BAB 8 - Bhgn. 1

35 3 0
                                    

"Akan tetapi, berhati-hatilah kamu sekiranya kamu akan ditipu orang, kerana sesungguhnya akan datang beberapa orang nabi palsu; mereka mengambil perkataanku dan mengotori Injil." (Injil Barnabas 72:11)

*****************

Awal tahun 1994, Afghanistan dan Pakistan

"Komander, aku ingin memasuki medan juang sebenar. Mengapa aku masih di sini? Perlukah aku pergi ke lokasi lain?" Aku menyoal komander tua tatkala bersendirian dengannya.

Lantas dia memaut bahu aku dan mengajak berjalan mengelilingi sekitar lokasi yang agak lengang. Waktu asar sudah hampir sejam berlalu dan sesi tazkirah turut usai diadakan.

"Abu Mujeeb, kamu datang ke sini menjadi rahmat tersendiri. Paling tidak untuk kami yang semakin memahami akan situasi di Amerika, bahawa orang seperti kamu turut ada di tanah itu. Doktrin busuk Zionis-Yahudi dengan sokongan Rumah Putih tidak selamanya berjaya ditanam ke dalam ruang minda rakyat Amerika Syarikat yang cintakan damai.

"Kamu, seorang pemuda kulit putih Amerika, dengan berani dan nekad mencari kebenaran Islam, meneroka erti jihad sebenar. Kami berbangga dengan kehadiran kamu, sahabat."

Komander tua itu berhenti berjalan dan menghadap aku. Jelas senyuman itu untukku.

"Abu Mujeeb, kami di sini dan kamu juga, wujud di sini bukan kerana takut. Tapi kami dan kamu mencari dan melindungi iman yang kian menipis di luar sana, sebuah dunia yang gawat dengan sengketa iman dan hilangnya nilai kemanusiaan. Sebagaimana ibrah kisah Ashabul Kahfi, kita cukup faham situasi di luar sana."

Aku sekadar mengangguk. Angin bertiup lembut menyapa wajahku. Bayang-bayang gunung melindungi aku dan komander daripada pancaran mentari yang kian merunduk.

"Kalau mahu diambil ibrah terbesar usaha ini, yakni usaha memelihara iman sekali gus membina kekuatan, ialah apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Baginda sebelum diangkat sebagai Nabi dan Rasul sering menyendiri di Gua Hira'."

Aku memberi anggukan lagi. Kisah Rasulullah SAW berkhalwat di Gua Hira' tetap menjadi salah satu kisah untuk aku menjauhi dunia hitam yang lama dahulu.

"Abu Mujeeb, mengapa kami para komander tidak benarkan kamu berjihad di Tajikistan ialah, antara lain, ia masih bukan masanya untuk kamu. Insya-Allah, tenaga fizikal dan kekuatan minda kamu masih ada misi lebih besar untuk digunakan. Memang, sebagaimana kamu tahu, mati itu terletak di tangan Allah. Namun apabila berada di medan perang, syahid itu sentiasa mengintai."

Aku memotong butir bicara komander dengan berkata, "Tapi, komander ... memang aku inginkan syahid."

"Subhanallah. Masya-Allah, sahabatku! Aku sedar hasrat murni kamu itu. Sabarlah ... ." Komander menepuk bahuku dan menyambung kata, "Sabarlah, insya-Allah, masa untuk kamu berjihad ada. Di sini pun, sejak setahun yang lalu, seperti mana ketika kamu di Kashmir, ia juga medan jihad. Paling tidak jihad mengenal diri dan mengenal siapa sebenarnya kaum kerabat kamu.

"Kami, semuanya, adalah sahabat dan kerabat kamu. Iman mengikat kita walaupun bangsa apa pun dan dari mana tumpahnya darah kita. Doa dan harapkan hasrat itu ke hadrat Allah Taala. Kami di sini, dan semua harakat perjuangan Islam, hanyalah wahana untuk bergerak.

"Gunakan segala latihan persenjataan, tempur kombat, helah perang dan pengertian jihad dengan sewajarnya walau di mana sahaja kamu berada. Biarkan kami terus di sini, mati hidup sudah ketentuan Allah. Ini tanah kami ... kami akan terus berjuang. Kerajaan boneka Amerika Syarikat yang ada setelah kalahnya Rusia akan tetap kami lawan. Insya-Allah, Dia Tuhan Yang Maha Merancang."

Komander tua itu dan barisan komander lain membenarkan aku mencari jalan lain untuk usaha jihad di medan perang fisabilillah. Aku akur dengan keputusan mereka. Maka pada suatu hari yang baik, aku merentas sempadan Afghanistan dan menuju kembali ke Pakistan.

DI SEBALIK HIJABWhere stories live. Discover now