Prolog

32 1 0
                                        

Suasana malam terlalu tenang. Hanya diiringi oleh suara angin yang menderu lembut. Haura duduk di sudut di balkoni rumah, matanya memandang langit tanpa fokus. Bintang-bintang yang mulai kelihatan seolah-olah memancarkan cahaya yang jauh di luar jangkauan, mengingatkan Haura pada impian-impian yang semakin kabur dalam hidupnya.

Haura memeluk lututnya, pandangan kosongnya tertuju pada cawan kopi yang ada di atas meja. Dia menarik nafas panjang, menghembuskan perlahan-lahan. Di sudut hatinya, ada ribuan pertanyaan yang terus berputar, teringat perbualan yang dibahaskan keluarganya tempoh hari.

"Adik, adik ni tak ada calon ke?" soal ibunya semalam sambil menyusun pinggan di dapur.

Soalan yang sama, berulang kali. Haura hanya tersenyum tawar, mengelak menjawab. Dia tahu ibunya risau. Umurnya sudah 25 tahun, tetapi hatinya masih tidak terbuka untuk mana-mana lelaki. Mungkin kerana dia terlalu sibuk dengan kerjaya sebagai seorang guru dan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan separuh masa. Rata-rata kawan seumurnya sudah bernikah. Malah ada yang sudah beranak-pinak. Dia pula masih sibuk menikmati zaman bujang yang belum nampak penamatnya.

Namun, di sudut hatinya, dia sendiri tertanya-tanya. Mengapa dia tidak pernah terfikir untuk jatuh cinta? Apakah kerana dia belum bertemu dengan orang yang benar-benar tepat?

"Adik ni kenapa termenung lagi?" suara ibunya mengejutkan Haura dari lamunannya. Puan Siti yang tadi sibuk menyusun pinggan, kini berdiri tegak di hadapan anaknya dengan segelas air di tangan. Kerusi meja makan ditarik sebelum punggungnya dilabuhkan di situ.

"Adik tak ada ke kenal dengan siapa-siapa? Kalau ada bagitahu ibu. Bawa dia jumpa ibu ayah. Kita uruskan cara baik"

Keluhan terbit dari dua ulas bibirnya.

"Tak ada ibu. Tak ada siapa-siapa yang nak berkawan dengan anak ibu ni" Haura menjawab.

"Ibu tahu adik sibuk dengan kerja. Tapi sampai bila nak elak benda ni? Bukan ibu nak paksa, tapi ibu cuma nak tengok adik bahagia" ujar Puan Siti.

" Kalau adik dah ada calon, boleh langsungkan majlis nikah sekali dengan kakak. Ibu bukan apa. Anak ibu kembar. Ibu teringin nak tengok anak-anak ibu nikah serentak. Buat majlis sama-sama" Tambah Puan Siti.

Ya, Hadirah, Kakak Kembarnya baru siang tadi melangsungkan majlis pertunangan dengan jejaka pilihan hati. Majlis nikahnya akan berlangsung pada cuti sekolah penggal akan datang.

Jari tangannya yang dari tadi bermain dengan kertas tisu terhenti.

"Ibu doakan lah yang baik-baik. Doa ibu kan mujarab. Tiada halangan. Terus straight ke langit" Seloroh Haura.

"InsyaAllah, kalau dah sampai masanya, terpacaklah dia dekat depan pintu rumah tu haa" tambah Haura bersama tawa.

"Ish adik ni. Ibu serius, dia buat lawak pula" Matanya menjeling anak gadisnya yang sedang tayang sengih.

Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Sesungguhnya sekarang dia meletakkan nasibnya pada Allah. Hanya mengikut jalur takdir yang telah ditentukan untuknya.

Soal jodoh pula, dia tidak menolak andai sudah tiba masanya, tetapi kepercayaannya kepada takdir lebih besar daripada segalanya. Dia yakin, jika memang ada seseorang untuknya, Allah akan mempertemukan mereka pada waktu yang tepat. 

Jalur Takdir AlfatunissaStories to obsess over. Discover now