prolog

14 1 0
                                        

Tahun 2010. Di Kampung Bahagia Sentosa, Pulau Pinang.

​"Ayen! Tangkap ayam tu! Sedap kalau buat ayam masak merah ni," jerit Peah sambil berlari mengejar seekor ayam. Mulutnya terkumat-kamit memarahi ayam yang lincah itu.

​"Hiyak!" Ayen melompat menerpa ke arah ayam tersebut.

​"Yey, dah dapat!" jerit Ayen teruja.

​Peah terlopong melihat aksi berani Ayen sebentar tadi. Dia menunduk, melihat ayam itu sudah terkulai lemah. Tanpa menunggu lama, Peah turut menjerit keriangan.

​"Yey, ayam masak merah! Yey, yey, ayam masak merah!" Peah pantas mencapai ayam itu lalu membawanya pulang untuk diberikan kepada uminya.

​"Nah, umi!" ujar Peah riang.

​Uminya ketawa kecil. Dua hari lalu, anak daranya itu mengidam hendak makan ayam masak merah. Sengaja dia menyuruh Peah menangkap sendiri ayam di halaman, namun dia tidak menyangka anaknya benar-benar melaksanakannya.

​"Kenapa umi ketawa? Ayam tu buat lawak ke?" soal Peah polos.

​Umi tersenyum sambil menyambut ayam itu dari tangan Peah. "Umi cuci ayam ni dulu. Pergi mandi, lepas tu baru main dengan Ayen."

​Peah mengangguk laju, kemudian berlari keluar untuk mendapatkan Ayen semula.

"Ayen!!"

​"Ayen!!"

​"Aku dekat sinilah!"

​"Mana?" Peah menoleh ke kiri dan ke kanan, namun tiada langsung kelibat Ayen di sekitar itu.

​"Dekat atas."

​"Woi!" Peah terkejut apabila melihat Ayen sudah duduk bersila di atas dahan pokok sambil memandangnya.

​"Kau buat apa dekat atas tu?"

​"Aku tengok sawah padi ni. Cantik sangat."

​Peah memandang sekeliling pangkal pokok itu, mencari jalan untuk naik ke atas.

​"Situ, ada tangga kayu dekat tepi tu," arah Ayen.

​Peah menapak naik selangkah demi selangkah mengikut anak tangga tersebut. Sebaik sahaja tiba di atas, matanya bersinar luas. "Wah, cantiknya!"

​"Kau suka juga tengok langit?" soal Ayen, tersenyum melihat keterujaan Peah.

​"Siapa sahaja tak suka tengok langit?" Peah membalas senyuman itu.

​"Senyum-senyum juga. Esok giliran kau pula bawa beg aku!"

​"Kenapa aku pula?!" Peah memandang tajam ke arah Ayen.

​"Kelmarin kan aku dah bawa!" ujar Ayen sambil menjeling selamba.

​"Ish, ya lah!" Peah mengalah, lalu kembali merenung luasnya langit biru.

​"Ayen, kau rasa nanti bila kita dah besar, kita sempat tengok langit lagi tak?"

​"Kenapa pula tak boleh? Langit kan ada dengan kita hari-hari."

​"Maksud aku... 'kita' yang tengok sama-sama macam ni."

​Ayen terdiam sejenak. Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya, hanya senyuman nipis yang terukir di bibir.

​"Ayen! Jom makan nasi dekat rumah aku. Umi aku masak ayam masak merah!"

​Ayen mengangguk laju menerima pelawaan itu. Sebenarnya, sejak dua hari lepas lagi dia sudah terliur mendengar menu tersebut.

​Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Adakah mereka akan terus kekal sebagai sahabat sekampung, atau takdir mempunyai rencana yang berbeza?

Langit KitaStories to obsess over. Discover now