Leaving someone you love was never the easiest choice.
It was simply the one that destroyed fewer souls.
Langkahnya terhenti buat seketika. Nafas ditarik sedalam yang mungkin. Matanya terpejam rapat buat seketika waktu. Betul ke apa yang dia cuba lakukan ni? Inara menghembus nafas kasar.
'It's okay, Inara. Dia profesional, kau profesional.' Monolog Inara di dalam hati. Memberi sedikit kata-kata semangat buat dirinya.
Tombol pintu dipulas sebelum dia memboloskan diri ke dalam. Perasaanya ketika ini bercampur baur. Perkara yang paling dia takutkan akhirnya terjadi juga.
Lima tahun...
Lima tahun dia sedaya upaya mengelak dari bertembung dengan lelaki itu. Nama lelaki itu pun sudah dikuburkan sejauh yang mungkin.
Namun, takdir seakan sedang mentertawakannya. Umpama sengaja membawa mereka kembali bertemu.
Sebaik sahaja Inara masuk ke dalam bilik mesyuarat itu, dia menarik nafas lega. Kerana sosok yang tidak dialukan itu masih belum memunculkan diri.
Inara menarik kerusi di bahagian kanan meja panjang lalu melabuhkan duduk. Postur badannya dijaga tegak, mempamerkan sikap profesionalisme.
Hakikatnya jauh di sudut hati, dia sendiri masih belum cukup kuat untuk bertentang empat mata dengan lelaki itu.
Blazer putih yang dipakainya dibetulkan sedikit agar lebih kelihatan kemas. Sempat dia menilik wajahnya terlebih dahulu menggunakan kamera telefon sebelum ada satu figura muncul dari sebalik pintu.
Perbuatan itu mengejutkan Inara sehingga membuatkan dia bertindak secara refleks, berdiri kaku.
Luth Haydar...
Setelah sekian lama, akhirnya mereka bertemu.
Luth yang kini terlihat jauh berbeza dengan Luth yang dahulu. Dia kelihatan lebih berketerampilan dan berkarisma.
Wajahnya yang dihiasi bayang-bayang stubble halus. Rahangnya lebih tajam sekarang membuatkan dia nampak lebih matang dari sebelum ini. Dan itu langsung tidak menggugat ketampanannya. Malah jauh lebih kacak.
Cuma ada sesuatu yang kurang pada wajahnya. Air mukanya kelihatan sangat teduh.
Inara hampir tidak mengenali lelaki itu. Bukan kerana wajahnya berubah, tetapi kerana lelaki yang dahulu mudah ketawa kini kelihatan seperti seseorang yang sudah belajar menyembunyikan segalanya.
Seperti matahari yang hilang disebalik gerhana. Sukar untuk membaca isi hatinya.
"Done starring?" Luth menegur.
Barulah Inara tersedar akan tindakannya yang sudah menilik lelaki itu sejak dari tadi. Inara berdehem untuk menutup kejanggalan yang wujud diantara mereka.
"Encik Luth Haydar." Inara hanya sekadar menyapa.
Luth diam sejenak sebelum menjawab,
"Interesting. Of all lawyers in this city, I've got you." Komen Luth. Tindakannya nampak bersahaja tetapi agak sinis.
Sedikit sebanyak Inara turut terasa dengan kata-kata Luth. Belum apa-apa lagi hatinya sudah terguris kecil.
Kata-kata Luth itu seolah-olah menidakkan kredibilitinya sebagai seorang peguam. Walhal mereka yang memerlukan khidmatnya sekarang.
Malangnya, Inara malas mahu memanjangkan cerita. Jadi dia biarkan sahaja kata-kata Luth itu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Mungkin buat masa sekarang...
