Bab 1

252 9 0
                                        

BAB 1: SNEAKERS DAN SERIGALA KORPORAT

Cahaya matahari pagi di *The Royal Al-Haqq Golf & Country Club* memancar garang, memantul pada embun yang masih tersisa di hujung rumput *Bermuda* yang menghijau karpet. Di tengah-tengah keheningan pagi yang hanya dipecahkan oleh kicauan burung dan bunyi hayunan kayu golf dari jauh, Al-Afina Rayhana Aisya berdiri tegak di tepi padang sasar.

Dia mengesat peluh di dahi dengan belakang sarung tangannya. Hari ini cuaca agak membahang, namun Afina tetap dengan prinsipnya. Tudung bawal kegemarannya dililit kemas, menutup dada dengan sempurna. Walaupun dia dikelilingi oleh golongan elit yang berpakaian jenama sukan antarabangsa yang ketat dan menjolok mata, Afina tetap selesa dengan seluar *slack* potongan longgar dan kemeja korporat kelab yang bersaiz besar sedikit daripada tubuhnya yang kecil molek.

Di kakinya, tersarung sepasang sneakers putih jenama *Nike Air Force 1* yang sudah sedikit comot di bahagian tepi.

"Afi! Kau buat apa lagi kat situ? Beg golf untuk VIP kat *Flight 5* dah sampai. Cepatlah, kau ni kalau berangan memang tak ingat dunia!" Jeritan Hannah Qaireena, sahabat baik merangkap teman sekerjanya, mematikan lamunan Afina.

Afina membetulkan letak topinya. "Ya, ya, aku datanglah ni! Kau ni Han, macamlah menteri nak datang. VIP je pun, bukannya Tuhan."

"Masalahnya, VIP kali ni bukan sebarang VIP, Afi. Ni anak bos besar kita. 'The Lion of Al-Haqq' nak turun padang hari ni. Kau nak kena buang kerja sebelum sempat dapat kerja kau nak tu ke?" Hannah menarik lengan Afina supaya bergerak lebih pantas.

Afina mencebik. Dia seorang graduan kursus *Architecture* dari Universiti Malaya yang sedang menunggu keputusan pengambilan kerja. Bekerja di kelab golf ini hanyalah kerja sementara untuk mengisi masa lapang dan membuktikan kepada Papanya, Dato' Zafran Iqbal, bahawa dia mampu mencari duit sendiri tanpa bantuan kad kredit tambahan.

"Kalau dia singa, aku ni bunga mawar. Cantik dipandang, tapi kalau salah pegang, berdarah tangan dia aku kerjakan," gumam Afina perlahan, cukup untuk didengari oleh Hannah yang hanya mampu menggelengkan kepala.

---

Sebuah kereta *Bentley Continental GT* berwarna hitam metalik meluncur masuk ke ruang parkir khas dengan penuh karisma. Pintu dibuka oleh pemandu peribadi, dan keluarlah seorang lelaki yang seolah-olah membawa aura musim sejuk ke tengah padang yang panas itu.

**Ungku Haris Mikael Iskandar.**

Namanya sahaja sudah cukup untuk menggambarkan siapa dirinya. Tinggi, tegap, dengan rahang yang tajam seolah-olah dipahat dengan teliti. Dia memakai baju polo putih yang melekat kemas di tubuhnya yang tegap hasil latihan gimnasium yang konsisten. Matanya yang tajam bak helang dilindungi oleh cermin mata hitam *Ray-Ban*.

Haris tidak memandang kiri atau kanan. Baginya, masa itu adalah mata wang yang paling berharga. Sebagai CEO yang memegang empayar daddynya, Ungku Dato' Seri Al-Haqq Zaireen, dia tidak mempunyai ruang untuk kesilapan atau kelalaian.

"Haris, *relax*-lah sikit muka tu. Kita datang nak main golf, bukan nak pergi perang," tegur Ammar Haziq Zayn, sahabat karib Haris yang juga seorang peguam korporat yang berjaya.

Haris hanya mendengus. "Daddy paksa aku datang. Katanya nak aku 'tinjau' cawangan kelab ni. Padahal aku tahu, dia cuma nak aku jumpa kawan-kawan lama dia untuk bincang pasal 'projek' kahwin."

Ammar ketawa. "Siapa tak nak jadi menantu Ungku Al-Haqq? Kau tu je yang memilih sangat. Dah macam robot aku tengok."

Langkah mereka terhenti di hadapan kaunter pendaftaran luaran di mana Afina sedang berdiri memegang iPad untuk menyemak senarai tetamu.

Takdir Yang Bernama: Haris MikaelNhững tác phẩm khiến độc giả say mê. Hãy khám phá bây giờ