Yang namanya Merdeka

10 0 0
                                    

 Penulis: Muhammad Harith Hazwan bin Adnan, SMSIH, Tahun 2



Aku, Adam. Disini aku ingin menukilkan secebis kisah mengenai diriku iaitubagaimana seorang yang sebelum ini sangat membenci dengan perkataan sejarah atau lebih tepat lagi kemerdekaan yang acapkali dilaungkan pada bulan Ogos kepada seorang yang menghargai apa itu erti sebuah kemerdekaan. Sebelum itu, aku ingin memperkenal serba sedikit mengenai diriku persis kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Aku merupakan seorang pelajar yang bermasalah. Kebanyakkan rakan-rakan disekelilingku melabelku sebagai seorang yang degil dan suka menyakat orang lain.Selain itu, aku juga merupakan seorang anak yatim piatu di mana ibu bapaku telah meninggal dalam sebuah kemalangan sejak sedekad yang lalu. Ketika itu, semuapakcik dan makcik aku tidak mahu mengambil atau mengasuhku melainkan seorang pakcik yang aku panggil sebagai Cik Abu.

Cik Abu merupakan seorang pakcik yang penyayang. Beliau merupakan abang kepada arwah ayah Adam. Cik Abu memiliki tiga orang anak dimana salah seorang daripadanya kurang upaya. Kehidupan beliau boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi. Hal ini kerana Cik Abu hanya bekerja sebagai seorang tukang cuci di salah sebuah hospital swasta di Batu Pahat. Suatu ketika dahulu, pernah terdetik dalam hatiku mengapa Cik Abu begitu bersungguh-sungguh untuk membela aku walhal kehidupan beliau sendiri menurut pandangan aku serba kekurangan. Beliau mengatakan bahawa dia mahu menjaga aku adalah disebabkan oleh untuk memenuhi permintaan daripada arwah ayahku sendiri. Selain itu, untuk urusan persekolahan, ianya mudah disebabkan jarak sekolah dengan rumah Cik Abu hanya sekitar lima kilometer. Untuk makluman semua, aku pergi ke sekolah dengan menaiki motorsikal  pemberian arwah bapaku. Oleh itu, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban Cik Abu kerana dia tidak perlu tergesa-gesa untuk menghantarku ke sekolah disebabkan oleh jadual kerjanya yang agak padat. 

 Pada suatu hari, sebelum aku pergi ke sekolah, sudah menjadi rutin bagi keluarga Cik Abu untuk bersarapan sebelum memulakan tugasan harian. "Adam, mari sarapan dahulu, nanti kalau tidak makan takut hilang fokus ketika belajar", kata Cik Abu. Tanpa melengahkan masa, aku terus keluar daripada bilik dan menuju ke meja makan lantas mengambil sekeping roti untuk dijadikan sebagai alas perut. Cik Abu yang faham benar dengan perangai aku yang tidak makan banyak ketika waktu sarapan hanya melihat gerak-geriku tanpa berkata apa-apa. "Pak cik, saya pergi dulu ya", sambil bersalaman dengan Cik Abu. Aku terus mengatur langkah untuk pergi ke sekolah yang hanya sekitar lima minit dari rumah. Tidak menjadi masalah bagiku untuk pergi ke sekolah memandangkan aku mempunyai sebuah motorsikal pemberian arwah bapaku. Aku perlu keluar sedikit awal pada pagi itu memandangkan pagi itu ada perhimpunan mingguan.

Setibanya aku di sekolah, aku terus bergegas ke tapak perhimpunan bersama-sama dengan rakanku yang lain. Pada hari itu, pihak sekolah telah melancarkan sambutan bulan kemerdekaan memandangkan telah masuknya bulan Ogos. Acara itu telah dirasmikan oleh pengetua sekolahku, Cikgu Zahari sambil diiringi dengan laungan merdeka sebanyak 7 kali. Cikgu Zahari mengambil kesempatan ini dengan menyampaikan sepatah dua kata bersempena dengan bulan kemerdekaan.

 "Adam, kau tidak mahu masuk apa-apa acara ke untuk sambutan bulan kemerdekaan ini?",   tanya Haziq kepadaku. Aku hanya mencebikkan bibir mendengar persoalan itu. Aku serta rakan-rakanku yang lain duduk di bahagian belakang sekali sambil berbual-bual tanpa mendengar sepatah pun ucapan yang dilontarkan oleh pengetua kami. Pada pagi itu,perhimpunan habis agak lewat disebabkan oleh pelancaran bulan kemerdekaan dan juga "sepatah dua kata" daripada pengetua sekolah. Setelah habisnya perhimpunan tersebut, aku berserta rakanku yang lain terus bergegas masuk ke kelas untuk mempelajari subjek Sejarah. Jarak dari tapak perhimpunan ke kelas mengambil masa hanya beberapa minit sahaja.

Ketika aku berada dihadapan pintu kelas, aku telah melihat satu sosok tubuh yang amat digeruni oleh segenap pelajar di sekolah ini iaitu Cikgu Azlan yang merupakan seorang guru yang mengajar subjek Sejarah dan juga seorang guru disiplin. Cikgu Azlan merupakan seorang guru yang tegas terutamanya berkaitan dengan masa. Pernah beberapa kali aku didenda oleh beliau disebabkan lambat masuk ke kelasnya. "Eh Adam, awalnya kamu masuk kelas hari ini", sindir Cikgu Azlan. Sindirannya yang begitu pedas hanya disapa oleh senyumanku yang seperti kerang busuk. Tanpa membuang masa, aku terus bergegas pergi ke meja lalu mengeluarkan buku teks Sejarah. Kelihatan terdapat seorang pelajar lelaki yang lambat masuk ke kelas lalu Cikgu Azlan menyuruhnya untuk berdiri di hadapan pintu kelas sambil membawa buku Sejarah. Aku bersama-sama rakan kelasku yang lain hanya mampu berdiam sahaja sambil melihat kejadian tersebut kerana kami sudah masak benar dengan ketegasan yang dimiliki oleh Cikgu Azlan terutamanya berkaitan dengan masa.

Yang namanya MerdekaWhere stories live. Discover now