"Mana Khairul?" Datin Farina melirik mata ke sekeliling ruang tamu rumah kayu yang baru dijejakinya. Kasut Khairul ada di luar sana, yakin tidak tersalah rumah. Hujan jatuh ke bumi dengan lebatnya. Di bawah rumah ini, mereka pasangan suami isteri akan berteduh tuk seketika.

Dato Muhsin di sebelah pula berjabat tangan terlebih dahulu lalu memperkenalkan diri kepada Haji Daud. Lelaki setengah abad yang berwajah seiras Khairul itu menggulung senyuman nipis. Pemergian Khairul ke kampung ini sejak semalam benar-benar merisaukan mereka selaku ibu dan ayah Khairul. Mujurlah anak bertuah itu ada mengkhabarkan bahawa dia akan bermalam di rumah Haji Daud.

Setelah ditanya pada orang kampung, pencarian mereka berakhir di sebuah rumah kayu yang tersergam indah. Halaman rumahnya menghijau, lapang dan luas mata memandang.

"Khairul ada dalam bilik. Tengah berehat," jawab Haji Daud. "Jemputlah duduk dahulu. Nanti isteri saya bawakan minuman."

"Saya nak jumpa Khairul." Tawaran itu tidak menarik minat Datin Farina.

"Duduklah dulu. Saya pun nak cakap pasal Khairul," balas Haji Daud. Dia berlalu terlebih dahulu ke kerusi yang tersedia di meja kopi. Papan punggung berlabuh. Wajah kedua-dua orang tua Khairul ini masih dicam Haji Daud. Mereka pernah mempunyai pertemuan yang tidak enak di mahkamah ketika kes rogol Khairul sedang hangat diperkatakan. Namun, baginya itu hal lalu yang tak perlu buat dikenang. Khairul sendiri telah berubah banyak dan mahu bertanggungjawab ke atas khilafnya.

"Khairul kena buatan orang. Ada orang hantar santau kepada anak datin untuk tujuan membunuh."

"Santau? Sekarang ni dah zaman maju pun ada lagi ke orang berfikiran kolot macam ni." Wajah Datin Farina berubah.

"Kalau dah berdendam, mereka sanggup buat apa sahaja... termasuklah mendampingi syaitan. Semalam dan hari ni... Khairul muntah darah, keluar paku, rambut dan macam-macam barang berbisa. Pagi tadi saya dah panggil orang untuk rawat Khairul. Jadi, sekarang ni dia tengah berehat dalam bilik tetamu."

Seketika, nyaring bunyi tangisan seorang bayi kedengaran daripada belakang. Kecil sahaja bunyinya, namun mampu didengari oleh mereka yang duduk di ruang tamu.

"Anak siapa yang menangis tu?" soal Datin Farina. Dato Muhsin juga seakan-akan memanjangkan pandangan.

"Anak Khairul."

Itulah asbab mengapa anak tunggal Dato Muhsin berani ke rumah imam kampung ini tiap-tiap minggu. Ada sang puteri menunggu di dalam sana. Hanya mereka berdua sahaja yang beranggapan Khairul tidak seserius mana. Walhal pemuda itu mampu bertahan berbulan-bulan dimaki Haji Daud demi menyentuh anak sendiri.

Suara di anak tekak tidak terkeluar membentuk bait balasan. Datin Farina memandang suami di sebelah. Itu juga cucu mereka.

"Khairul ada kata bukan yang dia nak kahwin?" Dato Muhsin menyoal kepada imam kampung di hadapannya. Melihat pada kesungguhan anak sendiri, mereka tidak berhak menghalang jalan bahagia yang telah dipilih.

"Ya, dia ada sampaikan hajat yang itu."

"Kalau anak haji pun boleh terima Khairul seadanya, kita percepatkanlah urusan nikah mereka berdua."

Haji Daud menjatuhkan kepala. Tiada siapa dapat menutup mata bila mana Alya sudah mula menyayangi Khairul Iddin. Khairul pun sudah menjadi budak baik yang mendengar kata. Setidaknya hati Haji Daud sedikit lapang untuk melepaskan anak kesayangan ke bawah lindungi pemuda berkenaan.

Hidangan air diturunkan Hajah Norma yang baru sahaja menampakkan diri. Ibu kepada Alya ini bertudung labuh, selarilah kedudukannya sebagai isteri kepada imam kampung. Seteko teh diletakkan ke atas dulang kembali setelah menuangkan  air hingga memenuhi tiga per empat cawan.

