Saya Kan Ada

Av karyaseni2u

73.5K 1.2K 63

Tajuk: Saya Kan Ada Penulis: Marissa Muka Surat : 528 Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-23-5 Harga:... Mer

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 5

5.2K 109 11
Av karyaseni2u

"SAYANG, rindulah!" kata Hairiz sebaik sahaja aku masuk ke dalam keretanya.

Hairiz mula buat perangai. Sejak dia termula panggil aku sayang, semakin galak dia panggil aku sayang lagi. Tak kesahlah. Selagi panggilan itu tak membawa apa-apa makna, suka hatilah nak sebut apa.

"Ini yang gila nak ajak saya tengok wayang?" soalku. Dua hari lepas dia ajak aku menonton wayang. Aku setujukan saja kerana hari Ahad memang waktu untuk aku bercuti.

"Awak bukan ke peminat setia Shah Rukh Khan?" Hairiz ketawa perlahan. Tahulah tu jenis ketawa nak mengenakan saja.

Aku pandang muka dia yang nampak sangat segak ketika dia mula memandu. Seingat aku kali terakhir aku tengok cerita Hindustan, Hairiz berdengkur dari mula sampai habis. Tak naklah tengok lagi. Buat malu. Lagipun aku dah janji nak tengok dengan Ekin. Tengok dengan Ekin lagi seronok sebab kami memang suka menonton filem Hindustan.

"Tak ada mood la nak tengok wayang. Kita makan-makan ajelah," cadangku. Perut pun semacam saja ni.

"Lagi okey. Memang nak ajak awak keluar makan pun. Tu pasal saya tak makan apa-apa dari pagi tadi."

Aku dah tahu, tu cara Hairiz nak mengelak dari tengok cerita Hindustan. Tadi tu sekadar ajak-ajak ayam saja.

"Kita nak makan kat mana?" soalku.

"Sayang, makan kat mulut." Hairiz ketawa.

"Ngeee..." Aku cubit lengan dia. Buat lawak pula dia.

"Dah tu tanya makan kat mana..."

Aku malas nak layan. Nanti lagi macam-macam. Tengok gaya memang hari ni hari mengenakan akulah nampaknya. Kalau itu mampu membahagiakan dia, aku rela kena sakat sampai petang. Siapa aje pun yang hendak menyakat aku kalau bukan Hairiz.

Hairiz bawa aku di restoran kegemaran kami berdua. Restoran De'Chiang Mai yang terletak di Sungai Buloh. Antara faktor utama kami suka makan di sini ialah tempatnya sangat tenang. Makanan pula memang kena dengan selera kami. Paling sedap ialah tomyam dan juga kerabu mangga. Kerabu mangga memang paling Hairiz suka. Untuk hidangan medium sahaja dia boleh habiskan. Selain itu ayam pandan juga menjadi identiti De'Chiang Mai tapi aku kurang sikit ayam pandan. Hanya Hairiz yang selalu pesan.

Disebabkan tengah hari, dan aku pula tak makan apa-apa sejak pagi tadi, memang aku makan bersungguh-sungguhlah. Nampak sangat kelaparannya. Tanpa aku sedar, Hairiz sedang pandang aku rupanya.

"Makan, jangan nak pandang orang. Tahulah nak cakap saya nampak kebulur sangat." Aku tegur Hairiz.

"Comellah..." balas Hairiz sepatah.

"Sengetnya. Tengok sepupu kebulur pun comel?" soalku. Selepas itu aku hirup tomyam. Pergh, memang sedap gila. Pekat dan pedas. Memang lain dari kedai makan biasa.

"Serius ni. Awak memang comel."

"Yalah, yalah. Saya tahu saya comel, tak payah cakap pun saya tahu. Comel saya pun, tak boleh kenyangkan perut awak melainkan awak makan nasi juga."

"Huh! Puji pun tak boleh."

Aku sambung makan. Petua untuk orang belanja kita lagi ialah, makan dengan bersungguh dan habiskan semua makanan. Baru orang seronok nak belanja kita makan. Rasa tak sia-sia duit yang dikeluarkan.

"Oh, awak nak cakap saya dah gemuk, kan?" Baru aku sedar. Hairiz memang nak cakap sekarang ini aku dah gemuk. Jadi, dia perli dengan perkataan comel.

"Hesy, mana ada..."

"Tak payah nak sorok. Itu yang awak nak cakap."

