PROLOG

4.9K 206 7
                                        

Tangan Afrina Natasha laju bertindak mengambil telefon pintar yang berada di atas meja solek. Jari jemarinya begitu pantas mendail nombor seseorang sebelum rapatkan alat peranti tersebut ke telinga. Deringan demi deringan kedengaran tetapi panggilan itu tidak juga bersambung.

Degusan kecil terbit dari mulut Afrina. Bercampur aduk perasaan wanita itu sekarang. Geram, gementar, resah, kecewa, sedih, semuanya ada.

"Mana Qais ni..." Afrina hubungi nombor Qais buat kali kelima belas pagi ini. Apabila panggilan ini juga tidak berangkat, Afrina terduduk lemah di atas katil.

"Awak ke mana Qais... mustahil awak masih bersiap. Kalau awak bersiap sekalipun, tak boleh ke wakilkan orang lain untuk beritahu pada saya?" bergetar suara Afrina, air mata mula berlinangan pada tubir mata.

Terlalu banyak perkara yang Afrina fikirkan sekarang. Tanda tanya demi tanda tanya menyapa fikiran Afrina sejak Subuh tadi kerana sejak Subuh tadi, tiada walau satu pun pesanan yang masuk daripada nombor Qais, apatah lagi panggilan telefon. Renungan mata Afrina beralih pada kekura tangan. Ukiran inai yang terlakar cantik di situ buat hati Afrina terasa semakin sempit.

TOK! TOK! TOK!

Ketukan pada pintu bilik kedengaran. Afrina panggung kepala, air mata yang sudah bertakung dilap menggunakan tisu di tangan dengan penuh hati-hati, tak mahu rosakkan solekan.

Bunyi pintu terkuak membawa Afrina bangun dari terus terduduk. Sejurus itu, mata Afrina lekas menangkap susuk tua seorang wanita, ibu Afrina sendiri.

"Adik? Dapat tak call Qais? Tok kadi nak kena pergi ke tempat lain ni, ada pengantin lain yang nak dinikahkan. Lambat lagi ke nak...?" Puan Raudhah bertanya bersama hati yang kian resah. Bakal menantu lelakinya itu langsung tak munculkan diri. Jangan kata bayang-bayang, derapan kaki keluarga belah lelaki pun langsung tak kedengaran.

Afrina membisu untuk beberapa saat. Pandangannya fokus pada lantai bilik. Haruman bunga rampai yang memenuhi ruangan rumah tidak pernah meninggalkan deria bau Afrina. Semalam, bau ini sungguh menenangkan hati sang pengantin tetapi tidak lagi sekarang.

"Mak minta tok kadi tunggu lagi 30 minit. Kalau Qais tak datang juga, majlis nikah pagi ni akan dibatalkan atau mungkin dialih pada tarikh lain." Afrina tidak pernah sangka, ayat begini akan keluar dari mulutnya. Suara Afrina begitu perlahan bersama raut wajah yang serius, langsung tak terlihat main-main.

Hampir gugur jantung Puan Raudhah mendengarnya. Pintu yang terbuka luas itu ditolak agar tertutup sepenuhnya. Puan Raudhah tak mahu tetamu atau saudara mara lain dengar akan perbualannya bersama sang anak.

"Mati adik dikerjakan oleh ayah nanti," bisik Puan Raudhah. Tangan sang ibu sudah mendarat pada lengan Afrina. Takkanlah ini saja yang Afrina mampu buat?

Afrina balas pandangan ibu tercinta. Entah kenapa, Afrina agak terasa dengan ayat seringkas itu.

"Lepastu adik boleh buat apa lagi mak? Mak beritahu pada adik. Kalau Qais tak datang... kita tetap tak boleh teruskan majlis nikah ni," balas Afrina. Air mata yang tertahan sedari tadi kembali memberatkan empangan.

Benar, hari ini merupakan hari nikah Afrina Natasha bersama Qais Ibrahim. Majlis ini bukan dirancang secara tiba-tiba, malah Afrina sudah bercinta dengan Qais sejak tiga tahun yang lalu.

Malam tadi, Qais masih baik-baik saja, membalas pesanan bersama Afrina tapi kenapa sejak Subuh tadi, pesanan Afrina langsung tak dibalas? Panggilan telefon juga tak berangkat. Dari awal pagi, Afrina berasa tidak sedap hati tetapi tidak sangka akan berlaku seteruk ini.

Puan Raudhah ada tiga orang anak, perempuan kesemuanya termasuk Afrina. Kedua kakak Afrina sudah pun menikah. Inilah kali pertama mereka sekeluarga berhadapan dengan perkara begini. Puan Raudhah tak mampu berkata-kata, rasa seperti mahu tumbang saat ini juga.

"30 minit mak... kalau tiada juga, adik sedia terima apa je akibatnya." Sambil bercakap, Afrina sempat mengusap lengan ibunya, mahu tenangkan Puan Raudhah walaupun Afrina sendiri dalam kegelisahan.

Nafas berat dilepaskan, Puan Raudhah akur. Wanita yang berada dalam lingkungan 50-an itu mengorak langkah, keluar dari bilik.

Sebaik pintu bilik tertutup rapat, Afrina terus jatuh terduduk di atas lantai. Tak terkata betapa serabutnya fikiran dan fizikal Afrina sekarang. Sekali pandang, memang nampak seperti pengantin yang tertekan tak jadi berkahwin.

Jarum jam terus bergerak. Dari satu minit beralih ke minit seterusnya. Kepala Afrina memang mendongak sedari tadi, merenung jam dinding yang tergantung. Entah kenapa, Afrina rasa 30  minit kali ini benar-benar pantas berlalu.

"Maaf semua, maaf pada para tetamu, maaf pada tok kadi serta saksi, saya selaku tuan rumah hanya mahu memberitahu yang majlis akad nikah pagi ini dibatalkan. Para tetamu yang hadir boleh menjamah makanan-makanan yang sudah siap terhidang di luar rumah. Kami minta maaf sekali lagi atas berita tiba-tiba ini." Suara garau seorang lelaki membuat pengumuman di ruang tamu rumah menyapa gegendang telinga Afrina.

Jelas dan begitu mudah untuk difahami. Saat itu juga, air mata Afrina jatuh, membasahi pipinya serta tudung yang sudah serabai habis. Mata dipejam rapat. Afrina tahu, daripada suara itu, bukan bapanya yang buat pengumuman tetapi abang ipar sulung Afrina.

Pasti Encik Wahab sekarang sedang menahan amarah yang menebal. Mungkin juga sedang menahan malu akibat majlis nikah yang dibatalkan. Butiran jernih Afrina semakin deras menodai pipi tatkala fikirkan maruah kedua ibu bapanya.

Pandangan Encik Wahab pada Afrina selepas ini pasti tidak akan sama lagi. Afrina kenal bapanya... Encik Wahab paling tidak suka saat anak sendiri mencalarkan maruah atau calit arang pada wajahnya.

'Kenapa Qais... kenapa awak buat saya macam ni? Apa salah saya... apa dosa saya pada awak, Qais Ibrahim?' soalan ini tidak pernah hilang. Setiap hari, setiap minit, setiap saat ia berlegar dalam kepala Afrina, bertanya di mana silap Afrina selama ini sehingga Qais tergamak lakukan Afrina begini.

[ON-GOING] TERCIPTA UNTUKNYA Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang