Ceritera 5

660 11 1
                                    


Sahara ini luasnya seakan lautan. Matahari sudah naik tinggi, cahayanya memanah silau. Terik, panas, apatah lagi dengan jalan yang kelihatan seperti tidak berpenghujung, hanya ditemani pasir keemasan, membuatkan diri berasa tidak selesa. Apa yang indah di sini hanyalah pemandangan langit biru nan luas, dihiasi sedikit awan.

Ibarat gambaran luasnya rahmat Tuhan di tengah-tengah kesukaran.

Namun, di sahara ini, keindahan langit itu terpaksa diabaikan.

"Apakah ini?" Ashoka seakan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya.

Arnav segera turun daripada kudanya dan bergerak melihat mayat-mayat yang bergelimpangan. Salah satu daripada mayat di situ merupakan seorang makhluk gergasi.

Ashoka mengekori Arnav.

"Ini ..." Arnav memerhatikan lambang pada zirah tentera yang bergelimpangan. Dia memandang sekeliling.

Ashoka menghela nafas. "Tentera dari Wuriar!"

Daripada pemerhatiannya, terdapat sekitar 2,000 mayat. Sebahagian besarnya telah bercerai-berai. Sebahagian lagi pula sudah dilitupi pasir, tanda kejadian ini sudah berlaku sekurang-kurangnya dalam jangka masa sehari.

Bau hanyir menusuk hidung. Burung pemakan bangkai sudah ada yang turun menjamu selera. Tubuh badan makhluk gergasi menjadi perhatian utama mereka.

"Mengapa mereka mati di sini? Seakan dibunuh oleh haiwan ganas yang menakutkan."

Arnav memegang dagu, berfikir. Adalah di luar logik akal untuk tentera Utopia ditumpaskan sebegini di sini.

"Tetapi tidak semua mayat begitu. Engkau lihat."

Arnav menunjuk beberapa mayat yang lain. Mayat-mayat ini sama ada dipancung leher atau dibelah tubuhnya. Setiap mayat jelas hanya mempunyai satu kecederaan.

Ashoka menghela nafas sambil memegang dagu. Berfikir dengan lebih mendalam, sambil menebarkan pandangan.

"Apa itu?" Ashoka menunjuk.

Arnav memandang. Kelihatan seperti penjara kecil. Terletak jauh di tengah-tengah gelimpangan mayat.

Arnav dan Ashoka pergi untuk meneliti.

"Siapa yang membelah penjara ini?" Arnav memegang jeriji penjara.

Penjara mini itu sudah tidak mempunyai bumbung. Bumbungnya tersadai damai berdekatan. Tidak lagi dalam keadaan yang sempurna.

"Tetapi hairan. Mengapa potongannya tidak sekata?" Ashoka meneliti jeriji besi tersebut. Dia menggerakkan jemari di atas permukaan itu untuk memastikannya.

"Senjata itu sumbing?" Arnav seakan tidak percaya. Bagaimana senjata sumbing mampu membelah jeriji besi? Bahkan, daripada keadaan penjara ini, jelas kelihatan bahawa penjara ini telah dipancung hanya dengan sekali pancungan. Dari tepi, melencong ke atas. Membelah jeriji, dan mengakibatkan bumbungnya koyak lalu tercampak.

"Tetapi, kecederaan pada majoriti mayat tentera ini, tidak menunjukkan bentuk serangan yang sama. Kebanyakan mereka mati seakan dibelah senjata yang lebih besar." Ashoka tunduk mendekati mayat yang berdekatan, sambil mata memerhatikan mayat-mayat lain yang bergelimpangan.

Mayat yang mati dengan belahan yang sama seperti jeriji penjara sedikit sahaja. Sekitar 200 -300 orang, mengelilingi penjara tersebut. Manakala bakinya mati dengan pembunuhan yang lebih kejam.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 23, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

TAKDIR - Cahaya Yang Tidak TerpadamWhere stories live. Discover now