"Sayang, tak adalah. Awak kurus ke, awak gemuk ke, tak ada hal buat saya. Saya tetap akan sayang awak juga."

"Yalah tu..." Aku jeling sekali.

"Dah, dah. Jangan banyak bunyi. Makan cepat."

"Kalau awak kutuk saya gemuk, siap awak."

Hairiz ketawa perlahan. Aku tak pedulikan dia. Sambung makan sehingga selesai.

"Sebenarnya saya nak tunjuk awak sesuatu," kata Hairiz sebaik sahaja kami selesai makan. Kami sedang menikmati pencuci mulut. Aku dan Hairiz memang sama selera sebabnya pencuci mulut kami selalu ambil bubur ubi kayu.

"Apa?" soalku. Pandang muka dia sambil kunyah bubur ubi kayu.

Hairiz serahkan telefon bimbitnya.

"Kenapa?" soalku.

"Awak tengok ajelah."

Aku pandang skrin telefon bimbit Hairiz. Dada berombak kencang. Serius, aku tak sanggup nak tengok.

"Astaghfirullahalazim..." Aku tarik nafas dalam-dalam. Memang tak sangka dengan apa yang aku lihat. Gambar-gambar Fuzah dengan pakaian yang mencolok mata serta begitu mesra dalam pelukan seorang lelaki. Mana tudung Fuzah? Mana pakaian sopan Fuzah? Mana Fuzah yang selalu menjadi kebanggaan kami semua? Ikon Fuzah sebagai anak saudara paling bersopan nampaknya memang tak sesuai langsung. Ada pembohongan di sebalik semua tu. Kasihan, semua orang sudah tertipu.

"Fuzah ke ni?" soalku. Inginkan kepastian. Mana tahu pelanduk dua serupa. Berdosa pula tuduh Fuzah yang bukan-bukan.

"Kalau bukan Fuzah, tak pasal saya nak tunjuk kat awak."

"Jadi ni betul Fuzah?"

"Sepupu awaklah. Siapa lagi. Saya tengok pun terkejut."

"Mana awak dapat gambar-gambar ni?" Aku pulangkan semula telefon bimbit Hairiz. Tak sanggup lagi nak tengok. Semurah itukah Fuzah sedangkan semua kaum keluarga anggap Fuzah seorang yang berbudi pekerti tinggi. Penuh dengan gaya Muslimah.

"Kawan-kawan saya pergi Krabi baru ni. Saya tertengok salah satu gambar Fuzah. Saya tanya kawan saya siapa. Rupanya Fuzah tu kawan kepada kawan saya. Itu yang saya dapat semua gambar Fuzah dengan buah hati dia."

"Kawan sampai macam tu sekali? Itu bukan kawan tu."

"Itulah pasal. Kawan saya cakap masa kat Krabi Fuzah tidur dengan lelaki tu sepanjang mereka kat sana. Saya tak nak tuduh, tapi awak fikir sendirilah kalau dah tidur berdua. Takkan nak pandang saja."

Betul kata Hairiz. Memang tak boleh nak buat tuduhan, takut mendatangkan fitnah, tapi hati jahat terfikir juga perkara yang sama. Takkan sekadar dipandang kalau sudah tidur bersama. Ah! Jahatnya aku. Fikir yang bukan-bukan pula.

"Kalau mak ndak tengok mesti pengsan."

"Nanti saya WhatsApp awak gambar-gambar tu. Kalau Fuzah berani kacau awak, awak ugut aje dengan gambar-gambar tu. Saya betul-betul tak sangka itu sepupu saya. Pandai betul dia berlakon. Depan semua orang bukan main lagi. Di belakang memang teruk."

Aku hanya mendengar saja sambil kunyah bubur ubi kayu. Tak tahu nak cakap lagi. Kalau boleh aku tidak mahu mengulas lanjut tentang hal tersebut kerana bimbang terjadi pula kepada diriku. Namun, minta dijauhkan dari semua perkara yang mengaibkan.

"Yang peliknya, kenapa masih lagi nak rapat dengan Firash?" Hairiz seolah bertanya sendiri.

Aku pandang Hairiz. Terhenti mengunyah. Betul juga. Kenapa nak rapat dengan Firash kalau sudah galak berpeluk dengan lelaki lain?

"Awak rasa?" soalku.

Hairiz kerut dahi. Sedang berfikir.

"Dah putus dengan teman lelaki dia?" Aku meneka.

Hairiz geleng.

"Habis tu?" soalku lagi. Menjadi teka teki juga.

