"Kau tahu lagu ini?" Darrel membuat isyarat agar Leia boleh mengambil tempat di sebelah. Leia melabuhkan punggung.

"Ya, lagu Heaven. Eric Clapton gubah lagu itu untuk mengingati anak kecilnya yang meninggal dunia. Dalam lirik, dia melahirkan rasa ingin jumpa dengan anaknya itu di syurga." Leia tidak tahu apa reaksi yang boleh diberikan. Kekok pun ada. Tidak selesa pun ada.

"Jom, nyanyi dengan aku," ajak Darrel bersungguh-sungguh.

"Suara aku tak sedap." Leia memberi alasan.

Tanpa menghiraukan alasan Leia itu, Darrel mulakan petikan gitarnya. Pada awalnya, Leia hanya membisu sambil mendengar alunan suara merdu Darrel. Tidak lama kemudian, dia mula menyanyi tanpa suara. Sampai ke rangkap kedua, Leia rasa tak boleh tahan. Terkeluar juga suaranya. Masing-masing saling memandang sambil berduet.

Di akhir lagu, keadaan sunyi seketika. Masing-masing melayan perasaan. Sehinggalah Darrel memecah kesunyian. "Aku minta maaf."

"Untuk apa?" Mata yang tadinya redup merenung, kini mengecil sedikit dengan kerutan di kening.

"Sebab cuba berkelakuan tak sopan dengan kau." Darrel menjongketkan bahu. Dia pamer muka ikhlas minta maaf.

"Aku juga minta maaf," balas Leia. Dia mempamerkan muka bersalah.

"Untuk apa?" Kali ini giliran kening Darrel pula yang berkerut.

"Sebab ketawakan Tina bila dia samakan kau dengan Superman."

Leia tidak tahan. Dia ketawa besar. Setiap kali dia teringatkan Tina yang berambut kuning, berpakaian tidak sesuai ketika melawat kawasan bencana, jalan tertonggek-tonggek dengan kasut tinggi stilletonya dan menganggap Darrel boleh alihkan puting beliung, geli hati itu datang lagi.

Tawa itu kedengaran enak di telinga. Dengan wajah Leia yang sedang melayan lucu, pemandangan itu cukup membahagiakan hati Darrel. Penyakit tawa itu berjangkit kepada Darrel pula.

"Lebih baik jadi Superman daripada budak pendek. Kan?" Darrel menjongket kening.

"Hei! Jangan panggil aku budak pendek." Leia tarik muka masam.

"Okey! Okey! Aku minta maaf, gelar kau budak pendek." Darrel senyum sebagai tanda dia hanya menyakat saja. Melihatkan Darrel ikhlas minta maaf, Leia mengangguk tanda menerima kata maaf daripada Darrel itu. Tidak tahan dengan renungan Darrel, Leia menjatuhkan aliran mata kepada lengan Darrel.

"Aku minta maaf sebab menyusahkan kau. Sampai lengan kau cedera."

Darrel menunduk sedikit untuk melihat keadaan lukanya itu. Luka yang agak besar dan akan meninggalkan parut. Sakit, memang sakit. Tapi kena tampar dengan Leia, lebih sakit. Kerana bercampur ego yang tercalar.

"Aku masih hidup."

Leia menghitung kesilapan yang dia lakukan sejak dari detik pertama dia menjejakkan kaki di ladang itu. Mungkin dia bukan tetamu yang baik kerana kurang ajar dengan tuan rumah.

"Aku minta maaf sebab buatkan luka kau jadi besar."

"Lagi?" Darrel menjongket kening.

"Lagi?" Leia mengerut kening.

"Dah kau dalam sesi minta maaf, apa lagi perkara yang kau nak minta maaf daripada aku?" Darrel menerangkan apa maksud pertanyaannya nan sepatah itu.

"Oh! Aku minta maaf sebab tak percaya cakap kau tentang puting beliung. Dan akhirnya menyusahkan kau sehingga kau hampir maut cuba selamatkan aku."

Darrel mengangguk dengan muka yang penuh tertulis 'kan aku dah cakap?'.

"Lagi?" Darrel mendesak.

"Lagi? Mana ada lagi?"

"Kau tak nak minta maaf sebab tak mahu sambut salam perkenalan aku?" Darrel menghulurkan tangan kepada Leia.

