TANGAN kecil yang mulus milik Elvira menggenggam erat hujung seluar yang dipakai papanya. Jari-jemarinya mencengkam kain itu seolah-olah helaian tersebut mampu menjadi tempat berlindung daripada dunia asing yang terasa terlalu besar buat dirinya.
Tubuh kecilnya berdiri rapat di sisi sang papa. Bahunya sedikit terangkat, sementara sebelah lagi tangannya dibiarkan tergantung di sisi tubuh. Sesekali, hujung kasutnya menguis perlahan permukaan lantai, satu gerakan kecil yang dilakukan tanpa sedar kerana dia mula berasa bosan.
Lama lagi ke? Menyesal dia ikut kedua orang tuanya ke sini. Duduk di rumah besarnya main bersama Bambi, si kucing bulusnya lagi bagus.
Huh!
Mata bundar Elvira yang masih polos beralih ke sekeliling sebelum akhirnya berhenti pada seorang budak lelaki yang berdiri tidak jauh daripadanya.
Budak lelaki itu kelihatan sedikit lebih tinggi daripadanya. Rambutnya tersisir kemas, walaupun beberapa helai jatuh ke dahinya. Kedua-dua tangannya terselit di dalam poket seluar, tubuhnya berdiri tegak dengan wajah yang kelihatan jauh lebih serius daripada kanak-kanak seusianya.
Dia kenal budak lelaki itu. Dia cam wajah kacak budak lelaki itu kerana minggu lepas, mereka pernah makan bersama di sebuah restoran terkemuka di Kuala Lumpur bersama ahli keluarganya yang lain.
Elvira menyengetkan sedikit kepalanya.
Dia tidak tahu mengapa, tetapi matanya terus tertarik kepadanya. Budak lelaki itul pula sedang memandang ke arah kedua-dua ibu bapanya yang rancak berbual bersama. Sesekali dia mengangguk kecil apabila mendengar sesuatu daripada orang dewasa di hadapannya, namun jelas sekali perhatiannya tidak benar-benar berada di situ.
Elvira terus memandang.
Lama.
Terlalu lama sehingga tanpa disedari, tubuh kecilnya sedikit condong ke hadapan.
Keningnya berkerut halus apabila cuba mengamati wajah budak lelaki itu dengan lebih jelas. Tiba-tiba budak lelaki itu berhenti bergerak. Seolah-olah dapat merasakan sepasang mata yang sejak tadi melekat padanya, dia perlahan-lahan mengalihkan pandangan.
Mata mereka bertemu. Tubuhnya kaku seketika. Mata gelapnya tepat tertancap pada sepasang mata bundar milik Elvira yang masih tidak berganjak daripadanya.
Elvira pula terkebil-kebil.
Sekali.
Dua kali.
Jari-jemarinya yang tadi menggenggam seluar papanya semakin erat. Dia tidak tahu kenapa budak lelaki itu memandangnya begitu.
Budak lelaki itu mengerutkan sedikit dahinya. Kepalanya senget beberapa darjah, seolah-olah cuba memahami mengapa gadis kecil di hadapannya sejak tadi memerhatikannya.
Elvira akhirnya menundukkan wajah. Pipinya terasa sedikit hangat. Tapi, selepas beberapa detik, rasa ingin tahunya kembali menguasai diri.
Perlahan-lahan, dia mengangkat wajah semula.
Dan kali ini, budak lelaki itu masih memandangnya.
"Elvira."
Suara papanya menyapa lembut, memecahkan lamunan kecil yang sejak tadi membuat Elvira terpaku pada satu sudut.
Anak kecil itu tersentak halus. Bahunya terangkat sedikit sebelum kepalanya pantas menoleh ke arah suara tersebut.
"Hm?"
Papanya sudah pun menundukkan tubuh sedikit agar berada hampir pada paras matanya. Sebelah tangan lelaki itu terhulur, tapak tangannya terbuka menanti.
"Kenapa termenung? Papa panggil dari tadi."
VOCÊ ESTÁ LENDO
DYLAN: For the Last Time
RomanceDylan Ian || Elvira ⊹ ࣪ ˖ stand alone "Aku cintakan dia." Berulang kali Elvira melafazkan perasaan itu sejak mereka kecil kepada Dylan. Kepada lelaki yang sejak kecil menjadi sebahagian daripada hidupnya daripada teman bermain, insan yang sentiasa b...
