Ceritera 4

479 11 3
                                    


Dua hari telah berlalu. Peperangan terus berlangsung dengan dahsyat di hadapan benteng Tanah Haram Makkah. Salji putih yang asalnya menyelimuti tempat ini, kini hilang keindahannya. Warnanya sudah menjadi kelabu, dan pada banyak tempat telah bertukar menjadi merah. Kini, salji tidak lagi bercumbu dengan bumi, hanya menjadi selimut terakhir buat jasad-jasad yang bergelimpangan.

Butir-butir putih itu terus turun dengan lebat. Menjadi saksi kepada kegagalan usaha O Zero dan bala tentera Wuriar dalam meranapkan benteng Tanah Haram Makkah.

Benteng dan gapura kerajaan ini ternyata masih selamat, dek strategi ampuh yang digerakkan oleh Mughirah Syu'bah. Reka bentuk medan pertempuran, yang hanya membenarkan para musuh memiliki satu jalan untuk sampai ke gerbang Tanah Haram Makkah amat menyumbang kepada kegagalan O Zero dan tenteranya.

Apabila ada sekumpulan daripada kalangan mereka berjaya sampai ke jambatan sekalipun, mereka akan menjadi habuan pasukan pemanah pimpinan Waqqas. Sekiranya mampu melindungi diri daripada panahan tersebut, akan keluar satu ketumbukan tentera khas pimpinan Mughirah Syu'bah sendiri, sekitar 500 orang, merempuh mereka di tengah-tengah jambatan tersebut. Luas jambatan yang terbatas menyebabkan pergerakan untuk berundur lebih menyukarkan, maka matilah mereka di situ dalam keadaan kelam-kabut.

Medan peperangan pula sentiasa hangat dengan keberadaan dua Jeneral Tanah Haram Makkah. Aizan Fahmi dan Khalid al-Walid, yang menggerakkan tentera mereka penuh sinergi dan saling lengkap-melengkapi.

Bilangan tentera Wuriar yang besar, seperti merupakan satu kelebihan buat mereka, memudahkan mereka menumbangkan lebih banyak musuh, berbanding menjadi satu kelemahan yang menekan.

Bahkan, Aizan Fahmi dan Khalid sudah beberapa kali hampir tiba ke barisan belakang, sampai ke tempat O Zero sering berada. Kalaulah bukan kerana ramainya tentera Wuriar, sudah pasti mereka berjaya!

Tentera Tanah Haram Makkah juga tidak digerakkan semuanya. Separuh akan bertempur, separuh akan berehat di balik benteng. Sampai masa, separuh yang berperang tadi akan berundur perlahan-lahan, separuh lagi akan menggantikan.

Kebolehan mereka memanfaatkan angka yang sedikit menentang angka yang besar, ditambah dengan strategi itu, menyebabkan tentera Tanah Haram Makkah seperti tidak keletihan!

Geram O Zero tidak berpenghujung.

Biasanya, sepanjang sedekad ini, apa yang mereka lakukan tatkala menggempur Tanah Haram Makkah hanyalah berseronok. Tujuan utama gempuran sering dilakukan adalah untuk melemahkan kekuatan Tanah Haram Makkah sedikit demi sedikit, memandangkan tempat itu mempunyai kelebihan pertahanan yang ampuh.

Apabila dirasakan bahawa tentera Tanah Haram Makkah sudah ramai terkorban, mereka akan berundur. Ini juga menjadi peluang kepada para Jeneral Utopia mempamerkan kehebatan masing-masing, memandangkan setakat ini, pertempuran di Tanah Haram Makkah sahaja akan memberikan cabaran kepada mereka.

Adapun misi-misi ekspedisi lain, ke Kerajaan Janggel contohnya, mereka sering diserang secara gerila di tengah-tengah belantara tebal dan tidak dapat memanfaatkan kekuatan mereka. Kerana itu, Janggel tidak menjadi perhatian mereka. Tempat lain pula, tidak memberikan cabaran pun.

Tujuan utama mereka juga sebenarnya bukanlah untuk memenangi peperangan semata-mata.

Sang Ashura telah bertitah bahawa pengakhiran paling dia kehendaki untuk kedegilan Tanah Haram Makkah adalah tunduknya mereka kepada dia. Akhirnya percaya bahawa Yang Maha Agung itu ialah Sang Ashura. Itu adalah kemenangan sebenar yang Sang Ashura mahukan daripada tempat ini.

TAKDIR - Cahaya Yang Tidak TerpadamWhere stories live. Discover now