Leia memandang tangan Darrel. Bila pula masanya Darrel memberi salam perkenalan? Yang dia ingat, Darrel terus sahaja mahu mencabulnya. Sekiranya itulah definisi salam perkenalan, memang Leia tidak akan menyambutnya.

"Kita kawan." Leia tidak menyambut tangan Darrel. Sebaliknya, dia beri satu senyuman yang paling manis dan ikhlas. Khas untuk Darrel. Hanya untuk Darrel. Darrel senyum. Terpaksa berpuas hati dengan sekadar sebuah senyuman.

Tiba-tiba Leia meluruskan jari telunjuknya tepat ke muka Darrel.

"Ingat! Jangan gatal-gatal sentuh aku." Leia buat muka serius dengan suara tegas. Tapi ada segaris senyuman mengusik di bibir Leia.

"Sikit pun tak boleh?" Senyuman balasan mula terbit pada wajah kacaknya. Tersungging satu sudut bibirnya.

"Tak boleh!" Leia menjegilkan mata.

"Hujung jari pun tak boleh?" Darrel buat muka polos. Dia menyuakan hujung jari telunjuknya, konon minta Leia menyentuh dengan hujung jari juga.

"Tak boleh!" Leia mengerutkan kening. Betulkah Darrel sengaja mengusiknya, atau dia memang benar-benar tidak tahu ada larangan Islam tentang sentuhan lelaki perempuan bukan mahram?

"Kat pipi pun tak boleh?" tanya Darrel lagi. Dia mula membelai wajah gadis Melayu itu dengan panahan matanya. Bulu mata panjang dan lentik secara semula jadi. Pipi yang mulus. Bibir yang merah tanpa gincu. Di dalam samar cahaya unggun api, wajah itu kelihatan begitu menggoda.

"Tak boleh!" Leia menjawab dengan suara yang sengaja dikeraskan.

"Kenapa tak boleh? Pipi kau tak bertutup pun."

Leia perasan ada nada ikhlas pada soalan Darrel itu. Cara Darrel memandangnya pun seperti orang yang benar-benar tidak tahu tentang sentuhan bukan mahram.

"Seluruh tubuh aku tak boleh disentuh oleh kau. Itu larangan agama aku. Kecualilah kalau kita ada pertalian yang sah. Juga dalam kes khas seperti semalam. Puting beliung itu dianggap darurat. Masa itu boleh sentuh tapi tak bolehlah lebih-lebih."

Leia harap penerangannya itu memadai untuk membuatkan Darrel faham. Kalau panjang-panjang sangat, takut kedengaran seperti ceramah pula.

"Pertalian yang sah? Bagaimana tu?"

"Perkahwinan," jawab Leia sepatah.

Jeda.

Tidak mungkin Darrel mahu berkahwin dengan Leia. Dia hanya mahu tundukkan gadis itu. Gadis Muslim pertama yang akan menjadi peneman tidurnya. Cukuplah walaupun hanya satu malam.

Tidak mungkin Leia akan ada pertalian yang sah dengan Darrel. Mereka berdua tidak layak berkahwin kerana berlainan agama. Dan Leia juga tidak ada keinginan untuk bersuamikan lelaki yang sudah meniduri ramai wanita lain.

"Aku dah letih. Esok banyak kerja lagi, kan? Selamat malam, Encik Darrel Hayes."

Leia bangun dari kerusi tunggul kayu itu. Dia tahu, dia tidak boleh berlama-lama di situ. Apabila asyik terdiam, itu bermakna masing-masing sedang melayan perasaan. Itu petanda tidak baik.

Dalam keadaan berdiri di hadapan Darrel, Leia melontar sebuah senyuman kepada lelaki yang sedang merenungnya. Sekiranya Leia tahu apa kesannya senyuman itu kepada Darrel, pasti Leia sudah buka langkah seribu dan lari dari situ. Pasti Leia tidak menunggu jawapan daripada Darrel.

"Selamat malam, sayang."

Berkerut kening Leia sejenak melihatkan wajah serius Darrel. Apa hal pula ni, tiba-tiba bersayang-sayang? Tanpa membuang masa memikirkan jawapannya, Leia berpaling dan mengatur langkah kemas ke arah Debbie. Belakang tengkuknya meremang kerana dia dapat rasakan Darrel sedang merenungnya.

Kontra Yang MenyatukanOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz