Dua

39 8 4
                                    

"Cik Layla Makhzumi."

Layla mengangkat pandang, selajur bangkit dari kerusi panjang.

"Boleh masuk."

Layla berdiri sebentar di hadapan pintu kaca separa tembus. Perawakannya diperbetul sedikit, sebelum melangkah masuk ke bilik temuduga.

Tuk tuk tuk.

Pintu diketuk sebelum ditolak. Dengan penuh hati-hati, langkah diatur. Ada dua orang lelaki sedang duduk berhadapan meja, dengan sebuah kerusi membelakangi Layla.

"Duduklah," lelaki berkulit sawo matang di sebelah kiri mempersilakan Layla untuk menempati kerusi kosong itu.

Layla melabuhkan duduk sambil mengucapkan terima kasih. Tidak lupa seulas senyum yang masih merauti wajah.

Itu tip yang diberitahu buya. Kekal tersenyum walau apa pun terjadi, bukan setakat ketika temuduga, tapi dalam hidup juga.

Lelaki yang bersuara sebentar tadi, terlihat sedang meneliti kertas yang berada di tangan. Barangkali, itu resume milik Layla, tak pun soalan-soalan yang bakal dilontarkan kepadanya.

Lelaki seorang lagi... sedang... perhatikannya? Serius?

Layla sedar, mata lelaki seorang lagi itu seakan terpaku ke arahnya. Aduh, ada benda yang tak kena ke dengan diri aku ni?

Nak ditanya, macam tak kena pula. Layla datang untuk ditemuduga, bukan menemuduga. Tapi, pandangan lelaki itu membuatkan dirinya tidak selesa.

"Cik Layla, ceritakan sikit tentang pengalaman kerja awak."

Fikiran Layla yang tadinya menerawang tak tentu hala, kembali ke alam realiti. Nasib baik soalan tadi sempat dihadam dalam kepala.

"Saya pernah bekerja sebagai penulis sambilan untuk portal Permysuri, menulis artikel-artikel berkaitan cinta dan rumahtangga. Tuan pernah baca artikel bertajuk 'Perempuan Mandiri Tidak Perlukan Lelaki'?"

Sengaja Layla bertanya soalan tersebut, mahu tahu bagaimana respons si penemuduga. Soalannya dibalas anggukan tanpa suara.

"Sayalah penulis artikel itu. Tapi tuan jangan salah faham, penulisan tu berdasarkan pandangan peribadi dan disokong beberapa fakta kukuh."

Itulah senjata Layla paling ampuh, untuk memperoleh jawatan ketua editorial yang ditawarkan syarikat tersebut.

'Perempuan Mandiri Tidak Perlukan Lelaki', sebuah artikel yang pernah menggemparkan dunia Facebook satu ketika dahulu.

Artikel itu ditulis pada zaman di mana perempuan dilihat sebagai objek yang tidak akan dapat mengatasi lelaki.

Perempuan mandiri, bermakna seorang perempuan yang mampu membangunkan dirinya sendiri tanpa bantuan daripada pihak luar.

Lalu, apabila mereka sudah terbiasa berdikari, maka mereka tidak lagi perlukan seorang lelaki dalam hidupnya.

Ini kerana mereka merasakan kebebasannya akan disekat, kehadiran lelaki akan mengurangkan nilai diri mereka, dan mereka tahu mereka boleh buat apa sahaja sendiri.

"Cik Layla?"

Eh? Aku mengelamun ke tadi?

"Ya?" soal Layla, masih bingung.

Pandangan mereka bertaut seketika. Tidak ada sebarang suara bertingkah, melainkan bunyi kenderaan berselang-seli memecah sunyi.

Layla menanti dalam mamai dan debar. Apa lagi agaknya soalan yang akan ditanya?

Bola mata penemuduga sebelah kiri beralih arah. Dia berpaling ke arah seorang lagi yang... psiko?

Kedua-dua lelaki di hadapannya kini sedang bercakap-cakap sesama sendiri dengan suara yang perlahan.

Layla MajnunWhere stories live. Discover now