BAB 3 - Bhgn. 1

48 5 0
                                    


Pihak British berusaha melemahkan semangat Islam dan pengaruh kerajaan Turki Daulah Uthmaniah yang menguasai rakyat Mesir. Pihak British menyokong setiap orang yang mengecam Khalifah orang Islam (yakni Sultan Turki) atau menentang Raja Mesir. -- Hasan al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin

**********

Tahun 1993, Afghanistan

Aku terbangun kerana badan digoncang lembut oleh seseorang. Sebaik mata dibuka, wajah tersenyum komander menyapa pagiku. Antara komander yang agak tua, namun tetap gagah. Beliaulah komander pertama yang aku temui setibanya di wilayah ini.

As solahtul khairun minannaum, suara gemersik itu menjadi suara indah pertama yang masuk ke gegendang telinga aku. Suara komander, lembut. Sungguh, solat itu lebih baik, bahkan sangat lebih baik berbanding tidur.

"Alhamdulillah," ucapku, sementara komander itu berlalu pergi untuk kejutkan mana-mana sahabat yang masih lena.

Aku tidur di dalam sebuah binaan kekal kem, sementara para rekrut lain ditempatkan di dalam khemah. Entah mengapa, komander menyukai datangnya aku di kem ini, menjelang petang semalam. Jadi aku dibenarkan tidur di dalam ruang ini, suatu bilik utama. Suatu bilik sederhana besar. Ramai sahabat lain ada bersama, saling merapat badan, dalam satu barisan.

Sebuah binaan kukuh, beratap, lantainya tanah keras yang termampat. Kami tidur bersama kain gebar berbulu tebal, bahu membahu. Ia dapat menahan kesejukan yang mengigit di luar sana, paling tidak pun.

Komander itu, menyambut aku semalam.

"Takbir!" Laung komander.

"Allahu-Akbar!" Sahutan laungan ucapan suci itu bergema di sekitar kem.

Itu sambutan mereka sebaik aku turun dari jip pacuan empat roda, setelah hampir lapan jam mendaki laluan sempit dari suatu kawasan pendaratan kapal terbang kecil.

"Abu Mujeeb. Subhanallah!" Ucap komander sambil memeluk aku erat-erat. Hampir aku sesak nafas. Namun aku tersenyum lebar.

Ramai sudah mulai bangun. Aku turut berbuat sebegitu setelah mengelamun beberapa saat, dengan kenangan semalam masih segar, amat segar di dalam minda.

Bulan Disember di kawasan pergunungan Afghanistan. Gambaran kesejukan bukan setanding dengan dingin salju seperti mana aku alami di Iowa (daerah asal ayah aku), bahkan kesejukan ini meresap melalui kulit dan merentas tulang temulang. Jauh berbeza. Terasa perit.

Hari ini bakal menjadi hari penuh pertama aku di bumi Afghanistan, dan aku tidak mahu tertinggal di belakang, hanya mendengar cerita. Aku mahu di hadapan, membuat cerita. Wilayah terbaharu Amerika Syarikat? Pemimpin di istana sebagai boneka mereka? Aku menggeleng penuh sesal.

"Tiupan perang George Bush menjadi petaka umat Islam dan manusia yang cintakan keamanan." Suara aku bergema di dalam ruang minda.

Sebelum apa-apa, aku menyahut keperluan alami. Bekas khas seperti bekas plastik untuk mengisi air dicari, dan berjalan ke tangki air yang tersedia.

"Grrr ... sejuk gila," kataku perlahan sebaik air menyentuh kulit tangan. Lalu aku menuju ke ruang gelap di tepi bukit. Di situ ada papan tanda bertulis "Tandas".

Jam baharu pukul 5.00 pagi. Semua orang bersiap sedia untuk solat Fajar atau solat Subuh. Sebelum itu, aku wajib berwuduk.

"Aduhai ... dalam sejuk yang mengigit tulang ini? Ya Allah! Berikan hamba-Mu kekuatan," doaku sebaik usai menyuci hadas di kawasan gelap itu.

Aku teringat tazkirah di Masjid at-Taqwa, masjid tertua di San Diego. Sahabat aku Muhammad Daud mengingatkan aku suatu hadis Rasulullah SAW berkenaan aktiviti yang menghapus dosa-dosa.

"Salah satunya ialah mengambil wuduk di saat-saat payah. Menyucikan diri dengan air yang sangat sejuk adalah salah satunya. Insya-Allah, sahabat, Allah ampunkan dosa-dosa kita," kata Muhammad Daud, lalu membacakan maksud hadis itu secara penuh.

Aku memandang kedua-dua belah tangan. Tersenyum dengan beberapa lapis pakaian, yakni semua pakaian yang ada aku pakai untuk tidur. Bahagian paling luar ialah baju salju aku yang dipakai semasa berada di Amerika Syarikat lagi.

Jadi sebelum tapak tangan dan lengan dibasahi air, aku terpaksa tanggalkan satu persatu baju yang tersarung. Hanya tertinggal dua lapis sederhana tebal, bahagian paling dalam. Pergh! Terasa kesejukan semakin perit. Ya pedih. Ya Rabbi!

Kem mulai sibuk dengan para sahabat yang bangun seorang demi seorang, buat apa yang patut sebelum azan dikumandangkan. Biasanya setengah jam sebelum azan, semua penghuni kem sudah bangun, bersedia ke masjid untuk menunggu solat Subuh.

"Assalamualaikum, sahabat Amerika," sapa seorang rekrut muda, mungkin sebaya aku. Dalam remang-remang pagi itu, aku agak dia orang Cina, dari Xinjiang, China.

"Alaikummussalam warahmatullah, sahabat. Pergi mana?" Aku menjawab sambil bertanya.

"Mana lagi. Buang air," katanya sedikit melaung dalam bahasa Inggeris pelat Cina, sambil melangkah ke kaki bukit.

Kem ini terbentang di sepanjang lembah di antara dua bahagian pergunungan dari utara ke selatan. Satu palung yang sudah kering merentasi di tengah-tengah kem. Beberapa binaan kekal berceratuk di merata kawasan kem, termasuk masjid, kurang lebih 500 meter di bawah bangunan para komander.

DI SEBALIK HIJABWhere stories live. Discover now