00. The Crown Prince Fell in Love with the Maid

57 11 9
                                    

The Crown Prince Fell in Love with the Maid.

Sebuah Manhwa yang menjadi bualan ramai sejak ia diterbitkan pada awal tahun 2021. Kepopularan yang bukan datang dari jalan cerita sebaliknya seni lukisan yang menarik dan memukau mata.

Ramai pembaca yang singgah sebentar namun beredar sebaik sahaja mengetahui plot cerita yang sangat klishe. Watak utama bernama Lily, seorang gadis yang ceria dan naif. Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang daif tetapi sangat penyayang antara satu sama lain.

Genap usia Lily 18 tahun, dia membawa diri ke Kota Candlela untuk memulakan hidup baharu. Lily akhirnya bekerja sebagai dayang di istana yang menempatkan Keluarga Diraja Froude. Hidupnya tidak seindah yang dibayangkan. Dayang-dayang istana membuli Lily yang lemah.

Dia melalui hari-hari yang sukar sehinggalah pada satu malam sewaktu Lily melayan perasaan di taman bunga, dia tersandung batu lalu hilang keseimbangan. Namun belum sempat kepala menyembah tanah, badan Lily disambut oleh lengan yang gagah.

Mata bertembung mata. Jantung berdetak laju. Wajah saling mendekat. Muka mula memerah.

Pertemuan kali pertama dengan Putera Mahkota Leo yang terkenal dengan sikapnya yang zalim, ganas dan dingin.

Hari berganti hari, entah bagaimana si putera raja boleh terjatuh cinta dengan gadis biasa yang tiada apa-apa.

Cinta mereka dirahsiakan dari semua orang kerana Leo yang ketika itu masih mempunyai tali pertunangan dengan anak gadis Duke Bliss, Lady Cossete.

Datang pula si bangsawan muda, Marquess Armand yang beperwatakan baik. Dia terjatuh cinta dengan Lily kerana keikhlasan gadis itu dalam membantu menyelamatkan kucing dari lemas di dalam longkang.

Armand kemudiannya ingin menjadikan Lily sebagai isterinya tetapi ditolak Lily yang ketika itu sangat mencintai Leo. Hanya mahu melihat kebahagian Lily, akhirnya Armand mengalah tetapi dia akan membantu Lily mencapai kebahagian.

Cinta mereka mula diuji apabila hubungan terbongkar. Cossete sedaya upaya cuba menyingkirkan Lily dari hidup Leo namun semuanya menemui kegagalan. Tidak lagi mampu melawan, akhirnya Cossete dihukum gantung kerana cuba meracun Lily ketika majlis tari-menari.

Kisah Leo dan Lily berakhir di situ, di mana Lily mengahwini Leo dan mereka berdua hidup bahagia selamanya.

Tapi sayang, kisah ini dibenci semua.

Ramai pembaca yang mengkritik personaliti Lily yang disamakan dengan kanak-kanak kecil. Cengeng, terlampau naif dan selalu mencari masalah. Hubungan romantis antara Leo dan Lily juga menerima perhatian kerana menunjukkan ciri-ciri toksik dek sikap Leo yang terlalu mengongkong dan mengawal kehidupan Lily. Armand pula diminati ramai manakala Cossete sekadar menjadi bahan cacian.

Suatu cerita cinta klishe, yang tanpa sebab dan alasan munasabah, telah dibaca oleh Edward, seorang remaja lelaki yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Dia sendiri pun hairan bagaimana dia terlampau rajin menghabiskan Manhwa milik adik perempuannya.

Tetapi apabila Edward sudah berhari-hari mengembara di dunia Manhwa dan Manhua, dia boleh melihat corak yang selalu digunakan. Ada tiga jenis plot yang popular.

Pertama, kisah cinta seperti Lily dan Leo. Mungkin kerana ramai masih meromantiskan hubungan toksik. Lihat sahajalah di Library si adik yang selalu melayari Wattpad. Banyak sungguh novel Mafia.

Kedua, Isekai atau plot di mana pembaca termasuk dalam dunia Manhwa yang dibaca. Biasanya mereka akan menjadi antagonis yang jahat. Plot bermula apabila antagonis berubah menjadi baik dan akhirnya mencuri hati watak utama lelaki.

Ketiga pula apabila pembaca menjadi watak protagonis. Mereka akan merubah sikap naif dan lemah watak utama menjadi kuat dan lebih matang. Seperti biasa, mereka juga akan mencuri hati watak utama lelaki mahu pun watak sampingan.

Dan untuk Edward...

Ini kisah pelik. Dia sendiri pun masih tidak percaya bagaimana ini semua boleh berlaku. Pada awalnya dia sangka ini mimpi tetapi setelah dia dengan sengajanya menikam tapak tangan kerana mahu bangun dari mimpi, dia masih berada di dalam dunia itu.

Bukan sebagai Lily. Bukan sebagai Cossete.

Tetapi sebagai Leo, si putera mahkota yang kejam dan dingin.

Three letters, wtf.

For Our Own FairytaleWhere stories live. Discover now