pulak bas ni," sungut Atila. "Itulah kau, nak sangat duduk sini, tengoklah sekarang dah susah. Tiap pagi kena bangun awal, keluar awal."

Nurra sekadar tersenyum mendengar bebelan itu. Dia masak sangat dengan perangai rakan serumahnya itu. Mereka berkenalan sejak belajar di UiTM Shah Alam lagi.

"Aku dah ajak pindah, kau yang tak nak..." Tambah Atila mengulangi ayat yang sudah biasa digunakannya itu.

"Eh, banyak bunyi pulak dia. Aku dah suruh kau pergi kerja dengan Zamri kau yang tak nak, kan?" balas Nurra, gadis kecil molek yang ada iras seperti pelakon Sharifah Amani itu. Bukannya dia tidak mahu pindah, tapi dia sudah selesa tinggal di situ. Jauh sedikit dari kesibukan. Cukuplah dia bekerja di tengah-tengah bandaraya. Takkan nak tinggal pun di sana.

"Habis tu kau macam mana? Nak duduk dalam bakul?" soal Atila mengenangkan tunangnya, Zamri hanya memiliki motosikal.

Nurra ketawa kecil dengan jawapan selamba rakannya itu. Dari jauh sudah kelihatan bas bergerak menuju ke arah mereka. Masing-masing terdiam, terus bergerak ke hadapan bersama mereka-mereka yang lebih setia menanti bas daripada mereka berdua.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 30, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SUAMI TAK DIRANCANGWhere stories live. Discover now