Bab 4

6.4K 678 103
                                    


ALIA seperti biasa bersendirian sahaja di rumah pada waktu sebegini. Bukannya dia tidak tahu, pastinya sekarang Haji Bakar sedang mengopi dengan rakan-rakan di kedai kopi. Itu memang rutin suaminya. Malas agaknya hendak pulang ke rumah.

Ketika menguruskan baju kotor, dia melintas bilik dengan langsir merah jambu. Kali ini, dia masuk ke bilik itu. Rindu. Dia duduk di birai katil. Ambil bingkai gambar yang terletak elok di atas meja. Walaupun suaminya banyak kali suruh dia buang gambar tu, dia tetap simpan. Kadang sebab gambar ni pun dah boleh jadi punca dia dan suami bergaduh.

Alia keluh panjang. Gambar itu diusap.

Anna. Mak rindu sangat-sangat dekat Anna.

Dulu, Anna lah yang buat dia gembira. Rumah pun tak sunyi macam sekarang. Walaupun kadang-kadang Anna macam sedih, tapi Anna selalu cuba gembira di depannya.

Alia menarik nafas dalam-dalam. Cuba menahan sebak.

"Assalamualaikum.." Tiba-tiba Alia terdengar suara seorang lelaki memberi salam. Alia tersentak. Bukan suara suaminya. Dia bingkas bangun dan melangkah keluar dari bilik anaknya. Pintu rumah tertutup rapat.

Alia melangkah lebih dekat dengan jendela paling hampir dengan pintu. Mudah untuk dia bercakap dengan tetamu itu tanpa membuka pintu rumah.

"Assalamualaikum.." Suara garau namun lembut itu kedengaran lagi. Alia jadi tertanya-tanya siapakah pemilik suara yang sungguh memikat hati itu?

Dia lantas berdiri di muka jendela. Menzahirkan separuh badannya. Dia agak pegun apabila mendapati seorang pemuda segak memakai kurta biru sedang berdiri di depan tangga rumahnya.

"Waalaikumussalam." Alia kemudiannya menjawab salam suci itu. Pemuda itu terkejut apabila salamnya disambut dari sisi, bukan dari pintu rumah. Segera pemuda itu menoleh.

"Nak jumpa siapa? Suami akak ada dekat masjid lagi." Alia terus menjawab. Pemuda itu nampak pegun memandangnya. Alia jadi tidak selesa.

"Kamu nak jumpa siapa?" Alia terpaksa menguatkan suaranya untuk menyedarkan pemuda itu dari lamunannya. Pemuda itu tersedar lentas menunduk. Alia sudah mula bosan.

"Kalau nak jumpa Abang Bakar. Tunggulah sekejap, akak rasa dia pun dalam perjalanan pulang ni." Alia jawab acuh tidak acuh. Bila melihat pemuda itu hanya diam memandang tanah, Alia mengambil keputusan untuk berlalu. Selangkah dia berpaling,

"Mak."

Langkahnya mati.

"Mak, ni anak mak."

Alia terkaku.

Alia kembali ke jendela. Langkahnya perlahan. "Kamu..cakap apa?" Takut-takut dia bertanya pada pemuda itu.

Pemuda berwajah jernih itu mengulas senyuman. "Saya, Luqman Annasaie anak mak." Dadanya disentuh.

Riak Alia berubah. "Aku tak ada anak lelaki. Anak aku perempuan." Alia tergelak-gelak.

Senyuman Luqman mengendur. "Mak.."

"Engkau siapa? Aku tak kenal kaulah." Alia menjauh dari jendela.

"Mak, ini anak mak. Yang mak panggil.." Luqman tak sanggup sebut nama itu. Terasa jijik. "Yang mak panggil Anna dulu." Luqman memejam mata. Perit tekaknya meluah nama perempuan itu.

Alia tergeleng-geleng. Dia ketawa kecil. "Kau salah rumah ni. Aku tak ada anak lelakilah. Anak aku perempuan!" Alia memegang kepala.

"Mak.." Luqman kecewa ibunya masih belum berubah.

"Cukuplah! Kau siapa?! Tiba-tiba datang sini mengaku anak aku. Kau ingat betul-betul, anak aku perempuan! Perempuan kau tahu!! Berambuslah!" Alia menjerit-jerit.

LUQMAN ANNASAIE 1 © (TERBIT)Where stories live. Discover now