"Kawan saya cakap, bukan ada hubungan special pun. Fuzah yang terhegeh-hegeh. Biasalah lelaki. Bila ada yang menyerah dengan percuma, takkan nak lepaskan macam tu saja."

"Semua lelaki macam tu?" Marah juga aku. Cara Hairiz bercakap seolah menghina. Aku juga perempuan mestilah sedikit tidak, aku terasa sama.

"Tak semua lelaki macam tu, okey. Tengok lelaki juga, nampaknya Fuzah dah tersalah pilih."

Kalau betul seperti yang Hairiz beritahu, orang paling kasihan adalah mak ngah dan pasti saja Firash.

"Awak nak beritahu mak ngah ke?" soalku.

Hairiz geleng.

"Biar ajelah. Bukan masalah kita pun."

Kalau tidak mendedahkan perkara ini seperti bersubahat pula, tetapi kalau dedahkan nanti aku bimbang perkara lain pula yang berbangkit. Biasalah kaum keluarga kami, mana mahu dengar apa yang kami mahu beritahu. Silap hari bulan kami pula yang bakal kena tuduh mahu mengaibkan Fuzah. Sekarang ini langkah terbaik ialah, tunggu dan lihat.

"Saya nak tengok sejauh mana Fuzah hendak berbohong."

Aku angguk. Setuju dengan Hairiz. Mahu melihat pembohongan Fuzah. Memang betul-betul tidak sangka Fuzah akan berperangai begitu sekali. Bukan saja memalukan bahkan sudah mengaibkan kaum keluarga sendiri.

"Bodoh tak boleh ditegur, pandai tak boleh nak diikut," kata Hairiz lagi.

Aku habiskan bubur ubi kayu sebelum kami berdua beredar.

"Alhamdulillah, betul-betul kenyang, terima kasih awak..." ucapku ketika sama-sama melangkah keluar.

"Sama-sama. Nanti bolehlah kita jadikan restoran ni sebagai restoran rasmi kita. Mana tahu nak sambut anniversary ke..."

Aku toleh pandang wajah Hairiz. Dia nak cakap apa sebenarnya ni?

"Anniversary?" soalku. Kaki terus saja ke buaian besi yang terletak di tepi kawasan letak kereta. Memang kebiasaannya aku akan naik buaian ini selepas makan.

"Ya, anniversary kita nanti..." Hairiz senyum senget. Dia duduk bersebelahan denganku dan kami berbuai sama.

"Anniversary apa?" Masih ingin tahu.

"Apa-apa ajelah. Mungkin juga sempena hari sepupu sedunia."

Aku kerut dahi.

"Memang ada ke hari sepupu sedunia?" Pelik juga ni. Aku belum pernah mendengar ada hari sepupu sedunia. Atau Hairiz sekadar merepek sahaja? Dia ini kalau dalam bab kenakan aku memang boleh tahan.

"Memang ada. Takkan awak tak tahu?"

"Memang tak tahu."

"Awak tu apa yang tahu. Menjahit, menjahit, menjahit."

"Dah kerja saya menjahit."

"Hurm, lupa saya nak bagi tahu. Esok saya nak ke Pulau Pinang. Ada kerja selama seminggu."

Aku angguk.

"Sunyilah saya seminggu ni." Sedih pula. Memang selalu Hairiz kerja luar dan setiap kali dia berjauhan setiap kali itulah aku rasa kekosongan. Memang rasa sepi tanpa Hairiz di sisi.

"Saya akan telefon awak setiap hari. Pagi sekali dan malam sekali."

"Perlu ke awak buat macam tu?" Aku toleh pandang wajahnya Hairiz. Dan mata kami bertemu. Seperti ada debaran yang aku rasa.

"Kenapa? Saya tak boleh nak telefon awak selalu ke? Dah tak sudi nak dengar suara saya?"

"Bukan begitu. Saya tak nak menyusahkan awak saja. Saya memang sudi nak dengar suara awak. Suara siapa lagi yang saya nak dengar kalau bukan suara awak."

"Sikit-sikit menyusahkan!" Hairiz seperti merungut. Pandangan juga dia kalih arah lain. Merajuklah tu.

"Memang pun. Selama ni saya rasa saya menyusahkan awak saja."

"Tak, awak tak pernah menyusahkan saya langsung, tapi awak tahu tak, awaklah punca kebahagiaan saya. Bila bersama awak, saya rasa benar-benar gembira. Bila dapat tolong awak, saya rasa puas hati sebab saya sudah lakukan sesuatu untuk orang yang saya sayang."

