Tentang Ahmad Safrin

433 15 5
                                    



Satu hari saya menerima sepucuk surat yang dialamatkan buat seseorang bernama Marcus D'Souza. Surat itu disampaikan oleh seorang anak jiran kepada saya. Katanya, tiada lelaki yang boleh dipercayai di sini seperti saya. Saya tahu anak kecil itu telah lama menaruh minat kepada saya. Cuma dia malu untuk mengakuinya. 

"Surat ni untuk rumah warna coklat tu. Tapi, saya confirm yang rumah tu kosong."

"Biar je lah surat ni kat situ. Jangan kacau barang yang bukan hak kita."

"Tapi saya betul-betul  nak tahu apa isi surat tu, bang."

"Kalau kau nak tahu, kau saja lah yang buka dan baca. Kenapa nak pass benda ni kat abang pulak?"

"Abang kena faham, yang saya ini dapat memahami sesuatu dengan lebih baik dengan cara mendengar berbanding membaca."

Aneh. Di kompleks ini tidak ada lelaki berbangsa Serani. Alamat yang tercatat pada sampul surat ini malah tidak jauh dari rumah saya. Cuma berjarak 2 buah rumah. Bahkan saya, dan semua orang yang tinggal di kompleks ini juga tahu bahawa, rumah bernombor 13A ini hanyalah sebuah rumah kosong. Ia pernah didiami oleh seorang lelaki pelik berusia awal 40-an. Tapi nama lelaki itu bukan Marcus D'Souza atau Marcus atau D'Souza. Kami mengenalinya sebagai, Ahmad Safrin. Dia merupakan seorang penulis novella dan menurut fakta jiran-jiran, novellanya tak laku di pasaran.

Akibat terlalu kecewa, Ahmad Safrin mengurung diri di dalam rumah dan hanya bekerja sebagai penerbit buku-buku puisi yang lebih mendapat sambutan berbanding novellanya. Pernah sekali saya terdengar Ahmad Safrin meraung dari dalam kamarnya. Ketika itu saya sedang berjogging di sekitar kompleks, dan tingkap bilik Ahmad Safrin di tingkat atas yang menghadap jalan utama sedang terbuka luas. Raungan Ahmad Safrin bergema hingga saya memperlahankan larian dan mula berjalan setapak setapak. Seiring dengan raungan Ahmad Safrin, sebuah buku nipis tercampak keluar dari tingkap biliknya dan terjatuh di luar pagar utama rumahnya – hampir dengan lokasi saya sedang berdiri.

"Kau ambil buku tu! Kau blah dari situ! Blah!"

Saya pandang ke arah muka tingkap. Kelihatan Ahmad Safrin dan rambutnya yang panjang, keriting, kelihatan basah dan wajahnya yang bengis, cermin mata bingkai hitam dan t-shirt grunge menyarung tubuh.

"Apa tengok-tengok! Ambiklah!"

"Tapi saya tak baca buku puisi, bang!"

"Aku bagi buku tu free! Free!"

Saya capai buku yang sampulnya bewarna coklat tua dan agak lusuh lalu berlari-lari anak meninggalkan perkarangan rumah Ahmad Safrin. Keesokan harinya, sebuah lori mengangkut barang diparkir di perkarangan rumah Ahmad Safrin. Perodua Kancil putih miliknya juga ada di sana. Beberapa orang pekerja sedang mengangkat perabot untuk dimuatkan di dalam perut lori.

Ahmad Safrin sedang merokok sambil badannya disandarkan pada batu tembok dan kepalanya diangguk-angguk tanpa sebab. Tiada seorang pun yang mendekatinya. Semua yang berada di situ hanya melakukan pekerjaan mereka tanpa memperdulikan kewujudannya. Ahmad Safrin seperti seekor setan gendut sedang mencari manusia berjiwa paling rapuh untuk dirasuk.

Saya menyarung flip flop berwarna hitam lalu berpura-pura seperti sedang mencapai hos getah dan mahu menyiram pokok daun kesum di hadapan rumah. Ahmad Safrin mengangkat wajahnya lalu merenung saya dengan pandangan membunuh. Saya senyum kecil sambil menundukkan kepala sedikit kepadanya - tanda hormat. Ahmad Safrin berjalan menghampiri saya. Ketika langkahnya semakin menghampiri pagar utama rumah, saya dapat merasakan yang abdomen saya semakin mengebas.

"Kau dah baca buku puisi abang?" Kedua belah tangannya dicekak pada pinggang.

"Be.. Dah, bang."

"Orang macam kau ni, perlukan puisi untuk neutralkan semula hati kau yang penuh dengan toksin." Asap rokok berkepul keluar melalui lubang mulutnya. Aku sedang menunggu asap tersebut keluar melalui lubang telinganya pula.

"Nak pindah ke?"

"Ha'ah." Dia menyedut rokoknya dalam-dalam. Menghembus asap ke tepi sambil kepalanya memandang ke arah rumahnya sendiri. Keningnya dikerut sedikit. Matanya sengaja disepet. "Aku baru beli rumah kondo dekat tengah bandar." Ahmad Safrin senyum senget.

"Hebat tu, bang."

"Puisi telah mengubah hidupku menjadi lebih baik berbanding dahulu."

"Hebat... hebat..."

"Aku tahu."

Ahmad Safrin berlalu pergi bersama riaknya dan kami, tidak pernah lagi nampak kelibat lelaki itu di sini. Aku syak, surat yang dialamatkan untuk Marcus D'Souza ini ada kaitannya dengan Ahmad Safrin. Mungkin dia menjalani kehidupan dengan dua personaliti berbeza. Mungkin juga dia seorang mafia atau bapa ayam yang terkenal di Utara Brazil.

"Siapa nama kau?" Budak kecil itu mengebilkan matanya berkali-kali.

"Ari, bang."

"Besok je kita buka surat ni. Aku ada kerja sikit nak buat sekarang."


Marcus D'SouzaWhere stories live. Discover now