"Boleh ke saya nak masuk tengok Khairul?" pinta Datin Farina. Betapa kehadiran si kecil Khairul akan mendamaikan hati yang bergelodak. Membawa pergi rasa benci, berganti kasih sayang.

Haji Daud mengatur langkah ke ruangan berdekatan dapur, disusuli pasangan tetamu berkenaan. Daun pintu dikuak daripada luar, memberi laluan untuk wanita bertas tangan itu menapak ke dalam.

Keadaan gembira dan sayu bercampur baur tatkala mata disajikan dengan keadaan anak sendiri yang sungguh pucat. Datin Farina mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah lalu mendapatkan anaknya. Ditinggalkan sahaja Dato Muhsin sendirian di ruang tamu buat bersembang lanjut dengan bakal besan mereka.

"Khai," panggilnya perlahan. Bahu anak bujang itu dielus ibu jari. Tas tangan telah dibiarkan ke tepi.

Lama menanti reaksi anaknya yang terpisat-pisat membuka mata. Senyuman nipis Datin Farina membentuk.

"Kenapa Khai suka sakit?"

"Mama?" kata Khairul separuh berbisik. Sedikit terkejut. Mata memandang raut wajah berdekatan.

"Siapa buat anak mama sampai jadi macam ni..." lirih Datin Farina menyusun kata-kata. Wajah Khairul dibeleknya. Disisir rambut pemuda itu ke tepi dengan jemari. Habis wajah kacak anaknya jadi kusam dan tidak terurus.

"Khai tak tahu, ma," jujur Khairul. Anak mata teralih ke siling rumah. Nafas lelahnya dihela. Hampir hilang kudrat badan, mahu menghadap bahana sihir yang telah dihantar. Telapak tangan ibunya yang merayap di wajah ditarik ke bibir. Dia menggenggam tangan wanita setengah abad itu seraya melabuhkan sekuntum ciuman di kekura tangan.

"Kalau Khai mati, mama maafkan Khai tau," bilang pemuda itu.

Tidak semena-mena satu tamparan mengenai bahu Khairul Iddin.

Menyeringai kesakitan dek tubuhnya yang masih berbaki dengan sengatan bisa. Dia mengeluh perlahan.

"Sebut lagi mati," geram Datin Farina. Jelingannya turut dipanah mengenai mata Khairul yang terpeta lingkaran hitam kepenatan. Langsung tidak kisah pada kesakitan anak sendiri kerana hatiya terlebih sakit apabila Khairul menyebut tentang mati.

Wajah mencuka Datin Farina menghiburkan hati Khairul. "Mama dah tengok anak Khai?"

"Belum." Tegas sahaja nadanya.

"Tengoklah dia. Baik-baik dengan bakal isteri Khai. Jangan garang sangat muka tu," usik Khairul.

"Kata sakit... Ni macam tak sakit je." Bebola mata digulingkan wanita itu. Masih cemberut. Tak mahu meleraikan ketegangan wajah.

Ketawa halus Khairul terledak. Benarlah, dia memang sedang sakit. Tangan ibunya dipegang lalu dia berkata, "Kenalah kuat depan orang yang Khai sayang."

Datin Farina buat tidak endah sahaja. Dibiarkan tangannya dielus anak sendiri.

Sejuk angin hujan menyebabkan Khairul yang masih lemah sedikit menggigil. Datin Farina terus bangkit mencari selimut kedua di rak kayu berhampiran tingkap bilik. Dapat sahaja tangan menyentuh sesuatu yang empuk, dibentangkan kain itu menyelimuti sebahagian tubuh anak kesayangannya.

"Ma, tadi... Ustaz yang rawat Khai tu Mahfuz," khabar Khairul.

"Siapa Mahfuz?"

Khairul menggeleng perlahan. Kisah silamnya hanya diketahui orang-orang tertentu. Banyak perkara dirahsiakan daripada pengetahuan ibu kandung sendiri. "Mama, nanti tolong keluarkan duit Khai separuh dan sedekahkan dekat rumah pengajian ustaz tu. Dia baik dengan Khai."

"Mama tak kenal la..."

"Mama minta tolong Haji Daud untuk sampaikan duit Khai. Orang tua tu mesti kenal siapa Mahfuz."

Seperkara yang mampu dilakukan ialah berkongsi sebahagian rezeki kepada lelaki yang pernah dibenci. Tanda maafnya ini sukar tuk terlantun di mulut.

TUAN KHAIRUL ✓  [C] Where stories live. Discover now