Menipu kalau aku tidak rasa terharu dengan kata-kata Hairiz.

"Terima kasih..." ucapku perlahan.

"Saya buat semua ni hanya untuk melihat awak gembira. Tak lebih dari itu. Saya tahu awak juga berhak untuk hidup bahagia. Kalau orang lain tidak boleh memberi kebahagiaan buat awak, biarlah saya yang berikan segalanya. Itu pun kalau awak sudi."

"Sudi, tersangat sudi. Awak tahu kan, saya hanya mengharapkan awak seorang." Aku letak kepalaku dengan perlahan di bahu kiri Hairiz. Tempat aku selalu rebahkan segala gundah-gulanaku sejak dulu lagi.

"Ya, awak boleh harapkan saya sampai bila-bila."

"Sampai bila-bila tu tak naklah. Sampai awak belum berpunya sahaja."

"Berpunya apa bendanya. Saya kan awak yang punya. Nak berpunya apa lagi."

"Oh, ya? Saya yang punya?" Aku tegak semula kepala dan pandang wajah Hairiz.

"Yalah, awaklah yang punya. Dah siang malam saya bersama awak. Sah-sah awak yang punya."

Aku tersenyum lebar. Suka juga mendengar kata-kata Hairiz.

"Jomlah kita balik. Karang lapar balik mahu masuk semula."

"Tak naklah. Hari ni satu hari nak habiskan masa dengan awak. Bekalan rindu," jawab Hairiz.

"Rindulah sangat. Takkan nak duduk sini sampai petang."

"Mid Valley? Sunway Pyramid? One Utama? IOI?"

Dia sebut semua pusat membeli-belah terkemuka.

"Amboi, banyaknya duit nak lepak semua tempat tu."

"Tempat kegemaran orang perempuan. Takkan nak ajak awak lepak kompleks sukan pula."

Aku ketawa. Lepas tu aku pukul perlahan bahunya. Memang pandai buat lawak. Ada saja ayat yang boleh buat aku ketawa.

Hairiz turut tersenyum pandang aku. Kemudian Hairiz mendahului berjalan menuju kereta. Sambil melangkah, aku perhatikan Hairiz dari belakang. Aku suka tengok cara dia berjalan. Langkah seorang lelaki yang mempunyai keyakinan sangat tinggi. Tegas dan apa jua keputusan yang dia ambil. Tak pernah mahu mendengar nasihat orang.

Memang permintaanku agak keterlaluan tetapi aku yakin pasti takkan kesampaian. Sebenarnya teringin benar kalau dia pegang tanganku ketika melangkah. Aku harus sedar batas kami.

"Hek eleh, saya cakap sorang-sorang rupanya." Hairiz toleh belakang.

Aku tak dengar dia cakap apa-apa pun. Mungkin terlalu jauh berangan membuatkan aku jadi hilang tumpuan. Langsung tak dengar dia bercakap.

Aku terus melangkah tapi tiba-tiba Hairiz tarik tanganku dan peluk erat.

"Tak nampak ke kereta tu tengah mengundur?" marah Hairiz.

Aku pandang kereta yang sedang mengundur. Memang tak sedar langsung akan kereta tersebut.

"Hati-hatilah." Dia lepaskan pelukan. Bagaimana hendak aku huraikan tentang perasaanku ketika ini. Tak tahu, memang aku tak tahu untuk jelaskan. Tiba-tiba mata pedih dan hati dulu-dulu menangis.

Hairiz, kenapa keadaan menjadi sangat sukar buat kita?

SELESAI solat zuhur di masjid yang terletak tidak jauh dari restoran, aku terus masuk ke dalam kereta. Hairiz sudah menunggu terlebih dahulu.

"Awak..." Hairiz panggil dan hidupkan enjin kereta.

"Ya?" jawabku.

"Kenapa saya tengok awak lain macam ni?" soal Hairiz.

"Kenapa dengan saya?" Aku pandang Hairiz. Apa yang lain macam? Dia nampak ke gambaran perasaanku?

"Awak banyak berdiam diri dan awak seperti tak gembira saja. Tengoklah tadi, kereta tengah mengundur pun awak tak perasan." Hairiz mula memandu.

Apa aku nak jawab ni? Apakah Hairiz sedang membaca apa yang sedang bermain di fikiranku sekarang ini? Ketara benarkah perubahan yang terpamer?

