"Kerana dengan buat macam itu saja, saya mampu kurangkan rasa bersalah saya. Hinggalah tiba waktu dimana awak minta saya untuk pujuk Irelyn kerja semula sebagai profiler. Saya takut saya tak mampu, sebab itu saya memang tekad nak berhenti dari NYPD. Tapi bila awak sedih, rasa bersalah tu datang semula. Sebab itulah saya buat keputusan diluar akal."

Menyesal pun tiada guna sekarang ini. Perasaan Hazel bercampur aduk hingga membuatnya ingin muntah. Tidak tahan dengan kenyataan yang baru saja suaminya lafazkan, Hazel berlari keluar dari ruangan bicara itu dan terus keluar dari pejabat polis.

Hari yang sudah gelap dan berkabus serta sejuk membuat Hazel tidak dapat berfikir dengan baik. Dia terduduk di bangku jalan kerana tubuhnya terasa longlai selepas mendengar penjelasan Chan. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan sekarang. Tanpa Chan, dia buntu.

Sangat buntu.

"If this is my fault, blame it on me. Not my husband." Sambil menatap langit, dia bertutur. Dari hujung mata hingga ke dagu, air matanya bercucuran jatuh bak air terjun.

"Hazel."

---

"Terima kasih, Irelyn." Senyuman tipis dilempar sebagai jawapan untuk ucapan terima kasih tadi. Irelyn memberi sehelai tuala baharu dan juga pajama miliknya pada Hazel. Ibu mengandung perlu sentiasa jauh dari kuman dan bakteria. Dan berada diluar lebih dari lima jam adalah mustahil untuk tubuh tidak dihinggapi apa-apa kotoran.

"Awak mandilah dulu sementara tunggu Minho selesai masak makan malam." Jelas terdengar bunyi bising dari arah dapur.

"Irelyn...." Si pemilik nama menoleh. "Saya nak minta maaf."

"Jangan bicarakan tentang hal yang lepas, Hazel. Lagipun, keadaan awak sekarang bukan waktu yang tepat untuk kita bualkan tentang semua ni. Mandi, makan dan rehatlah. Matahari tak akan berhenti muncul sebelum tibanya kiamat." Bahu wanita itu diusap perlahan.

Irelyn menutup pintu bilik sebaik saja dia menapak keluar. Minho yang sedang berada di dapur, mendengar derapan kaki Irelyn yang sedang menuju mendekatinya.

"Masak apa tu~" Aroma yang enak menusuk rongga hidungnya.

"Sup ayam. Awak kata Hazel sejuk kan? Jadi saya masak yang boleh hangatkan badan." Kemanisan lelaki ini membuat Irelyn ingin mencubit kedua pipinya. Namun hal itu terhalang ketika Minho terlebih dahulu melakukan padanya. "Comel!"

"Aduh! Sakitlah!" Lengan lelaki itu dicubit.

"Aduh! Sakitlah!" Kini mereka seri.

"Malam ni awak tidur dekat sofa ye? Hazel tidur dalam bilik saya, dan saya akan tidur bilik Hyunjin. Awak tak ada masalahkan tidur di sofa?" Kepala sedikit miring selepas bertanya.

"Saya boleh je balik rumah lepas kita makan malam. Saya kan bawa kereta."

"Janganlah balik." Jawapan Irelyn membuat Minho menoleh. Ada apa dengan jawapan dan intonasi yang gadis itu keluarkan tadi. Kenapa begitu manja bak kucing betina yang sedang gatal ingin mengawan?

"Satu rayuan tak cukup untuk tahan saya. Nyawa kucing ada sembilan. Jadi saya perlukan lapan lagi rayuan." Minho mengusiknya sebelum mengukir senyuman sisi.

"Tak apalah kalau macam tu. Balik sajalah. Lapang sikit rumah ni." Santai gadis itu meninggalkan dapur.

"E-Eh Irelyn!"

© KIND IS A CURSEWhere stories live. Discover now