"Nun; air hitam."
HUJAN. Rintik-rintik hujan menyapa romanku. Tak tahu bila dan di mana aku berada. Langit masih sama, berperang tanpa mengendahkan aku seolah-olah guruh-guruh dan petir-petir yang mereka nyalakan sedang menghalau aku. Langit sengaja meletakkan aku di dalam stigma itu. Mungkin bagi langit aku ini lipas yang akan merayap menyorok bila dipukul penyapu; atau anjing kurap yang hanya tahu menyalak bila dibaling batu; atau pengemis jalanan yang diam bila dihina atau diterajang.
"Ah, bangang!"
Segala kudrat aku kerahkan untuk mendongak ke langit. Sengaja aku tinggikan ke kepala dan hidung kembang kempis melaju. Sepatutnya langit sudah tahu bahawa di bumi ini, akulah satu-satunya manusia yang paling membencinya; atau membenci-Nya. Ya, aku sedang mencabar seseorang. Tidakkah Tuhan ada di atas langit? Jangan ditanya siapa aku. Aku sendiri pun tak tahu. Aku kira aku ini alien atau makhluk asing yang turun ke bumi dengan misi untuk menakluki bumi dan seterusnya mengubah manusia menjadi raksasa. Kalau benar pun, kiranya aku sepatutnya sudah pulang, kerana manusia memang sudah menjadi raksasa tanpa perlu aku mencetuskan huru-hara.
Macam salah je jalan cerita ni. bisik satu suara.
Betul la ni! balas suara yang lain.
Dua-dua suara yang bermain di dalam serebrum aku itu selalu saja bertelagah, seperti malaikat dan syaitan, baik dan buruk. Dan aku seperti hakim yang menentukan siapakah yang benar tanpa perlu menilai majoriti undian di dalam sistem kehakiman berteraskan kuasa veto itu, seperti Firaun; ex-Tuhan yang mati ditelan Laut Merah.
Multiple-personality-disorder.
Beberapa tahun dulu aku pernah dibawa bertemu seorang lelaki berbaju putih dengan dua pasang telinga panjang di lehernya, atau mungkin juga sesungutnya; manusia raksasa.
"Siapa Perdana Menteri sekarang?" soal lelaki itu.
"Perdana Menteri sekarang? Come on, takkanlah saya tak tahu. Mana saya boleh lupa orang yang buat GST, 1MDB. Zaman Anuar Berahim masuk penjara kali kedua. Zaman Tun Mahadi kena bash. Matawang jatuh. Minyak naik. Zaman pakatan pembangkang bercerai-berai. Kapal terbang, kapal minyak hilang. Banyak kot sejarah. Kenapa encik tanya soalan ni. Encik tak tahu ke?"
Jawapan itu aku akhiri dengan soalan, penuh yakin. Kiranya contoh-contoh yang aku selitkan itu cukup untuk menjawab soalan siapa PM pada zaman itu. Namun, lelaki berbaju putih itu tidak menjawab walau sepatah, sebaliknya menggeleng-geleng, sama ada dia tak tahu jawapannya atau jawapan yang aku berikan kepada soalan-soalannya tadi salah, entah. Tanpa sebarang penjelasan, tiba-tiba saja beberapa orang lelaki memegang aku dari belakang.
Dari jauh aku dengar suara lelaki berbaju putih itu.
"He is talking bullshit. Put him into sanitarium."
Haa..kan aku dah cakap betul. Tu rumah kau! jerit suara di dalam kepala aku.
Kali ini, suara itu hanya satu, tidak dibantah suara yang satu lagi. Seperti kedua-duanya sependapat bahawa bangunan di depan aku sekarang adalah rumah aku. Aku dapat merasa visual zoom-in, zoom-out, kamera ke depan, ke belakang, mendekat, menjauh, dan berjaya menangkap visual besar banglo besar bersemak samun tersergam ngeri di depan aku waktu ini. Dengan pantas aku melangkah ke pintunya. Di pintu depan rumah itu melekat satu plat logam berisi digit-digit familiar; 315-A. Spontan tangan kiri aku menyeluk ke dalam saku seluar, mengeluarkan secebis keratan kertas bertulis 315-A.
Rumah aku? bisik hati kecilku.
Aku memulas tombol pintu, terkunci.
Kunci ada kat dalam kasut. kata suara yang sama lagi.
Aku memutarkan pandangan ke sekeliling, ada satu kasut di situ, di tepi pasu. Baru aku tersedar bahawa saat itu hanya kaki kiriku saja yang berkasut. Dan kasut yang berada di tepi pasu itu sama jenis dengan kasut yang aku sarung. Lebih aneh, kasut itu juga bersaiz sama dengan kasut yang di kaki kiri aku itu, seolah-olah itu adalah pasangannya yang sekian lama terpisah.
Jadi ni betul-betul rumah aku? ragu aku lagi.
Aku meraba-raba, menyeluk tangan ke dalam kasut itu. Sesekali ada rasa sakit seperti disengat sesuatu, mungkin juga cuma habuk halus bertajam. Aku berhenti bila tangan aku menyentuh satu objek legap, segera aku keluarkan. Memang benar omongan suara itu. Ada sebentuk kunci di dalam kasut itu. Dengan segera aku menjolok anak kunci yang sudah berkarat itu ke dalam lubang pada tombol pintu. Klak! Pintu itu terbuka. Kreett...! Sebaik saja pintu itu terbuka, satu cahaya terang-benderang terbit dari dalamnya, memaksa aku memejam mata serapat mungkin.
Masuk ke dalam cepat! jerit suara tadi.
YOU ARE READING
DEWA
Fanfiction"Kalau dia antagonis. Kau? Protagonis." Senyap. Suara itu diam, kedua-duanya. Aku menoleh ke luar jendela, langit jingga campur kelabu, mendung negatif. Kelihatan pelangi di antara dua bukit ungu. Tiba-tiba kedua-duanya makin mendekat, merapatkan pe...