"Susah hati bila dengar awak tak ada selama seminggu." Aku buat-buat ketawa. Sembunyikan segala rasa yang entah apa-apa. Rasa yang sememangnya susah untuk aku faham. Jadi, bagaimana untuk aku menjawab soalan Hairiz itu, kalau aku sendiri tidak tahu akan jawapannya.

"Betul ke?" soal Hairiz.

"Pernah ke saya menipu?"

"Mesti ada sebab kenapa awak susah hati."

"Ada ke orang susah hati tanpa sebab?" Ah! Main soal-soal pula.

"Yalah, sebab itulah yang saya nak tahu sekarang ini. Sebab apa awak susah hati saya tak ada seminggu."

Aduhai Hairiz. Nak tahu juga tu.

"Takkan awak tak tahu kenapa saya susah hati."

"Serius tak tahu." Hairiz tersenyum cantik. Dari cara dia senyum, aku rasa Hairiz sekarang ini sedang ditimpa perasaan.

"Bila awak tak ada, saya rasa kosong. Bila awak jauh, saya rasa sunyi. Itu saja sebabnya. Saya pun tak tahu kenapa saya boleh rasa macam tu." Aku berterus terang. Yang pastinya aku tak boleh beritahu apa yang aku rasa itu kepada Ekin. Nanti Ekin kutuk macam-macam.

"Suka sangat dengar awak cakap macam tu."

Dia sukalah, aku saja yang terkata.

Kami pilih Mid Valley. Sekadar cuci mata dan berjalan tanpa hala tuju. Namun setiap detik terisi dengan senda gurau Hairiz menjadikan hari kami sangat ceria.

Pukul 4.00 aku ajak balik walau hati sangat berat untuk berpisah dengan Hairiz. Tak tahu kenapa.

"Nak jeruk ke nanti?"

"Kalau bagi saya ambil."

"Lagi nak apa?"

"Dah habis kerja cepat baliklah. Tu aje. Tak minta apa-apa."

"Serupa seorang isteri pesan pada suami saja." Hairiz senyum senget. Kemudian dia jeling aku. Mata kami bertentangan. Tak kesahlah Hairiz nak kata apa. Aku memang sudah tak larat nak bertekak.

"Saya bukan sekali dua outstation, sudah banyak kali. Kenapa kali ni awak macam berat saja nak lepaskan saya pergi?"

Fikir Maisarah. Fikir jawapan yang boleh buat Hairiz tutup mulut.

"Orang kata, oranglah kata." Mai, jangan tersalah cakap. Awak juga yang kena gelak.

"Orang kata apa? Peliklah awak hari ni."

"Orang kata gadis Penang semuanya manis-manis belaka."

"Jadi?"

Aduhai, nak cakap apa ni? Aku yang terjebak dengan ayat-ayat bodoh.

"Oh, okey. Saya faham sekarang." Makin galak Hairiz tersenyum.

"Apa yang awak faham?" soalku.

"Memang gadis Penang manis-manis belaka, tapi manis lagi gadis di sebelah saya ni. Jadi, walau berjuta gadis yang saya pandang tu orang kata manis, manis lagi awak seorang. Jadi, tak payah kut nak bimbang yang bukan-bukan. Setakat ni belum ada terpikat dengan mana-mana gadis."

Baik aku diam. Nanti Hairiz fikir yang bukan-bukan pula. Kali ni kalau aku salah cakap memang aku kenalah. 

Fortsätt läs

Du kommer också att gilla

13.1K 2.2K 15
❝ sepupu sendiri pun boleh ❞ ㅡ dimana seketul jeon wonwoo memulakan misi memikat hati sepupunya sendiri , park yena. ㅡ bagi melarikan diri daripada...
7.9K 280 3
pada suatu harii... gantilah pakaianmu dengan pakaianku, lakukanlah dan segera pergi dari sini.. tidak apa karna kita adalah sang kembar.. tidak akan...
79.4K 8.1K 44
"Tak tau asal usul lubuk mana tah tetiber je dia tidur kat katil kesayangan aku, nak dipendekkan cerita ha camtulah fanfiction ini" Kata Minchae den...
18.9K 177 4
ONESHOOT 🐭🐬 [Jisung] ∆ Dom | Seme🔺 [Chenle] ∆ Sub | Uke🔻 ⚠️Warning⚠️ 21+🔞🔞🔞 🙏 kalau ada Typo ಠ◡ಠ